Showing posts with label Kace. Show all posts
Showing posts with label Kace. Show all posts

Friday, 2 November 2018

Kacang Kace' Masak Bening

Assalam...
Semalam cerita pasal pokok pigoen pea (kacang dhal/ kace'/ kacang gude) kacang yang banyak nama.  Sebelum cuti hari tu memang dah nampak beberapa kudup bunga sudah mengeluarkan buah muda.  Balik dari bercuti selama 2 minggu dapatlah menuai hasil buah kace', buah sulung sudah selamat dituai dan dijadikan sayur oleh si mat lah.  Mat lah cakap sedap, tak tahu lah dia masak macamana (masak ala bangladesh). Ada beberapa buah yang dibiarkan tua dan kering oleh si mat lah untuk dijadikan biji benih seterusnya.  





Sini saya nak sharekan masakan cara kampung untuk buah kacang kace' ini.  Sayur yang jadi kegemaran sejak kecil lagi.  Walaupun nampak kuah tu keruh-keruh jernih macam air acaq (istilah orang utara) tapi rasanya sangat segar dan berkhasiat.  Menu ini boleh dijadikan sebagai hidangan sayur atau di makan begitu saja, masa makan tu kena perisi lah isi kacang dia ya sementara kulit tu dibuang.


Kacang Kace' Masak Bening
Sumber: Kak Soda

Bahan-bahan
1 mangkuk kacang kace' (kacang gude / kacang dhal)
2 biji bawang merah*
2 biji cili padi*
1 biji buah keras*
1 liter air
Garam secukupnya

Sedikit asam keping / asam jawa

Cara Penyediaannya
* Bersihkan kacang kace', buang sedikit di kedua-dua bahagian hujung kacang dan cuci bersih.
* Didihkan air dalam periuk hingga mendidih.
* Tumbuk lumat bahan bertanda "*" dan campurkan ke dalam air didih.
* Masukkan kacang kace dan asam ke dalam air didih.
* Masak hingga kacang matang dan warna kulit bertukar. 
* Sesuaikan rasanya dan hidang.


Sebenarnya ada beberapa variasi kacang kace' ini, saya masih ingat ada biji buahnya yang berbelang-belang kehitaman dan kuah sayur juga menjadi hitam ketika dimasak.  Tapi menurut kak Soda jenis itu sudah jarang dijumpai kini.  Ada sesiapa yang nak biji benih kacang ini tak? Mana tahu nak cuba tanam kat halaman rumah kalau tak nak makan boleh dijadikan tanaman hiasan.
Wassalam.

Wednesday, 31 October 2018

Pokok Pigeon Pea aka Kacang Dhal (Kacang Kace')

Assalam...
Pokok kacang kace' (sebutan kena bunyikan 'k' dibelakang untuk membezakan bunyi sebutan kacang bagi orang Kelantan) dan pelbagai nama lagi mengikut kawasan.  Biji benih kace saya dapat daripada pakcik hj (Hj. Abdul Ghani) ketika bekunjung ke rumah beliau awal tahun ini, dan saya bagi biji itu pada si mat la untuk semai dan tanam "dikebunnya" (jalur tanah yang tersisah antara jalan tar dan longkang di depan tempat kerja).  Tidak berharap banyak, sebab diberitahu biji benih itu telah di simpan lama oleh beliau.


Ini pokok kace' ketika pertengahan bulan Jun, hanya 2 pokok yang dapat hidup melalui percambahan biji benih.  In Sha Allah dapat menuai hasilnya nanti untuk dijadikan anak benih.


Hati berbunga-bunga apabila pokok kace' mengeluarkan bunga.  Awal pagi si mat la, suruh pergi tengok pokok ini sebab nak tunjuk kan bunga-bunga yang cantik katanya.


Tak suka biarkan persoalan nama kacang kace' ini nama apa sebenarnya? rajinkan diri untuk bertanya pada pak google.  Mula agak sukar nak buat carian dengan istilah yang tok nenek saya guna itu memang hampir tiada jika jika cari dengan nama kacang kace'.  Akhirnya jumpa setelah melihat gambar buah dan pokok yang sama, ternyata kacang kace' yang tok nek aku panggil adalah sebenarnya kacang dhal.  Sejak besar hingga tua ini memang kenal kacang dhal (kacang parpu) yang dah siap takde kulit dan diimport dari India, tapi tak pernah pula nak ambil tahu pokoknya seperti apa.  Boleh kata selalu jer jumpa dalca dan kuah dhal sebab rajin lepak kedai mamak kan.


Sebab masih tak puas hati, itu yang lakukan bedah siasat pada biji benih kering yang masih tersisa dalam simpanan.  Memang nyata di sebalik kulit hitam tu tersalut butiran kacang dhal.


Bedah siasat pula pada buah kacang kace' yang dah matang dan sedang elok untuk dibuat sayur bening.  Walaupun saya kurang gemar makan dalca, tapi memakan sayur bening kacang dhal (kacang kace') yang muda begini adalah menjadi kegemaranku sejak kecil.  Sebab rasa suka itu juga saya mencari biji benih untuk di semai.  Tetiba jer terfikir tok nenek aku ada keturunan dari India ker??.


Hasil tuaian di kebun "mat lah" (mat bangla) di depan ofis, berkebun pada tanah sekangkang kera tepi longkang dan lereng bukit.  Berkat berbudi pada tanah memang tak sia-sia, lepas lah belanja beli sayur si mat la dengan hasil labu air, bayam malabar, tebu, peria, daun pandan, cili padi, kangkong, kacang panjang dan serai.  Dalam gambar bawah sebelah kiri kacang kace' @ kacang hiris @ kacang dhal @ kacang gude @ toor @ cajanus cajan dan sebelah kanan tu kacang sepat.

Sekian lah dulu pelajaran pasal kacang kace' yang telah membuat tidur malamku tak lena sebelum ini.  Semoga bermanfaat pada yang lain.
Wassalam.