nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Penang. Show all posts
Showing posts with label Penang. Show all posts

Tuesday, 7 March 2017

Memori Kek Coklat...


Assalam...
Nostalgia, memang nostalgia kek coklat ini, suatu ketika dulu, ketika baru muncul kek ini, belum zaman wassapp sana sini orang bercakap kita pun nak cuba buat.  Masa tu email dan sms lah medan orang nak sebarkan berita.  Sesekali boleh lah rujuk di photopages sebab blog tak berapa masyur lagi.  Resepi jangan cakap lah, memang pelbagai versi yang muncul.  Kadang jemu juga sebab pergi mana-mana majlis mesti kek coklat ini yang dihidangkan, dari majlis jamuan tadika hingga majlis menyambut menteri. Kek coklat hitam legam dan lembab ini lah yang menjadi pujaan hati semua orang. 


Macam-macam versi resepi yang mereka kongsikan, namun paling suka dengan resepi yang Henny (orang Kulim) kongsikan melalui Norazimah (Azie).  Sebelum itu Azie ada kongsikan resepi kek coklat yang ibu saudara dia guna untuk jualan di Sungai Petani,  tapi macam agak leceh sikit.  Guna resepi Henny ini memang senang sangat nak buatnya semudah ABC.


Kenal Henny melalui rakan serumah sama tempat kerja dengan dia, dia buat kek dan letak di gerai orang yang berjualan di hadapan taman perumahan.  Sesekali kami beli juga dan memang sedap.  Tak sangka pula dia sudi nak kongsikan resepi kek coklat dia tu.


Selepas kahwin Henny pindah mengikut suami entah ke mana.  Tak dapatlah lagi nak beli kek coklat dia.  Rakan serumah yang lain pun minta kita cuba buat, Alhamdulillah menjadi.  Bermula dari situlah oven yang keluar setahun sekali bekerja setiap hari untuk membakar kek coklat. 


Nak jadikan cerita lagi, seorang rakan (liza) serumah tu rajin pula nak cari pasaran di dalam kampus USM.  Dia bawa ke kelas dan cafesiswa gemilang cahaya setiap pagi sebelum masuk ke dewan kuliah.  Agak lama juga membuat kek coklat ini sehingga seorang demi seorang berhijrah keluar membawa haluan masing-masing.  Kita pun dah sibuk dengan kerja baru, dah tak cukup tenaga balik kerja nak mengadun kek coklat.


Saya kongsikan di sini, resepinya.
 

Kek Coklat
Sumber: Henny

Bahan bahan
2 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan air panas mendidih
2/3 cawan minyak sayuran
2 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum*
1 cawan serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1 sudu teh esen vanilla


Cara penyediaannya.
* Sediakan loyang 8x8, gris dengan majerin dan lapik dengan baking paper.  Panaskan ketuhar.
* Campurkan bahan bertanda "*" dan ayak bersama.
* Campurkan bahan ayak dengan gula, gaul rata
*  Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur hingga ringan dan masukkan ke dalam bahan tepung tadi.  Gaul rata.
* Masukkan esen vanilla, susu cair dan gaul rata.
* Masukkan minyak sayuran, kacau hingga betul-betul sebati.
*  Akhir sekali masukkan air panas mendidih ke dalam adunan.  Gaul cepat-cepat hingga sebati.
*  Tuang ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180'C selama 45 minit.


Sekarang kalau buat kek ini, mesti teringat kenangan lama, kenangan dengan rakan-rakan serumah dulu.  Kenangan yang tak mungkin dilupakan.  Tak sangka dulu pernah jual kek, macam tak caya.  Kini jarak pemisah tu tak jauh mana, tapi susahnya nak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.    
Wassalam.

Friday, 27 March 2015

Penang Sreet Art & Wire Art

Assalam...
Mula-mula sampai, macam kassim selamat nak mencari jalan.  Nak mula dari mana pun tak tahu. Kawan kami yang takut akan jem dalam kawasan tu, kami diturunkan di Jalan Prangin.  Agak luar kawasan sebenarnya.  Saya ajak geng bergerak ke Lebuh Acheh dulu, mungkin di sana ada petunjuk.  Dah mula girang bila dah jumpa satu dua wire art dan street art.  Kemudian kami mencari peta yang boleh dijadikan panduan. 
Wire art pertama yang kami jumpa di carnovan street.
Street art pertama yang kami jumpa di depan pintu masuk kawasan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Dah dapat peta ini, mudahlah nak mencari.  Peta free dapat dari kedai yang diorang sewa basikal.  Banyak kedai yang sewakan basikal, nak sewa basikal yang untuk kayuh sendiri, berdua, bertiga pun ada.  Tapi masa kami pergi tu hari pertama tahun baru cina memang banyak kedai tutup, kecewa jugak sebab stall ais kepal turut tutup, tapi satu kelebihan sebab traffik tak sesak. 
Diorang dua jer yang naik basikal, saya dah biasa jalan kaki dari dulu round kawasan ini dengan berjalan kaki.  Bunyi tak nak kalah, mengaku jelah tak reti kayuh basikal.  Nak suruh saya kayuh basikal, tunggulah semua jalan tu saya yang punya.
Berat betul makcik belakang tu, nak kayuh gerek pun susah asyik hilang keseimbangan.  Last dua-dua terjatuh macam nangka busuk.  Nasib tak terlanggar kereta yang parkir tepi jalan.  Malu ko jatuh depan orang pulak tu.
Saya tak tahu sebanarnya, motip yang mana satu yang dikategorikan sebagai street art.
Asal ada jer gambar atau lakaran di dinding bangunan semua saya ambil gambar.
Ada sebahagian lukisan yang dah rosak.
Antara yang terkenal...masih tertanya-tanya yang lukisan no. 27 tu siapa ye.
Haishhh, rasanya 2 orang ini lebih syok berbasikal sana sini dari mencari motip....
Tanglung, pasu dari kasut, rumah tumpangan dan tokong.
Saya suka yang ini...
Cara-cara nak naikan kandar di bahu dan bagaimana nasi kandar mendapat nama.
Kucing the series...(caption suka hati).
Kucing in action....(caption suka hati)
Wire art ini kena baca keterangan tu baru boleh faham, tapi agak susah plak.  Maklum mata dah rabun.
Objek payung tu pun berkali-kali kami lalu tak jumpa.  Masa jumpa tu yang terjerit-jerit tiba-tiba gedebumm jatuh dari basikal.
Ini yang saya jumpa last.  Lalu banyak kali sini, tapi tak perasan sebab apa?  dia dah bertukar warna, dalam map warna kuning tapi dah bertukar jadi biru.
Banyak lagi yang tak sempat nak cover, bukan sebab semput atau penat berjalan.  Ikut hati nak aje ronda semua point ikut dalam peta tu, tapi driver kami dah tak sanggup nak tunggu.  Pujuk hati, lain kali kita datang lagi.
Wassalam.

Medan Selera, Kompleks Medan Suri Sungai Nibong

Assalam....
Hari kedua kami pergi di medan selera Medan Suri yang terletak di Sungai Nibong, sebelah dengan Masjid Sungai Nibong tu.  Kalau nak datang lunch, boleh masuk dari Lintang Nipah, dari arah Jubilee Home (rumah orang-orang tua) sebab gerai yang sediakan makan tengah hari terletak di sebelah belakang. 
Bila kami sampai di gerai RS Selera warisan, tengok lauk yang banyak dan pelbagai, masing-masing terus ambil pinggan nak makan.  Lapar sangat sebab tak sarapan.
Memang nasib saya baik hari itu, hajat nak mencari menu telur sotong atau telur ikan dan di gerai ini ada menu tersebut.  Menu lain saya dah tak pandang dek penangan telur sotong.
Abaikanlah pasal alahan, bila jumpa telur sotong macam ini.  Syukran, syukran, syukran. Lepas beberapa hari timbul bengkak tepi bibir dan boleh pula saya tertanya-tanya bila masa saya makan sotong ini?  Tanda-tanda nyanyuk dah ada.
Kedai-kedai sebelah depan tu kebanyakkan buka untuk sarapan dan minum petang.
Kalau datang petang-petang kat sini, bolehlah pekena teh tarik dan roti bom dekat kedai ujung tu.  Mee dekat gerai Mee Pitchay tu pun sedap, (jangan jadi seperti saya mula-mula dulu, masa order saya cakap nak mee pitchay satu, mamak tu pandang jer, rupa-rupanya pitchay tu bukan nama menu, tapi nama orang).  Datang petang lah lepas jam 2, tapi jangan lewat sangat sebab mee pitchay ini terlajak laris.  Nak datang malam pun boleh ada jer gerai yang buka untuk sebelah malam.
Gerai yang sediakan sarapan waktu pagi di bahagian depan.  Saya suka pergi gerai kak mariah (yang ada kedai kek tu - Mariah Cake House) gerai di tepi ujung yang ada roti bakar dengan telur setengah masak.
Di Bahagian belakang kompleks ini dulu ada gerai jeruk pak ali, tapi sekarang dah bertukar jadi gerai jeruk pak ape ntah dah lupa.  Khabarnya gerai pak ali dah berpindah ke bayan bay (dekat queensbay) sana.  Sebenarnya di medan suri ini, bukan gerai makan saja yang ada, ada banyak gerai lain lagi, cuci karpet, kedai runcit, kedai burung, servis motor dan lain-lain.   
Perut dah kenyang, hati pun senang.  Sampaikan masuk tandas pun nak ambik gambar.  Saya sebenarnya nak tunjuk tandas di medan selera kompleks medan suri ini cantik dan bersih. Pembaharuan yang baik, dulu rasa comot jer walaupun selalu datang sini tapi tak pernah masuk.
Wassalam.

Tempat Jatuh Lagi Dikenang...

Assalam....
Perjalanan dirancang seawal sebelum subuh untuk mengelakkan dari traffic jam.  Bersama tiga orang lagi sahabat.  Tapi biasalah kalau ramai-ramai dan kena kutip seorang satu, masa tu terlajak juga sejam dua.  Ditambah pula berhenti banyak kali nak buang air, buang angin.  Kami berdua pernah jadi pemastautin lama di Penang, yang seorang pernah datang dan yang seorang lagi pertama kali jejakkan kaki.  Setiap kali ke Penang, sejak meningggalkannya 4 tahun lalu, seakan setiap waktu itu seperti perjalanan balik kampung.  Girangnya bukan kepalang.
Pertama kali melalui jambatan kedua Penang (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah).  Memang panjang.  Tol jambatan untuk motokar RM8.50 sahaja.  Nanti nak tanya kot ada diskaun macam jambatan pertama khas untuk pemegang kad touch & go lama yang dibeli di pejabat Penang Bridge.
Lengang, tak banyak kereta yang lalu sini atau sebab hari cuti perayaan.  Sebabkan teruja, masing-masing nak singgah ambil gambar, kesudahannya kereta peronda halau dari belakang.
Dah dekat tempat dituju.  Macam berdebar-debar pun iya lalu jambatan ini.  Majlis pecah tanah jambatan ini dulu oleh PM masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, demi nak menjayakan majlis kami tak tidur malam tu.
Projek flyover di sepanjang pantai Seagate yang masih belum selesai, dah takde orang kot lepak-lepak di tepi pantai sebelah sini.
Hanya mampu kerling bumbung sekolah itu, tak sempat nak menyinggah.  Orang lama kata nak lepas rindu cukuplah dengan hanya memandang bumbung rumah kekasih.
Laluan ini lagi menyentuh perasaan, berbelas tahun duduk di unit atas tu.  Hadir di sini ketika bangunan ini belum terbina dan sekelilingnya masih lekat dengan bau yang sungguh tak menyenangkan.  Untuk pertama kalinya, tak tertelan makanan dalam mulut bila tahu bau itu berpunca dari apa.
Lepas settle chek in hotel, kami mencari makan tengah hari.  Gerai pokok ceri (gelaran kami) tepi masjid Bayan Baru yang kami tuju.  Makanan dah banyak yang habis, sebab masa itu dah dekat jam 3 petang.
Kawasan Bayan Baru yang begitu rancak dengan pembangunan, kawasan lapang 4 tahun yang lalu semua telah dipenuhi dengan bangunan baru.  Baru tahu yang Penang juga dah ada uptown.
Perkarangan SPICE yang dulu orang kenali sebagai stadium PISA (Penang International Sport Arena).  Bila pembangunan itu dah selesai totally wajah PISA yang dulu akan berubah bersama namanya akan tenggelam sekali dan berganti dengan nama SPICE.
Selepas itu kami teruskan penjelajahan ke kawasan warisan di Georgetown.   Langit cantik, cuaca cerah menyebelahi untuk aktiviti petang itu dan setaip orang perlu abaikan sengatan matahari. 
Masih tak berpeluang masuk ke sini, entah bila.  InshaAllah suatu hari nanti.
Malam hari ajak geng lepak sini kejap, kejap pun jadilah.  Nak cium bau laut.  Tempat santai kami petang-petang dulu di sini.
Kunjungan kali ini, semacam menjalani aktiviti yang pernah dilakukan dahulu.  Kalau boleh setiap inci bumi Penang nak dijelajahi seperti dahulu, tapi apakan daya, dua hari tidak memungkinkan semua itu.  Suatu hari akan balik kampung lagi ke sini.
Wassalam.