Showing posts with label Pulut. Show all posts
Showing posts with label Pulut. Show all posts

Thursday, 28 June 2018

Ketupat / Pulut Dakap

Assalam...
Kalau tak silap menu pulut dakap ini popular di utara dan pantai timur.  Hari raya baru ini, mak mertua buat pulut dakap, versi kelantan yang rasanya sedikit manis.  Menurut chek ini pulut dakap simple sebab tak letak sebarang inti, selalu pulut dakap mereka letak inti pisang masak kat tengah atau pulut dicampur dengan rebusan kacang putih.  Pulut dibalut dengan daun pisang, lebih kurang macam buat burasak tetapi pulut dakap ini lebih mudah membuatnya.  Dua bungkusan pulut dicantum dan diikat bersama sebab itu kot dinamakan pulut dakap (letak secara dakap / berpelukan).


Walaupun hampir sama dengan burasak, tetapi cara memasak pulut selepas membungkus adalah berbeza.  Ikatan pulut dakap jugak tak perlu begitu kemas kerana tiada kekuatiran pulut akan kerburai ketika mengukus.  Ini mungkin penyebab utama rasa kedua benda ini turut berbeza.


Ketupat / Pulut Dakap
Sumber: Nang Teh


Bahan-bahan
1kg pulut - rendam
2 cawan santan pekat dari sebiji kelapas
1/2 sudu teh garam
2 sudu makan gula
Daun pisang secukupnya


Cara Penyediaannya
*  Kukus pulut hingga masak.
*  Didihkan santan yang dicampur dengan garam dan gula.
*  Campurkan santan dengan pulut.  Gaul sebati hingga rata dan pulut nampak berkilat.
*  Ambil daun pisang yang telah di potong lebar lebih kurang sejenggkal dan balutkan pulut memanjang.
*  Ikat 2 paket pulut secara berdakapan, pastikan bahagian lipatan daun terletak dibahagian dalam.
*  Sediakan kukusan, kukus pulut yang telah diikat hingga masak atau daun pisang layu.
* Sejukkan.  Buka ikatan dan leraikan dakapan pulut ketika menghidang.
 

Bagi saya yang lidah pedas ini, mungkin kurang minat dengan pulut yang manis begini kecuali jika yang dibuat kuih seperti pulut sekaya.  Tetapi budaya orang lain-lain kan, tu lah yang menyebabkan kita ini unik.
Wassalam.

Thursday, 8 February 2018

Pulut Kuning & Sambal Ayam


Assalam...
Makanan feveret anak omak dia, hahaha bukan omak den yo.  Omak den dan semua ahli keluarga yang lain suka sangat dengan pulut tapi tak menurun pula kat anak yang seorang ini, sejak dulu memang tak berapa gemar makan pulut, sesekali boleh lah layan.  Teringat arwah pakcik saya, pulut tu makanan ruji bagi dia, dia tak makan nasi hanya makan pulut yang di tanak, tapi tak pernah pula dengar dia mengaduh sakit urat ke atau angin.  Masalah sinonim yang ramai orang dakwa akan alami selepas makan pulut selain mengantuk.  Tapi tak boleh lari jauh dari pulut sebab keluarga belah sini pun suka makan pulut, pulut kuning dengan rendang ayam.  Pulut kuning ni dia masak sendiri, nak merendang tak cukup masa nak menunggu, jadi lah kenenkan dengan ayam sambal. 


Pulut Kuning
Sumber: Nang Teh

Bahan-bahan
1 kg pulut
2 keping asam gelugur
Sedikit serbuk kunyit / pewarna kuning
500ml  santan pekat
Sedikit garam


Cara Penyediaan
*  Rendam pulut bersama serbuk kunyit/ pewarna dan asam keping.  Rendam beberapa jam atau semalaman.
*  Panaskan kukusan hingga air mendidih.
*  Kukus pulut hingga masak.
*  Campur santan dengan garam.  Didihkan sekejap.
*  Keluarkan pulut, campur santan sedikit demi sedikit dan kacau rata hingga sebati.  Pulut yang sebati dengan santan nampak berkilat dan tidak melekat pada senduk.
*  Kukus sekali lagi, tapi sekejap saja.  Lebih kurang 15 minit.    
* Hidang bersama lauk kegemaran.
 
Sambal Ayam
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam  - gaul dengan garam dan kunyit, goreng
3 sudu cili kisar
3 biji cili besar*
5 biji cili padi* (abaikan jika tak suka pedas)
3 biji bawang besar*
3 biji bawang putih*
1 inc. halia*
1 biji buah keras*
1 batang serai - titik 
Sedikit air asam jawa / asam keping
Serbuk perasa - garam dan gula
Minyak untuk menumis


Cara Penyediaannya
*  Blend halus semua bahan bertanda '*'.
*  Panaskan minyak, tumis bahan blend, masukkan cili kisar, serai dan tumis hingga naik minyak.
*  Masukkan air asam jawa / asam keping, garam dan gula.  
* Masukkan ayam yang telah digoreng terlebih dahulu.  Gaul dan tumis hingga sebati.
*  Sesuaikan rasa dan tutup api.
*  Hidangkan bersama pulut.


Wassalam.