nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Cucur. Show all posts
Showing posts with label Cucur. Show all posts

Monday, 24 October 2016

Perkedel Jagung aka Vege Fritters


Assalam...
Menu paling feveret di kempung ketika zaman kanak-kanak dahulu,  terutama ketika musim menuai jagung.  Memang tak jemu bila mak buat yang ini dan sering kali di marah sebab tak sempat nak dihidang sebagai lauk dah luak saya rata begitu saja.  Kalau buat banyak mana pun tidak akan membazir punya mesti habis, walaupun sering dibuat lauk ulang tayang berulang-ulang, tak pernah jemu menikmatinya.  Yang paling best sebab mak hanya guna isi jagung dan tidak dicampur dengan sayur lain untuk menambahkan kuantiti, jadi rasa jagung tu memang marbeles.


Versi saya sebab inginkan hasil perkedel yang banyak banding dengan jagungnya yang sedikit, maka saya tambahkan dengan parutan lobak merah dan hirisan kobis.  Tetapi tetaplah sedap jugak, tekan lift di situ.


Perkedel Jagung aka Vege Frittes
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
2 tongkol jagung muda - hiris halus dari tongkolnya
Isi udang secukupnya
1 biji lobak merah - parut
Kobis - hiris halus
1 biji cili merah - hiris
5 biji bawang putih*
2 biji bawang merah*
Daun bawang - hiris
Daun sup - hiris
1 biji telur
3 sudu tepung gandum
Air secukupnya
Serbuk lada putih
Garam
Minyak untuk menggoreng


Cara Penyediaannya.
*  Tumbuk kasar hirisan jagung untuk mengeluarkan pati dan supaya seratnya menjadi lembut.
*  Bahan bertanda "*" ditumbuk halus bersama jagung, boleh jugak di hiris atau cincang.
* Campurkan jagung tumbuk dengan isi udang, telur, sayuran lainnya, garam dan serbuk perasa.  Gaul sebati dan masukkan tepung gandum.  Jika menggunakan jagung pulut dan jagung kampung hanya gunakan sedikit tepung gandum kerana jagung itu sendiri sudah sedia berkanji.
* Masukkan sedikit air, gaul sebati dan sesuaikan kepekatan batter.
*  Sedukkan batter kedalam dalam minyak panas dan goreng hingga kekuningan.
*  Toskan atas tisu dapur dan boleh lah didangkan


Boleh dinikmati sebagai lauk dengan nasi atau kalau saya suka makan begitu saja bersama sos pencicah kegemaran.
Wassalam.

Wednesday, 22 June 2016

Cucur Udang Kangkung


Assalam...
Bulan posa ini, banyak betul mengimbau kenangan dengan orang-orang yang pernah hadir dalam hidup, sama ada ahli keluarga atau kawan-kawan yang lama tak bersua atau langsung tidak diketahui jejaknya.  Cucur udang kangkung ini misalnya teringat kat seorang adik yang pernah duduk satu rumah sewa dulu.  Dia selalu sediakan cucur ini untuk minum petang atau ketika hendak layan cerita hindustan kenen kan pula dengan air teh panas fuhh!!.  Memang sedap dia buat cucur udang dan kangkung sebab masak sepenuh hati dan perasaan kan.  Kalau ada yang masih buntu nak sediakan apa untuk berbuka nanti boleh try yang ini sebab senang sangat.
 

Cucur Udang Kangkung
Sumber: Zetty Amilza

Bahan-bahan
Isi udang
Kangkung - potong pendek
Tepung gandum
Bawang besar - cincang
Cili merah - hiris halus
Garam
Air 
Minyak untuk menggoreng
 


Cara Penyediaannya
*  Satukan sebuah bahan kecuali minyak dan air, gaul dan sebatikan.
*  Tuang air sedikit demi sedikit dan kacau rata hingga dapat adunan yang sesuai untuk buat cucur.  resepi main agak-agak saja. 
*  Sendukkan ke dalam minyak panas, dan goreng hingga kekuningan atau masak.
*  Bila dah masak, toskan guna kertas dapur dan hidangkan bersama sos cili atau sos cili thai.


P/s - Kalau Zetty terbaca coretan ini, semoga awak berada dalam lindungan Allah SWT bersama keluarga dan sembuh dari segala penyakit.
Wassalam.

Friday, 1 May 2015

Bergedel Kentang & Ayam Cincang

Assalam...
Bergedel ini buat sekali ketika buat soto hari itu, entry soto dah lama up tapi pasangan dia ini terkemut-kemut nak keluar.  Nampak sangat yang up date entry main taram, tak konsisten dan ikut suka tak ikut aturan.  Sebelum pandai buat benda ini pernah gak tewas sampai tahap give up tak nak buat dah, tapi dah tahu teknik betul rasa senang lah sesangat (mula nak riak menonggek makcik ini).  Saya suka makan bergedel ini kalau takde soto pun boleh makan dengan nasi.
 
 
Bergedel Kentang dan Ayam Cincang
Sumber: Mulia
 
Bahannya
1 peket isi ayam cincang 
- tos dan goreng sedikit tanpa minyak
2 kilo ubi kentang
-  potong baji dan goreng hingga masak
3 biji cili merah - hiris halus
daun sup - hiris halus
daun bawang - hiris halus
1 cawan bawang goreng
Sedikit tepung gandum
Garam secukupnya
Serbuk lada sulah
1 biji telur
 
Minyak untuk menggoreng
telur - pukul sedikit
 
Penyediaannya.
*  Lenyekkan ubi kentang yang telah digoreng hingga halus.
*  Masukkan semua bahan yang lain ke dalam ubi kentang lencek.
*  Gaul hingga sebati dan jadi doh yang tak melekat pada jari.
*  Bentukkan bulat dan leperkan ikut saiz yang digemari.
*  Celupkan ke dalam telur yang telah dipukul sedikit dan goreng dalam minyak panas hingga keperangan.
*  Angkat dan toskan dengan tisu dapur.
*  Hidangkan bersama soto atau sebagai lauk dengan nasi.


Merata pun boleh ini, makan macam makan cekodok pulak, tapi kena buat yang rasa masin dia lite sesangat.
Wassalam.

Sunday, 4 January 2015

Tarajju' A.K.A Ubi Getuk

Assalam...
Ekoran ubi kayu rebus hari itu yang tak habis dimakan sebagai sarapan bersama sambal tumis.  Pada petangnya, nampak terbiar saja, diri sendiri pun dah tak dapat nak makan lagi.  Cuba mengolah dengan resepi orang dulu-dulu supaya ianya tidak dibazirkan begitu saja. 


Ikut cara mak saya dulu, ubi rebus dibuat kuih yang kami panggil sebagai TERRAJU' orang melayu panggil ubi getuk.  Kalau dah buat yang macam ini, memang laku dah laju aje nak makan.  Sebiji demi sebiji masuk mulut tak sedar dah habis.  Mak saya dulu hanya mencampurkan ubi kayu rebus yang telah siap dilenyek dengan gula pasir tanpa kelapa parut.  Resepi pun tak guna sukatan kerana semua main agak-agak saja.


Tarajju' A.K.A Ubi Getuk
Sumber: Mak Timah

Bahannya
Ubi kayu rebus - tumbuk hingga hancur.
Gula pasir secukupnya
Kelapa parut secukupnya
 2 sudu makan tepung gandum atau tepung beras
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng.

Cara Penyediaannya
*   Satukan isi ubi tumbuk bersama gula dan kelapa, gaul hingga sebati.
*  Kepal-kepalkan adunan tadi dan bentukkan mengikut bentuk kesukaan anda sama ada bentuk bulat atau lonjong.
*  Tepung gandum campur dengan air untuk membuat batter.  Cair batter macam nak buat batter goreng pisang gitu.
*  Panaskan kuali.  Celupkan  bebola ubi tadi ke dalam batter dan goreng.
*  Bila dah warna keemasan, bolehlah diangkat dan ditoskan.
Kalau tak suka dengan kulit ubi getuk saya yang nampak macam kekampungan sangat tu,  Kawan-kawan bolehlah buat batter yang menggunakan resepi buat tepung goreng pisang yang ranggup tu, macam yang orang jual.
Wassalam.

Monday, 22 December 2014

Penyaram Susu Pandan

Assalam...
Kuih penyajam yang sentiasa gigih untuk dipelajari kerana banyak sebab, tapi paling penting sebab suka makan dan tak mudah nak jumpa orang jual.  Selalu mak buat yang warna coklat guna gula merah dan kita pun belajar yang itu saja., rujuk sini dan sini.  Tapi kali ini tertarik dengan penyaram warna hijau yang telah dishare oleh sahabat saya dalam wall fb beliau.  Sememangnya pernah jumpa penyaram yang berwarna lain selain merah coklat tu, tapi resepinya lebih kurang sama yang beza cuma penggunaan gula, kalau guna gula pasir hasilnya penyaram warna putih. Tapi yang ini ada kelainan sebab mengunakan jus pandan dan susu.


Saya sharekan resepi yang saya ambil daripada fb Puan Noorainin Hj Sinteh.  Terima kasih puan sebab sudi share resepi kuih penyaram (pinjaram) yang juga menjadi kuih tradisi bagi suku kaum bajau di Kota Belud Sabah.


Kuih Penyeram (Penjaram)
Sumber: Puan Noorainin Hj Sinteh
 
Bahan2nya:
1 mgk tepung biasa (gandum)
1 mgk tepung beras
1 mgk gula (kurangkan sikit)
11/2 mgk santan + pandan (kisar) - saya guna pandan emulco
5 sudu susu cair (saya guna susu pekat, akibat tersilap baca resepi)


Cara:
Gaul semua tepung
Campurkan santan
Gaul hingga pekat dan halus
Campurkan gula
Campurkan susu cair
Gaul hingga cair dan halus

Rehatkan seketika dan goreng menggunakan api yang kecil.  Saya rehatkan lebih 2 jam juga sebab dah leka buat kerja lain.
 

Kuih penyaram ini, nampak mudah tapi betullah kata mereka yang komen tidak mudah untuk mendapatkan penyaram yang sempurna kejadiaannya.  Perlu kena tempo, minyak tak boleh terlalu panas, terlalu banyak, tak cukup manis, terlebih manis dan macam-macam lagi pantang larangnnya.  Macam saya buat ini, tak menjadi bentuk topi di tepinya.  Tapi rasa tetap sedap, harum wangi pandan, lagi satu penyaram guna adunan ini hasilnya lembut walaupun dah ditinggal semalaman.


Takkan jemu untuk mencuba walaupun 10 kali cuba, 10 kali dapat hasil yang berlainan.  Moga kali yang ke-11 bertemu dengan mr. perfect.
Wassalam.

Thursday, 13 November 2014

Cucur Kembong

Assalam...
Kisah orang yang suka terpengaruh, begitulah kekdahnya.  Tapi kira pengaruh yang baik jugaklah kan.  Orang menjeruk asam, kita pun menjeruk, orang buat cucur, kita pun mencuba walaupun hasilnya tak secantik orang buat, nak jugak buat tayangan perdana di sini.  Adalah diakui memang dari seumur hidup bila buat cucur tak pernahnya jadi 'O' bulat yang sempurna..
Ini hasilnya setelah dibuat adjusment terhadap adunan.  Masa dah bancuh semua adunan memang jadi sangat lembik, rasa memang dah sukat betul2, tapi nape cair jer.  So dalam keadaan tangan berlemuih tu sempat lagi buat cross check di blog otai sebab nak tahu keadaan dohnya.  Ada penambahan tepung sesuka hati disitu tanpa sukat menyukat lagi.  Ish...ish...ish kira berangan lagi ker aku masa menyukat air itu.  Resepi, malas nak salin.  Sila refer blog otai-otai di sini, sini, dan sini untuk resepi yek.     
Bangun pagi tengok tinggal yang kat bawah tu jer...sambutan kira memberangsangkan lah tu.  Ini adunan yang mula2 digoreng sebenarnya, tak nampak kembungnya.  Nasib gorengan untuk 2nd time & seterusnya dah kembung tembun sikit, orang yang mengoreng pun mula nak kembang kebanggaan juga.
Keesokan hari rasa nak buat ulang tayang lagi, namun en.abe ajak keluar mengeteh di kedai mamak, terbantut hasrat hatiku.  Jadi lain kali sajalah....
Wassalam.

Sunday, 19 October 2014

Terjangkit Viral - Potato Fritters

Assalam...
Cucur kentang yang menjadi fenomena di laman sosial, saya pun turut dijangkiti virus untuk mencuba.  Bukan apa sebab ianya senang disediakan dan bahan-bahan pun senang kadang memang dah tersedia di dalam dapur masing-masing.  Petang tadi, my SIL kata nak singgah hantar barang...saya pun dah berkira-kira nak sediakan ape untuk minum petang bila SIL datang nanti.
Semalam dah plan nak cuba buat sejenis kuih, tapi tiada kekuatan untuk melaksanakannya.  Dah terpandang ubi kentang dalam plastik yang dah mula keluar tunas, untuk mengelakkan dari membusuk baik kita cuba buat cucur kentang yang dah femes seantero dunia tu.

Cucur Kentang / Potato Fritters
Sumber: Mulia (hasil intaian dari fb dan blog)

Bahan-bahan
6 biji kentang - kupas kulit dan parut
1 batang carrot parut (out of stock saya tak letak)
5 sudu tepung jagung (stock tepung jagung ada 2 sudu jer, selebihnya saya gantikan dengan tepung kentang lebihan buat biskut raya dulu).
3 sudu tepung gandum
1 pokok daun bawang - hiris
1 pokok daun sup - hiris
2 biji cili hidup - hiris
sedikit serbuk lada sulah
2 biji telur
garam
minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan
*  Campurkan kentang parut dengan hirisan sayur, telur, garam, lada sulah dan tepung.
*  Gaul rata bagi mesra semua bahan-bahan gitu.
*  Panaskan minyak dan goreng cucur.  Nak buat bentuk macamana terpulanglah ikut kreativiti masing-masing panjang, leper atau bulat-bulat.
*  Hidangkan bersama sos, saya gunakan sweet chili sauce (Maepranom).
Senangkan...apa lagi jangan lupa cuba ya kawan-kawan.
Wassalam.

Wednesday, 9 July 2014

Perkedel Jagung.


Assalam...
Antara amalan yang boleh mendapatkan impak maksima dari kebaikan bulan Ramadhan adalah;

1. Membaca dan mempelajari al Quran
2. Solat berjemaah
3. Cepatkan berbuka ketika sampai waktu
4. Bersahur
5. Perbanyakkan sedekah
6. Beri'tikaf disepuluh malam terakhir Ramadhan.

Dari tazkirah surau al-hidayah, malam ke-11 solat teraweh.  Semoga kita tidak terlepas untuk merebut ganjaran yang telah dijanjikan.
 
Petang ini jom kita buat Perkedel Jagung untuk menu berbuka.  Perkataan perkedel saya kurang pasti sama ada nak samakan dengan cucur atau begedil, yang mana satu lebih sesuai.  Macam cucurlah kot tapi disebut sebagai perkedel.  Lain padang lain belalang gitulah.
Menu ini ringkas dan senang untuk disediakan, semua bahan dimasukkan dalam mangkuk gaul sebati dan campur dengan tepung.  Versi yang saya buat ini, versi orang orang kekurangan vitamin R.  Jagung tak tumbuk tapi guna blender, tiada udang atau pun ikan bilis segar.
Siap sedia untuk digoreng.
Perkedel Jagung
Sumber: Mak Timah

Bahan-bahan
Jagung muda
Tepung gandum
Telur
Isi udang / ikan bilis segar.
Daun sup
Daun bawang
Cili merah
Bawang besar
Serbuk lada putih
Garam
Minyak untuk menggoreng.

Cara Penyediaan;
1. Tumbuk jagung yang telah dileraikan dari tongkolnya, jangan terlalu halus.
2. Campurkan dengan telur, daun bawang, sup, cili, isi udang, garam dan serbuk lada putih.
3. Masukkan tepung gandum untuk memekatkannya (pekat macam buat cucur).
4. Sendukkan satu sudu ke dalam minyak panas, goreng hingga kekuningan atau sampai masak.  Boleh dihidang bersama sos cili atau dijadikan lauk dan dimakan bersama nasi.
Wassalam.

Monday, 17 February 2014

Projek Melempeng & Mengkodok...

Assalam...
Pelik dan buruk bebenoh lah bunyi entry ini...orang bahasa marah ini kalau tengok, mereka cakap kita merojakkan bahasa lagi teruk ada yang mengistilahkan sebagai melacurkan bahasa... alamak sampai ke situ ke bahananya. 

Tiga jenis adunan untuk projek mengkodok dan melempeng ini.  Yang warna kuning adalah adunan labu nak wat cekodok labu, bawah tu untuk buat lempeng pisang dan yang atas belah kanan tu untuk buat cekodok pisang.

Last dapat buat cekodok labu dan lempeng pisang aje.  Begitulah bila dah buat lempeng sampai 6 keping besar2 plak tu tambah cekodok labu satu mangkuk besar.  Kalau nak buat jugak cekodok pisang itu jugak, kat mana pulak nak disumbat eh, kang dari bekfas sampai supper duk ulang makan cekodok dan lempeng, ah ambik ko..nanti bolehlah dapat muka cam cekodok basi kat orang Penang.  Cekodok labu ini memang dah lama dah teringin nak buat, buah labu yang dibeli pun dah lama tersadai di tepi dapur.  Siap warning en.Abe jangan buat sayur sebab nak makan cekodok labu puas-puas...hehhe.

Akhirnya baki pisang yang telah dilenyek tu, kita sumbat dulu dalam freezer, kemudian2 boleh dibuat cekodok lagi.
Wassalam.

Friday, 14 February 2014

Lempeng Pisang Mak Timah....

Assalam...
Lempeng pisang, sarapan mak yang selalu Mulia perhatikan semasa kanak-kanak dulu.  Menu harian memang sukar dipisahkan daripada pisang, pisang goreng, borongko, puding pisang, nagasari, lepat pisang, sanggara janda, sanggara belanda, pengat pisang, pisang rebus dan banyak lagi.   Pisang kat rumah memang tak pernah putus, almaklum bapak Mulia menanam pokok pisang dan daripada rezeki menjual pisang itulah dibuat belanja keluarga dan menyekolahkan Mulia.  

Pisang pula pelbagai jenis, antara jenis pisang yang bapak tanam adalah pisang emas, pisang rastali (pisang keling), pisang nipah (pisang sabah), pisang raja, pisang berangan, pisang lemak manis (pisang budak), pisang raja udang, pisang kapas, pisang hijau dan banyak lagi.

Ini lempeng versi yang Mulia buat, lempeng jadi hangit dan hangus...aishh macamana nie...tapi tetap sedap...rasa macamana, rasa pisanglah di tambah bau wangi dari kesan hangit itu.  Pisang pemberian sahabat Mulia, datang dari jauh, Johor mari..Resepi nak buatnya lebih kurang macam kat bawah ini.

Lempeng Pisang Mak Timah
Sumber: Mak Mulia

Bahan-bahan
1 cawan isi pisang yang telah dilenyek -  saya guna pisang berangan (pisang ape pun boleh cuma kalau pisang jenis masam kena letak gula untuk memberi rasa manis).
1 cawan tepung gandum
Sedikit gula
Sedikit baking powder.
Telur (optional)
Sedikit minyak 

Cara Penyediaan.
* Gaul semua bahan hingga sebati.
* Lenserkan kuali dengan sedikit minyak.
* Tuangkan adunan agak-agak satu senduk, tutupkan kuali dan masak hingga kekuningan.  Terbalikkan lempeng dan biar hingga masak (side by side).  Pastikan api kecil untuk mengelakkan lempeng hangit.

Selamat mencuba & Wassalam.

Wednesday, 25 December 2013

Kali Ini Kontok-Kontok...


Assalam...
Bangun pagi kat luar dah hujan lebat, rasa macam nak sambung tidur balik...tapi tak elok diamalkan, lagipun dah memang terbiasa dari zaman kanak-kanak lagi bangun pagi tak boleh tidur lagi.  Mungkin inilah training dari mak yang dirasakan sangat keras dan kejam ketika dulu.  Tapi alhamdulillah berbekas dan menjadi amalan berguna dikehidupan seterusnya.
Ape dah melalut pulak cita pasal bangun tido ini.  Orang lain sibuk berdengkur dan menyulam mimpi lagi, so menjadi kewajiban orang yang bangun awal kena sediakan sarapan.  Alamak ini yang leceh ini....buat jer sesimple yang boleh.


Hari ini Mulia buat kontok-kontok saja dengan teh susu.  Kontok-kontok ape tu? natang ape pulak? boleh makan ker?  Kontok-kontok ini adalah cekodok pisang.  Bahasa dari benua mana pulak kontok-kontok tu, bahasa orang asli kot?

Kontok-kontok adalah bahasa panggilan Suku Kaum Bugis untuk Jemput-jemput Pisang / Cekodok Pisang.  Mulia senang aje nak buat cekodok pisang ini dengan menggunakan tepung naik sendiri.  Lenyek-lenyek pisang dan campurkan dengan tepung naik sendiri, bulat-bulatkan dan terus goreng.  Tara dah siap.  Nak menambah kesedapannya boleh tambah sedikit garam, gula dan telur.
 Wassalam.

Wednesday, 13 November 2013

Cucur Sukun dengan Teh Susu

Assalamualaikum..
Alamak sukun yang Mulia beli sudah lembik dan tidak dapat digoreng lagi.   Ermmm sedihnya sebab hajat masa beli nak buat sukun goreng bogel dan dicicah sambal kicap. Dek jerana asyik pulangnya lewat, tidak sempat lagi nak menggoreng.  Kalau dapat goreng pun, rasa2 sudah tidak terdaya nak menggapnya.


Nak buang sayang, Mulia letak tepi biar lembik habis semua isinya tapi kena sentiasa pantau jangan sampai rosak atau basi.  Masa menlenyek sekejap jer sebab dah terlalu lembik dan tidak perlu menggunakan blender lagi.  Akhirnya rezekiku makan cucur sukun kali ini.


Cucur Sukun
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 biji sukun matang dan lembek - lenyekkan atau blend hancur.
Tepung naik sendiri (boleh guna tepung gandum dan tambah sedikit baking powder)
Gula
Garam
1 biji telur (optional)
Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan.
* Campurkan sukun dengan gula, garam dan telur. Masukkan tepung, gaul sebati hingga kental seperti buat cekodok pisang.
* Bulat2kan dan goreng dengan minyak penuh hingga keperangan / masak.
Wassalam.

Thursday, 10 October 2013

Cucur Durian Last Stock....

nasamulia
Kontok-kontok Duriang (jemput-jemput @ Cucur durian)

Assalam wbt...
Alhamdulillah, Allah memberi rahmatnya dengan menurunkan hujan lebat yang mencurah-curah kat luat tu.  Cancelled nak keluar cari barang, duduk rumah aje.  baik kita buat sesuatu untuk mengisi masa lapang dari membuta je waktu-waktu hujan begini. Kemas-kemas rumah ke atau merensek peti ais.

Ini sudah bagus, jumpa satu container bekas ice cream frozen durian.  Ermm elok lagi, bau masih kuat, rasa pun sodap laiii.  Nak makan begitu saja mesti tak habis punya, so mari kita buat cucur durian (kontok-kontok durian alias jemput-jemput).

Durian buangkan biji dan lenyek-lenyekkan isi sehingga lembut.  Masukkan telur dan tepung (guna tepung naik sendiri sebab nak hasilkan cucur yang kembung-kembung). Kalau nak lagi manis, tambahkan sedikit gula.  Semua bahan Mulia main agak-agak aje macam buat cekodok pisang gitu.  

Lepas tu goreng hingga kekuningan (jangan lupa panaskan minyak terlebih dahulu).  Nak  bulat-bulatkan terpulang sama ada guna tangan ke nak guna sudu.

Wassalam.