nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Wednesday, 30 January 2013

Daging Goreng yang Simple...

nasamulia
Daging Goreng! Simple but........
Assalam Semua,
Selamat petang, sedang buat aper tu? Agaknya ada yang sedang minum-minum petang dengan family dan mungkin ada jugak yang berkira-kira untuk masak lauk apa untuk makan malam ini.  Bagi yang bekerja pasti menu ringkas dan mudah untuk disediakan menjadi pilihan. Yang penting berkhasiat dan menyelerakan semua anggota keluarga.  Apa kata kawan-kawan masak menu daging goreng simple dari my hubby ini.  Walaupun simple tetap sedap.
 
Daging Goreng che' Nasa
300gm daging, potong nipis (seeloknya gunakan daging batang pinang (tenderloin) untuk cepat empuk)
2 ulas bawang besar, potong bulat
3 ulas bawang putih, ketuk2kan jer
5 biji cili padi, ketuk2 jugak 
Halia sebesar ibu jari, hiris nipis2

1 biji cili besar, potong 
Serbuk kunyit,
Garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng.

*Perap daging dengan kunyit, bawang putih dan halia sekejap.  Rebuskan daging dalam kuali sehingga daging empuk, kalau air dah kering tapi dari masih belum empuk, tambahkan air lagi. Bila daging empuk dan air kering, masukkan minyak secukupnya untuk menggoreng daging.  Masukkan bawang besar, kesemua cili, dan perasakan dengan garam.  Angkat dan hidang. 

Selamat Mencuba. Wassalam.

 


Welcome to SEPILOK, SANDAKAN

nasamulia
Pintu Gerbang Sepilok sebelum Pejabat Pendaftaran Pelawat.
Assalam,

Sebut nama Sepilok, mesti ramai yang tahu....ape! tak pernah dengar?, erm nasib baik orang yang cakap tak pernah dengar tu bukan orang dari Sandakan, Kalau tidak buang negeri terus, macam manalah yek, orang luar dari jauh plak tu merentas beberapa benua sanggup datang ke Sepilok, orang tempatan kata tak pernah dengar.  Kalau dengar pun tak pernah, pengetahuan usah cakaplah.  Iyelah diorang ni membesar di luar negara, dalam negara tak pernah nak ambik tahu, erm faham2.  

Kalau orang tanya Mulia, Sepilok tu ape? Mulia jawap jer alah  Sepilok tu kat belakang rumah aku jer.....tambirang orang Sabah cakap, eksyen lah tu maknanya....memang dekat dari rumah Mulia, kira 10 - 15 minit (kereta dengan kelajuan 80km/jam).  Tak perlulah Mulia cerita panjang kerana search saja Sepilok pasti banyak rencana mengenainya telah dipaparkan

Yuran Masuk                               Dewasa                             Kanak-kanak
Pemengang Mycard                    RM5.00                                 RM2.00 
Pelancong Luar negara             RM30.00                              RM15.00 
*Bagi pengunjung yang membawa kamera, cam corder di kenakan bayaran sebanyak RM10.00

Dibuka untuk pelawat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.  Masa terbaik untuk melawat adalah sekitar jam 9.00 pagi dan 3.00 petang, kerana kedua-dua waktu ini, waktu ranjer2 memberi makan kepada orang utan.  Orang utan ini pun berdisiplin, meraka hanya keluar atau datang ke pelantar untuk makan pada waktu ini jer, klau melawat pada waktu lain, susahlah nak tengok.
nasamulia
Pejabat Pendaftaran Pelawat dan Pintu Utama untuk ke tempat tinjauan
nasamulia
Jambatan Kayu untuk memudahan laluan pelawat, kelihatan seekor Orang Utan yang cuba mengacah pelawat
nasamulia
Pelantar tempat memberi makan kepada orang utan dari tempat tinjauan
nasamulia
Hensem tak saya?...aksi orang utan yang datang hampir kepada pelawat.
nasamulia
Sempatlah nak ambil gambar dari dekat.
nasamulia
Antara Gelagat Orang Utan yang keluar ketika itu.
nasamulia
Orang Utan akan bergayut pada tali yang disediakan untuk menghampiri pelantar makanan

nasamulia
Orang Utan pun pandai sayangkan anak......kelihatan si emak sedang memeluk anaknya.
nasamulia
Sedang santap ye....makanan mereka terdiri daripada buah-buahan tempatan (pisang & tebu) yang sediakan 2 kali sehari
nasamulia
Monyet / Beruk ini takut atau respect  kot pada Orang Utan, kerana ketika Orang Utan makan, monyet dan beruk2 ini tak akan datang menganggu.  Selepas Orang Utan beredar, barulah Si Monyet & Beruk datang menghabiskan sisa makanan yang ditinggalkan oleh Orang Utan..

 

Tuesday, 29 January 2013

Sambal Mangga Udang Geragau (Pecco' Pao' sibawa Lame')

nasamulia
Kecur Liur tengok Sambal Mangga denga Udang Geragau (Cecce' Pao' Sibawa Lame')

Assalamualaikum wbt semua,
Masih bercerita berkenaan sesuatu kaum.  Dengan mengenal sesuatu masakan, kita akan turut mengenal budaya sesuatu kaum.  Kerana sering kali budaya sesuatu kaun dicerminkan melalui makanannya.  Terdapat jugak makanan yang dikongsikan oleh beberapa kaum terutama mereka yang mendiami wilayah geografi yang sama.  Contohnya menu sate, sukar untuk ditentukan menu asal ini dipunyai oleh kaum mana satu di nusantara ini, ini kerana negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei masing-masing ada menghidangkan sate dalam nemu mereka.  Oleh itu menu sate mungkin boleh dikenali sebagai Menu Nusantara dan tidak perlu lagi untuk berbalah merebut sate itu makanan untuk negara tertentu sahaja.

Sama halnya dengan menu yang Mulia nak kongsikan iaitu Sambal Mangga dengan Udang Geragau dalam bahasa Bugisnya “Cecca’ Pao’ sibawa lame”. Mulia pun tidak pasti menu ini kepunyaan oleh orang Bugis atau tidak, namun inilah menu yang sering disajikan oleh arwah nenek dan teruskan oleh mak Mulia sejak dahulu lagi.  Sambal ini adakalanya dihidangkan sebagai menu sampingan sebagai sambal yang dimakan bersama nasi ataupun disediakan sebagai pelengkap ikan bakar.  Yang pasti ikan bakar yang disediakan adalah yang dipanggang kosong dan tidak disumbat dengan sebarang rempah.
nasamulia
Sambal ini sesuai dipadankan dengan ikan bakar @ makan dengan nasi saja.
Sambal Mangga Udang Geragau.
2 biji mangga muda – bersihkan dan sagat kasar (seeloknya guna yang hijau untuk mendapat rasa masam, yang Mulia jumpa kat pasar ini ingat muda tak sangka bila kupas dah matang)
Segengam Udang Geragau – rendam dan bilas bersih
Cili padi – potong
Garam secukup rasa
Jus limau nipis – untuk menambahkan rasa masam, tapi kalau mangga yang digunakan dah cukup masam tak perlu letak jus limau.
Tomato di potong halus – ikut suka

Cara buat sambal ini semudah A B C
*Gaulkan semua bahan dan perasakan.  Ada jugak yang mengolesnya dalam lesung untuk melembutkan mangga. Tapi perlu sekejap saja, jangan sampai lumat sangat untuk mengelakkan jus mangga keluar.  Hidangkan.
Wassalam.

Nostalgia Sambal Kicap


nasamulia
Kipas Kipas Udang - Lemak Manis

nasamulia
Ramuan Utama Sambal Kicap
Assalamualaikum wbt semua,
Apa khabar kawan-kawan? Mulia harap semua sihat-sihat walafiat hendaknya.  Nostalgia Sambal Kicap sebenarnya berkisar pada memori indah di zaman remaja.  Ketika hidup diperantauan menimbah ilmu bersama sahabat-sahabat semua.  Walaupun perantauan itu tidaklah sejauh merentasi benua, tetapi bagi seorang anak desa yang pertama kali berpisah dan keluar dari lingkungan kehidupan keluarga, ia menjadi seperti perpisahan yang amat meenyedihkan dan perasaan pilu itu akan bersarang sementara waktu dibenak sebelum menemui nikmat manisnya berkelana.



Sebagai seorang penuntut ilmu, semestinya tidak sunyi daripada pelbagai kesulitan-kesulitan lain selain kesulitan menelaah mata pelajaran.  Sumber kewangan, tempat penginapan, pergaulan dengan teman-teman, keselamatan dan pelbagai lagi.  Mulia bersyukur kerana sering ditemukan dan didampingi oleh teman2 yang baik hati yang tentunya persahabatan itu terjalin sehingga kini.  Alhamdulillah.



Ketika tahun ke-3 pengajian, kami menghadapi sedikit kesulitan kerana terpaksa menyewa rumah diluar kampus. Kami telah menyewa apartment 3 bilik yang bersesuaian dengan sewa RM600 sebulan.  Kami seramai 9 orang yang menginap di apartment tersebut untuk menjimatkan berbelanjaan dari segi sewa rumah.  Sahabat-sahabat Mulia ini terdiri daripada letarbelakang yang berbeza dan dari negeri yang berlainan (Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak, Melaka dan Perlis). Kerana persefahaman dan tolak ansur  menjadikan ukhwah antara kami seperti adik-beradik.



Ketika ini juga lah Mulia dikenalkan dengan Menu Sambal Kicap.  Kami anggapnya sebagai resepi terbaik dari sahabat kami yang dipanggil dengan nama Nanie yang bersal dari Johor. Seorang sahabar yang dari kuching, Sarawak pula iaitu Ct suka memasak.  Dengan peralatan yang minima dan serba kekurangan kami mampu memasak resepi2 warisan masing2 dan makan bersama-sama.  Hidangan minum petang paling digemari adalah cucur pisang dan ubi kayu goreng di cicah bersama sambal kicap.  Selalu Ct yang menjadi pengarah projek makan2 ini. Memang tabik habis dengan sahabat Mulia yang seorang ini kalau pasal makan.  In Shaa Allah Mulia akan ceritakan tentang sahabat Mulia ini pada entri lain.



Suatu petang untuk “Hi-tea” kami, Ct meminta Nanie menyediakan sambal kicap sementara dia akan keluar untuk menbeli cucur di gerai yang selalu kami kunjungi.  Mulia cuma tolong yang patut paling tidak menyediakan air teh O yang menjadi kegemaran semua.  Namun duka cita petang itu  kerana Ct balik dengan muka yang Nampak hampa kerana gerai yang menjual cucur tu tutup. 


Alamak sambal kicap dah siap, macamana ini? kita nak makan dengan apa?” kata Ani

“Nah ini jer yang aku dapat beli, entah sedap ker tak, dah pusing kawasan ini, tapi xde,” jawap Ct sambil menghulurkan bungkusan di tangan.  


Takpe aku buat jemput-jemput manis, tepung dan gula ada lagi ni.” Jawap Mulia untuk menenangkan keadaan.


Ok. Apa2 jelah At belasah jer.” Sahut Hah.


Petang itu kami bersama-sama minum petang dengan sambal kicap yang dimakan bersama  pisang goreng (dibeli oleh Ct dan Zera saja yang tahu lokasi gerai itu) dan jemput-jemput manis saja sehingga licin.  Semua boleh menerima bahawa sekurang-kurangya kami diberi rezeki untuk diinikmati oleh Allah SWT petang itu.

nasamulia
Sambal Kicap
Sambal Kicap Nanie

(sumber dari kakak nanie – Kak Uda)


Segengam cili padi – buangkan tangkainya (kalau x buang pun takpe, petua daripada Kak Uda, kalau tumbuk bersama tangkai, pedas cili tidak berapa menyengat sangat terutama cili padi kampung).

5 ulas bawang putih

3 sudu gula pasir

Jus limau nipis atau limau kasturi, secukupnya.

Kicap manis secukupnya (apa brand boleh tetapi Mulia selalu guna Kicap Lemak Manis -  Kipas Udang bukan sebab ilmu asal yang diperolehi mengajar Mulia mengunakan brand ini, tetapi ada juga Mulia gunakan brand lain tetapi Mulia tidak menepati rasa yang diingini)



Untuk menyediakan sambal kicap amat mudah,

*Tumbuk cili bersama bawang putih dann gula pasir sehingga lumat.  Gaulkan dengan kicap secukupnya dan perahkan jus limau nipis.



Bagi mereka yang ingin menyediakan sambal kicap sedikit boleh mengurangkan sukatan kerana sukatan yang di atas untuk menghasilkan satu mangkuk sebab Mulia memang selalu sediakan dalam kuantiti banyak sebagai stock.  Samabal kicap boleh di simpan lama dalam peti ais.
 Tips – dari yang empunya resepi untuk menghasilkan sambal yang lebih asli ialah dengan menumbuk dalam lesung batu bukan dengan blander ye kawan-kawan.
nasamulia
Untuk menghasilkan Sambal Kicap yang asli, sebaiknya ditumbuk bukan blander.

Wassalam.


Pucuk Kurma (Poddo' Galung/Parapa)


nasamulia
Pucuk Kurma (Poddo' Galung / Parapa)
Assalam semua,
Kenal tak dengan tumbuhan dalam gambar di atas? Pucuk ini nampak seperti rumput kat tepi jalan kan, sebenarnya pucuk ini adalah sayur bukan rumput yek.  Mungkin ada antara kita yang pernah melihatnya dan menyangka ianya hanyalah rumput biasa.  Tumbuhan ini hidup liar di kawasan berair atau lembab seperti di tepi-tepi parit, tali air, bendang atau sungai kerana di situlah habitat yang sesuai.

Dalam masyarakat Bugis dikenali sebagai Poddo' Galung (Bayam Sawah) manakala orang Melayu menggelarnya sebagai Pucuk Kurma.  Ketika Mulia menetap di utara tanah air dulu, pucuk ini Mulia beli daripada seorang makcik yang menjual di pasar malam.  Setiap kali Mulia ingin membeli, makcik tu selalu kata "Pandai makan no? ingat oghang tua ja yang tau makan sayoq ni." dengan loghat utara yang pekat.  Mulia akan balas makcik tu "Pandai Makcik, mak saya selalu masak sayur ini kat kampung."
nasamulia
Asingkan pucuk dari tangkainya

Dalam gambar yang di atas ni, Mulia beli semalam dari pasar Old Town, Petaling Jaya dari seorang peniaga India seikat harga murah RM2.00 saja. Uncle tu cakap sayur ini sedap digoreng dengan telur atau masak lemak.  Selalu mak Mulia masak lemak jer, tak pernah plak tengok dia goreng, tulah yang dinamakan lain padang lain belalang, lain orang lain budayanya.
nasamulia
Masak Lemak Pucuk Kurma

Masak Lemak Pucuk Kurma (Nasu Santang Poddo' Galung)
1 ikat Pucuk Kurma - bersihkan daun dan ambik tangkai muda saja.
1 kotak santan 250ml
2 ulas bawang merah - tumbuk lumat
2 ulas bawang putih - tumbuk lumat
sedikit ikan bilis - tumbuk lumat
garam secukup rasa.

*Siangkan pucuk kurma, buangkan tangkai dan cuci bersih.  Jerang air secukup menampung pucuk kurma (jangan terlalu banyak, bila mendidih masukkan pucuk kurma.  Rebus sekejap untuk melembutkan dan masukkan rencah yang telah ditumbuk bersama santan, bagi mereka yang suka kuah lemak nampak kuning, boleh tambah kunyit tapi Mulia pilih untuk warna yang asli. Perasakan dengan garam dan angkat. 

Wassalam.

Benarkah Alexander itu Zulqarnain?..

nasamulia
Alexander Adalah Zulqarnain Qurani Oleh Muhammad Alexander


Assalamualaikum wbt semua,
Buku Alexander Adalah Zulqarnain….satu penyataan bahawa individu (Zulqarnain) yang dimaksudkan dalam Surah al-Kafhi ayat 83 hingga 99 (pengembara barat dan timur)  adalah Alexander the Great anak Raja Philip II, dari Macedonia yang dikenali oleh Barat.  Untuk membuat satu hipotesis yang besar begini, penulis tentunya telah mengkaji banyak sumber antaranya kitab-kitab orang Yahudi, Kristian, dan buku2 sejarah karya sarjana barat.  Namun sumber utama penulis adalah berpandukan Tafsir al-Quran dan enseklopidia Islam, kerana al-Quran itu sendiri adalah rujukan paling lengkap sebagai panduan kepada manusia.

Antara ilmu yang diperolehi melalui buku ini adalah;
1)  Dengan turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, nama Nabi Isa al-masih (yang didakwa sebagai anak tuhan) dan Alexander the Great (Iskandar yang didakwa sebagai anak dewa) dapat dibersihkan dan diberi gelaran Nabi Isa dan Zulqarnain yang bermaksud pemilik dua tanduk
2)  Penerangan daripada surah al-Kahfi ayat 83-98, diturunkan berkaitan orang-orang Quraisy yang bertanya kepada Rusulullah SAW mengenai seorang lelaki (Zulqarnain) yang mengadakan mengembaraan hingga ke Masyrig (daerah tempat matahari terbenam) dan Maghrib (daerah matahari terbit).
3)  Dapat mengenali bangsa paling kejam dan selalu membuat kerosakan di dunia iaitu Yakjuj dan Makjuj yang berasal dari Padang Rumput Eurasia (Eropah-Asia).
4)  Pembinaan Tembok Basi dan timah oleh Zulqarnain untuk menghalang serangan Yakjuj dan Makjuj berdasarkan penjelasan dalam al-Quran Surah al-Kahfi ayat 93 hingga 97.
5)  Mengenal calon-calon yang telah digelar sebagai Zulqarnaian dalam sejarah antaranya Akhenaton/Amenthop IV dari Mesir (1353-1335SM), Cyrus the Great dari Parsi (590-529SM), Shih Huang Ti dari China (259-210SM), Raja As-Sha’ab dari Arab dan Alexander the Great dari Macedonia (356-323SM).
6)  Alexander adalah anak murid Aristotle, Aristotle telah berguru dengan Plato, dan Plato adalah anak murid kepada Socrates. Socrates telah dihukum bunuh dengan menelan racun kerana telah dituduh menyebarkan ajaran baru bersifat monoteisme (ajaran satu tuhantu) yang menolak dewa-dewa Yunani Athens
7)  Alexander mengembara dan membina kota yang meletakkan namanya seperti Alexandria (Mesir), Alexandria Arei (kini Heart, Afganistan), Alexandria Arachosis (kini Kandahar, Afganistan), Alexandria Kaukasus (kini Beghram, Afganistan) dan Alexandria Aschate (Alexandria paling jauh) atau Alexandria Ultima (kini khodezent atau Leninabad, Tarjikistan).
8)  Jawapan kepada tuduhan-tuduhan Orang Yahudi dan Kristian terhadap al-Quran yang  mereka dakwa sebagai telah memplagiat beberapa sumber daripada kitab mereka.
9)   Alexander dalam mencapai misi pembebasannya tidak terlepas daripada konflik dalaman dengan mengikut dan sahabat baiknya sendiri.  Sifat mukmin Alexander menjadi konflik kerana ada kalanya Alexander  begitu menghormati budaya setempat termasuk ajaran monoteime Yahudi yang tidak dapat diterima oleh sabahat dan pengikutnya yang masih dibelenggu dengan paganisme Yunani.  Terdapat konspirasi  untuk membunuh Alexander oleh meraka tetapi dapat di atasi.
10) Alexander mengatakan bahawa beliau bukan anak tuhan, ini ditemui dalam tulisan Plutarch (120SM) mengatakan – Suatu kali, di sana datang suatu bunyi kuat daripada petir, dan semua ketakutan pada bunyi itu; lalu sesudah itu, Anaxarchus seorang Sophist berkata kepada Alexander, “Benarkah engkau anak Zues. Guruh membuktikan hal itu?” Alexander tertawa dan berkata: “Tidak, aku tidak ingin menyebabkan ketakutan di kalangan kawan-kawanku.”(Plutarh 28.4)

Menurut Haji zamri Haji zainal Abidin Al-Azhari, penerbit Duniaku Buku, IKIMfm -Membaca buku ini memang sangat menyeronokkan kerana pembaca akan menemui betapa indahnya mengkaji cerita-cerita al-Quran, cerita-cerita dari yang maha Pencipta dan Merencana.  Beliau jugak menyarankan agar buku ini dijadikan senarai wajib baca.

Mari menuntut ilmu agar kita lebih mengenal Pencipta.  Kerana hanya dengan mengenalNya kita dapat keluar dari kejahilan masa lalu.  Tak kenal maka tak cinta, moga dengan ilmu yang dikutip diberkati dan dapat meningkatkan kecintaan terhadapNya.
Wassalam.

Nostalgia Sup "Ceker" Ayam

nasamulia
Sup "Ceker" Ayam
 Assalamualaikum wbt,
Salam sejahtera untuk semua sahabat-sahabat Mulia yang telah bersama menempuhi alam remaja dengan jayanya.  Entri ini masih berkisar dari nostalgia zaman kuliah dulu, insan-insan yang bernama (Ct, Zera, Nanie, Nora, Ana, Rozie, Ani, Hah, Ita, Noah dan mereka yang tidak disebutkan namanya di sini) tidak dilupa untuk menyedekahkan al-Fatihah untuk Arwah sabahatku Azalina Faezah. Semoga semua sahabat Mulia yang bertebarang di muka bumi ini sentiasa didalam lindunganNya dan sentiasa diberkati dalam kerjaya masing-masing.

Sahabat Mulia iaitu Ct, memang superbub kalau pasal makan.  Bukan sebab kuat makan atau makan banyak tetapi pandai makan dan mendahului kami semua dari segi menikmati sesuatu makanan.  Tabik spring dengan dia ini, Mulia tabik kerana beliau beleh mengembara untuk menikmati makanan yang diwar-warkan oleh orang ramai.  Ct tidak akan menerima begitu saja kata-kata mereka sebelum beliau sendiri sampai ke tempat itu dan merasa menu yang disebutkan.  Seboleh-bolehnya Ct nak rasa sendiri sejauh mana benar anggapan mereka terhadap sesuatu menu. 

Mulia sendiri pernah beberapa kali mengikut kembara beliau untuk mencari menu yang dikatan orang ramai.  Bagi mereka yang mendengar cerita ini akan mengatakan bahawa sabahat Mulia ini pelik orangnya.  Mana tak pelik kalau sanggup memandu jauh2 dan lepas menikmati sepingang atau semangkuk hidangan, kami akan patah balik.  Tentu sahaja dalam kereta nanti, kami akan memberi komen sama ada mengiyakan pendapat orang ramai atau menolak;
1)      Memandu mendaki ke Cameron highland sekadar untuk menikmati sewacan teh Cameron Barat bersama Scone dan balik semula.
2)    Berkunjung ke Padang besar hanya untuk menikmati semangkuk tomyam di medan Mara Padang Besar, Perlis.
3)    Memandu jauh ke Kuala perlis untuk menikmati Laksa Kak Su bersama Pulut Panggang dan balik semula.
4)   Sanggup memandu ke Kuantan untuk merasai menu yang disajikan di kedai Mok Naa.
5)   Terbang ke Penang untuk menikmati nasi kandar dan ikan bakar di Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.
6)    Nasi lemak kegemarannya berada di puncak Cameron Highland.
7)    Ke Kuala Terengganu untuk menikmati sata dan nasi dagang.
8)    Muar untuk mencari beriani gam.
9)    Ke Kota Bahru mencari nasi kerabu dan jagung
10) Mengembara ke Alor Star untuk menikmati laksa Kuala Kedah yagn terkenal dengan sambal nyornya.
11)  Sungai Dua, Butterwoth menikmati Mee Udang di Seberang Tambak.

Banyak lagi tempat yang Ct ini kunjungi, namun Mulia tidak ikut kerana waktu yang terbatas.  Semoga Allah terus kurniakan rezeki kepada beliau untuk mengembirakan hati sahabat-sahabatnya dengan membawa mereka menikmati hidangan2 lazat.  Ketika mengikuti JJCMnya, kami selalu mengimbas kembali kenangan semasa menjadi pelajar dan tinggal menyewa rumah bersama.  Antara menu yang tidak pernah dilupakan adalah SUP “CEKER” AYAM.

Perkataaan “ceker” itu bermakna kaki ayam dalam bahasa Jawa.  Dulo2 kalau ada kenduri, saudara mara dan jiran tetangga akan datang untuk memantu membuat persiapan.  Selalu menu ayam pasti akan ada disediakan, dan kaki2 ayam in memang tak akan dihidangkan pada tetamu pada hari kenduri.  oleh itu mereka akan memasak sup “ceker” untuk mengelakkan pembaziran.  Pada malam kenduri sup ini akan dihidangkan kepada yang datang “rewang” kata orang Johor (mereka yang datang membantu, atau ada jugak menggelarnya sebagai penanggah). Manakala daging ayam telah di asingkan untuk dibuat lauk pada keesokan hari.

nasamulia
Nikmati ketika Panas

Sup “Ceker” Ayam
(Adunan bersama sahabat-sahabat Mulia, yang dipelopori oleh Ct)
 1 kilo kaki ayam yang telah dibersihkan – potong dua
Sebungkus sup bujut
Seketul Halia, sebesar ibu jari - tumbuk
5 ulas Bawang merah - tumbuk
5 ulas Bawang putih - tumbuk
2 sudu Serbuk lada putih
3 biji Ubi Kentang – potong dadu
2 biji Lobak Merah – potong dadu
Sedikit daun sup dan daun bawang – mayang halus
Sedikit minyak untuk menumis.
2 liter air (2 mangkuk)

Untuk menyediakan sup,
*Tumiskan bahan yang telah ditumbuk lumat, bila dah naik minyak, masukkan 2 mangkuk air (lebih kurang 2 liter), masukkan sup bunjut dan biar mendidih.
*Bila dah mendidih masukkah kaki ayam ubi kentang dan lobak merah.  Biarkan sehingga empuk.
*Perasakan dengan garam dan serbuk lada putih. Tutup Api.  Angkat dan taburkan dengan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
Sup ini sedap dinikmati bersama sambal kicap.

nasamulia
Sup "Ceker" Ayam, sinonim dengan malam kenduri di kampung-kampung
Sup ini sedap dinikmati ketika panas2, di samping mengelakkan gelatin yang terkandung dalam kaki ayam membeku ketika sejuk.  Teringat sahabat2 Mulia yang membuak kelakar ketika menikmati juadah ini;
“Kita semua mesti nampak masih remaja ketika umur dah mencapai 40 nanti, sebab mengambil kolegen dari kaki ayam selalu.”
“In Shaa Allah, sentiasa merasa muda untuk beribadah kepadaNya.”

Wassalam.

Friday, 25 January 2013

Kikis sikap "Haji Bakhil Bin Kedekut" ketika Mengingati Rasululluh..


nasamulia
Gambar Hiasan - Sumber Google
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu.
Salam Maulidur Rasul kepada semua. Sebenarnya Allah telah memberi perintah langsung kepada umatNya untuk berselawat.  Satu perintah yang wajib dilaksanakan oleh kita selepas mengaku beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW,
(Surah al-Ahzab, Ayat 56)
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya, berselawat kepada nabi.  Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."

Rasulullah SAW ada menyampaikan pesanan buat kita iaitu sesiapa yang banyak berselawat ke atas baginda SAW akan memperoleh syafaat di akhirat kelak. Janji dan jaminan Rasulullah SAW ini kepada kita, adalah benar dan tidak akan dikhianati.  Jadi janganlah kita salah guna nikmat lidah dengan kata nista, sebaliknya manfaatkan dengan sebutan terpuji lagi berpahala seperti selawat.

Seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdul Rahman Auf menceritakan: "Aku pernah menemui baginda SAW dan ketika itu baginda sedang sujud.  Baginda melamakan sujudnya.  Setelah selesai, baginda memberi tahu: "Jibril datang menemuiku, lalu berkata, "Sesiapa yang berselawat ke atas tuan, aku akan berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam kepada tuan, aku akan memberi salam kepadanya."  Kerana itu aku (baginda SAW) melakukan sujud sebagai tanda bersyukur kepada Allah." (Hadis riwayat Ahmad)

Menantu kesayangan Rasulullah SAW yang merupakan sepupunya sendiri, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengatakan yang Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya dengan berkata, "Orang bakhil itu ialah orang yang tidak berselawat ke atasku, apabila namaku disebut disisinya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Mari berselawat kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW, jadikan sebagai amalan harian secara berterusan dan bukan secara bermusim atau di majlis-majlis tertentu... 
Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam
Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam

Tala Al Badaru Alayna
Min Thani Yaatil Wa da'ai
Wa Jabaa Shukru Alayna
Ma'da aa Lillahi Da'ai

Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam
Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam

Ayyuhal Mab'u Thufina
Ji'ta Bil Amr il Muta'i
Ji'ta Sharraf til Medina
Marhaban Ya Khair Da'ai

Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam
Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alay Wassalam