Showing posts with label Laksa. Show all posts
Showing posts with label Laksa. Show all posts

Wednesday, 29 August 2018

Laksa Pahang

Assalam...
Laksa Pahang tak segelemer dengan laksa dari negeri-negeri lain di Malaysia seperti laksa Penang, laksa kedah, laksa Johor atau laksa lemak Kelantan.  Ada orang yang tak tahu pun pasal laksa Pahang nie.  Jangan tak percaya ada orang Pahang sendiri yang tak kenal dengan laksa negeri mereka.  Mungkin sebab negeri yang luas dan laksa Pahang hanya terkenal di daerah tertentu sahaja (daerah Pekan dan Kuantan).


Sudah lama simpan resepi ini, big bos sendiri yang masuk dapur, sinsing lengan memasak laksa Pahang.  Kami jadi pemerhati dan tukang catat macamana nak sediakan laksa ni.  Resepi dari orang yang sangat teliti berkenaan rasa dan pemilihan bahan yang digunakan mesti hasilnya yang terbaik.  Resepi laksa Pahang yang lain mungkin menggunakan ikan selayang, tetapi Puan Sri ajar kami guna isi ikan tenggiri dan isi udang segar.  Resepi macam di bawah nie. 


LAKSA PAHANG
Sumber: Puan Sri FMA
Anggaran untuk 30 orang


Bahan-bahan Untuk Kuah Putih
3 kg ikan tenggiri*
1.5kg isi udang segar*
500gm udang kering*
1.5 biji kelapa parut* - goreng / sangrai
1 kg santan
4 keping asam gelugor 
Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*' di atas.
* Campur semua bahan dan masak (mereneh).


Bahan-bahan Tumisan (Kuah Merah)
500gm bawang kecil*
250gm bawang putih*
600gm serai*
2 inc. kunyit hidup*
150gm halia*
50gm lengkuas*
6 sudu besar serbuk kari ikan
5 sudu besar cili boh
3 sudu besar serbuk ketumbar
kelapa parut - goreng / sangrai
Minyak untuk memasak

Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*'
* Tumis bahan-bahan di atas hingga naik minyak.
* Campurkan ke dalam kuah putih tadi.
* Rebus kuah sambil kacau hingga masak.
* Sesuaikan rasanya dan hidangkan.



Bahan Pelengkap lainnya
4 pkt laksa beras (kering) - rebus
Timun - hiris halus dan memanjang
Kacang panjang - hiris halus
Daun selasih - hiris halus
Daun kadok - hiris halus
Daun kunyit - hiris halus
Taugeh
Belacan merah - bulatkan kecil-kecil
Sambal cili - lumatkan cili kering yang telah direbus

Cara Penyediaannya
* Hidangkan laksa dengan menambah bahan pelengkap yang lain.
* Tambahkan belacan dan sambal cili.
* Curahkan kuah ke atas laksa tadi.



Memang jadi kesukaan bila ada majlis yang melibatkan Tan Sri dan Puan Sri sebab akan ada menu laksa Pahang.  Jadi sesekali kami pun dapat juga merasa, nak beli memang tak ada dijual macam laksa biasa.  Yang ini pun bukan laksa yang buat sendiri tetapi dapat bungkusan daripada event mereka.


Habis sepinggan rehat sebentar, lepas itu tambah lagi pinggan yang kedua.  Tunggu masa sesuai dan ada geng yang suka baru plan untuk sediakan sendiri.
Wassalam.

Tuesday, 28 August 2018

KARI LAKSA - NYONYA STYLE

Assalam...
Raya Idul Adha kami baru ini dapat buat kari laksa nyonya style yang dah lama diidamkan.  Nak buat saja-saja memang tak tahu entah bila, jadi menyambut raya dikota raya dijadikan sebagai alasan yang kukuh nak buat kari laksa sambil tu boleh jamu kawan-kawan yang tak balik kampung.  Ada yang tanya apa tu kari laksa, ala senang cerita untuk pause soalan cakap macam mee kari gitu lah.  Cara nak tahu beza antara mee kari dengan kari laksa, boleh guna konsep hanya jauhari yang mengenal manikam.


Agak terkilan juga sebab dah berlari ke 3 buah pasaraya nak beli taupok, tapi taupok tak ade kah kah kah.  Pasrah sajalah letak apa yang ada, resepi nak buatnya seperti di bawah.


Kari Laksa - Nyonya Style
Sumber: Chef Lum


Bahan-bahan Tumis
5 batang serai *
5 biji bawang besar*
10 biji bawang kecil*
1 pkt cili boh
1 pkt kecil serbuk jintan manis
1 pkt kecil serbuk ketumbar 
70gm serbuk kari ayam
2 tangkai daun kari
minyak untuk menumis.


Cara Penyediaannya
* Lumatkan bahan bertanda '*'.
* Tumiskan bahan lumat, cili boh dan serbuk rempah.
* Masukkan daun kari.  tumis hingga naik minyak dan wangi.


Bahan-bahan Sup
1 ekor ayam - rebus dan keluarkan isi ayam
3 liter air
500ml santan pekat
1 pkt taupok
1 pkt fish ball 
Garam
Gula
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya
* Sediakan sup, rebus ayam hingga masak.
* Keluarkan bahagian isi dan asingkan.
* Campurkan bahan tumis ke dalam sup.
* Tambahkan santan dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa pilihan.
* Masukkan taupok, fish ball, fish cake, teruskan merebus sup dan sesuaikan rasanya.
* Angkat dan sedia untuk dihidangkan bersama bahan pelengkap lainnya.


Bahan-bahan Pelengkap
Kacang panjang*
Taugeh
Isi ayam rebus
Isi kerang*
Sotong kembang*
Mee kuning*
Bihun*
Bawang goreng 
Daun bawang - hiris


Cara Penyediaanya
* Celur atau goreng seketika bahan bertanda "*".
* Carik-carikkan isi ayam yang telah direbus. 

* Hidangkan kari laksa.  Ambil sedikit mee dan bihun letakkan isi ayam, isi kerang, sotong kembang, taugeh dan kacang panjang.
*  Tuang sup keatas mee dan taburkan bawang goreng serta daun bawang hiris.
*  Tambahkan dengan sesudu kecil sambal sebagai penambah rasa.

Bahan-bahan Sambal
5 biji bawang putih
5 biji bawang kecil
2 sudu cili boh
5 biji cili padi blend - optional jika suka pedas
Garam secukupnya
Gula Secukupnya
2 keping asam gelugor
Minyak untuk menumis 


Cara Penyediaannya.
* Tumis bawang putih, bawang kecil hingga kekuningan.
* Masukkan cili boh dan cili padi, tumis hingga naik minyak.  Masukkan asam keping.
*  Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. 
* Hidangkan bersama kari laksa.

Seronok si tukang masak sebab tetamu bagi feed back positif pasal kari laksa dia nie.  Yang mula-mula kata tak makan kari pun boleh terjatuh cinta dan suka dengan menu ini.
Wassalam.

Friday, 15 July 2016

Laksa Sarawak


Assalam...
Sementara kita masih di bulan syawal, maksudnya masih rancak acara makan-makan.  Makan besar, open table, rumah terbuka atau pintu rumah buka sebelah ker, still kalau ada peluang seboleh mungkin kita nak menjamu selera dengan sedara mara ataupun kawan-kawan yang berkunjung ke rumah.  Manalah tahu ada yang nak menghidangkan Laksa Sarawak, jom kita semak cara menyediakan Laksa Sarawak oleh anak jati Limbang, Sarawak, Cik Dorothy Yapis.  Mungkin kalau guna paste laksa yang berlainan, cara penyediaannya juga berlainan.  Atau mungkin cara itu mengikut daerah masing-masing, orang Limbang punya cara lain, orang Kuching juga lain tak salah kita ambil tahu dan belajar.  Kat bawah tu siap ada resepi tapi yang penting dapatkan paste laksa itu dulu.


Rebus ayam hingga empuk, kemudian isi ayam dicarik- carik halus (carik macam isi ayam untuk soto).  Isi udang jugak direbus sekejap.


Paste laksa perlu direbus terlebih dahulu, biar menggelegak seketika.  Ukuran air ada disediakan pada bungkusan paste itu.  Kemudian tapiskan untuk asingkan kuah dan serdak, serdak tu buanglah.


Serdak yang telah ditapis dan diasingkan.


Antara bahan pelengkap Laksa Sarawak adalah hirisan daun sup atau daun ketumbar dan limau kasturi.


Sebaiknya sediakan bawang goreng sendiri.


Sediakan telur dadar, gulung kemudian potong halus-halus.



Bihun celur dengan air panas hingga lembut dan toskan.


Untuk sambal laksa goreng dengan minyak sedikit bahannya - belacan, tomato (hiris), bawang merah dan cili padi hingga layu. 


Tumbuk lumat untuk dapatkan sambal seperti di bawah ini.


Didihkan semula kuah yang telah ditapis tadi dan masukkan santan.  Kacau untuk mengelakkan santan pecah minyak.  Masukkan garam, gula dan bahan perasa.  Bahan semua main agak-agak saja, nak lebih lemak lebihkan santan. 


Bahan utama macam di bawah ini, isi ayam, bihun, sambal belacan, telur dadar dan kuah laksa.


Kalau dah siap jomlah kita makan Laksa Sarawak.


Jemput makan...


Ini sambal (paste) laksa sarawak yang kami guna hari itu, Cap Burung Bayan bau dia macam ubat herba cina pun ada.
Saya pernah diajarkan oleh sahabat saya menggunakan paste laksa dari brand lain yang tidak perlu membuang serdaknya.  Cuma caranya agak lain sedikit dengan merebus paste bersama tulang ayam dan kulit udang.  Rasanya jugak tetap sedap dan menyelerakan.
Selamat mencuba.
Wassalam.

Thursday, 27 August 2015

Laksa Teluk Kechai

Assalam...
Kalau nak fikir, memang agak susah lah nak merasa lagi makan laksa ini.  Dah duduk jauh, semata-mata nak ke sana untuk mencari laksa tidak kot.  Tetapi kalau dah namanya rezeki itu ketentuan dariNYA, DIA yang maha pengatur rezeki itu hingga boleh sampai dan masuk ke dalam mulut kita.  





 Kuah laksa, nampak cair (cerhoi) tapi sedap.


Sambal kelapa identiti untuk Laksa Teluk Kechai, inilah ciri keunikannya berbanding dengan laksa tempat lain.


Berbalik kepada cerita Laksa Teluk Kechai, ada beberapa kali saya dan kawan singgah dan makan di gerai laksa yang femes tu (Teluk Kechai terletak antara Kuala Kedah dan Kota Setar.  Gerai tepi jalan tepi rumah pengusaha.  Kalau nak bawa balik, mereka jual laksa dengan cara kilo.  Sabahat saya yang dari Sarawak pun sanggup borong berkilo-kilo laksa untuk bawa balik Kuching.


Tiada kata yang paling sesuai kecuali Alhamdulillah apabila mendapat rezeki tak terjangka.  Jauh perjalanan laksa ini dan mereka yang memesan pun bukanlah kenalan apalagi saudara-mara.  Semoga tangan-tangan yang menyentuh, mengangkat, dan membawa turut sama mendapat pahala.
Wassalam.

Friday, 1 May 2015

Laksa Goreng Ala Thai Abe Nas

Assalam...
Laksa goreng ini menu kegemaran en.Abe,  mula-mula pelik jugak laksa di goreng, saya biasa makan laksa dengan sup tu saja.  Sebab ini menu dan sentuhan terbaik dia, jadi bagilah dia masuk ke dapur dan masak sendiri, saya tolong makan aje nanti.  Dulu pernah dah buat yang goreng letak seafood dan kicap di sini.   Kali ini tukar sikit nak bagi rasa yang berlainan, bosan ah asyik dengan rasa yang sama.
 

Laksa Goreng Ala Thai 
Sumber: Abe Nas

Bahannya
1 paket laksa segera
Isi ayam
2 biji telur
5 ulas bawang putih- dadu
1 biji bawang holland - dadu
1 biji cili merah - hiris
1 bunga kantan - hiris

1/2 sudu cili boh
1 biji tomato - hiris halus
2 batang serai - hiris halus
Cili padi - hiris
1 helai daun limau perut - hiris
Limau kasturi

Daun ketumbar - hiris
Garam, gula dan perasa 
Minyak untuk menumis

Penyediaannya
*  Tumiskan bawang hingga layu.  Masukkan cili boh, serai, daun limau purut, bunga kantan dan cili padi.
* Masukkan isi ayam, tumis hingga masak dan masukkan telur.
* Masukkan laksa, hirisan tomato, cili merah dan daun ketumbar, gaul sebati.
* Tambahkan garam, gula dan sesuaikan rasanya.
*  Hidangkan bersama hirisan daun ketumbar dan limau kasturi. 

Selamat berhujung minggu dan bercuti panjang you all.  Petang kejap lagi kami nak pergi cuti-cuti, you all plan ke mana pula?
Wassalam.

Monday, 2 February 2015

Cendol & Laksa Kedah, Persimpangan UIA

Assalam...
Perjalanan balik dari menghantar mertua hingga ke plaza tol Gombak, kami terjumpa gerai laksa ini.  Memang tengah lapar sangat masa tu, seharian sibuk teman mereka cari barang hingga tak sempat makan tengah hari.  Tak fikir panjang dah, selera membuak-buak bila ternampak banner laksa dan cendol, terus kami singgah sini.
Gerai ini terletak berdekatan dengan persimpangan traffic light yang berdepan dengan UIA, Gombak.  Sebelahnya ada satu lagi gerai yang menjual pisang goreng, tapi kami takdelah beli pun.
Order cendol 2, laksa 2 sebab bapak tak nak laksa dan cendol tu konon-konon nak share dengan en.Abe, alih-alih cendol tak cukup, tambah lagi satu mangkuk.  Dah lewat petang, pulut dan tapai dah habis yang tinggal cendol biasa saja.  Biasa pun biasalah, sedap jugak bila lapar.
Pokcik ini layan cendol jer, laksa dia tak pandai makan katanya.  Pelawa dia rasa, hujung-hujung sudu je, lepas itu dah tak nak.  Mentang-mentanglah dari satu-satunya negeri yang tidak mempunyai laksa di Malaysia.  Tapi nak wat macamana dah dia tak lalu nak makan.
Tu dia, licin mangkuk-mangkuk sampai jin pun tak dapek nak rasa.  Alhamdulillah, perut kenyang dan memang puas hati rasa laksa kedah kat sini, kena dengan selera kami.
Bila-bila lalu sini boleh singgah lagi, menurut adik yang jaga tu, gerai dibuka setiap hari kecuali  hari jumaat dari jam 11 pagi hingga 6.30 petang.
Wassalam.

Saturday, 11 October 2014

Laksa De Kelana - Man Laksa

Assalam...
Korang biasa tak makan kat warung? layan tak gerai tepi jalan.  Kalau ok, jom layan laksa dan koay teow sedap di gerai Laksa De Kelana ini.  Gerai ini salah satu antara deret-deret gerai yang ada setiap petang bertentangan dengan Giant Kelana Jaya.  Giant kecik tau, yang sebelah belakang bukan Giant besar tepi highway LDP tu. 
Minuman utama di gerai ini adalah air kelapa, kalau tak suka yang lain pun ada.  Tapi janganlah minta jus pelik2 cam yang ada kat resto yek....
Koay teow ada 2 jenis, kalau minta koay teow goreng, dapat macam yang kat bawah ini.  Kalau sebut char koay teow, nanti dapat yang cair tu.  Sebenarnya perkataan "char" bermaksud goreng jugak.  Bagi saya chinese style Penang Char Koay Teow, macam yang bawah inilah (original Penang Seafood Char Koay Teow).  Kalau yang  cair tu style orang Melayu kat Penang yang dipelopori oleh Sany Char Koay Teow.
Ini pulak laksa utara bukan laksa penang, sedap dan setiap kali makan mesti ayaq idung meleleh penangan cili padi.
Kalau sampai kat tempat ini, bolehlah cuba yek.
Gambar bawah ada motif, kalau mengintai umah tu nampak pokok semambu ini, selalunya rumah India.  Mereka suka menanam pokok semambu di halaman rumah sebagai keperluan upacara keagamaan dan perubatan untuk sakit demam campak atau chicken fox..

Wassalam.

Thursday, 10 July 2014

Laksa Kedahku Kurang Ulam

Assalam....
Ini cerita sebelum masuk Ramadhan hari itu dan sebagai perjumpaan Nadiah dengan kawan-kawan usrah mereka di PPUM.

"Salam Kak & Abang, kami nak order makan untuk 15 orang, hari usrah minggu depan. Nak Laksa.  Tolong bagi budjet sekali"  sms dari Nadiah.
"Nak laksa Penang ke Kedah?" kami reply.
"Oh ada beza ker kak?" Nadiah.
"Penang ada nenas & daun pudina, Kedah ada telur & ulam" begitu description saya.
"Oh nak yang makan dengan telur rebus.  Tq". 


Abang tak pernah buat Laksa, yang pandai ker?  Yang hudoh2 tu boleh lah sekadar makan sendiri pernah lah.  Tapi yang nak makan budak-budak jer, takpelah kita buatkan ajelah untuk diorang tak yah ambik duit.  Student nak makan, peluang yang baik untuk memberi mereka makan jangan sesekali dilepaskan.  Hati berbunga-bunga nak buat sebab saya pun suka laksa Kedah banding dengan laksa Penang.  Tapi masa nak beli bahan2 tu, ulam tak cukup plak, dah pergi beberapa tempat cari dapatnya hanya timun dan salad jer.  Daun kesom pun dapat yg kecut.  Time kita tak nak buat, banyak pula benda tu.

Yang ini dah ready untuk di hantar pada Nadiah, tengok kat fan page FB diorang, budak-budak yang hadir usrah, bukan setakat 15 orang tapi lebih 30 orang semuanya.  Alhamdulillah, nasib baik cukup makan.  Saya sediakan laksa dengan menggunakan resepi Kak Olah yang selalu menyediakannya ketika kami berkunjung ke Kedah.
Laksa Kedah Mak Andak
Sumber: Che' Olah


Bahan-bahan
2 pkt laksa kering - rebus hingga lembut dan tapiskan.
1 kg ikan sardin / selayang - rebus dan leraikan
1 kg ikan kembung - rebus dan leraikan
Bahan blend  - 10 biji cili kering
                        10 biji Bawang besar
                        2' Belacan bakar
5pc asam keping
2 tangkai daun kesom - buang tangkai
3 biji bunga kantan - belah 4
lengkuas 2 ketul sebesar ibu jari - ketuk
3 Serai - ketuk
Air.
Garam & perasa secukupnya
Telur rebus - belah 2 atau empat

Ula-ulam (hiris halus  / mayang kesemuanya)
pucuk putat
daun selom
daun gajus
daun salad
timun
limau nipis / kasturi
cili merah
cili padi
bawang besar


Cara Penyediaan
1. Rebuskan ikan dengan sedikit air, letakkan 1pc asam keping.  Sejukkan dan leraikan daripada tulangnya.
2. Tumbuk isi ikan dan ketepikan.  Blend tulang ikan dan tapis untuk ambil kuahnya sahaja. Basuh tulang ikan dan tapis berulang-ulang sehingga air tapisan jernih.
3.  Campurkan bahan blend dengan air tapisan tulang ikan dan masak.  Didihkan kuah dan masukkan daun kesom, asam keping, serai. lengkuas dan bunga kantan.  Masukkan isi ikan yang telah ditumbuk, biar merenih sehingga naik bau, masukkan garam dan serbuk perasa. 
4.  Sebelum itu rebuskan laksa  kering dan telur rebus.
5.  Tips untuk menghidang, letakkan laksa dalam pinggan disertai sedikit setiap jenis ulam-ulamnye (atas), telur dan curahkan kuah laksa.
 
Kalau dapat sediakan kuah sehari sebelum pun bagus jugak, sebab kuah laksa ini bila dah banyak kali dipanaskan makin sedap. 

Wassalam.