Showing posts with label Kuih Bugis. Show all posts
Showing posts with label Kuih Bugis. Show all posts

Saturday, 22 December 2018

Beppa Oto' (Kuih Otok)

Assalamm...
Kuih Otok salah satu kuih tradisi masyarkat Bugis.  Sudahlah lama jarang pula jumpa orang membuat kuih ini.  Sebabnya utama adalah adat tradisi orang-orang tua dahulu, mereka hanya buat kuih ini berdasarkan majlis tertentu, maksudnya tidak dibuat saja-saja.  Saya juga tidak tahu apa rasionalnya dengan alasan itu, kuih ini hanya dibuat ketika majlis kesyukuran akikah bayi atau ketika ada majlis tahlil arwah.  Selain daripada dua majlis ini mereka tak akan buat kuih ini, sebab itu kot nama dia oto' (bangkit/bangun - kelahiran dan kematian). 


Bahan untuk menghasilkan kuih ini hanya menggunakan bahan asas iaitu tepung, santan dan gula merah, dibalut daun pisang serta dikukus.  Bentuk macam lepat liat, tetapi kuih ini tidak liat dan kenyal,  sebaliknya lembut.


Beppa Otto
Sumber: Andi Sundari


Bahan-bahan
500gm tepung beras
500gm gula merah
6 gelas santan
Sedikit gula pasir
Sedikit garam
Daun pisang muda untuk membungkus


Cara Penyediaannya
* Campurkan gula bersama sebahagian santan.  Santan lebihan untuk dicampur dengan tepung.
* Masak gula merah, gula pasir, garam  bersama santan hingga gula cair.
* Masukkan bancuhan tepung dan santan kedalam air gula yang dimasak (kacau terlebih dahulu sebelum dituang agak tidak bergentel).
* Sentiasa kacau adunan atas api hingga tepung beku dan licin.
* Ambil sedikit adunan dan bentukkan memanjang sebesar jari telunjuk.
* Bungkus setiap adunan yang dibentuk tadi dengan daun pisang mudah.
* Ambil 3 atau 4 bungkusan kecil dan balut pula dengan daun pisang lain menjadi satu bungkusan yang lebar.  
* Sekiranya hendak dibungkus satu persatu, bentukkan adunan agak lebar dan sedikit besar.
* Kukus kuih hingga masak seperti mengukus kuih bandang atau nagasari.


Ini bentuk kuih oto' yang dibungkus satu persatu, lebih besar dan agak lebar.  Saya pernah makan kuih oto' yang kecil sebesar jari telunjuk, agaknya orang yang buat tu lebih rajin daripada orang yang buat besar begini.

Saya rasa tak salah kalau nak buat kuih ini untuk acara majlis makan-makan biasa, tak perlu lah nak mengikut adat sangat.
Wassalam.

Wednesday, 19 December 2018

Putu Pesse (Putu Palu)

Assalam...
Putu Pesse (pesse maksudnya tekan-tekan) ada juga yang mengenalnya sebagai putu palu, salah satu kuih tradisi suku Bugis.  Kuih paling senang untuk disediakan jika ada stock tepung beras pulut sangrai dan hanya menggunakan bahan asas gula serta kelapa parut.  Kuih ini ada sedikit bau macam hangit sikit tetapi sedap lemak-lemak manis.  Sukatan bahan agak-agak saja mengikut citarasa dan seeloknya guna kelapa muda.


Penyediaan tepung beras pulut putih agak mengambil masa untuk disediakan dan perlu disediakan lebih awal.  Bermula dengan peroses merendam beras pulut putih, menjemur dan sangrai hingga keperangan.  Selepas disangrai perlu dihaluskan (blend) terlebih dahulu sebelum digunakan atau dicampur dengan kelapa dengan gula.  Penggunaan gula boleh pilih gunakan gula merah atau gula pasir, jika orang lama lebih suka menggunakan gula kabung.


Putu Pesse (Kue Palu)
Sumber:  Kak Soda

Bahan-bahan
Tepung beras pulut sangrai
Gula merah
Kelapa parut
Secubit garam 

Cara Penyediaannya.
* Campurkan ke semua bahan hingga sekata.
* Acu menggunakan acuan kesukaan.  Tekan-tekan (pesse) kuih hingga padat dalam acuan dan keluarkan.
*  Sedia untuk di hidangkan.

Puas rasanya dapat makan kuih ini, sebab memang dah lama sangat tak jumpa orang buat.  Lepaslah geram ngap beberapa biji.
Wassalam.

Friday, 14 December 2018

Kuih Dange aka Dangai

Assalam...
Rasa ambil masa yang lama sangat baru dapat makan kuih ini.  Tak tahulah kenapa bukan kena guna bahan-bahan yang complicated pun, guna 4 bahan saja.  Biasalah kuih orang lama hanya guna bahan asas, tapi masih juga susah nak membuatnya.  bagi saya sebab nak daptkan kelapa muda tu yang payah, selalu pergi kedai hanya ada kelapa tua, tapi sebab dah lama teringin nak buat kelapa tua pun tua lah yang penting guna yang putih saja.



Ini hasil yang konon-konon nak ikut resepi hipster, tambahkan sedikit majerin lepas tu makcik pula terlebih tuang gula.  Hasilnya dangai keras dan manis leting.  Bagi saya lebih suka rasa lemak kelapa daripada rasa lemak majerin tu, lebih suka hasil dange yang guna resepi lama.


Yang belakang tu tergosong sikit sebab asyik dok layan video si Nas Daily.  Walaupun gosong tetap sedap tiada yang dibazirkan termasuk seredak-seredak tu. 


Dangai / Dange
Sumber: Hjh Kasah

Bahan-bahan
1 mangkuk kelapa parut
1/2 mangkuk tepung pulut
2 sudu gula
secubit garam

Cara Penyediaannya
* Campurkan semua bahan hingga rata
* Panaskan acuan, griss dengan sedikit minyak atau majerin.
* Boleh tenggekan acuan atas dapur atau bakar guna oven.  Saya masak atas dapur saja.
* Isi acuan hingga penuh dan tutupkan acuan.
* Masak lebih kurang 10-15 minit, hingga kekuningan dan angkat.
* Hidangan sementara panas.

Tempat lain mungkin dange ini ada nama lain, saya pernah dengar kawan kata nama kuih ini di kampungnya di panggil kuih rangin. 
Wassalam.

Tuesday, 6 November 2018

Kuih Bandang aka Nagasari

Assalamm...
Sukarnya lah berguru dengan orang lama, jika kurang sabar mau jadi gaduh atau menyerah kalah dengan mereka.  Macam ketika kami sediakan kuih bandang (nagasari) ini, ada 2 golongan yang selalu bercanggah pendapat, golongan lama (orang tua / otai) dan golongan muda.  Orang lama buat memang teliti, semua segi nak diperincikan dari segi potongan daun pisang, potongan pisang semua kena ikut law lah.  Saiz bungkusan pula mereka suka jika bungkusan kuih itu kecil dan comel.  Sementara orang muda pula tak kisah pada itu semua, lebih suka buat yang short cut sebab nak cepat selesai.


Mereka yang tidak tahan dikritik memang tak berani nak mendekat menolong.  Yang tinggal menolong pun diam tak berani nak membantah, ikutlah aturan walau dalam hati tetap sebal nak keluarkan pendapat, takut-takut jika tersalah cakap.  Apapun sebab nak dapatkan ilmu orang lama, kena lah tahan telinga dan bertabah saja lah.


Kuih Bandang (Nagasari)
Sumber: Hjh Jumria


Bahan-bahan
1 pkt (500gm) tepung beras
6 gelas santan
11/2 gelas gula pasir
Sedikit garam
Pisang masak secukupnya
- Guna pisang yang betul-betul masak (pisang nipah / pisang raja) belah dan potong dua.
Daun pisang secukupnya
- Daun pisang perlu dilayur atau layukan dibawah panas matahari dan potong sedikit bahagian pangkal dan hujung daun tersebut (bentuk segi empat).
Pengukus

Cara Penyediaannya
* Campurkan tepung beras dengan 2 gelas santan, kacau hingga sebati (jangan sampai bergentel).
* Didihkan lebihan santan yang dicampur dengan gula dan garam.
*  Bila santan sudah mendidih, tuangkan bancuhan tepung tadi sambil dikacau sebati.
* Teruskan mengacau tepung sampai masak, beku dan berkilat.  Tutup api.
* Bungkus kuih, ambil daun dan letakkan adunan tepung (satu sudu besar) pada bahagian dalam daun, ratakan (nipiskan) adunan.  
* Letakkan satu potong pisang di atas adunan dan tekan sedikit, supaya adunan dapat menutupi permukaan pisang (atau ratakan sedikit adunan di atas permukaan pisang menggunakan sudu).
* Kemaskan bungkusan dengan lipat lebihan daun pisang (bahagian kiri dan kanan).



Kukus Kuih Bandang (Nagasari)

* Sediakan pengukus, isi air yang secukupnya.  Susun kuih di dalam pengukus hingga habis dan renjis sedikit dengan air.
* Kukus dengan api sederhana.
* Pada awal mengukus jangan tutup periuk pengukus.  Tutup hanya apabila wap kukusan sudah naik.
* Kukus hingga masak lebih kurang 20 - 30 minit (daun pisang layu dan bertukar warna). 
* Hidangkan ketika kuih sudah suam atau sejuk.


Bila dah siap masak, memang cantik lah bungkusan yang rapi dan comel berbanding yang besar dan lebar.  Bila mata nampak cantik, automatik selera pun akan kata sedap juga.
Wassalam.

Sunday, 4 November 2018

Kuih Jatuh Bangun atau Cungkir Balik

Assalam...
Kelakar sungguh nama kuih ini ketika pertama kali dengar mak saudara saya cerita.  Walaupun bunyinya kelakar tetapi of course lah sedap bagi penggemar manisan.  Nama tu mungkin sebab kuih ini perlu dihidangkan atau dicantikkan yang bahagian bawah.  Jadi sebelum bahagian bawah kuih dimekapkan kena lah cungkirkan terlebih dahulu (terbalikkan bahagian bawahnya).  Dengan kata lain yang dah jatuh terjelepuk di angkat untuk diletakkan di bahagian atas, jadilah nama jatuh bangun.  Jangan jatuh tak bangun-bangun sudahlah.  Resepi boleh semak di bawah tu, saya rasa boleh kurangkan sukatan gula merah untuk kurangkan manisnya.


Kuih Cungkir Balik (Jatuh Bangun)
Sumber: Hjh Jumria

Lapisan Gula Merah
1 gelas gula merah
3 biji telur
1/2 gelas minyak masak
Loyang 9 x 9
1 helai plastik (yang muat untuk loyang)
Pengukus

Cara penyediaannya
* Kacau gula dengan telur hingga larut dan sedikit kembang.
* Masukkan minyak, kacau hingga sebati dan ringgan.
* Sediakan kukusan dan loyang yang dilapisi dengan plastik tahan panas.
* Tuangkan adunan gula merah, ratakan pada dasar loyang.
*  Kukus hingga masak lebih kurang 15 - 20 minit (lekang di tepi).
*  Tuangkan lapisan kek di atasnya dan kukus lagi hingga masak.



Lapisan Kek (Hijau atau Kuning)
3 biji telur
2/3 gelas gula pasir
2/3 gelas tepung gandum
1/2 sudu teh TBM (ovallete)
1/2 sudu teh baking powder
Pandan paste atau pewarna kuning secukupnya
Kacang kenari cincang atau almond nib

Cara Penyediaannya
* Mixer gula, telur, tbm dan baking powder hingga kembang dan putih gebu.
* Perlahankan mixer, masukkan tepung, mixer lagi hingga adunan sebati.
* Tambahkan pandan paste atau pewarna kuning.
* Tuang lapisan kek ke atas lapisan gula dan kukus hingga masak (lekang di tepi).
* Keluarkan kuih dari loyang ketika masih panas dengan mengangkat plastik lebihan di tepi.
* Terbalikkan kuih ke atas loyang yang sesuai, lapisan gula berada di atas, buka plastic dan taburkan kacang kenari cincang (almond nib).
* Potong dan hidangkan setelah sejuk.

Kuih cungkir balik (Jatuh Bangun) yang dihidangkan bersama kuih bandang (nagasari) ketika majlis doa selamat.  Style kampung yang masih guna dulang untuk menghidang makanan kepada tetamu.
Wassalam.

Tuesday, 3 July 2018

Kuih Karas

Assalam...
Karas, kueh tradisi orang tua-tua, tak ramai yang tahu buat kueh ini.  Sekali pandang macam bentuk bihun yang telah digoreng.  Masa kecil dulu pernah tengok arwah nenek buat untuk majlis perkhawinan, lepas daripada itu tak pernah lagi, mak saya pun dah tak pernah buat kuih ini.  Kuih Karas nak buatnya kena ada alat khas macam tempurung yang ada lubang-lubang kecil, kemudian ketuk-ketuk tepi tu supaya adunan tepung jatuh ke kuali.  Penuh kesabaran nak buatnya.  Arwah nenek panggil kueh karasa atau nennu-nennu. 

Kuih karas ni, kiriman dari Kak Mah dari Sidam Kiri, Kedah.  Jauh datangnya, kebetulan ada hamba Allah yang sudi bawa ke KL, sebenarnya dia nak balik bertugas di Sarawak tetapi kena transit KL sehari.  Kak Mah kirim kuih untuk disampaikan kepada bapak di kampung, tapi kami cukai serba sikit dulu no.


Perjalanan balik dari ambil kuih, dapat-dapat jer terus makan dalam kereta.  Habis setengah balang dikerjakan oleh kami.  Sedap sangat fresh dari ladang,...krak kruk krak kruk bunyi monster makan kueh karas.


Jangan tanya resepi sebab kami tak tahu buat dan tak pernah buat.  Nantilah ada masa nak pi berguru kat Kak Mah baru boleh bagi resepi nah.  Semoga murah rezeki Kak Mah dan Mak Andak sekeluarga.
Wassalam.

Wednesday, 13 June 2018

Kueh Buroncong


Assalam...
Buroncong adalah nama satu jenis kueh tradisi yang dijadikan kudapan pada hari-hari biasa di dalam masyarakat bugis.  Hanya menggunakan bahan asas tepung gandum, kelapa parut dan gula, manakala acuannya terbentuk khas untuk membakar kuih ini.  Rasanya padat, lemak kenyal-kenyal dan sedikit manis.



Tambahan bahan majerin cair dalam adunan dan diguna untuk menggoles acuan buroncong menambahkan sedap pada kuih.  Tambah rasa lemak dan wangi.


Adunan batter tu agak-agak jer cairnya.  Uji dengan menjatuhkan adunan, jika bekas adunan tu jatuh, cepat je hilang bekasnya maknanya batter dah sempurna.


Kueh Buroncong
Sumber:  Kak Soda


Bahan-bahan
1 kg tepung gandum
1 biji kelapa parut putih - kelapa muda
2 gelas gula pasir - kurang atau tambah sesuai dengan manis yang diingini.
1/2 cawan majerin - cairkan
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning
air secukupnya

- Bakar menggunakan acuan buroncong seperti di dalam gambar.



Cara Penyediaannya
*   Campurkan tepung, gula pasir dan kelapa parut muda, gaul sebati.
*  Masukkan pewarna kuning telur, dan air.
*  Masukkan air sedikit demi sedikit, ambahkan dengan majerin cair, aduk sekata hingga gula larut.
*  Kecairan adunan seperti batter untuk goreng pisang.
*  Panaskan acuan di atas dapur.  Oles dengan majerin.
*  Tuangkan adunan ke dalam acuan hingga penuh.  Tutupkan acuan.
*  Keluarkan kuih dari sarangnya apabila telah masak.
*  Hidangkan, kuih buroncong sangat sedap dimakan ketika masih panas. 



Makan di teres depan sambil bersembang bersulamkan air teh o panas, tak sedar kueh dah luak di dalam pinggan.  Tukang masak di dapur tak menang tangan, kuih tak siap lagi orang dah datang suah pinggan kosong minta ditambah.


Ada pantun untuk diri sendiri sempena ramadhan dan syawal ini....
Bangun sahur minum milo
Buke puase makan telo
Sebulan puasa hilang 4 kilo
Raya ke-3 naik 7 kilo


Hari ini dah last kerja sebelum bercuti, selamat balik kampung, selamat hari raya aidilfitri semua dan  selamat bercuti.
Wassalam.

Sunday, 10 June 2018

Kueh Ondeh-Ondeh


Assalam...
Kuih ini termasuk kuih yang banyak nama dan boleh confius kan orang.  Ada yang bila sebut kuih ondeh-ondeh terbayang kuih bom, bila sebut buah melaka baru merujuk kepada kuih ondeh-ondeh yang satu ini.  Ada juga yang menyebut gandingan kedua-dua namanya sekali iaitu ondeh-ondeh buah melaka.  Keluarga saya hanya kenal ini sebagai ondeh-ondeh, kalau sebut buah melaka mesti mereka tak kenal.  Saya pula ada nama khas untuk kuih ini, panggilan saya pada kuih ini sejak kecil (menurut mak saya) adalah kuih gong-gong.   



Amat senang nak buat dan hanya menggunakan bahan asas tepung pulut, kelapa parut dan gula melaka.  Teringat cerita seorang pakcik di kampung dulu tentang kuih ini, tak tahu lah betul ker tidak, tapi kisah tu berulang-ulang dia kisahkan pada kami masa kecil.  Cerita zaman penjajah kot, dia kata tok nenek kita dulu mana ada kuih-kuih moden, bahan-bahan buat kuih pun ada asas saja, tak kenal lagi kek, muffin dan sebagainya.  Suatu hari diadakan pertandingan memasak kuih dan juri yang jadi pengadil tu adalah pembesar-pembesar orang putih dan isteri meraka.  Pertandingan terbuka kepada wanita yang tinggal pekan dan kampung.  Wanita pekan, menghidangkan kueh yang cantik-cantik, manakala mereka yang dari  kampung hanya menghidangkan kueh ondeh-ondeh.  Namun juri memilih kueh ondeh-ondeh sebagai pemenang kerana perasaan kagum mereka dengan kueh ini, sementara kueh orang pekan tu sudah sangat biasa bagi mereka.  Saya tanya pakcik tu apa yang buat mereka kagum?  mereka kagum macamana inti cair itu boleh ada di dalam kueh ondeh-ondeh?.  Kalau macam tu, kek coklat yang ada lava keluar meleleh ketika dipotong, idea dapat daripada ondeh-ondeh lah kot, wallahualam.  


Kueh Ondeh-ondeh
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
1 bungkus tepung pulut
1 ketul gula melaka - potong cube 1/2"
1 biji kelapa parut putih
Sedikit garam
Air


Cara Penyediaanya
* Campurkan kelapa parut dengan sedikit garam, ketepikan.
*  Tepung pulut campur dengan sedikit air, uli hingga tidak melekat di tangan.
* Ambil sedikit  adunan dan bulat-bulatkan, tekan dibahagian tengah untuk letakkan gula melaka cube.  Tutupkan inti gula melaka dan bulat-bulatkan semula adunan.  Pastikan gula tersalut elok dan tidak ada permukaan yang bocor.
*  Jerangkan air hingga mendidih.
* Masukkan bebola ondeh-ondeh ke dalam air mendidih.  Kueh yang dah masak akan timbul dipermukaan air.
*  Angkat dan sejat kueh yang sudah timbul.
*  Golekkan kueh ke dalam kelapa parut yang sudah dicampur garam hingga semua permukaan tersalut kelapa.
*  Hidangkan.


Memang ternyata kesukaan orang berbeza-beza, begitu juga dengan kuih yang satu ini.  Ramai pengemarnya di kalangan sahabat termasuklah en.Abe.
Wassalam.

Monday, 18 December 2017

JALANGKOTE


Assalam...
JALANGKOTE,  bukan mencarut tau, tapi ini nama benda gorengan ini di tempat asalnya di Makassar.  Nama lain mereka panggil pastel, tetapi kalau intinya mee atau bihun lebih senang dipanggil dengan nama Jalankote.  Karipap lah kalau kita, yang inti kari kentang, sardin atau daging tu banyak jer orang jual sini, tetapi teringat-ingat nak makan yang satu ini.  En.Abe pun kadang tercerita pasal makan jalangkote ini, dia memang peminat karipap, bila jumpa jalangkote ini, pun jadi terjatuh suka juga.  Kalau dah selalu sebut tu, umpama hint nak suh buatlah tu kan, eh saja jer cari pasal.  Tetapi sebab sendiri pun suka, bersemangat lah nak buat, cuba kalau orang tu jer yang minat, boleh buat donno je.  Ini jumpa resepi yang macam sedap kat Ig, memang sedap pun.  Hasil kurang cantik bukan salah resepinya, salah sendiri, dalam sejarah daku memang tak pernah sukses buat yang namanya karipap / jalangkote.


Pintal lah tepi tu walaupun tak berseni, apakan daya skill memang takde dalam bab pintal-pintal ini.  Acuan pun entah letak kat mana, tak larat lah nak bongkar semua kotak di tengah malam.


Ini sos cili untuk jalangkote yang terpedas sangat lah pula, akibat semangat yang berkobar-kobar, penuh tangan daku kaut cili padi.  Resepinya lebih kurang nak buat karipap, cuma intinya beza dan ketika nak menikmatinya titikan sos lada atau makan bersama cili.



JALANGKOTE / PASTEL
Sumber: Mbaiyya

Bahan Untuk Kulit
1kg tepung gandum
2 biji telur
350 - 375ml air
200gm majerin
sedikit garam

Cara Penyediaannya
*  Campurkan semua bahan, guna hujung jari untuk mengaulkan tepung.
*  Masukkan air sedikit demi sedikit hingga habis.
*  Uli adunan hingga licin atau tidak melekat pada tangan.
*  Rehatkan adunan sekejap (lebih kurang 30 minit).  Sambil nak restkan adunan boleh sediakan inti atau sos lada.
*  Ambil sedikit doh dan leperkan dan tekap bentuk bulat.
*  Letakkan inti dan tekan atau pintal bahagian tepinya.  Guna acuan karipap lebih mudah bagi yang kurang berseni buat kelim tepi tu (macam saya).
*  Panaskan minyak dan goreng jalangkote hingga kekuningan.
*  Ketika hendak makan, patahkan atau tebuk hujung jalangkote untuk titikan sos lada atau masukkan cili padi. 


Nota - Untuk frozenkan, goreng setengah masak dan lapik guna plastik untuk mengelakkan melekat.



Bahan Untuk Intinya
500gm daging
250gm taugeh
2 biji kentang sederhana - dadu 
3 biji lobak merah - dadu
2 batang daun bawang
3 batang daun sup
75gm bihun
5 biji telur rebus - belah 4 (optional) 
Serbuk lada putih
4 biji bawang putih - tumbuk  halus
6 biji bawang merah - tumbuk halus
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Serbuk perasa sesuai rasa
Sedikit minyak

Cara Penyediaannya
*  Rebuskan daging hingga empuk.  Toskan dan potong dadu.  Jika guna daging cincang, masak sekejap saja.
*  Tumiskan bahan tumbuk hingga wangi.  
*  Masukkan daging, kentang dan lobak merah.  Tambah sedikit air, masak lagi hingga kentang dan lobak merah matang.
*  Masukkan bahan-bahan yang lain kecuali telur rebus.
*  Sesuaikan rasanya dan angkat.
*  Toskan bahan inti.  Tadah air lebihkan daripada bahan inti (air lebihan ini untuk digunakan untuk membuat sos cili jalangkote).
 


Bahan Untuk Sos Lada
Cili padi secukupnya
Air lebihan daripada bahan inti
Garam
Cuka / air limau nipis.

Cara Penyediaannya
*  Blend cili padi dan didihkan.
*  Campurkan air lebihan inti tadi.  
*  Tambahkan gula, garam dan sedikit cuka atau air limau nipis.  Sesuaikan rasanya.
*  Titikkan ke dalam jalangkote semasa hendak makan.


Tips dari pemberi resepi, hasil jalangkote yang cantik kulitnya kena menggerutu (jerawatan) ketika digoreng.  Yang saya buat memang berjerawat tetapi yang sempat disnap ini tak nampak pulak jerawatnya, dah jadi mulus selepas disejukkan semalaman dalam peti ais.
Wassalam.

Thursday, 19 October 2017

Penyaram Keladi


Assalam...
Rupa tak begitu sempurna tapi nak tunjuk juga, tulah tak semua benda yang kita buat hasilnya menjadi dan cantik kan.  Itulah risiko memasak kuih-kuih lama nie, banyak lah faktor kenapa jadi begitu,  Tapi tak sempat nak mengkaji, habis jer semua masuk mulut sebab rasanya tetap sedap.  


Sebenarnya terpikat selepas melihat gambar-gambar orang buat penyaram keladi ni (Kueh Cucur Taro).  Sukatan resepi hampir sama cuma cara menyediakan adunan tu ada kelainan sedikit.  Ini akibatnya jika derhaka kot, saya guna resepi yang selalu ikut, cuma gula merah gantikan dengan gula pasir dan tambah paste keladi (tak jumpa tepung keladi/ taro).


Penyaram Keladi
Sumber:  Mulia


Bahan-bahan
500gm tepung gandum
100gm tepung beras
650ml air panas
sedikit garam
500gm gula pasir
2 sudu makan paste keladi
minyak secukupnya


Cara Penyediaannya
* Campur gula bersama dengan air panas, kacau hingga gula larut.  Ketepikan biarkan hingga suam
*  Campur tepung dengan garam dan masukkan air gula.  Kacau guna whisk hingga sebati.  Jika bimbang ada benda asing daripada tepung atau gula boleh lah tapiskan adunan.
*  Tambahkan paste keladi dan gaul sebati.  Perap adunan selama beberapa jam atau semalaman.
*  Panaskan 2/3 cawan minyak dalam kuali kecil yang melengkung (guna api perlahan).  
*  Tuang satu senduk adunan di tengah-tengah kuali.  Biarkan kuih masak dari tepi hingga ke tengah baru siram-siramkan minyak pada kuih atau diterbalikkan.  Angkat dan toskan minyak.
*  Goreng satu persatu hingga habis.
 


Komen dari en.Abe, sedikit manis (kadar kemanisan gula pasir dan merah tak sama, so kena kurangkan sedikit).  Saya ada menyimpan adunan lebihan dalam chiller, sebab adunan mengikut resepi ini memang agak banyak jika makan berdua.  Goreng sehari selepasnya itu masih elok, rupa paras cucur pun cantik (perlu keluarkan terlebih dahulu dan biarkan dalam suhu bilik kemudian goreng).
Wassalam.