Thursday, 20 November 2014

Kuih Orang Bugis - Kuih Lame-Lame

Assalam...
Lame-lame, nak dapatkan sebutan yang betul, sila sebut menggunakan bahasa Malaysia baku, itu bunyi 'e' taling ke 'e' pepet?.  Jangan sesekali sebut guna bahasa inggeris atau dielek melayu nanti bunyinya jadi lain.  Ini salah satu kuih yang selalu masyarakat bugis di Sabah sediakan ketika hari rewang atau gotong royong sebelum hari kenduri ataupun disediakan sebagai kuih untuk minum petang seisi keluarga.  Orang bugis bila kenduri, adat makan kuih (pemanis mulut) untuk tetamu itu satu kemestian.  Sajian kuih pada hari rewang dan kenduri adalah berlainan, hari rewang kuih yang low-class sementara pada hari kenduri kuih high class.  Istilah itu saya yang pandai-pandai bagi kasta.  Low-class tu merujuk pada cara dan bahan kuih itu dibuat, agak simple dan mudah seperti kuih lame-lame, koci (doko-doko') dan nagasari (bandang).  Yang high class pulak merujuk pada kuih yang diolah dengan penggunaan telur yang banyak dan agak renyah untuk disediakan seperti burongko, bingka, ketirasala, bolu pecak, sekapor dan lain-lain.  

Selalunya penyediaan inti kelapa (disebut sebagai pallise') akan disediakan lebih awal dengan kuantiti yang banyak.  Dari inti itu mereka akan hasilkan kuih dadar, lame-lame dan doko-doko
Bentuknya yang lonjong dan panjang-panjang tulah yang dipanggil lame-lame, (atau membawa maksud juga bentuk kuih yang menyerupai ubi keledek.  Ubi keledek atau ubi kentang disebut sebagai lame-lame dalam bahasa bugis).
Kuih Lame-Lame
Sumber: Mak Timah

Bahan-bahan
250gm Tepung pulut
2 sudu tepung gandum
1 cawan air sejuk
sedikit garam
1 sudu gula pasir
Inti kelapa secukupnya.

Penyediaannya.
*  Campurkan tepung, garam dan gula.  Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli untuk mendapatkan adunan yang lembut dan senang untuk dibentuk (doh tak melekat pada tangan).
*  Ambil sedikit adunan anggaran sebesar bola ping pong.  Leperkan dan letak inti kelapa di tengah kemudian tutup dan bulat-bulatkan semula.  Gentel dan bentukkan kedua-dua hujung menjadi sedikit lonjong.  Senang cite sampai jadi bentuk macam dalam gambar (teknik sama macam buat kuih cek mek molek).
*  Letakkan dalam dulang yang telah ditabur sedikit tepung, untuk mengelakkan dari melekat atau boleh terus goreng.
*  Goreng dengan minyak penuh dengan api yang sederhana hingga masak atau warna kekuningan.
* Kuih akan timbul dipermukaan minyak dan berhati-hati sebab kadang ada kes kuih yang meletop bergantung pada tepung pulut yang digunakan.
*  Toskan atau guna tisu dapur dan boleh terus dihidangkan.  Saya suka makan yang masih hangat sebab kulit kuih masih crispy.

Tekak kalau dah limited adition memang payah, asyik teringin benda yang susah nak dapat.  Tapi bagus jugak boleh saya belajar buat kuih tradisi ini hingga en.abe biasa tegur kuih entah apa-ape nama dan pelik dipendengaran.  Mana yang dia boleh terima tu, dia makan banyak, kalau tak berapa berkenan tu dicuitnya sikit saja.
Lain hari kita belajar buat intinya pulak (pallise'), yang saya guna ini sebenarnya dapat free tapi kurang sticky macam yang selalu disediakan. 
Wassalam.

No comments:

Post a Comment