nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Wednesday, 22 January 2014

Bubur Merah, Warisan Orang Jawa

Assalam...
Kenduri kesyukuran Orang Jawa selalunya ada menyediakan bubur merah (saya panggil bubur merah putih, alamak dah macam nama bendera negara seberang lah pulak).  Kenduri kesyukuran seperti menyambut kelahiran bayi, pindah rumah, akikah ataupun majlis perkahwinan.  Rasanya agak unik sebab bubur yang berwarna putih rasa masin dan dipadankan dengan bubur yang warna merah rasa manis. 

Yang ini dibuat ketika majlis kesyukuran pindah rumah baru sahabat Mulia.  Mulia yang request sebenarnya, tiada dalam list tuan rumah pun nak buat menu ini...hehehe, ngidam dan saja nak ngada-ngada.  Abaikan warna bubur yang seakan warna kuning (tu kesan terlebih mengodek kamera...hehehe)

Anda tahu atau tidak bubur merah ini membawa erti yang simbolik bagi kehidupan kita.  Ada yang manis dan ada yang pahit (diwakili dengan rasa masin).  Cara bubur ini dihidangkan juga unik, portion untuk warna merah adalah lebih banyak dan warna putih diletakkan diatas seakan hiasan.  Dengan harapan kehidupan yang kita lalui lebih bermakna dan banyak yang manis berbanding yang pahit.  Resepi untuk membuat bubur merah ini adalah seperti di bawah yang merupakan resepi tuan rumah.

Bubur Merah
Sumber: Kak Uda (Salbiah)

Bahan-bahan
3 cawan beras pulut
1 cawan beras biasa
3 biji kelapa perahkan untuk pati santan
Garam
3 ketul gula melaka
daun pandan
air.

Cara Penyedian
*Rendamkan beras pulut lebih kurang 1-2 jam dan basuh bersih.  Beras biasa hanya basuh sahaja.
*Campur beras pulut, biasa dan air.  Masak sehingga empuk (air boleh ditambah sedikit-sedikit sekiranya nasi belum cukup masak).
*Bila dah empuk.  Bahagikan bubur kepada 2 bahagian, 2/3 bahagian untuk warna merah dan 1/4 untuk warna putih.  Masukkan simpulan daun pandan pada kedua-dua bahagian.
*Untuk yang warna putih (rasa masin). Campurkan santan dan garam.  Bila dah mesra tutupkan api.
*Untuk yang warna merah (rasa manis).  Campurkan santan dan gula melaka yang telah dihancurkan.  Boleh tambah gula pasir untuk menambah rasa manis.  .
Wassalam.