Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Monday, 31 December 2018

Jem Nenas

Assalam...
Buat apa nak susah-susah nak sediakan jem nanas tu, yang dah siapkan dah ada dijual? Nak wat gano, kalau jenis tak puashati atau tidak suka guna yang dah sedia ada.  Ini antara penyakit ketegaq kata orang tua yang dikenalpasti.  Sanggup tak payah buat langsung tart nanas jika tak ada jem buat sendiri, sebab itu menunggu punya lama baru dapat buat tart nanas.


Saya selalu sediakan jem memakan masa beberapa hari, masak sekejap-sekejap time masuk ke dapur contohnya pagi masak sekejap, malam lagi sekali, kemudian sambung esok lagi, hinggalah dapat jem nanas yang diingini.  Jenis tak sanggup nak tunggu jem tu masak dan keras sekaligus.  Sebab tu bila dah kesuntukan masa, takde jem nanas tersedia alamat tak adalah tart nanas untuk tahun tu.  Tetapi memasak yang permulaan tu, kena lama sikit sekurang-kurangnya masak hingga jus nanas kering. 


Jem Nanas
Sumber:  Mulia


Bahan-bahan
10 biji nanas mengkal sederhana besar
1 kg gula pasir
1 biji papaya mengkal (optional)
sedikit serbuk kayu manis
2 sudu makan majerin


Cara Penyediaannya
*  Parut nanas atau blend halus.
*  Option meletakkan papaya sekiranya bekalan nanas tidak mencukupi.
*  Tapis dan asingkan dari jusnya.
*  Masak serat nanas yang sudah di tapis hingga bersama gula pasir.
*  Masukkan kayu manis atau ssedikit serbuk ke dalam jem.
*  Bila sudah kering dan likat, masukkan majerin dan gaul hingga rata.
*  Sejukkan jem sebelum digunakan.

Nota - Jem homemade macam ini tak guna sebarang pengawet, jadi nak guna lama boleh simpan dalam peti ais.  Jangan tutup botol atau kontainer jem sekiranya jem masih panas.

Gentel jem bentuk panjang atau bulat-bulat terpulang nak guna untuk nastar atau tart.  Guna plastik glove jika tidak suka ianya melekat pada tangan.  Hari tu ada nampak orang jual gadget untuk bentukkan jem nanas, lepas ini lagi mudah lah kerja.
Wassalam.

Sunday, 30 December 2018

Sup Tulang ala Vietnam Pho

Assalam...
Cerita agak lama, bila pula masa yang ada tulang gear box di dalam stok? mestilah masa raya haji kan.  Banyak yang buat korban, dapatlah seorang sikit tak daging tulang pun jadilah.  Ini sepupu yang bagi, dia dapat banyak tulang gear box almaklum jadi penolong tukang lapah selama 3 hari pada hari raya korban.


En.Abe yang masak sup ini, tengok bawang grill tu, tak dibuang kulit pun.  Tapi cuci tu off course lah kan.  Sebab dah bagi kepercayaan untuk dia masak, so kita diamkan ajelah.  Tunggu saja lah hasilnya.  Masak guna cik noxxa jer sebab tak larat tunggu berejam atas dapur biasa. 


Sup Tulang ala Vietnam Pho
Sumber: en.Abe

Bahan-bahan
3 ketul tulang gear box
2 biji bawang hollad- belah dua
2 biji bawang putih- belah dua
1 ketul halia - hiris kasar
1 pkt kecil rempah sup
1 pkt sup bunjut
Cili padi ketuk - optional
Bawang goreng
Daun sup
Daun bawang
Limau nipis
Sambal kicap (opstional)



Cara Penyediaannya
* Grill bawang holland, bawang putih dan halia hingga kekuningan dan campur rempah sup dan sedikit air.
* Masukkan tulang gear box, air, sup bunjut, sedikit daun sup, daun bawang dan rempah bawang grill tadi dalm periuk noxxa.
* Set high pressure selama 20 minit, dah siap release wap steam.  
* Tambahkan garam dan serbuk perasa.  Gaul sebati dan sesuaikan rasanya.  Setting periuk ke stir fry atau steam untuk teruskan memasak atau untuk panaskan sup.
* Tambahkan bawang goreng.
* Hidangkan bersama sambal kicap dan hirisan limau kasturi.

Makan ini kena sediakan straw jika hendak menghirup sum-sum tulang gear box.  Jika bacaan kalestrol anda bertambah lepas makan sup begini, jangan salahkan saya tau.  Sesekali layan selera boleh saja jika tidak memudaratkan.
Wassalam.

Friday, 28 December 2018

Terung Bakar (Reme' Terung)

Assalam...
Terung bakar (reme' terung), menu nostalgia zaman kanak-kanak yang sangat mengamit memori.  Zaman kanak-kanak yang sangat tak boleh makan jika tidak ada lauk sedap, menurut arwah nenek untung sebab lahir selepas negara dah lama merdeka dan bukan lagi dalam zaman perang.  Ketika itu walaupun perang dah lama tamat, tetapi sebagai orang kampung, makan minum hanya seadanya saja dan kebanyakkan sumber makanan adalah hasil tanam dan ternak sendiri.  Terung bakar ini lah yang selalu jadi penyelamat untuk kanak-kanak seperti aku yang tak nak makan jika tiada lauk ikan.  Zaman kanak-kanak yang sangat naif, kena tipu kata terung bakar ini adalah ikan besar yang banyak isi, dan sangat lembut.  


Terung Bakar (Reme' Terung)
Sumber: Petta Jume

Bahan-bahan
3 biji terung panjang hijau / purple
2 biji cili besar*
3 biji cili padi*
2 ulas bawang merah*
2 biji buah keras / kemiri*
1 biji tomato*
2 sudu kacang tanah goreng (optional)
Secukupnya garam dan gula.




Cara penyediaannya
* Bakar / grill terung hingga masak.  Bersihkan / buang kulit terung.
* Sangrai / goreng tanpa minyak semua bahan bertanda "*".
* Bersihkan kulit tomato, cili besar, bawang merah dan buah keras.
*  Tumbuk halus bahan yang telah disangrai tadi dan tambahkan gula dan garam hingga sesuai rasanya.
* Susun terung bakar dalam pinggan dan ratakan sambal di atasnya.
* Siap untuk dihidang.


Jika bahan sambal dibakar dalam barah perlu hati-hati agar tidak hangus.  Hasil sambal agak kehitaman disebabkan buah keras terlebih bakar dan kehitaman.
Wassalam.

Wednesday, 26 December 2018

Nasu Kari (Kari Kambing Bugis Style)

Assalamm.
Jika ada orang yang bertanya nak masak kari kena letak rempah kari atau tidak? Jangan lah cepat hentam orang tu kata soalan bodoh atau sebarang kata nista ye.  Sebab saya dah jumpa jawapan bagi soalan tu, inilah dia masak kari yang tidak menggunakan rempah kari.  Memanglah rasa kari tu tak macam kari mamak tetapi ini lah yang mereka gelarkan sebagai masak kari (nasu kari).   


Nasu Kari (Kari Kambing Bugis Style)
Sumber: Tanta Suma

Bahan-bahan
3 kg potongan daging kambing (bahagian tulang)
1/2 cawan air asam jawa
1 sudu serbuk kunyit
1 liter santan
Garam secukupnya
Serbuk perasa secukupnya
Gula merah (kabung) 
Bawang goreng secukupnya
Air secukupnya

Bumbu blend dan tumisan
10 biji bawang merah
1 labu bawang putih
10 batang serai
4 inc. halia
4 inc. lengkuas
20 biji cili merah - buang biji
1.5 sudu serbuk ketumbar 

Cara Penyediaannya
* Bersihkan daging, sebaiknya guna bahagian tulang-tulang. Perapkan seketika dengan air asam jawa, lada sulah dan serbuk kunyit. 
* Sediakan bahan bumbu, blend semua hingga halus dan tumis hingga naik bau.
* Masukkan perapan daging kambing ke dalam tumisan bumbu, gaul sebati.
* Tambahkan air dan reneh hingga daing empuk.
* Bila dah empuk, masukkan gula merah dan garam.
* Tambahkan dengan perasa dan santan.  Biarkan mendidih hingga sekata dan sesuaikan rasanya.
* Taburkan bawang goreng sebelum menghidangkan kari kambing. 

Nota - Menu ini juga sesuai jika ditukar dengan daging lembu, daging kerbau, daging kuda atau ayam.

Sejak akhir-akhir ini memang banyak menu kampung (masyarakat Bugis) yang akan dipost sementara masih menyimpan resepi dan sila abaikan jika tidak berkenaan.
Wassalam.

Saturday, 22 December 2018

Beppa Oto' (Kuih Otok)

Assalamm...
Kuih Otok salah satu kuih tradisi masyarkat Bugis.  Sudahlah lama jarang pula jumpa orang membuat kuih ini.  Sebabnya utama adalah adat tradisi orang-orang tua dahulu, mereka hanya buat kuih ini berdasarkan majlis tertentu, maksudnya tidak dibuat saja-saja.  Saya juga tidak tahu apa rasionalnya dengan alasan itu, kuih ini hanya dibuat ketika majlis kesyukuran akikah bayi atau ketika ada majlis tahlil arwah.  Selain daripada dua majlis ini mereka tak akan buat kuih ini, sebab itu kot nama dia oto' (bangkit/bangun - kelahiran dan kematian). 


Bahan untuk menghasilkan kuih ini hanya menggunakan bahan asas iaitu tepung, santan dan gula merah, dibalut daun pisang serta dikukus.  Bentuk macam lepat liat, tetapi kuih ini tidak liat dan kenyal,  sebaliknya lembut.


Beppa Otto
Sumber: Andi Sundari


Bahan-bahan
500gm tepung beras
500gm gula merah
6 gelas santan
Sedikit gula pasir
Sedikit garam
Daun pisang muda untuk membungkus


Cara Penyediaannya
* Campurkan gula bersama sebahagian santan.  Santan lebihan untuk dicampur dengan tepung.
* Masak gula merah, gula pasir, garam  bersama santan hingga gula cair.
* Masukkan bancuhan tepung dan santan kedalam air gula yang dimasak (kacau terlebih dahulu sebelum dituang agak tidak bergentel).
* Sentiasa kacau adunan atas api hingga tepung beku dan licin.
* Ambil sedikit adunan dan bentukkan memanjang sebesar jari telunjuk.
* Bungkus setiap adunan yang dibentuk tadi dengan daun pisang mudah.
* Ambil 3 atau 4 bungkusan kecil dan balut pula dengan daun pisang lain menjadi satu bungkusan yang lebar.  
* Sekiranya hendak dibungkus satu persatu, bentukkan adunan agak lebar dan sedikit besar.
* Kukus kuih hingga masak seperti mengukus kuih bandang atau nagasari.


Ini bentuk kuih oto' yang dibungkus satu persatu, lebih besar dan agak lebar.  Saya pernah makan kuih oto' yang kecil sebesar jari telunjuk, agaknya orang yang buat tu lebih rajin daripada orang yang buat besar begini.

Saya rasa tak salah kalau nak buat kuih ini untuk acara majlis makan-makan biasa, tak perlu lah nak mengikut adat sangat.
Wassalam.

Friday, 21 December 2018

Lempeng Pisang aka Banana Pancake

Assalam....
Sepanjang 2 bulan lepas, bekalan pisang emas masak dari kampung tak putus ketika itu mak dan bapak mertua banyak berulang-alik kampung dan hospital.  Pisang yang matang mereka bawa sekali, bawa pisang bertandan untuk diagih-agihkan kepada anak-anaknya.  Ada antara pisang tu yang terlalu masak sebab tak habis makan atau mereka tak sempat nak ambil.  Daripada terbuang begitu saja. saya kupas dan frozenkan isi pisang itu.  Bila dah simpan frozen memang nampak kehitaman dan kurang sikit dari segi warna tetapi masih elok jika diolah menjadi kuih untuk sarapan atau minum petang.


Menu pisang yang dapat dibuat dari buah frozen tu, dapatlah untuk semua orang sihat dan yang kurang sihat.  Bagi yang kena kontrol diet dan nak sihat, buatkan lah lempeng sementara yang masih suka dengan rasa berminyak teruskanlah dengan cekodok


Lempeng Pisang
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Sesikat biji pisang emas masak
1/2 cawan tepung
2 biji telur
3 sudu gula
1/2 sudu teh baking powder
1 sudu majerin
Sedikit air

Cara Penyediaannya
* Satukan semua bahan kecuali tepung, blend hingga halus.
* Tuangkan ke dalam mangkuk dan tambahkan tepung.  Kacau rata hingga sebati dan tidak bergentel.
* Panaskan kuali letak sedikit majerin, sendukkan adunan dan leperkan dalam kuali mengikut saiz lempeng yang dikehendaki.
* Tutup kuali sebentar hingga semua permukaan lempeng matang.
* Terbalikkan sekejap jika suka.
* Angkat dan hidangkan lempeng.
* Boleh dihidangkan bersama titiskan madu, atau syrup atau dihidang bersama ais krim scoop. 

Saya makan begitu saja, sebab dah rasa sedap dan manis pisang mencukupi. 
Wassalam.

Wednesday, 19 December 2018

Putu Pesse (Putu Palu)

Assalam...
Putu Pesse (pesse maksudnya tekan-tekan) ada juga yang mengenalnya sebagai putu palu, salah satu kuih tradisi suku Bugis.  Kuih paling senang untuk disediakan jika ada stock tepung beras pulut sangrai dan hanya menggunakan bahan asas gula serta kelapa parut.  Kuih ini ada sedikit bau macam hangit sikit tetapi sedap lemak-lemak manis.  Sukatan bahan agak-agak saja mengikut citarasa dan seeloknya guna kelapa muda.


Penyediaan tepung beras pulut putih agak mengambil masa untuk disediakan dan perlu disediakan lebih awal.  Bermula dengan peroses merendam beras pulut putih, menjemur dan sangrai hingga keperangan.  Selepas disangrai perlu dihaluskan (blend) terlebih dahulu sebelum digunakan atau dicampur dengan kelapa dengan gula.  Penggunaan gula boleh pilih gunakan gula merah atau gula pasir, jika orang lama lebih suka menggunakan gula kabung.


Putu Pesse (Kue Palu)
Sumber:  Kak Soda

Bahan-bahan
Tepung beras pulut sangrai
Gula merah
Kelapa parut
Secubit garam 

Cara Penyediaannya.
* Campurkan ke semua bahan hingga sekata.
* Acu menggunakan acuan kesukaan.  Tekan-tekan (pesse) kuih hingga padat dalam acuan dan keluarkan.
*  Sedia untuk di hidangkan.

Puas rasanya dapat makan kuih ini, sebab memang dah lama sangat tak jumpa orang buat.  Lepaslah geram ngap beberapa biji.
Wassalam.

Friday, 14 December 2018

Kuih Dange aka Dangai

Assalam...
Rasa ambil masa yang lama sangat baru dapat makan kuih ini.  Tak tahulah kenapa bukan kena guna bahan-bahan yang complicated pun, guna 4 bahan saja.  Biasalah kuih orang lama hanya guna bahan asas, tapi masih juga susah nak membuatnya.  bagi saya sebab nak daptkan kelapa muda tu yang payah, selalu pergi kedai hanya ada kelapa tua, tapi sebab dah lama teringin nak buat kelapa tua pun tua lah yang penting guna yang putih saja.



Ini hasil yang konon-konon nak ikut resepi hipster, tambahkan sedikit majerin lepas tu makcik pula terlebih tuang gula.  Hasilnya dangai keras dan manis leting.  Bagi saya lebih suka rasa lemak kelapa daripada rasa lemak majerin tu, lebih suka hasil dange yang guna resepi lama.


Yang belakang tu tergosong sikit sebab asyik dok layan video si Nas Daily.  Walaupun gosong tetap sedap tiada yang dibazirkan termasuk seredak-seredak tu. 


Dangai / Dange
Sumber: Hjh Kasah

Bahan-bahan
1 mangkuk kelapa parut
1/2 mangkuk tepung pulut
2 sudu gula
secubit garam

Cara Penyediaannya
* Campurkan semua bahan hingga rata
* Panaskan acuan, griss dengan sedikit minyak atau majerin.
* Boleh tenggekan acuan atas dapur atau bakar guna oven.  Saya masak atas dapur saja.
* Isi acuan hingga penuh dan tutupkan acuan.
* Masak lebih kurang 10-15 minit, hingga kekuningan dan angkat.
* Hidangan sementara panas.

Tempat lain mungkin dange ini ada nama lain, saya pernah dengar kawan kata nama kuih ini di kampungnya di panggil kuih rangin. 
Wassalam.

Friday, 30 November 2018

Sambal Goreng Kambing (Goreng-Goreng)

Assalam...
Menu goreng-goreng merupakan menu lama yang juga hampir dilupakan oleh generasi Bugis masa kini.  Menu ini boleh dibuat dengan menggunakan daging lembu (sapi), kambing, kerbau atau kuda.  Manakala bahagian daging yang digunakan adalah daging yang kasar, liat atau yang banyak urat.  Goreng-goreng yang dalam gambar adalah daripada daging kambing dan dibuat secara ringkas tanpa menambah suhun dan ubi keledek goreng.  Walaupun ringkas tapi rasanya tetap urmp!


Goreng-goreng Kambing
Sumber: Tante Suma

Bahan-bahan
1 kg daging kambing - potong dadu dan rebus hingga empuk
200 gm kacang tanah - goreng
50 gm suhun - goreng
3 biji ubi keledek - hiris nipis dan memanjang serta goreng
Minyak untuk menumis 
Kicap manis secukupnya
1 sudu serbuk lada sulah
1 sudu serbuk ketumbar
Garam, gula dan perisa secukupnya
  
Bahan Blend
2 inci lengkuas
10 batang serai
1 labu bawang Putih
10 biji bawang merah
2 inci halia
5 biji cili besar (merah)




Cara Penyediaannya
* Tumis bahan blend hingga wangi, masukkan serbuk ketumbar dan lada sulah.
* Masukkan minyak ke dalam daging yang telah direbus hingga kering airnya dan empuk.
* Tambahkan bahan bumbu tumis, garam, gula, kicap dan kacau rata.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Campurkan dengan kacang tanah goreng, suhun, keledek goreng dan gaul rata.

Nasi dah terhidang, jom kita makan tapi kena duduk bersila dan makan guna tangan ya.  Bismillahhirahmani rahim..
Wassalm.

Thursday, 29 November 2018

Acar Mentah Bugis Style

Assalam...
Acar mentah begini selalu ada sebagai menu sayuran yang wajib ada dalam hidangan pada hari utama sesuatu majlis seperti perkhawinan dan kesyukuran masyarakat Bugis.  Berlainan dengan menu sayur pada waktu rewang atau gotong royong hari sebelum majlis.  Melihat pada hidangan tu, baru saya tahu yang menu ini juga mengalami transformasi dari segi cara potongan sayuran dan bahan-bahan yang digunakan. 

Masih ingat versi acar orang Bugis yang dulo-dulo banyak menggunakan taugeh kontot (patuo bue) yang mereka buat sendiri dan kuahnya ada campuran kuning telur.  Susah nak jumpa acar yang guna taugeh kontot tu sekarang mungkin sebab kerja yang renyah.  Kena guna tenaga kerja yang ramai nak bersihkan taugeh kontot (patuo bue).  Dulo-dulo, ini semua kerja anak-anak gadis pada waktu malam sebelum majlis, atau saudara terdekat yang lama tak jumpa berkumpul sambil tu berkenalan dan bergurau senda. 


Hidangan kenduri orang bugis yang masih mengikut cara orang lama atau cara orang kampung.  Masih menggunakan dulang atau talam, jumlah orang untuk satu hidangan begini seramai 4 atau 5 orang.  Lauk pauk kenduri mereka yang biasa ayam masak lengkuas (nasu likku), ayam masak putih (nasu puteh), kari kambing, goreng-goreng, ikan bolu panggang dan acar (acara').


Acar Mentah Bugis Style
Sumber: Andi Sehang


Bahan-bahan
5 batang timun
1 batang lobak merah
3 biji bawang merah
1 biji cili merah

Cuka
Gula pasir
Garam
Sedikit serbuk lada putih (merica)

Cara Penyediaannya
* Bersihkan sayur-sayuran.
* Timun buang biji dan potong dadu atau mengikut kesukaan anda.  Jika timun muda boleh potong tanpa buang kulit dan bijinya.
* Lobak merah hiris memanjang, hiris bawang, dan cili besar.
* Sediakan kuah dalam mangkuk berasingan, campurkan cuka, serbuk lada putih, cili merah potong, gula, garam dan sedikit air.  Tiada sukatan metrik semua main agak-agak hingga dapat rasa yang seimbang antara manis, masam, pedas dan masin.
* Campurkan semua jenis sayuran dalam satu bekas dan tuangkan kuah.  Gaul hingga sebati, sebaiknya campurkan kuah dan sayuran ketika hendak dihidangkan.


Jika bukan hari kenduri pun boleh buat acar ini sebab simple dan senang disediakan.
Wassalam.

Tuesday, 6 November 2018

Kuih Bandang aka Nagasari

Assalamm...
Sukarnya lah berguru dengan orang lama, jika kurang sabar mau jadi gaduh atau menyerah kalah dengan mereka.  Macam ketika kami sediakan kuih bandang (nagasari) ini, ada 2 golongan yang selalu bercanggah pendapat, golongan lama (orang tua / otai) dan golongan muda.  Orang lama buat memang teliti, semua segi nak diperincikan dari segi potongan daun pisang, potongan pisang semua kena ikut law lah.  Saiz bungkusan pula mereka suka jika bungkusan kuih itu kecil dan comel.  Sementara orang muda pula tak kisah pada itu semua, lebih suka buat yang short cut sebab nak cepat selesai.


Mereka yang tidak tahan dikritik memang tak berani nak mendekat menolong.  Yang tinggal menolong pun diam tak berani nak membantah, ikutlah aturan walau dalam hati tetap sebal nak keluarkan pendapat, takut-takut jika tersalah cakap.  Apapun sebab nak dapatkan ilmu orang lama, kena lah tahan telinga dan bertabah saja lah.


Kuih Bandang (Nagasari)
Sumber: Hjh Jumria


Bahan-bahan
1 pkt (500gm) tepung beras
6 gelas santan
11/2 gelas gula pasir
Sedikit garam
Pisang masak secukupnya
- Guna pisang yang betul-betul masak (pisang nipah / pisang raja) belah dan potong dua.
Daun pisang secukupnya
- Daun pisang perlu dilayur atau layukan dibawah panas matahari dan potong sedikit bahagian pangkal dan hujung daun tersebut (bentuk segi empat).
Pengukus

Cara Penyediaannya
* Campurkan tepung beras dengan 2 gelas santan, kacau hingga sebati (jangan sampai bergentel).
* Didihkan lebihan santan yang dicampur dengan gula dan garam.
*  Bila santan sudah mendidih, tuangkan bancuhan tepung tadi sambil dikacau sebati.
* Teruskan mengacau tepung sampai masak, beku dan berkilat.  Tutup api.
* Bungkus kuih, ambil daun dan letakkan adunan tepung (satu sudu besar) pada bahagian dalam daun, ratakan (nipiskan) adunan.  
* Letakkan satu potong pisang di atas adunan dan tekan sedikit, supaya adunan dapat menutupi permukaan pisang (atau ratakan sedikit adunan di atas permukaan pisang menggunakan sudu).
* Kemaskan bungkusan dengan lipat lebihan daun pisang (bahagian kiri dan kanan).



Kukus Kuih Bandang (Nagasari)

* Sediakan pengukus, isi air yang secukupnya.  Susun kuih di dalam pengukus hingga habis dan renjis sedikit dengan air.
* Kukus dengan api sederhana.
* Pada awal mengukus jangan tutup periuk pengukus.  Tutup hanya apabila wap kukusan sudah naik.
* Kukus hingga masak lebih kurang 20 - 30 minit (daun pisang layu dan bertukar warna). 
* Hidangkan ketika kuih sudah suam atau sejuk.


Bila dah siap masak, memang cantik lah bungkusan yang rapi dan comel berbanding yang besar dan lebar.  Bila mata nampak cantik, automatik selera pun akan kata sedap juga.
Wassalam.

Sunday, 4 November 2018

Kuih Jatuh Bangun atau Cungkir Balik

Assalam...
Kelakar sungguh nama kuih ini ketika pertama kali dengar mak saudara saya cerita.  Walaupun bunyinya kelakar tetapi of course lah sedap bagi penggemar manisan.  Nama tu mungkin sebab kuih ini perlu dihidangkan atau dicantikkan yang bahagian bawah.  Jadi sebelum bahagian bawah kuih dimekapkan kena lah cungkirkan terlebih dahulu (terbalikkan bahagian bawahnya).  Dengan kata lain yang dah jatuh terjelepuk di angkat untuk diletakkan di bahagian atas, jadilah nama jatuh bangun.  Jangan jatuh tak bangun-bangun sudahlah.  Resepi boleh semak di bawah tu, saya rasa boleh kurangkan sukatan gula merah untuk kurangkan manisnya.


Kuih Cungkir Balik (Jatuh Bangun)
Sumber: Hjh Jumria

Lapisan Gula Merah
1 gelas gula merah
3 biji telur
1/2 gelas minyak masak
Loyang 9 x 9
1 helai plastik (yang muat untuk loyang)
Pengukus

Cara penyediaannya
* Kacau gula dengan telur hingga larut dan sedikit kembang.
* Masukkan minyak, kacau hingga sebati dan ringgan.
* Sediakan kukusan dan loyang yang dilapisi dengan plastik tahan panas.
* Tuangkan adunan gula merah, ratakan pada dasar loyang.
*  Kukus hingga masak lebih kurang 15 - 20 minit (lekang di tepi).
*  Tuangkan lapisan kek di atasnya dan kukus lagi hingga masak.



Lapisan Kek (Hijau atau Kuning)
3 biji telur
2/3 gelas gula pasir
2/3 gelas tepung gandum
1/2 sudu teh TBM (ovallete)
1/2 sudu teh baking powder
Pandan paste atau pewarna kuning secukupnya
Kacang kenari cincang atau almond nib

Cara Penyediaannya
* Mixer gula, telur, tbm dan baking powder hingga kembang dan putih gebu.
* Perlahankan mixer, masukkan tepung, mixer lagi hingga adunan sebati.
* Tambahkan pandan paste atau pewarna kuning.
* Tuang lapisan kek ke atas lapisan gula dan kukus hingga masak (lekang di tepi).
* Keluarkan kuih dari loyang ketika masih panas dengan mengangkat plastik lebihan di tepi.
* Terbalikkan kuih ke atas loyang yang sesuai, lapisan gula berada di atas, buka plastic dan taburkan kacang kenari cincang (almond nib).
* Potong dan hidangkan setelah sejuk.

Kuih cungkir balik (Jatuh Bangun) yang dihidangkan bersama kuih bandang (nagasari) ketika majlis doa selamat.  Style kampung yang masih guna dulang untuk menghidang makanan kepada tetamu.
Wassalam.