Showing posts with label Tahu. Show all posts
Showing posts with label Tahu. Show all posts

Wednesday, 27 September 2017

Tahu Begedil


Assalam..
Air liur nak meleleh bila terpandang gambar di Ig's orang tanyang-tanyang pasal tahu bergedil ini.  Boleh bayangkan sedapnya lahai, tapi kebanyakkan tu orang jual atau tayang tahu begedil yang dia beli.  Takkan nak buat muka toya minta resepi kan.  Akhirnya keinginan tu terjawap ketika seorang hamba Allah tu letak gambar dan resepi sekali.  Syukur sangat-sangat, sebab saya ini bukan jenis yang pandai mereka-reka, nampak gambar dah boleh tiru, jenis lurus bendul pasal masak-masak ini.  


Pelbagai bentuk tahu pok yang diguna, sebab jumpa macam-macam, jadi beli macam-macam saiz.  Tapi lebih senang untuk isi tahu yang segi empat kecil berbanding dengan yang besar tu.


Tahu yang dah kembung-kembung buncit penuh berisi inti.  Cara senang masukkan inti dengan menggunakan piping bag, kalau guna sudu takut jari-jari bulat tu merosakkan tahu jadi pecah.


Last step sebelum tahu begedil digoreng, celupkan ke dalam telur yang telah dipukul-pukul manja gitu.


Jom semak resepi yang telah di kongsikan oleh Puan Shima dan saya dan olah sikit ikut bahan stok yang saya, semoga bertambah rezeki dan pahala beliau.

 
Tahu Begedil
Sumber: Ig. Shimariff73


Bahan-bahan
Tahu pok (old beancurd) secukupnya
Kentang secukupnya - campur sedikit chicken concentrated ketika merebus (saya guna 1kg)
Daging kisar / ayam kisar (saya guna 1pkt daging kisar) - gaul sebati dengan rempah sup dan  serbuk perasa maggi
Daun sup - hiris
Daun bawang - hiris
sedikit bawang goreng
Serbuk lada hitam (saya letak 2 sudu)
Telur ayam - untuk saduran (saya guna 2 biji)
Garam secukupnya


Caranya
*  Lenyek kentang yang telah di rebus hingga separuh lumat atau lumat (ikut citarasa masing-masing)
*  Panaskan minyak, tumis daging kisar / ayam kisar yang sudah digaul dengan rempah tadi sehingga daging kecut (tambah air jika perlu) daging lembut dan air kering.
*  Dalam mangkuk satukan kentang dan daging kisar / ayam kisar, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan serbuk lada hitam.  Gaul hingga sebati.
*  Belah bahagian atas tahu pok sedikit guna hujung pisau atau gunting.
*  Sumbatkan dengan bahan-bahan yang siap digaul (berhati-hati jangan sampai pecah).  Ulang hingga tahu dan inti habis di sumbat.
*  Panaskan kuali dengan minyak yang banyak (deep fry), api jangan terlalu besar.
*  Pecahkan telur, kocok sedikit dan sadur tahu yang telah siap disumbat dan masukkan ke dalam minyak panas.
*  Sentiasa balik-balikkan untuk pastikan warna keemasan sama rata.
*  Angkat dan toskan minyak
*  Hidang bersama dengan sos tahu begedil.



Sos Hitam Manis

Bahan-bahan
3 ulas bawang putih*
1 inc. halia*
2 sudu besar kicap manis
1 ketul gula melaka
1 sudu besar taucu - lumatkan
1 1/2 cawan air
1/2 sudu kecil asam jawa
sedikit tepung jagung- bancuh dengan air untuk pekatkan kuah
Kacang tanah dab bijan - sangai untuk taburan di atas sos
minyak untuk menumis


Caranya
*  Tumbuk bahan bertanda '*' hingga lumat.
*  Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga wangi dan kekuningan.
*  Masukkan cili kisar dan tuacu, masak hingga pecah minyak. 
*  Tambahkan air secukupnya, gula melaka, sos cili dan kicap manis.
*  Biarkan mereh dengan api perlahan sehingga gula larut.
*  Bila gula dah cair, masukkan air asam jawa, kacau sebati dan sesuaikan rasanya.  Perlu seimbang 4 rasa sos perlu ada lemak-lemak, manis, masin dan pedas.
*  Tuang bancuhan tepung jagung kacau sehingga mendapat kepekatan yang dikehendaki.
*  Angkat sos, sejukkan dan tabur dengan kacang tanah dan bijan yang telah di sangai (jika suka).




Jenama tahu pok yang saya beli dan guna.  Beli kat tesco je, ada yang bentuk panjang dan bulat (saiz yang ramai guna untuk mee kari).  Tetapi senang guna yang besar (saiz yang orang guna buat tahu bakar). 


Pertama kali goreng, makan tahu tanpa sos sebenar sebaliknya cicah dengan thai chili sauce saja.  Ada juga yang masuk mulut tanpa sos, still sedap bagi saya yang kurang gemar makan sesuatu dengan sos.  Kali kedua goreng tu baru ada sos hitam manis yang seakan-akan sos tahu begedil (olahan en. Abe, entah apa yang diletak, tapi sedap juga cuma takde kacang atau bijan).
Wassalam.