Friday 18 December 2020

Nasi Lemuni, Kegemaran Orang Utara

Assalamm...
Pernah makan nasi lemuni? Kaedah penyediaan nasi lemuni macam nasi lemak juga cuma ada campuran air daun lemuni masa menanak nasi.  Daun lemuni tu unik, bahagian belakang daun warna ungu itu yang memberi warna gelap pada nasi yang kita masak.  Daun lemuni tu macamana? alamak google lah ye, tak sempat pula nak diphoto daun yang saya dapat hari tu.  Jauh ambil dari Sepang, umah sedara ayah mertua (baru kenal) tapi tak malu boleh minta daun lemuni dia masa nak balik.

Sudah lama kami teringin nak makan nasi lemuni, tapi tak dapat-dapat.  Asyik teringat ketika tinggal di Penang, kerja di Lebuh Pantai, boleh kata setiap hari kami beli nasi lemuni sebagai sarapan.  Beli dari seorang pakcik penjaja depan pejabat pos besar, pakcik tu pula suka menyakat.  Siapa nak sentiasa awet muda rajin-rajin lah makan nasi lemuni.  Bukanlah percaya sangat dengan ayat manis dia tu, tapi sebab memang kami suka dengan rasa nasi lemuni ini, macam juga nasi kerabu atau nasi ulam memang cukup suka.
Sebenarnya nak makan nasi ini, lauk sampingan tu cukup dengan yang sederhana seperti sambal tumis, telur atau ikan goreng berserta sedikit ulam timun atau tomato.  Tapi jika extra rajin nak gu kan dengan lauk ayam atau daging takde masalah, boleh juga.

Nasi Lemuni
Sumber: Datin Fiza Saad


Bahan-bahan
2 cawan beras
2-3 gengam daun lemuni - blend untuk dapatkan airnya
2 cawan santan
1 sudu lada hitam
2-3 biji bawang besar - kisar
4.5 cm halia - hiris halus
Garam secukupnya


Cara Penyediaannya
* Blend daun lemuni untuk dapatkan airnya
* Campurkan semua bahan ke dalam periuk (rice cooker), masak seperti masak nasi lemak atau nasi putih.
* Boleh hidangkan dengan sambal tumis, telur rebus, ikan goreng atau ikan masin dan hirisan timun.
Masa buat nasi ini, tak dapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli rumah.  Mereka tak biasa memang sukar sikit mereka nak terima lagi satu mungkin sebab tiada lauk ayam.  Tak apalah cukup untuk melepaskan rindu dendam saya seorang akan nasi lemuni sambil mengenang kisah-kisah lama semasa tinggal di Penang dulu.
Sebenarnya daun lemuni tu memang banyak khasiatnya, pakcik tu bukan saja-saja sembang kosong tau.  Khasiat tu nanti cari lah na, dan tak rugi mencuba bagi yang tak pernah makan nasi lemuni ini.
Wassalam.

Thursday 17 December 2020

Bingka Ubi Kayu


Assalamm...
Bingka ubi atau ada yang panggil benkang ubi, benda yang sama selalu makan tapi tak pernah buat sendiri.  Suatu hari jiran bagi ubi kayu yang warna kuning, dah tahu yang jenis itu jika rebus seminggu pun tak akan lembut dan gebu macam yang ubi kayu jenis warna putih.  Ubi kayu isi kuning tu mak mertua panggil ubi kayu kuala lumpur, pasal apa panggil tak tanya lanjut pula.  Jenis itu memang sesuai untuk dibuat kuih sama ada buat lepat ubi, bingka mahupun tapai ubi.  Bingka ubi ini sebenarnya takdelah susah sangat nak buatnya, tapi sebelum-sebelum ini asyik fikir macam susah jer, jadi susah sungguh lah kalau fikir lagu tu.  Cuba try test dulu, tengok hasilnya lagu mana baru kata susah, ini tak buat apa lagi dok fikir susah.
 
Akhirnya jumpa resepi, baca-baca aik nampak macam senang saja.  Takde oven bakar atas dapur gas pun boleh, nak lagi sedap pi bakaq guna arang atau sabut kelapa macam cara oghang totua dok buat bengkang.  Rasanya yang susah pun dalam proses pembikinannya tu tang nak parut ubi kayu tu ja, tapi nak senang lagi, hang pusing guna blender lah cheq oi.
 
Jom lah semak resepi yang kami guna nie, tapi dah lupa cedok dari page sape ntah.... maaf lah na, minta halal kami guna resepi hangpa tapi tak buh link.

Bingka Ubi
Sumber: Pelbagai dari cik google
 
Bahan-bahan
4 cawan ubi kayu parut
1 cawan gula pasir
2 cawan santan
Sedikit garam
Pewarna kuning (jika suka)

Cara Penyediaannya
* Guna loyang 7x7, gris dengan sedikit minyak masak.
* Panaskan oven, suhu 170' guna api atas bawah.
* Campurkan semua bahan dan kacau sebati hingga gula larut.
* Masukkan dalam loyang dan bakar selama 35-45 minit atau sehingga bingka masak.
* Kami suka jika permukaan bingka sedikit garing seperti dalam gambar, lebih wangi dan sedap.
* Sejukkan betul-betul sebelum dipotong untuk dihidangkan. Bingka ubi sesuai dihidangkan untuk sarapan atau untuk minum petang.
 
Bila siap ramai penggemarnya, tapi kami bok keluaq hidang sikit-sikit.  Bukan kedekut tapi, ada orang sakit, tak mau bagi dia makan banyak-banyak.  Ubi kan angin, tak pasal nanti jadi lain, almaklum pesakit kami tu jenis kena pantang banyak benda tapi dia memang jenis pantang tengok.  Kalau dia asyik tanya tak sampai hati kami tak bagi dia makan.
Guna resepi ini, bingka masih lembut walaupun kuih sudah semalaman.  Jika nak simpan lama boleh letak dalam peti sejuk dan panaskan dalam mikrowave sebelum dihidangkan.  Makan ketika suam-suam sedap juga.
Wassalam.

Friday 23 October 2020

Kengsom Siakap (Asam Pedas Thai Style)

Assalamm... 
Sehari dua ini hati rasa tercuit dengan kisah melibatkan seorang ibu dan anak-anaknya.  Tiada kena mengena dengan saya pun dan saya tak patut risau atau campur tangan, tapi tak tahu asyik bermain difikiran situasi itu. 

Situasi pertama- si anak gadis tertidur ketika masuk waktu magrib kerana terlalu penat baru balik kerja shift pagi yang sepatutnya balik jam 2 petang tapi berlarutan hingga ke petang.  Si ibu kejut si anak kerana risau waktu dah hampir ke penghujung, masa kejut mungkin si ibu secara tak sengaja terkena bahagian tubuh yang sensitif.  Si anak tak berapa suka dan dengan muka tak puas hati bangun ke bilik air dan sholat lepas itu sambung tidur.  Si ibu yang melihat air muka anak terus terasa hati dengan si anak dan sessi mendiamkan diri ibu dan anak tanpa sebarang kata berlarutan selama 3 hari, hingga si adik dan si abang melihat ibu menagis dan setelah disoal siasat ibu mengadu yang anak gadisnya tak menegurnya, ketika balik rumah terus tidur dan subuh-subuh telah keluar bekerja. Si abang pun bertanya kepada si gadis dan memberitahu dia sangat letih ketika itu dan si ibu mengejutkan dengan memegang bahagian punggung yang baginya dia umpamakan tindakan ibu tu bagai bergurau dengan anak kecil, yang mana tidak selayaknya ibu berbuat begitu kerana dia sudah dewasa.

Situasi kedua- juga berkisar pada ibu dan anak-ankanya.  Suatu malam si ibu mengadu sakit pinggang sangat dia meminta salah seorang anak perempuannya (ada 3 orang anak perempuan di rumah ketika itu) untuk mengurut atau memicit bahagian yang sakit.  Permintaannya lebih ditujukan kepada anak gadis bungsunya, tetapi si bungsu hanya berdengus ketika di suruh dan menunjukkan tanda protes.  Dua lagi anak gadis di dalam bilik sibuk dengan phone dan langsung tak hiraukan permintaan si ibu.  Ibu sampai mengatakan takpelah, moga esok pagi dia keras di pembaringannya, tak apalah.  Kejadian berlaku dihadapan si menantu dan suami (anak lelaki si ibu) tetapi anak lelaki itu juga seakan tidak tahu apa yang terjadi kerana sibuk dengan phone sehingga isterinya memberitahu yang adik perempuannya semua menolak untuk mengurut si ibu.  Si menantu jadi serba salah nak menolong sebaliknya dia minta si suami untuk memicit ibunya sendiri dengan alasan suaminya lebih tenaga untuk mengurut badan ibu yang agak plum, menantu hanya mampu sediakan minyak urut yang selalu digunakan oleh suami.  Suami menolak pada mulanya dan tak senang dengan saranan si isteri sambil itu memanggil setiap adik perempuannya untuk mengurut si ibu tetapi tiada respon dari semua nama yang disebut.  Akhirnya anak lelaki yang mengalah untuk mengurut ibu, ketika itu barulah si bungsu mula mendekat dan memolong menyapu minyak di belakang si ibu.


Selesai dari dua situasi itu, menantu ajak suaminya berbincang tentang peristiwa itu.  Bagi menantu, perlakuan adik-adik si suami sangat melampau dan tidak boleh diterima olehnya.  Kenapa si anak persoalkan si ibu yang menyentuh bahagian badan anak yang sensitif sebagai suatu yang memalukan, walaupun mungkin si ibu tanpa sengaja atau dengan tujuan untuk bergurau.  Bukan kah dulu semasa bayi dan kanak-kanak setiap inci tubuh itu ibu yang basuh, gosokkan daki dan merawat jika sakit.  Alasan si suami, mereka semasa kecil sangat susah, adik-beradik ramai dan ayah sakit, si ibu tidak sempat membelai atau usap-usap mereka seperti yang dilalui oleh si menantu.  Si menantu beruntung, adik beradik tak ramai, punya nenek dan ibu yang sayang, setiap masa dibelai dan diusap manja.  Ibu si menantu tak punyai anak ramai, tapi tak pernah meminta seperti pengemis pada anaknya jika meminta untuk dipicit atau di urut.  Sebab jalan hidup yang berlainan dan pendekatan yang berlainan ker, menjadikan anak-anak juga tumbuh dan berlainan sensitiviti walaupun pada ibu mereka sendiri?.  Soal lebih-lebih boleh jadi gaduh suami-isteri, jadi lebih baik berdiam diri.  

 

Patutlah si menantu tak pernah melihat kemesraan anak-anak dan ibu di dalam keluarga suaminya tidak seperti bentuk kemesraan si menantu dan ibunya sendiri.  Di sini kemesraan itu bentuknya lain, sangat berlainan dan terlalu asing bagi menantu.  Mungkin di sini kemesraan itu cukup dengan hanya mengimbas kenangan semasa kecil dan disusuli dengan ketawa adik-beradik yang berdekah-dekah.  Si menantu terbayang-bayang kemesraan ketika bertemu ibunya, manjanya terlebih bagai anak-anak, sesekali minta ibu suap makanan, baring dipangkuan ibu, tidur sebantal dengan ibu, sentuhan dan usapan jangan cakap lah tak terbatas.  Sering kali bila si menantu tidur si ibu datang belai dan usap ubun-ubun menantu, mungkin baginya anaknya itu masih kecil walhal sudah menjadi isteri orang.  Mungkin juga salah menantu tidak meletakkan diri selayaknya, inginkan kemesraan seperti yang didapati dalam keluarganya tetapi bentuk di sini berlainan dan dia belum faham atau dia masih tak membenarkan dirinya untuk masuk ke dalam bentuk ini.

Banyak sangat persoalan, cuba ketepikan, ikut mana yang boleh dan mampu asal jangan menjadi anak derhaka.  Lupakan masalah dengan masak dan makan, makankan sedap sebagai terapi untuk hilangkan masalah.  Jom try buat kengsom siakap, resepi daripada keluarga angkat saya di Kroh Pengkalan Hulu, Perak.
 
Kengsom Siakap (Asam Pedas Thai Style)
Sumber: Makcik Gayah Kroh

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap sedang - potong kecil
5 biji cili padi* - tambah jika suka pedas
2 inc. kunyit hidup*
6 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 inc. belacan*
1/2 cawan air asam jawa 
Air secukupnya
Garam secukupnya
Gula secukupnya (guna gula nisang jika ada)
Dan serbuk perasa secukupnya.
Sayuran boleh guna sebarang sayur ini atau pun campur 2 jenis - bendi / nanas / rebung / kangkung / lobak putih.
 
Cara Penyediaannya 
* Blend halus bahan bertanda '*'.
* Jerang air dalam periuk, masukkan bahan blend dan air asam jawa.
* Sudah mendidih masukkan sayur, masukkan ikan.
* Tambahkan gula, garam dan serbuk perasa.
* Jika suka masam boleh tambah air asam jawa.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Hidangkan.

Lama tak berjalan ke sana, moga lepas keadaan kembali pulih dapat jalan-jalan ke Kroh lagi dan melintas sempadan ke Betong.
Wassalam.

Thursday 22 October 2020

Fly To KB, Nok Gi Make Gula


Assalamm...
Pertama kali travel naik kapal terbang ketika musim pandemik, tak pergi jauh pun hanya ke Kota Bahru untuk menghadiri ke majlis kesyukuran (sanding) sepupu en.suami.  Kita sebagai wakil lah kan sebab sepupu sendiri tak dapat hadir.  Mulanya diorang cadangkan saya balik ke Pahang dulu, dari sana nanti gerak dengan adik dan mak mertua tapi macam malas nak transit banyak kali lagi pun balik dari KB nanti nak singgah Pahang juga.  Terfikir ada voucher Airasia sebab tukar penerbangan yang tak jadi ketika bulan mac dan june hari tu, eloklah kita guna dan fly pada hari kenduri ke sana.
Kita ke KLIA2 dinihari walaupun penerbangan jam 7.35 pagi.  Suami hantar ke KLIA 2 tengah malam sebab dia kerja shift pagi hari tu.  Sampai kat sana, mak ai gelap, lengang dan sunyi, jalan seorang-seorang dalam bangunan waktu dinihari macam tu takut-takut juga.  Tawakal saja moga di dalam nanti jumpa ramai manusia.  Sebelum covid-19 kawasan ini macam tak pernah tidur, ramai jer manusia, kedai-kedai pun buka 24 jam.  Di dalam pun begitu juga, tak ramai orang mungkin masih terlalu awal.
Jadual penerbangan pun lebih kurang banyak ini saja.  Dulu kalau nak cari penerbangan kita selang sejam tu pun jenuh sebab berderet-deret destinasi lain.  Hanya pernerbangan domestik semenanjung Sabah dan Sarawak, tapi nampak ada juga dua pernebangan ke Indonesia.  Semasa balik Sandakan hari tu, tercegang ketika pegawai dikaunter meminta dokumen kebenaran perjalanan dan keputusan ujian test covid-19.  Saya bagitahu saya hanya nak balik Sandakan untuk mengundi dan tidak tahu dokumen itu perlukan.  Rupanya pertugas tu tersilap, dia ingatkan saya nak terbang ke luar negara.  Mereka yang nak terbang ke luar negara perlu mengemukakan dokumen-dokumen itu semua, kalau tidak jangan harap suka-suka nak ke luar, musim pendemik ini.   
Jam masih awal ketika itu lebih kurang jam 2 pagi, boading pass dan segalanya dah siap tinggal nak masuk saja.  Sementara menunggu jam 5 pagi, nak rehat-rehat dalam surau nak betulkan urat konon-kononnya.  Dalam surau ada hanya 3 orang sedang tidur, daripada baju mereka dah tahu petugas airport.  Jam-jam sebegini selalu surau ini penuh dengan penumpang yang menunggu penerbangan, nak duduk pun tiada ruang.
Ini nak menuju ke gate dan balai berlepas, kawasan kedai-kedai bebas cukai masih tutup.
Jalan slow-slow lah cari gate sambil itu intai kedudukan surau untuk subuh nanti.  Nasib surau dan gate penerbangan dekat saja, sebelum subuh dah beratur masuk surau sebab limit kepada 6 orang saja dibenarkan.  Dapat masuk tu buat apa yang patut dengan segera untuk pastikan orang lain juga dapat tunaikan kewajipan mereka.
Penjarakan sosial ketika masuk ke balai berlepas, termasuklah di tempat duduk ketika menunggu di dalam balai berlepas.
Mungkin sudah lama tak naik flight jadi baru tahu yang pentingnya kita buat web check-in dan dapatkan boarding pass barcode sebelum ke airport.  Dulu kita masih boleh check-in guna nombor booking, sekarang mesin-mesin di sana dah diprogram lain untuk penerbangan Airasia termasuk di lapangan terbang lain.  Hanya perlu  scan barcode boarding pass yang kita dah buat web check-in untuk print boarding pass dan tag bagasi jika ada.  Tak perlu print macam dulu kemudian petugas akan koyakkan ketika di balai berlepas, sekarang mereka dah tak sentuh boarding pass kita sebaliknya mereka scan, langkah untuk mengurangkan sentuhan fizikal.
Dalam penerbangan pula, duduk macam biasa mengikut seat yang mereka tetapkan atau yang kita beli.  Tak nampak pula satu baris tu dihadkan kepada seorang atau 2 orang penumpang.  Cuma ketika kita nak keluar daripada kapal terbang, tak dibenarkan macam selalu.  Selalu kapal landing saja penumpang dah berebut-rebut berdiri nak ambil beg atau penuhkan lorong.  Hanya dibenarkan 3 barisan pertama yang berdiri dan keluar terlebuh dahulu.  Selesai 3 baris pertama, diikuti 3 baris di belakang hingga lah selesai semua.
Sampai di airport KB pun sama keadaannya lengang juga.  Hanya penumpang daripada penerbangan yang sama dengan kita tadi.  Sampai KB masa tu dah jam 8.30 pagi, kedai dalam airport yang buka hanya satu kedai yang jual makanan, yang lain masih tutup atau tak beroperasi terus tak tahu lah.
Majlis kenduri tu di Tumpat, start tengahari dan pengantin datang selepas zohor.  Sementara menunggu waktu tu mak bawa kami singgah rumah adik beradik dia yang lain, singgah PCB, singgah pasar siti Khadijah.  Mereka dah sampai sini semalam, sempat gathering dengan adik beradik dan anak-anak saudara makan maggi telur sotong yang di sponsor oleh ayah ngah dan bershopping ke Pengkalan Kubor.
Jom lah ke tujuan sebenar kita gi Klate sebak nok gi make gula.  Bukan pergi buat gula ye, tapi pergi makan gulai (makan kenuri-orang utara / kenduri kahwen).  Meraihkan majlis anak Mok Nik (Faizuddin dengan pasangan), kali ini tak buat di rumah seperti kenduri-kenduri sebelumnya bagi adik beradik masak.  Tapi diadakan di Rumah Tamu Kastam, pekan Tumpat dan menggunakan khidmat katering saja.  Teringat-ingat apam balik di majlis tu sangat sedap, nyesal tapau sikit makan dalam perjalanan balik Pahang.
Teringat post anak buah (bagus orang kelantan kenduri tak perlu basuh pinggan).  Dia yang pertama kali pergi Kelantan menghadiri kenduri kahwen kawan dia rasa kagum.  Faham sajalah di kampung kami kalau kenduri 3 hari 3 malam, 3 hari 3 malam juga lah basuh pinggan tak sudah, itupun kerja basuh membasuh boleh lebih panjang extand selama 2 hari lagi untuk selesaikan basuh periuk belanga dan proses memulangkan perkakas jika ada yang dipinjam.
Selamat pengantin baru Faizuddin dan pasangan, maaf lah Mok Nik tak boleh nak berlama-lama kena beransur ketika kemuncak majlis dan ramai tetamu datang.  Ambil gambar pun tak sempat dengan pengantin dan keluarga.
Dalam perjalanan balik memang lah jem, sebab masa tu ada cuti apa tak ingat.  Nak melepasi kawasan bandar pun makan masa, kematu duduk lama-lama dalam kereta.  Singgah beli etok panggang, maju sekarang etok pun dah ada yang pelbagai perasa dan harga pun boleh tahan, kami beli perasa original, bbq dan tomyam.
Alhamdulillah selamat sampai kampung sekitar jam 10 malam, setelah menempuh perjalanan panjang lebih kurang 7 jam dengan jarak 340km.
Wassalam.

Wednesday 21 October 2020

W-W: Musang King

Assalamm...
Jika anda diberi durian musang king, suka tak?.  Saya suka tapi kalau nak beli sendiri tu tak berapa suka sebab harganya mahal.  Nak tunggu pokok musang king berbuah lambat lagi, apa kata kita makan asi krim musang king dulu.
Nestle ada ice cream Musang King, baru-baru ini saja jumpa ais krim ni.  Masa jumpa tak beli pun, tapi ambil gambar dan kirim pada seseorang.  Alih-alih balik rumah sudah ada tub asi krim parking dalam peti ais.  Harga satu tub tu lebih kurang rm27.
Kalau yang ini tak bermusim, boleh beli di supermarket, bila-bila masa ada, kecuali kilang dah stop production.
Wassalam.

Monday 19 October 2020

Lao Mandre: Nippon Sushi dan Selera Sushi

Assalamm...
Masa ini, kebenaran baru dikeluarkan yang kita sudah dibolehkan keluar makan di restoran tetapi harus mematuhi SOP dan duduk berdua saja.  Pagi itu selepas menghantar barang pesanan orang, saya ajak anak buah singgah makan terlebih dahulu sebelum balik rumah.  Tersebutlah nak makan sushi, selalu yang jadi peneman, budak comel di tempat kerja, masa tu dia masih stuck di Johor tak boleh balik PJ.  Kebetulan anak buah, yang selama ini saya fikir kekampungan hanya suka makan sayur kelor dan pucuk ubi sudah bertukar selera gemar makan sushi.  OK sekarang sudah ada geng, ajomm kita ke Nippon Sushi.
Resto ini agak baru juga di Kelana Jaya, selalu kami makan sushi di dalam Giant KJ tapi resto tu macam dah tutup.  Rangkaian resto sushi ini katanya dimiliki oleh orang melayu yang pernah menetap di Jepun dan sudah tentu soal halal haram tak diragukan.
Pilihan sushi atas conveyor tu macam limited sikit, kebanyakkannya hanya pilihan maki dan telur sahaja.  Mungkin sebab baru beberapa hari mulakan bisnes semula, belum rancak lagi seperti hari-hari biasa.
Kami mencuba mochi, kurang lembut anak buah kata.  Wah dia dah advance buat food review gitu.
Minuman yang saya pilih adalah hot green tea manakala anak buah minta yang ais.  Hot green tea memang free flow tapi, bila minuman dalam gelas kita dah habis kena panggil waiter dia untuk tambah.  Tak ramai orang boleh lah dapat cepat.
Pilihan anak buah yang ini.
Saya tambah orderkan set grill salmon ini untuk dia, mana nak kenyang makan udang tu saja.
Dalam video yang diambil bergerak-gerak benda putih yang ditabur atas mee tu, nasib tak terbayangkan ulat jadi licin saja masuk mulut.
Pilihan anak buah sushi udang tak tahu nama tu, sedap juga.  Tapi saya suka ramen tu dengan sup miso, ada flake bergerak-gerak macam benda hidup atas kuah mee.
Selera nak makan sushi tak berakhir di situ, suatu petang pergi Aeon OU dengan ipar, yang pasti bukan dalam masa terdekat ya ini sebelum cerita OU di tutup kepada pengunjung.  Rupanya dia pun teringin nak mencuba makan sushi.  Belilah satu bekas ini dan makan di situ juga sebelum balik rumah.  Datang OU sebab ada urusan bukan nak bershopping, temankan adik selesaikan urusan dia.
Sekarang dah dikenal pasti orang-orang yang boleh di ajak jadi peneman untuk makan sushi.  Kalu ajak en.suami memang tak lah, kalau ajak pergi mamak memang laju dia nak makan kari.
Wassalam.

Sunday 18 October 2020

Muzium Bugis, Pontian Johor

Assalam...
Kisah lontar belakang, beberapa tahun dulu ketika berkesempatan berkunjung ke Muzium Bugis yang terletak di Taman Awam Sungai Rambah, Pontian Johor.  Sejarah penubuhan muzium ini pada awalnya diasaskan oleh Tuan Haji Abdullah bin Ahmad @ Tok Dollah (arwah) yang suka mengumpul bahan-bahan yang mempunyai nilai-nilai warisan sejarah etnik Bugis di negeri Johor khususnya daerah Pontian.  Minat yang mendalam untuk mengumpul bahan-bahan sejarah bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan biaya yang tinggi untuk dirialisasikan.  Mulanya hanya dikenali sebagai Warisan Bugis, namun pada tahun 1994, impian Tok Dollah menjadi kenyataan berikutan pengiktirafan oleh Yayasan Warisan Johor,  di mana terdirinya sebuah Muzium Bugis yang pertama di Malaysia.

Muzium Bugis ini telah ditubuhkan pada tahun 1982 oleh Pak Dollah atas minat yang mendalam serta hasrat mahukan generasi akan datang mengetahui sejarah asal usul serta menghargai adat resam warisan bangsa Bugis masa lampau. Di sini terhimpun lebih kurang 2000 artifak termasuk koleksi senjata, pakaian, barangan tembaga, duit lama, perhiasan dan peralatan harian serta gambar-gambar lama yang menyimpan pelbagai kisah bersejarah.
Kawasan taman awam ini menarik untuk dikunjungi, berhadapan dengan laut Selat Melaka. Sangat sesuai untuk berekriasi seisi keluarga di samping itu boleh melawat Muzium Bugis.
Kedatangan kami pagi itu disambut oleh Tok Dollah (arwah masih sihat ketika itu), beliau membawah kami melawat dan memberi penerangan pada setiap ruang dan bahan yang dipamerkan di dalam musium ini.
Dewan utama ini akan kita jumpa mula-mula ketika memasuki dalam bangunan muzium.  Ramai juga pelawat yang boleh dimuatkan dalam satu-satu masa di sini.
Bahagian hadapannya di gantungkan dengan gambar tokoh-tokoh terdahulu di kalangan raja-raja, pemimpin dan pembesar di alam melayu.
Arung Palakka, anak raja Bone yang memerdekakan kerajaan Bone daripada jajahan kerajaan Gowa.  Kisah sosok tubuh ini sering dibahas sebagai seorang pahlawan atau pengkhianat?
Selain bahan-bahan berkaitan dengan etnik bugis, turut menjadi koleksi di muzium ini adalah artikel yang berkaitan dengan peristiwa sejarah negeri Johor, kisah bintang filem dan peristiwa-peristiwa utama di Tanah Melayu dan Singapura.

Surat titah Sultan Ibrahim (Sir Ibrahim) kepada Dato Ungku Mohsin selaku orang Opis Tanah, Johor (Pegawai Pejabat Tanah Johor)  ketika itu.
Antara koleksi berharga yang terdapat di sini adalah al-quran tulisan tangan pada kulit kambing yang dihasilkan pada tahun 1311.
Himpunan duit syiling lama.
Saya pernah jumpa wang kertas seribu ini awal tahun 90-an, wang sepupu yang disorok bawah laci...hehehe.
Koleksi senjata yang dipamerkan.
Senjata kecil, matanya diperbuat daripada gading atau tanduk haiwan.  Mungkin inilah yang dipanggil sebagai cobo, senjata yang sering disembunyikan dibahagian pinggang untuk tujuan mempertahankan diri pada zaman dahulu.
Tok Dollah mendirikan sebilah parang di atas sebongkah batu.  Sambil melakukan itu sambil berseloroh dan memberi banyak kiasan yang sangat mendalam tentang kisah masyarakat Melayu dari sejak dahulu kala.  Ada sebagaiannya yang saya kurang faham dengan maksud kiasan tersebut.
Hariz tak lepaskan peluang nak ambil gambar pada parang berdiri di atas batu.
Sebahagian peralatan pertanian, pertukangan dan alat memproses makanan zaman dahulu.

Koleksi bagasi orang dulu-dulu, tahan lasak melompat kat atas tu pun tak pecah.
Siapa yang masa kecilnya menggunakan 2 jenis lampu ini? Lampu gas atau minyak tanah.
Sample pelamin, pengantin bugis.
Peralatan muzik yang dipamerkan, ada gambus, kecapi, gendang dan kompang.
Susunatur penyajian makanan dilakukan.
Busarak iaitu terdiri daripada dulang berkaki dan penutup tempat meletakkan hidangan dalam sesuatu majlis keraian orang bugis.  Benda ini masih digunakan hingga sekarang.
Set cawan dan pinggan unik menjadi koleksi kesayangan pengasas muzium.  Beriya-iya Tok Dollah tunjukkan kepada kami, wajah yang kelihatan pada bahagian dasar cawan ketika di letakkan di tempat terang.
Ini kah yang digambarkan sebagai sang puteri dari negara tiongkok iaitu Puteri Hang Li Po?
Antara koleksi pinggan mangkuk lama yang diperbuat daripada kaca dan porceline.
Berseni sungguh cara orang lama menghidangkan air minuman.  Bekas lapik gelas dan penutup bercantum dengan tali atau rantai dari material yang sama.
Periuk tanah dan mangkuk tembikar.
Unik cara penyimpanan peralatan dapur masyarat dahulu.
Sudu garfu dan senduk yang diperbuat daripada tembaga.
Bilik peraduan zaman dahulu, katil besi guna kelambu dan tinggi serta mempunyai kolong di bawahnya.  Kami dulu-dulu bila bangun pagi, cepat-cepat kemas katil dan dilarang sama sekali untuk baring di atasnya.  Bahagian bawah kolong itu selalu menjadi pot untuk bermain.
Perhiasan kepala, gelang tangan, gelang kaki, rantai dan doko yang digunakan oleh puteri raja zaman dahulu, masih dapat di lihat perhiasan ini diguna pakai oleh pengantin bugis masa kini.
Koleksi cucuk sanggul.
Caping, alat untuk menutup bahagian kemaluan kanak-kanak zaman dahulu.  Dulu nenek-nenek kami jika bercerita (ramai yang tak tahu menyebut tahun) jadi mereka merujuk zaman sering menyebut benda ini,  dia akan berkata ketika itu kanak-kanak masih bercaping membawa maksud zaman lampau.
Caping yang dipakai oleh kanak-kanak orang kebanyakan menggunakan caping perak atau tembaga, sementara anak bangsawan caping mereka diperbuat daripada emas.  Banyangkan jika ada yang menyimpan caping emas zaman ini, boleh dijadikan modal dengan nilai emas yang sangat tinggi. 
Semoga muzium ini kekal terpelihara sampai bila-bila oleh waris Tok Dollah ataupun oleh pihak-pihak yang dipercayai untuk menguruskannya.
Muzium bugis dibuka setiap hari kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang.  Muzium yang diurus dan dikawal selia oleh keluarga arwah Haji Adbullah bin Ahmad  tidak mengenakan sebaran bayaran, namun jika pelawat ingin memberi sumbangan amat dialu-alukan sebagai sokongan dan dana untuk membiayai kelangsungan muzium.
Wassalam.