Saturday 30 November 2019

Lao Mandre: JJCM Di Kuala Selangor

Assalamm....
Nikmat Allah yang perlu disyukuri, dengan tak sengaja dijumpakan dengan makanan yang sudah lama diingini.  Ini cerita sebelum dan selepas larian bendang, sebelum hari larian kami gerak awal dan tido di area sana untuk elakkan tergopoh-gopoh awal pagi.  Sementara 3 orang lagi akan bergerak awal pagi esoknya.  Plan asal nak gerak awal, sekurang-kurangnya dapat jalan-jalan sebelum senja, tapi dua-dua keletihan balik kerja petang tu, jadi kami rehatkan diri dulu dan mulakan perjalanan sebelum magrib. 


Keluar rumah memang dengan perut kosong, tambah pulak baru lepas tido petang, mestilah lapar.  Tapi sebab kami plan nak singgah makan dalam perjalanan sebelum sampai hotel, jadi harap sabar lah wahai perut.  Dalam memilih gerai mana nak singgah, tetiba ternampak signboard mee udang banjir, terus jelah belok masuk kat situ dengan harapan dapat mee udang yang sedap tak sama dengan gerai sebelum-sebelum ini yang agak mengecewakan.   


Orang tu pun jumpa benda yang diidam-idamkan, udang galah, pilih tomyam udang galah.  Bawah tu senarai makanan yang berasaskan udang-udangan semua, pilih lah ikut selesa nak kemampuan.


Ada makanan lain jugak, bukan semuanya yang ada udang-udang tu, ada pelbagai masakan panas lainnya.  Seorang pakcik berhenti dan tanya menu yang saya order ketika melihat semangkuk mee udang atas meja.  Mungkin dia pun orang luar juga.


Ini signboard kedai tu, lokasinya atas sikit dari Pasir Penambang dari arah Kuala Selangor.  Gerai sebelah kanan.


Ok, ini cerita selepas lari pula (iye ker lari?), masing-masing memang lapar, dapat makan satu ketul roti yang dibekalkan pagi tadi.  Mereka ada beli jajan dari penggerai di situ semasa menunggu, tapi tak puaslah makan macam tu.  So otw balik ingat nak singgah nak singgah cari nasi ambeng di restoran yang biasa kami singgah.  Tak sampai lokasi yang dituju, ternampak gerai itik salai, belok sajalah masuk sini kita try makan itik salai sini pula.  Masa tu masih awal, tak ramai orang lagi, lauk pun tak habis masak lagi.


Kat sini, lauk utama dihidangkan secara set macam kat bawah nie, set siput sedut masak lemak dengan batang keladi.  Jika nak tambah lauk lain boleh saja.


Ulaman dengan sambal belacan, sambal belacan yang susah nak kenalpasti sambal belacan atau sambal apa nie?.  Kawan saya siap berteka teki, tak puas hati dia pergi tanya makcik tu kesahihan adakah itu sambal belacan atau tidak.  Sesuailah dengan style diva dia tu, sebab lepas makan confirm tangan tak bau belacan macam sambal belacan orang lain yang bau belacan tu boleh lekat sampai 3 hari.


Itik salai set, nampak ada tambahan ayam goreng di situ. 


Dua orang lagi jadi pemerhati je kami bertiga melahap makanan, dia rasa pelik bin ajaib bila orang makan siput sedut dan itik salai.  Nak wat macamana, dia tak boleh makan sebab tak pernah jumpa mak dia masak kat rumah.  Lantak engko lah, tak nak try rugi.  Bukan dia jer pelik, kami pun pelik tengok dua orang muda ni, cara mereka makan suka menu-menu hisper, tak sama macam kita yang purba ni.  Kawan diva saya cakap sedap sangat masak lemak siput tu, chef tempat dia masak pun tak sesedap macam ni.


Demikianlah cerita citarasa orang lama yang biasa-biasa nak makan, sukanya benda yang old school juga.  Tak jumpa nasi ambeng pun tak ralat lah sebab jumpa yang kena di tekak di sini.  Perut kenyang senang hati, senyum lebar sepanjang hari.  Oh ya nama kedai makan tu Itik Salai Masthar, Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.
Wassalam.

Wednesday 27 November 2019

W-W: Sunsine Your Life With Sunlight

Assalamm....
Siapa pengguna tegar Sunlight? Ada macam-macam flavour dah sekarang, dah macam air cordial banyak perisa.

Ini harga normal, tunggu ada offer baru kita rembat semua perasa.  Grapefruit tu baru 1st time jumpa.


Wassalam.

Sunday 24 November 2019

Monumen, Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS)

Assalam...
Hari tu balik dari kenduri di Resort Tekam, dapat singgah sini, itupun setelah kita tidurkan tuan driver.  Bila tuan driver tidur, 2nd pilot yang ganti boleh lah kita gula-gulakan nak pergi mana-mana.  Pesan ke second pilot nanti sampai simpang masuk highway kat Temerloh, jangan masuk simpang tu, awak terus jer ikut signboard ke bandar Temerloh atau Mentakab dari sana nanti kita cari pula laluan ke Lancang.


Masa kami sampai tak ramai orang, ada beberapa buah kereta yang tak diketahui keberadaan penumpangnya.  Kawasan ini terletak di tepi jalan besar, tapi nak masuk ke kawasan parkir tadi laluan dibuka separuh sahaja,  sebab tak siap sepenuhnya lagi kan.


Musolla ada, bagi yang belum, sila lah.  Kami tadi dah jamak siap-siap masa singgah zohor di masjid Tengku Mahkota, Jerantut.


Kami ingatkan keluar-keluar dari kereta boleh terus nampak monumen TTTS tu, rupanya kena menapak sedikit untuk sampai ke atas.  Laluannya (pavement) cantik, dalam kepala otak bagus untuk berolahraga, jika ikut lingkaran yang disediakan tu.  Tapi petang tu kami ikut jalan short cut lah, tak perlulah nak skema ikut laluan yang berbelok-belok tu.  Ini pandangan daripada atas monumen ke kawasan masuk tadi.


Kedudukan monumen TTTS di tengah-tengah, pandangan daripada gerbang hijau tepi paya.  Tak pandai nak fokus guna phone cap ayam.


Master plan untuk kawasan Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS).  Masih ada yang belum siap sepenuhnya, tapi sudah boleh dikunjungi.


Landmark JUPEM, jupem tu apa? Jabatan Pemetaan Malaysia.  Apa fungsi dia?, segala hal mak nenek yang berkenaan peta memeta tu kerja dia lah.  Nasib dia tak tanya peta tu apa? ada juga yang kena hantar balik pergi sekolah belajar geografi, jangan hanya kenal dan tahu buat peta atas bantal.  Geografi masih menjadi subjek pembelajaran ke di sekolah?, puluh tahun dah tinggalkan sekolah.


Jupem ini lah yang membuat kajian untuk menentukan kedudukan sebenar TTTS ini.  Jika sebelum ini (zaman pemerintahan British) titik tengah Semenanjung terletak di 2 lokasi iaitu di Kampung Belimbing Lipis dan dan Kampung Kertau Maran.  Bukan kerja senang nak tentukan TTTS ini, Jupem menggunakan pelbagai kaedah dalam menentukannya antaranya rupa bentuk muka bumi tanah semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.  Di akhir pengiraan mereka menemukan titik tengah adalah di Kampung Paya Siput, Lancang.  Lebih menarik TTTS sebenarnya teletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama Madrasah Darul Ulum yang diusahakan oleh Encik Sabaruddin Othman.


Jarak untuk balik ke sarang masing-masing.


Bentuk monumen TTTS (Temerloh Titik Tengah Semenanjung.  Awan dan langit pun macam bagi kerjasama petang tu, cantik sangat. 

Harap orang kampung sekitar dapat manfaat daripada pembangunan kawasan ini dan tuan driver boleh lencongkan laluan ke sini masa balik kampung akan datang sebab banyak lagi tempat menarik dekat-dekat sini.
Wassalam.

Thursday 21 November 2019

Asam Pedas Tulang Rusuk

Assalam....
Asam pedas tulang rusuk, rasa kecur lagi bila ingat keenakan rasanya yang sangat sedap.  Sangat sedap pada lidah kami berdua.  Entri kepam sebenarnya nie, tulang rusuk tu dapat daripada pemberian daging korban di kampung.  Masing-masing ambil bahagian daging saja ketika ayah suruh ambil seorang sikit.  Bila anak-anak semua dah balik ke bandar, tinggal berdua nak makan banyak mana sangat sebab itu daging hasil pemberian orang kampung dibagi-bagi pula pada anak-anaknya, kami pilih bahagian tulang rusuk nie.


Bila cerita pasal tulang, awal-awal yang terbayang adalah menu sup tulang rusuk atau pun singgang saja.  Tapi en.Abe, kalau masak sup dia kurang sikit nak makan, singgang pula selalu kalau masak sendiri tak dapat rasa yang diingini, jadi simpan dulu lah dalam frezeer.  Sampailah satu hari balik kerja dia kata nak makan asam pedas, agaknya tak puas lagi makan asam pedas kepala ikan hari tu.  Lebihan paste asam pedas buat hari tu adalah lagi, tak jadi masalah, campurkan saja dengan tulang rusuk dalam periuk tekanan, set HP 30 minit dah settled satu perkara.


Asam Pedas Tulang Rusuk
Sumber:  Mulia

Bahan-bahan
1kg tulang rusuk
10 biji bawang merah*
5 biji bawang putih*
5 tangkai cili kering* (atau guna cili kisar)
2 batang serai - titk
1 batang bunga kantan - belah dua
2 tangkai daun kesom
2 biiji tomato - potong empat
Sedikit air asam jawa / 1 keping asam gelugor
Minyak untuk menumis
Garam, gula dan perasa secukupnya



Cara Penyediaannya
* Rebus tulang rusuk hingga empuk.  Jika guna pressure cooker tak perlu rebus dahulu, HP lebih kurang 30 minit saja.
* Blend bahan bertanda '*'
* Panaskan minyak dan tumis bawang kisar hingga naik bau.  Masukkan pula cili kisar, tumis hingga naik minyak (cili masak).  Masukkan gula, garam, air asam jawa atau asam keping, daun kesom dan bunga kantan. 
* Masukkan tulang yang telah direbus tadi bersama air daging.  Masak hingga empuk dan masukkan tomato.
*  Sesuaikan rasa dan boleh lah tutup api.  Sedia untuk di hidang.
*  Jika guna periuk tekanan, selepas tumis paste, masukkan tulang rusuk, gula, garam, bunga kantan, daun kesom dan air dan setkan HP 30 minit.
* Release wap atau tunggu lebih kurang 10 minit baru releaskan wap.  Buka penutup dan sesuaikan rasanya.  30Hp daging pada tulang dah cukup empuk dan tertanggal.  Siap untuk dihidangkan.

Bagi saya bila dapat makan lauk gini, dah kira makan besar.  Buat satu lauk dah mencukupi, atau buat tambahan satu menu sayur.  Kalau pelbagai sangat memang tak tersentuh nanti.  Orang biasa hidup susah gitulah tak reti nak makan lauk pelbagai jenis penuh meja. 
Wassalam.

Wednesday 20 November 2019

Cucur Manis

Assalam....
Hari tu teringin sangat nak makan cucur manis yang selalu buat dulu-dulu.  Bukan yang jenis viral bulat cantik tu, ini yang kembung pelbagai bentuk sebab scop guna sudu jer.  Dulu kalau tiada kuih atau benda sangat nak makan buat yang inilah, sebab dulu kan selalu protes jemput-jemput pisang mak (kudapan asyik-asyik itu saja, pagi petang saya cakap, tiada kuih lain).  Sekarang padan muka lah sendiri rindu, nangislah sendiri di tepi dapur.


Saya tak ingat siap yang ajar buat cucur ini, tapi rasa mesti mak lah yang bagi tunjuk ajar.  Dulu mana ada internet lagi nak dirujuk.  Mungkin sebab senang dan bahan mudah jadi lekat terus di kepala otak cara nak buatnya.  Pernah dulu berjalan-jalan ke tempat makcik (daerah lain, jauh di pedalaman dalam kem balak), konon-konon nak buat cucur nie silap macamana terletak air banyak sangat.  Tepung simpanan makcik tak cukup, jenuh bertanya setiap seorang penghuni rumah kongsi jika mereka ada stok tepung, kedai runcit kongsi pula sangat jauh, di blok lain.  Nasib ada seorang kakak yang masih ada stok tepung gandum masa tu, jika tidak cucur manis jadi pahit agaknya.  Sebab dah terbuat banyak, dapatlah satu kongsi makan cucur manis.  Rumah kongsi di kem balak dulu, macam rumah panjang, dapat pergi dua tiga kali dan tinggal seminggu dalam kem balak.


Cucur Manis (kontok-kontok Manis)
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Tepung gandum
Gula pasir
1 biji telur
Sedikit soda bikarbonat
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara Penyediaanya
* Resepi ini tiada sukatan metrik, semua main agak-agak sendiri.  Terlebih air tambah tepung, lebih tepung tambah sikit air, tapi pastikan jangan sampai tiada rasa manis ya.
* Gaul gula dan telur hingga gula larut.  Masukkan soda dan air.
* Masukkan tepung, gaul hingga sebati dan dapat better yang sesuai.
* Better dia tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat, sedang-sedang macam better buat cekodok.
* Panaskan minyak (goreng dengan minyak penuh).
* Sendukkan adunan ke dalam minyak panas (nak guna tangan pun boleh) dan goreng hingga kekuningan. 
* Angkat dan sejat minyak guna tisu dapur.
* Hidangkan.


Jom kita lawan makan cucur, sepinggan cucur manis untuk aku, sepinggan cucur bawang (savory) untuk kau.  Kesudahannya makan tak habis, gitu lah kalau tamak buat banyak-banyak nak makan untuk 2 orang saja. 

Sebenanya selalu buat jemput tak cukup sebab buat sikit sangat dan satu jenis saja.  Malam tu tak tahu apa lah yang merasuk buat terlebih pula, ingat macam kat kampung ke dulo-dulo sering ada jiran bertamu malam-malam.
Wassalam.

Tuesday 19 November 2019

Feri Pulau Pinang

Assalam...
Hampir 10 tahun tak naik feri, sejak berhijrah keluar dari Penang.  Ada beberapa kali masuk pulau tapi hanya lalu jambatan, sebab selalu asyik nak cepat saja.  Kali ini nak cepat juga, tapi memandangakan kawasan yang dituju tu dan arah kami datang tu, lebih dekat jika menggunakan perkhidmatan feri.  Pagi tu nak jemput Dekna di GH Penang untuk bawa balik makan kenduri di Sidam.  Masih awal pagi dan hari cuti umum hari itu, harap-harap tak ramai orang lagi.


Jalan nak masuk ke laluan kereta masuk feri pun dah susah nak cari.  Sudah ada Penang Sentral tersergam indah di situ.  Lama juga kawasan jeti si sebelah Bagan ini nak membangun sejak kejadian kebakaran dulu, jenuh pengguna penggakutan awam nak menunggu terminal yang elok.


Percubaan mencari laluan kereta untuk masuk ke feri, agak mencabar macam orang pertama kali nak pi naik feri. Pertama kali salah lorong masuk laluan ke terminal bas, kedua masuk mall sampai ke parking puncak teratas Penang Sentral, dalam hati takkan lah laluan ke feri tu berada di tingkat atas mall, nak kena terjun tiruk ker masuk dalam feri.  Ketiga silap lorong lagi.  Nasib tak busy lagi jalan pagi tu, duk lah kerja tawaf kat kawasan tu tak jumpa-jumpa.


Kali ke-4 baru berjaya, ikut laluan betul dan jumpa tol nak masuk feri, sorok muka malu sebab konon pernah duk Penang bertahun lamanya.  Bukan salah cheq, salah depa pi tukaq laluan kena kona banyak tempat.  Pagi tu tak perlu beratur lama, beratur lepas tol jer sikit.  Tapi nak terkencing pulak dah, tegang urat kencing cari jalan tadi, mujur ada tandas kat luar kawasan tol, berlari saya dengan Fadilah cari tandas.  Ingatkan Fadilah saja ikut nak teman, rupanya dia pun nak terkencing juga. 


Balik dari tandas, dah banyak kereta cantas laluan kami.  Ingat tadi mr. driver dah masuk dalam feri tinggalkan kami, baiknya hati dia parking tepi bagi laluan kat kereta lain masuk dulu sementara kami settlekan urusan.

Kami dapat tempat di tingkat bawah, sejak dulu tingkat bawah ini memang khas untuk kenderaan saja.  Dah elok parking, feri mula bergerak dan kami bergerak naik ke tingkat atas untuk panorama yang lebih auw.


Ada feri yang khas untuk kenderaan saja maksud atas dan bawah untuk kenderaan dan bukan untuk penumpang berjalan kaki.  Sekarang ada pula yang begini, tingkat atas bercampur kenderaan dan pejalan kaki.  Fungsi ubah ikut sesuaian semasa lah kan.

Kiosk menjual jajan dalam feri.


Waktu ini jerebu, nampak samar-samar saja jambatan pertama.


Masing-masing teruja naik feri, yang pertama kali atau mereka yang dah biasa nak feri Pulau Pinang akan jadi suka.  Rasa dia lain macam tau, rileks jer, sedar-sedar feri dah menyandar di jeti.


Tempat menyimpan jaket keselamatan untuk tingkat bawah feri.  Agaknya ketika ada kecemasan baru jaring tu akan terbuka.  Tinggi kedudukannya tak tercapai dengan tangan.


Sedia untuk keluar dari feri, selamat datang ke Georgetown.  Sekarang nak cari jalan ke hospital pula, mesti Dekna dah tunggu lama, tadi kata dah dekat nak sampai.  Ketika luar dari pulau kami lalu jambatan pertama, nak cepat sampai makan kenduri.


Pesisir pantai kawasan jalan Tengku Kudin dah bertukar wajah, kawasan tambah yang menempatkan kediaman dan facility luxury tengok dari luaran.  Tiada lagi kawasan pesisir tempat kami bersiar-siar ambil angin laut jalan kaki menyusur sampai ke bawah jambatan.  Tinggal kenangan semua itu memori indah, pertengahan zaman 90-an.


Betul lah kata orang zaman muda belia, kita banyak tenaga dan berani.  Merempit lalu jambatan ini dah biasa, pernah singgah duduk-duduk kat tembok dekat tiang seri nak ambil gambar.  Sekarang ni aksi tu memang tak boleh lah, baru bagi signal nak singgah kereta peronda jambatan nanti mai perhambat pi melingkup.


Kali ini komplit pakej masuk Penang, semalam tu masuk lalu jambatan kedua.  Pagi ini masuk ikut feri, keluar (balik) lalu jambatan pertama.
Wassalam.