Sunday 27 September 2015

Bunga Tak Tahu Nama...

Assalam...
Suatu hari sedang duk terjenguk-jenguk mencari buah rambutan mengkal diantara yang masih hijau, mak mertua tunjukkan sekuntum bunga ini.  Banyak kuntum kecil tapi sebab dalam perdu yang sama jadi saya kata sekuntum.
Jari telunjuk merah tu, tunjuk pokok bunga ini, kalau tengok daun dan batang macam biasa tengok tumbuhan tu.  Mungkin masa pokok tak berbunga tu yang tak perasan.
Pokoknya menumpang di pokok jambu air, sejenis parasit atau spesis orkid, tidaklah saya tahu. 
Bunga ini tak ada bau, tetapi sangatlah cantik dan unik bagi saya.
Siapa yang tahu nama tumbuhan ini, nanti tolonglah info ya.  Kalau tahu specis dan kategori tumbuhan lagi best.
Wassalam.

Thursday 24 September 2015

Salam Aidil Adha...

Assalam...
Semoga segala amal ibadah dan pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT.  Sentiasa suburkan niat moga kita terpilih dikalangan mereka yang beruntung dijemput manjadi tetamuNya pada tahun hadapan dan dapat mengerjakan Rukun Islam ke-5 di Baitullah.
Wassalam.

Wednesday 23 September 2015

Morning Call....Berem & Tak Sihat...

Assalam...
Kisah sebelum subuh yang hening, tidur mati dari sejak tengah malam, nasib belum betul-betul mati, konon nak cover sebab malam sebelum dapat tidur sejam dua saja.  Orang sebelah yang kena report duty jam 5 pagi pun dah pergi kerja.  Maaflah abang, tak sedar langsung.  Lebih kurang jam 5 pagi hp menjerit tepi telinga, ingatkan jam loceng yang set untuk wake up jam 4 pagi.  Raba sebelah, eh dah takde orang, capai hp 2 miss call, tak sempat tengok sapa call, berbunyi lagi.  Nombor tak dikenali, tapi nampak macam nombor2 belah sana.  Angkat jelah (otak sempat fikir ada kecemasan di kampung kot).

Saya - Hello
Orang sana - Hello, belum bangun kah?
Saya - Jam berapa ini..
Orang Sana - (soalan jawap ngan soalan) Ko ada masuk duit kah (baru cam suara, oh bapak)
Saya - Ada awal bulan hari itu, bapak baru cek kah?
Orang Sana - Kenapa masuk banyak sangat?
Saya - (dalam hati aik ada juga orang macam ini tak suka orang bagi banyak, aduii lah bapak aku ini), mana banyak macam biasa jak.
Orang Sana - Tapi lebih ada banyak...(siap buat kira-kira plak dia).
Saya - (sambil cakap hp sambil pejam mata, sel2 otak di kerah untuk buat kira-kira pepagi buta), Bapak tak pergi ambil kah yang bulan2 lepas punya.
Orang Sana - sudah, tapi kenapa ada baki lagi (suasana di sana macam orang keheranan pulak).
Saya - duit berem masuk kali tu, (teringat orang-orang ofis kecoh2 pasal berem hari sebelumnya).
Orang Sana - Kalau duit berem kenapa tidak sama bakinya?
(pulak dah, mencari balance sheet, tak telly pula, erm apa-apa jelah).
Saya - Hp siapa bapak guna ini?.
Orang Sana - (soalan jawap dengan soalan lagi) Ko tak balik ker raya ini?  Bila ko nak balik sini?
Saya - Nantilah balik, raya ndak dapat cuti.
Orang Sana - Anak si anu (sambil sebut nama abang sepupu) mau kawen.
Saya - Iya, masa tulah saya mau balik, tapi jadi kah?, berapa hari bulan?.

Perbualan terus berlangsung dekat setengah jam, macam-macam hal dibualkan, mata yang pejam dah jadi bulat.
Orang Sana - Napa suara kau macam orang tak sihat?, sakit kah?, suami ko sihat juga kah?.
Saya - Ndak lah, sihat semua sihat, dia pun sihat (dalam hati, kan masih tidur ini.  Sini kan gelap lagi, baru jam 5 pagi pak, sana tu memanglah dah cerah...aduyaiii bapak aku nie)..
Orang Sana - Oklah, bangunlah, tak kerja kah?
Saya - kerja, iyelah....assalam.
Orang Sana - Walaikumsalam...
klik....sambung tidur.
Wassalam.

Saturday 19 September 2015

Makan King Kong

Assalam...
Kisah minggu lepas, en.Abe dan adik pergi tolong mengambil sepupunya di UiTM Puncak Alam untuk di hantar ke KLIA.  Gara-gara tersilap masuk UiTM direzekikan jumpa dengan Karipap KingKong.  Sepupu yang nak dijemput itu di UiTM Puncak Alam, tapi mereka mencari di UiTM Puncak Perdana.   Ha tengok, kalau info tak berapa jelas, gps bergeraknya pun tak ikut hari kejadian, main taram jer asal ada nama puncak.  Nasib lah dua puncak tu duduk dekat-dekat, bersebelahan aje.   
Terima kasih pada penjual karipap Kingkong yang tolong bagi tunjuk jalan.  Sambil-sambil tu mereka pekena karipap Kingkong panas-panas kat sana.  Depa baik hati belilah 2 biji kingkong daging untuk saya, tapi saya makan tak abis pun sebiji tu.
Dah lama kawan info ada orang menjual karipap besar sebelah petang kat tepi jalan menghala ke Puncak Alam tu.  Nak tahu harga sebiji Kingkong ini berapa?  Sebiji RM4.50, janganlah terkejut, tapi memang besar dan inti banyak.
Dua tiga kali dok ulang pergi Ikea sejak dari bulan lepas, tapi tak sempat beli karipap sebab sibuk kan benda lain.  Kalau karipap Ikea saya boleh layan sampai 3 biji.
Wassalam.

Thursday 10 September 2015

Sambal Hiris Wak Dol

Assalam...
Sambal paling senang nak buat, sebab tak perlu nak tumbuk-tumbuk guna lesung batu atau blender.  Bahan-bahan pun yang sentiasa dalam dapur dan hanya perlu dihiris halus-halus saja bahannya.  Sambal ini, saya selalu tengok Kak Uda (Kak Sal) sediakan untuk menawan selera suaminya (Wak Dol).  Walaupun kadang Kak Sal dah masak bermacam-macam jenis lauk, tapi tak sedikit pun menarik minat sang suami untuk makan.  Jadi Kak Sal akan buat sambal hiris ini, lepas itu memang laju ler si Wak Dol ambil pinggan dan makan.  Kadang tu rasa pelik jugak bila difikir.  Tapi tulah manusia ini macam-macam, benda paling simple dan kecil sudah cukup puas bagi mereka, sementara orang lain pulak perlukan sesuatu yang gah untuk kepuasan.
Nak sediakan sambal ini, takde ukuran spesifik semua main agak-agak yang penting kena dengan citarasa tekak sendiri ye.  Versi yang Kak Sal selalu buat tak diletak kicap jadi warna tu putih-putih pucat gitu, tetapi tetap saja menyengat selera Wak Dol.


Sambal Hiris Wak Dol
Sumber: Kak Sal


Bahan-bahan
Ikan bilis
Bawang merah - hiris
Bawang putih - hiris
Cili merah - hiris
Cili hijau - hiris
Cili padi - hiris
Halia muda - hiris
Garam
Kicap 
Orange sunquick 


Penyediaannya
* Goreng ikan bilis terlebih dahulu dan asingkan.
* Tumis bahan hiris hingga layu.
* Masukkan ikan bilis goreng, garam, kicap dan sedikit orange sunquick.
* Sesuaikan rasa, angkat dan hidang.  
Wassalam.

Tuesday 8 September 2015

Timun Betik aka Rabbise'

Assalam...
Adik-adik atau anak-anak sekalian generasi Y dan generasi X, kenal tak ini buah apa?  Akak rasa generasi yang kertu cam akak pun ada jugak yang tak kenal buah ini sebab tak semua tempat kita boleh dapat buah ini.  Selalu yang jumpa ada dua jenis warna kulit yang berwarna hijau berlorek begini atau kulit yang putih seperti tembikai susu dan berbentuk bulat.  Bahasa ibunda saya panggil buah ini buah rabbise' atau panggillan lainnya timun betik.  Rabbise' dah bunyi macam rugby, sebab bentuk tu kot yang lonjong seakan-akan bola rugby.  Yang ini saya jumpa masa lawatan ke Kelantan musim raya lepas, memang banyak di jual di gerai-gerai menjual buah tembikai. 
Kalau dah merekah begini, tu tanda dah matang sangat untuk diolah jadi dessert.  Isi timun betik ini gebu, wangi seperti tembikai susu tapi tak berasa apa, manis tidak, masam pun tidak, tawar (tawaq hebiaq).
Biji macam tembikai susu, boleh semai macam tu jer, dari pengalaman dulu senang pokok dia nak tumbuh terutama di tapak bekas tanah bakar atau tanah yang dah digemburkan.  Itu yang saya perati mak buat dulu.  Pokok menjalar macam pokok labu, kalau duduk dekat-dekat memang susah nak bezakan.  Rajin jugak pergi tengok bila pokok dah berbuah, mengintai mana yang dah matang untuk dipetik.
Beginilah dessert segar dari ladang yang my nenek moyang selalu buat.  Erm sedapnya, gebu dan harum.  Sebab rasanya yang tawaq habiaq tu, kenalah letak gula, sedikit garam dan santan barulah dapat rasa yang manis lemak berkrim.
Orang dulu-dulu mana ada almari yang dinamakan peti sejuk, jadi selepas semua ramuan bergaul mesra.  Bolehlah disantap begitu saja.  Tapi lagi best kalau disejukkan seketika dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Wassalam.

Sunday 6 September 2015

Selamat Pengantin Baru Kak Long

Assalam...
Hujung bulan Ogos, hari bahagia buat Kak Long dan hari gembira untuk keluarga kami kerana kami dapat ahli keluarga baru, menantu sulong lelaki untuk ayah dan chek.  Kami sebagai tuan rumah dan pemegang watak utama kenduri kali ini memang tugas yang sangat mencabar untuk dilaksanakan.
Ambil gambar ikut dan saja, mana yang sempat saja, bila kami lihat ada port saudara berkumpul kami ramai-ramai pergi ambil gambar dengan mereka.  Pelamin bukan lagi tempat yang utama dah untuk mengambil gambar ketika ini. 
Kak Long bersama adik ke-4 dan adik bongsunya.  Selepas ini ayah dengan chek hanya akan menerima menantu lelaki saja sebab jawatan satu-satunya menantu perempuan dah terisi ya.
Selamat menempuh hidup berumahtangga buat kak long dengan abang long.  Semoga menjadi keluarga sakinah mawahdah warahmah....Amin.
Wassalam