nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Pemanis Mulut. Show all posts
Showing posts with label Pemanis Mulut. Show all posts

Tuesday, 5 December 2017

Lao Mandre - Ice Kerim Gula Apong Kota Belud


Assalam...
Selalu saya dengar istilah gula apong, dituturkan oleh orang Sarawak bila merujuk kepada gula merah yang diperbuat daripada air nira pokok nipah.  Lebih mesra dengan panggilan nise bagi orang Kelantan.  Keluarga sebelah saya pula lebih banyak menggunakan gula merah daripada nira pokok kabung.  Tak sangka di Kota Belud Sabah pun femes dengan gula apong.  Aishh buat malu saja orang Sabah tidak tahu hal ini.



Thanks to Rinna yang cadang dan bawa kami makan ais krim di sini, selera dia memang boleh dipercayai.  Kedai ini tak menawarkan banyak pilihan menu, tapi semua menu yang kami order petang itu memang terbaik.  Sesuai dengan selera kami terutama soto ayam dan ais krim.  Dah balik tu baru rasa nyesal tak order cendol yang juga menggunakan gula apong.


Menu utama adalah dessert, namun bagi yang nak sesuatu yang berat beberapa menu berasaskan nasi, me dan sup disediakan.  Tak ingat siapa yang order ini, nasi ayam penyet, sedap juga.

Terbaik dengan soto ayam ni, ada kelainan sikit dengan soto ayam Johor style yang biasa kita makan.  Boleh kot kita cakap yang ini soto ayam Sabah style.


Dessert Buko Pandan, memang femes rupanya dessert ini, dan memang orang kenal Sabah ada makanan ini  walaupun ia dikatakan dessert yang berasal dari Filipina.  Suku kaum bajau Kota Belud yang popularkan, mungkin jika dibuat kajian susur galur mereka ada persamaan dari suku kaum yang berada di Filipina.


Kedudukan kedai berada di tepi jalan, jalan utama Kota Belud - Kota Marudu, memudahkan pelanggan untuk singgah menikmati ais krim mahu pun cendol di sini.  Jika ada rezeki lalu sini lagi, mesti kena singgah menikmati ais krim. 


Sesiapa yang terjejak kaki ke daerah Kota Belud, Sabah, boleh masukan dalam whishlist ko orang.  Tak cuba mana nak tahu.
Wassalam.

Thursday, 19 October 2017

Penyaram Keladi


Assalam...
Rupa tak begitu sempurna tapi nak tunjuk juga, tulah tak semua benda yang kita buat hasilnya menjadi dan cantik kan.  Itulah risiko memasak kuih-kuih lama nie, banyak lah faktor kenapa jadi begitu,  Tapi tak sempat nak mengkaji, habis jer semua masuk mulut sebab rasanya tetap sedap.  


Sebenarnya terpikat selepas melihat gambar-gambar orang buat penyaram keladi ni (Kueh Cucur Taro).  Sukatan resepi hampir sama cuma cara menyediakan adunan tu ada kelainan sedikit.  Ini akibatnya jika derhaka kot, saya guna resepi yang selalu ikut, cuma gula merah gantikan dengan gula pasir dan tambah paste keladi (tak jumpa tepung keladi/ taro).


Penyaram Keladi
Sumber:  Mulia


Bahan-bahan
500gm tepung gandum
100gm tepung beras
650ml air panas
sedikit garam
500gm gula pasir
2 sudu makan paste keladi
minyak secukupnya


Cara Penyediaannya
* Campur gula bersama dengan air panas, kacau hingga gula larut.  Ketepikan biarkan hingga suam
*  Campur tepung dengan garam dan masukkan air gula.  Kacau guna whisk hingga sebati.  Jika bimbang ada benda asing daripada tepung atau gula boleh lah tapiskan adunan.
*  Tambahkan paste keladi dan gaul sebati.  Perap adunan selama beberapa jam atau semalaman.
*  Panaskan 2/3 cawan minyak dalam kuali kecil yang melengkung (guna api perlahan).  
*  Tuang satu senduk adunan di tengah-tengah kuali.  Biarkan kuih masak dari tepi hingga ke tengah baru siram-siramkan minyak pada kuih atau diterbalikkan.  Angkat dan toskan minyak.
*  Goreng satu persatu hingga habis.
 


Komen dari en.Abe, sedikit manis (kadar kemanisan gula pasir dan merah tak sama, so kena kurangkan sedikit).  Saya ada menyimpan adunan lebihan dalam chiller, sebab adunan mengikut resepi ini memang agak banyak jika makan berdua.  Goreng sehari selepasnya itu masih elok, rupa paras cucur pun cantik (perlu keluarkan terlebih dahulu dan biarkan dalam suhu bilik kemudian goreng).
Wassalam.

Tuesday, 17 October 2017

Marble Kek,


Assalam...
Saya pengemar kek.  Cewah nak buat confession yang saya suka makan kek dan rasa ada yang tak kena jika tak mencicipi dessert.  Golongan berisiko senang dapat penyakit sebab suka makan benda manis kata orang, lagi-lagi bila umur berkaki tinggal sikit nie.   



Orang terer buat kek, setakat buat kek marble ini sebelah mata jer, ada yang pejam mata dah jadi, boleh lah guna tagline paling senang, paling mudah, sure jadi gebu gebas.  Tapi saya orang yang dah tak berapa nak muda, masih merangkak-rangkak nak belajar, susah gak lah rasanya. 


Ada beberapa resepi yang dah cuba buat, tapi kadang tak menjadi seperti yang diingini.  Ini resepi yang baru jumpa, dan dicuba.  Hasilnya memang sangat memuaskan, tapi maaf saya dah lupa saya jumpa kat mana resepi tu. 



Kek Marble
Sumber:


Bahan-bahan
250gm butter / majerin - saya guna planta
250gm tepung naik sendiri
250gm gula castor
8 biji telur B
1 sudu makan ovalette
1 sudu teh esen vanilla
2 sudu besar serbuk koko - saya guna 2 sdm coklat emulco.



Cara Penyediaannya
*   Cairkan mentega / majerin dan sejukkan.
*  Putar telur, gula, esen dan ovalette hingga kembang dan warna pucat (guna speed tinggi).
*  Masukkan tepung sedikit demi sedikit (guna speed rendah).
*  Masukkan majerin cair, gaul sebati.
*  Bahagi adunan kepada 2 bahagian.  Satu warna asal satu lagi warna coklat.  (Boleh nak guna warna apa pun terpulang kreativiti sendiri).
*  Masukkan adunan ke dalam acuan secara berselang seli hingga habis.
*  Bakar selama 40 minit dengan suhu 170'C atau hingga masak (ikut kepanasan oven masing-masing).



Esok kan cuti depavali boleh lah buat untuk makan-makan bersama keluarga tercinta.  Happy Dilwali untuk semua kawan-kawan yang meraihkan pesta cahaya esok.
Wassalam.

Keciri Mandi aka Ketiri mandi


Assalam..
Kadang-kadang disebut sebagai keciri mandi atau ketiri mandi, adalah kuih yang sama.  Kuih orang lama, suku kaum lain memanggilnya dengan nama lain.  Kaedah nak buat lebih kurang biji nangka orang Kelantan, cuma tidak diberi warna, seakan sama juga dengan kuih orang Banjar yang dinamakan wadai kepeng, cuma bentuknya dibuat bulat-bulat dan tekan ditengah.
 


Jom kita semak resepinya,


Keciri Mandi @ Ketiri Mandi
Sumber: Muntaha


Bahan-bahan
tepung pulut
sedikit garam
air
daun pandan simpulkan
gula merah / gula pasir
Santan


Cara Pembuatannya
*   Campurkan tepung dengan air, uli perlahan sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk.
*  Bentukkan panjang atau bulat dan tekan sedikit dibahagian tengah.
*  Jerang air dalam periuk hingga mendidih.  Masukkan biji-biji keciri mandi ke dalam air mendidih.  Angkat kuih yang timbul dipermukaan dan rendamkan seketika di dalam air sejuk. Toskan.
*  Dalam periuk yang lain, masak gula merah / gula pasir, daun pandan dan air hingga gula cair.  Masukkan santan dan tambah sedikit garam.
*  Sesuaikan rasanya dan angkat.



Kuih ini boleh dinikmati suam atau sejuk, terpulang pada selera masing-masing.
Wassalam.

Friday, 13 October 2017

Kek Pulut Hitam - Kukus


Assalam...
Hari tu dah buat kek pulut hitam yang versi bakar, ini yang versi kukus pula.  Bila dah suka, berulang-ulang kena buat sampai puas.  Hari tu bagi kat orang try sambil tengok siapa yang suka dan tak suka.  Yang minat makan kek krim bercheese tu memang tak berapa gemar yang stail ini, tetapi old school punya orang kebanyakkan suka akan kek ini.  So mokcik ini termasuk yang old school punya orang lah.  


Bolu Kukus Ketan hitam (Kek Pulut Hitam- Kukus)
Sumber: Ig. doyanbaking


Bahan A
6 biji telur
220gm gula halus
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu teh esen vanila
1 sudu makan ovalette


Bahan B
250gm tepung pulut hitam
1 sudu teh baking powder


Bahan C
200gm mentega cairkan
2 sudu makan susu pekat.



Cara Penyediaannya
*  Panaskan pengukus, balut penutup dengan kain bersih untuk mengelakkan  wap air menitis ke atas kek (atau boleh tutup loyang dengan faoil). 
*  Pukul bahan A hingga mengembang dan kental
*  Masukkan bahan-bahan B, gaul hingga bercampur rata.
*  Tuangkan bahan C.  Gaul hingga sebati dan tuang ke dalam loyang.
*  Kukus lebih kurang 45 atau sehingga masak
*  Setelah masak, biarkan sejuk kemudian hidangkan.
 


Taraaaaa, dah siap kek pulut hitam kita.  Sekali pandang macam kek coklat kan, tapi bila makan rasanya jauh berbeza.
Wassalam.

Thursday, 12 October 2017

Apam Susu


Assalam...
Hasil berjalan-jalan di page Masak Apa Hari Ini (MAHN), platform yang share banyak resepi dan ada yang sertakan step by step serta video penerangan.  Keahlian terbuka tak semestinya awak kena sumbang resepi.  Ramai yang jadi follower sebab nak cari idea memasak untuk keluarga, nak cari resepi baru, nak belajar masak mahupun resepi yang dijadikan sumber pendapatan.  Baguskan manfaatnya boleh dinikmati bersama, ahli pun ramai daripada mereka yang memang pro memasak, pertengahan, amatur  dan mereka yang baru hendak belajar masuk dapur "saya budak baru belajar"Pastu yang paling best bila ramai yang try sesuatu resepi dan hasilnya sangat menjadi, namun ada juga yang sebaliknya, bagi yang ikhlas memberi ilmu akan memberikan tips apa yang perlu dan tidak.  Page ini juga boleh dianggap sebagai medan ilmu, terhadap perkara baru yang belum pernah kita temui.  Kadang geli hati dan sedih juga tengok perbahasan  pasal masak kat dalam tu terutama bagi yang baru nak belajar bertanyakan sesuatu perkara yang paling asas.  Akan ada ahli yang baik budi pekerti memberi penerangan dan tak kurang juga yang suka perlekehkan seolah-olah semua orang itu sama ilmu dan kepandaian. 


Contoh resepi apam susu ini, kalau ikut resepi dan cara yang mereka kongsikan memang sangat mudah.  Sudah tentu mereka yang kurang mahir akan tertarik untuk turut mencuba.  Ada yang buat apam susunya jadi gebu gebas, tak kurang juga yang bantat kematu.  Hasil yang saya buat pun hampir bantat kematu, adunan yang saya blender tak menjadi kembang dan gebu (blender saya kurang best kot).  Cepat-cepat tukar guna mixer hingga adunan kembang dan gebu.
 

Apam Susu 
Sumber: MAHN group


Bahan-bahan
4 biji telur*
1 cawan gula*
1 sudu besar ovallet*
4 sudu besar susu pekat*
2 cawan tepung gandum
Sedikit essen vanila



Cara Penyediaanya
*  Blend bahan yang bertanda "*" sehingga betul-betul gebu.  (Saya blend separuh jalan, kemudian sambung guna mixer).
*  Masukkan esen vanila dan tepung gandum.
*  Gaul sebati dan bahagikan adunan kepada 2 atau 3 warna mengikut kesukaan anda.
*  Masukkan dalam acuan berselang-seli mengikut warna pilihan.
*  Kukus selama 30 minit atau hingga masak, lebih sikit pun takpe sebab takut tak masak (cuma jangan selalu buka penutup).


Never give up bila mencuba sesuatu resepi, kalau cara ini tak berhasil mungkin kena cari alternative yang hampir sama.  Sebab kadang bila kita bertukar cara sikit akan memberi hasil yang sangat bagus.  Berhati-hati dengan resepi-resepi yang ada tagline mudah, senang dah cepat, mungkin tak sesuai dengan cara kita.  Ajar diri untuk mencuba sesuatu resepi yang panjang berjela yang macam susah nak hadam dengan langkah-langkah yang panjang, kadang yang begini lebih memberi kepuasan dan  susah payah anda berbaloi.
Wassalam.

Thursday, 5 October 2017

Pukis Susu


Assalam...
Ini kisah sarapan pagi semasa mak mertua bersama adik beradik datang ke rumah.  Mati kutu fikir nak hidang apa untuk mereka, ikut hati nak beli yang tunjuk-tunjuk aje.  Almaklum begitulah kalau tak pandai masak, orang datang rumah baru nak mengelabah.  Google sana, google sini, cari resepi yang senang-senang dan mudah disediakan.  Janji sedap dan halalan toyyiban.

Persilahkan semua tetamu masuk tidur dulu, baru kita beraksi di dapur.  Tengah malam kita sediakan adunan pukis, dengan harapan esok subuh bangun terus dah boleh masak.  Adunan pukis sebenarnya kena peram sekejap saja, lebih kurang 40 minit ke sejam gitu, tapi kita bantai peram lebih 4 jam.  Tak perlu risau ok jer adunan tu. 


Untunglah ada acuan ini, masak kuih terus atas dapur tak perlu guna oven.  Terima kasih banyak kepada siapa yang hadiakan hari itu, akhirnya keluar juga.  Tapi kalau awak dapat acuan, rajin-rajin lah guna yer, janganlah terlebih peram macam adunannya.  Kang acuan boleh merajuk macam tuan yang bagi.  



Ini resepi kita dapat daripada Ig dan blog orang seberang.  Kuih pukis ini popular di Indonesia, so kita cari resepi dari sana lah.


PUKIS SUSU
Sumber: RinaRinso

 
Bahan-bahan
4 biji telur
300gm gula pasir
500gm tepung gandum
1/2 bungkus yis
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh garam
750ml santan
3 helai daun limau purut (saya tak letak) 
1/2 tin susu pekat manis
230gm butter / majerin - cairkan dan sejukkan
1 sudu serbuk koko - (saya guna coklat emulco)
 



Cara Penyediaannya.
*  Panaskan santan dengan daun limau purut dan garam hingga mendidih.  Sejukkan hingga suam-suam kuku dan campurkan dengan susu pekat.  Gaul rata.
*  Pukul telur dengan gula hingga kembang.  Masukkan tepung, yis dan esen vanilla.  Gaul sebati.
*  Masukkan santan yang masih hangat suam-suam kuku. Boleh guna mixer (speed perlahan).  
*  Masukkan pula majerin / butter cair.  Gaul rata dan peram adunan selama sejam.  Adunan akan mengembang sedikit.
*   Ambil sedikit adunan dan campurkan dengan serbuk koko untuk dicorakkan ke atas pukis.
*  Panaskan acuan dan oles dengan majerin / minyak.  Setelah cukup panas, masukkan adunan putih hingga 3/4 acuan.  Tutup acuan biar hingga separuh masak.
*  Curahkan sedikit adunan coklat ke atas adunan putih tadi.  Tutup acuan biar hingga masak.
*  Keluarkan kuih daripada acuan dan letakkan dalam bekas yang rata untuk mengekalkan bentuk yang cantik kerana pukis susu yang panas, masih lembut dan senang penyet.

Nota:  Setiap kali nak masukkan aduan ke dalam acuan, sebaiknya adunan dikacau-kacau supaya gasnya boleh keluar.  Hasil pukis cantik dan  tidak berlubang-lubang.




Hasilnya mereka puji-puji akan pukis ini, siap dah rancang nak berjualan bila mereka balik ke tempat masing-masing.  Now saya dapat tugas baru nak cari "sarang" @ acuan pukis untuk mertua dan adik beradik mertua.
Wassalam.

Tuesday, 3 October 2017

Roti Pisang


Assalam...
Roti pisang adalah kuih tradisi masyarakat bugis di Sulawesi Selatan.  Melihat pada bentuk seakan apam dan penyediaannya adunan tak perlu nak menguli seperti membuat roti.  Nama roti itu mungkin daripada penggunakan yis dan cara adunan yang diperam beberapa jam hingga naik sekali ganda sebelum ianya di masak.  Kaedah tradisinya di masak menggunakan kuali kecil yang bertutup (kuali diperbuat daripada tanah liat) dan dimasak sebiji demi sebiji.  Sangat sinonim disediakan ketika acara gotong-royong di sawah sama ada menyemai benih atau memindahkan anak benih padi.  


Bagi sebuah keluarga kecil, roti pisang selalu disediakan sebagai sarapan pagi untuk ahli keluarga dengan penggunaan bahan yang sangat asas.  Penyediaan adunan roti diolah disebelah malam dan dimasak awal pagi pada keesokan hari.   Cuma perlu diingat pisang yang hendak digunakan perlu cukup masak agar rasa manis dan aroma pisang lebih menyerlah.  Pada saya paling sedap dinikmati ketika roti masih hangat.


Resepinya lebih kurang begini, jom cuba buat.


Roti Pisang
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
6 biji pisang masak (pisang nipah/raja)
250gm tepung gandum
1 sudu yis* campur dengan 1/2 gelas air suam
Air secukupnya
3 sudu makan gula
1 biji telur
Secubit garam
Minyak / majerin untuk mengoles acuan
 



Cara Penyediaannya.
*  Campurkan yis, sedikit gula dengan air suam, kacau hingga sebati.
*  Hancurkan pisang masak hingga halus.
*  Dalam mangkuk lain campur tepung gandum, gula, telur, pisang lenyek dan garam.  Gaul hingga sebati.
*  Masukkan air campuran yis tadi.  Gaul sebati.
*  Tambahkan sedikit air hingga mendapat adunan yang dikehendaki (tidak terlalu cair dan tidak terlalu kental).
*  Tutup adunan dengan kain lembab dan biarkan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam atau semalam.
*  Panaskan dan lenser acuan (guna kuali kecil yang dalam) dengan majerin atau minyak masak.
*  Masukkan adunan roti setengah mengikut acuan dan tutup.
*  Bila permukaan adunan mula mengering, terbalikkan roti, tutup acuan dan masak seketika lagi.  Biar kedua-dua permukaan sama rata dari segi warnanya.
*  Keluarkan dari acauan dan hidangan ketika masih panas.
 


Lepas makan 2 biji roti pisang boleh kenyang sampai tengah hari.  Sekarang ramai jer yang modified resepi tu dengan menambah coklat, cheese atau peanut butter pada roti pisang ini.
Wassalam.

Friday, 29 September 2017

Original Cake


Assalam...
Orang kata, orang Malaysia ini suka sangat nak pergi berbaris berebut-rebut tempat-tempat baru atau yang viral dalam media sosial.  Tak kisah lah tempat makan ker, tempat berkelah ke sampai ke tempat menjual pakaian.  Sanggup, bersemangat waja.  Salah satu tempat orang ramai beratur panjang adalah kedai Original Cake ini, kira saya ini termasuk sekali ker dalam statistik tu? sebab pergi beratur nak dapatkan original kek.


Saya pergi outlet yang berdekatan di One Utama, selepas beberapa bulan dibuka.  Semasa pergi tu memang panjang juga orang beratur. Mengikut pengamatan saya cara penjualan kek yang unik, menyebabkan orang beratur panjang.  Mereka hanya jual kek yang masih panas baru keluar daripada oven.  Sebaik kek keluar daripada oven, petugas tu akan ukur dan potong kemudian dimasukkan ke dalam kotak.  Maksudnya mereka tidak menyimpan stock kecuali kek frozen (original kek perasa coklat).


Kalu tak silap, kek gebu gebas begini asalnya daripada Taiwan.  Hanya peminat tegar kek yang suka akan rasanya, biasalah ada pro and contra (bisik-bisik kata macam makan span, sedap lagi kuih bahulu).  Masing-masing punya citarasa. 


Sebab teringin nak tahu rasanya, kita pun beraturlah nak beli.  Dah rasa tu baru tahu, nak terjatuh cinta atau tidak.  Kalau tanya saya nak ulang beli lagi tak? saya rasa kalau ada pilihan lain, lebih baik saya makan kek-kek jadul.


Sangat interesting tengok cara pengolahan kek, boleh nampak depan mata kek yang sedang dibakar (half live kitchen lah).  Dalam satu tray tu terdapat 2 perisa, biasa dan cheese.  Kalau setiap orang dah beli  2 atau 3 ketul, orang yang belakang kena lah menunggu kek yang lain masak.


Beli 2 ketul, original kek yang persa ori (biasa) dan yang ada cheese.  Satu lagi flavour coklat tak beli sebab tak suka coklat.


Ini cake yang ada cheese.  Cheese dia rasa mild jer, ada lah rasa masin-masin sikit kek tu.  Pulun lah makan sampai lebam nak habiskan 2 ketul.


Kalau ada yang bertanya halal ke tidak kek ini, iya halal dan sijil halal mereka dikeluarkan oleh Jakim.
Wassalam.

Saturday, 23 September 2017

Kek Gula Hangus / Honey Comb


Assalam.

Antara resepi yang mana hasil sarang semut yang begitu sempurna dari segi rasa dan teksturnya.  Kali ini tiada kaedah peram adunan semalam atau beberapa jam.  Siap adun terus bakar atas dapur gas.  Sarang semut atau lubang (honey comb) yang sangat cantik kejadiannya.  Bertuah sangat dapat diajar oleh sabahat saya yang sangat rajin menghadiri kelas memasak.  Kelas masak berbayar tau.  Yang saya ini dapat ilmu free-free saja dari dia, moga bertambah-tambah rezeki Melati selepas ini.  Dapat personal coach memang terbaik lah, kalau lepas ini buat silap lagi tak tahu lah.  Meh lah semak resepinya.



KEK SARANG SEMUT / GULA HANGUS
Sumber: Melati


Bahan-bahan
1 gelas gula pasir
1 gelas air 
200 gm majerin Planta
10 biji telur (gred B)
1 gelas tepung gandum (tambah 2 sudu makan)
1 gelas susu pekat (susu cap junjung)
1 sudu teh baking powder
2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila


Cara Penyediaannya  
* Sediakan loyang atau periuk untuk membakar kek.
* Sediakan gula karemel.  Masak gula hingga larut dan warna perang (awas jangan sampai gula hangit).  
*  Perlahan-lahan masukkan air dan masak hingga mendidih.  Tambahkan majerin ke dalam air gula hingga larut dan tutup api.
* Pukul telur dan esen vanilla hingga kembang.  Tuangkan ke dalam campuran tepung dan serbuk penaik. 
*  Masukkan susu pekat dan air gula, kacau sebati dan masukkan ke dalam loyang pembakar.
* Bakar dengan api perlahan, sekiranya bakar guna oven, suhu 150'C guna api bawa selama 40 minit (atau ikut kepanasan oven masing-masing).
*  Keluarkan kek hanya apabila betul-betul sejuk dan bolehlah dihidang.


Note penaja;-
*  Sahabat saya bakar kek tidak guna oven tetapi hanya guna periuk non stick yang disapu sedikit majerin dan dilapisi dengan kertas minyak.
* Untuk hasil yang memuaskan sahabat saya lebih tekankan penggunaan bahan terpilih seperti telur grad A, majerin (guna Planta) dan susu pekat (Cap Junjung).

Wassalam..

Kek Tapai Pandan


Assalam...
Tapai ubi memang gemar sangat makan jika nak banding dengan tapai pulut.  Ciri-ciri orang lama, memang suka makan benda-benda lama macam tapai.  Mak saya sangat expert buat tapai pulut, hasilnya pasti manis, tapi skill tu tak menurun pula kat saya.  Namun tak jadi masalah sekarang jika nak makan tapai pulut sebab mak mertua pun hebat juga buat tapai ini, time raya saya seorang je kat rumah tu yang makan tapai, anak menantu dia seorang pun tak gemarkan tapai.



Walaupun tidak ada siapa dalam keluarga yang pandai buat tapai ubi, tetapi sukanya lah benda alah ini.  Asal jumpa mesti beli, makan begitu saja.  Teringat ketika di Bandung jumpa penjaja tapai ubi, tapai ubi yang diletak dalam bakul besar, ubi tu pula besar-besar bukan macam kat sini ubinya dah dipotong-potong.

Sebagai melestarikan kesukaan makan tapai ubi, saya pun cuba buat kek yang telah dishare oleh ramai pemilik ig dari Indonesia.  Naik meroyan tengok ig depa dengan gambar dan resepi yang sangat menggiurkan.


Kek Tapai Pandan
Sumber: Ig. ontytikka


Bahan-bahan
300gm tapai ubi kayu, buang uratnya
75ml susu pekat
180gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
5 biji telur
1 sudu teh ovallete
180gm gula pasir
1 sudu makan paste pandan
150gm majerin, cairkan


Cara Penyediaannya
*  Siapkan loyang kek, sapu mejerin dan tabutkan dengan sedikit tepung.  Panaskan oven 160'c (atau mengikut kepanasan oven masing-masing, jangan set oven terlalu panas kerana membakar kek ini mengambil masa yang agak lama).
*  Ayak tepung dan baking powder.
*  Haluskan tapai dengan garfu dan campur dengan susu pekat.
*  Pukul telur, gula pasir dan ovalette hingga kembang, (adunan jadi kental dan warna putih). 
*  Perlahankan kelajuan mixer dan masukkan tapai sedikit demi sedikit hingga rata.
*  Masukkan majerin cair sedikit demi sedikit sambil gaul perlahan dengan spatula hingga rata.
*  Masukkan tepung dan gaul rata.
*  Tuangkan ke dalam loyang pembakar dan bakar selama 45-60 minit.
*  Test kek menggunakan baking stick (penyucuk cake).  
*  Biarkan kek sehingga sejuk sebelum keluarkan daripada loyang. 



Ini tak tahu kegilaan apa yang buat kek banyak-banyak nie. Balas dendam sebab tak dapat buat masa nak raya.  Jangan persoalkan boleh habis ke tidak? makan seorang memang tak lah, rezeki kena bagi-bagi kat jiran, angkut ke tempat kerja pasti licin.


Kalau nak jual, rasa-rasa ada orang nak beli tak?..
Wassalam.