Friday 31 August 2018

Pokok Buah Rambai

Assalam...
Cerita balik kampung minggu lepas, balik selepas raya lah ceritanya.  Di kampung sudah penghujung musim buah.  Cuma dapat jumpa buah rambutan dengan buah rambai ini, durian dah habis.  Itu pun tinggal sepokok rambutan dan sepokok rambai, rambutan dah habis kena tutuh pokok tu, so kena tunggu 2 atau 3 tahun lagi In Sha Allah baru pokok rambutan tu dapat berbuah lagi.  Semut terlalu banyak masalahnya sama hal dengan pokok rambai tu.

Geram nak panjat tapi sebab semut tu, terbantut lah hasrat.  Guna galah buluh kait buah yang merambai.  Pokok rambai saya tak biasa sangat dan tak reti nak ambil guna galah, percubaan pertama saya pulas galah yang melekat pada tangkai buah, sudahnya habis semua buah gugur.


Ini mak mertua tunjuk cara kait dan pisahkan tangkai daripada pokok tanpa mengugurkan buah rambai.  Galah kena guna yang ada belahan di hujung dan rapatkan pada pangkal tangkai dan cucuk sampai tanggal. 


Jadilah dapat sepelastik buah rambai hasil kait dengan galah buluh, jadikan ole-ole untuk kawan-kawan.  Ramai yang suka, rasa yang masam-masam manis, walaupun pun kulit dah layu.

Bagi buah pada diorang dengan pesanan, kulit jangan dibuang nak ambil balik.  Buruk siku ker gitu, sajalah nak try orang kata kulit rambai tu sedap kalau di masak lemak.  Boleh kot buat masak lemak sambut merdeka, nostalgia MalaysiaKu.
Wassalam.

Thursday 30 August 2018

Manfaatkan Air Fryer

Assalam...
Terima kasih pada yang sudi kongsikan penggunaan air fryer, hari tu saya nampak ada rakan blogger kongsikan benda ini tapi bila cari dah lupa lah pula.  Pertama cuba bawang putih panggang nie, buat dalam 4 ke 5 labu bukan ulas, sekali hadap jer habis dibuat ulam.  Memang sedap buat begini, jadi lepas ini tak perlu lah beli pil bawang putih, buat jer cara macam ini.   

Kali kedua buat roti panggang bergula nie, yang ini dikongsikan oleh rakan blogger yang lain pula.  Sebenarnya ada juga guna air fryer tu tapi kurang sangatlah, gitulah kalau kurang kreatif.  Tengok orang beli nak juga.  Saya sama dengan kawan tu, tak berapa minat makan roti.  Jadi ada lebihan dalam peti ais, try buat juga semata-mata nak bagi sedap dan tak bazirkan lebihan roti.
Saya jenis tak sabar ketika membakar roti tu dan terlupa set timing tu semula.  Ini lah jadinya tergaring sedikit, manakala yang putih dah tak cukup garing sebab letakkan bertindih-tindih dalam air fryer.  Tapi sedap saja pada saya, dan yang penting roti tu selamat semua masuk perut.

Dialu-alukan kawan-kawan yang kreatif nak olah resepi dan masak guna air fryer.  Nanti saya akan cuba supaya air fryer saya tu tidak menjadi tukun dalam store.
Wassalam.

Wednesday 29 August 2018

Laksa Pahang

Assalam...
Laksa Pahang tak segelemer dengan laksa dari negeri-negeri lain di Malaysia seperti laksa Penang, laksa kedah, laksa Johor atau laksa lemak Kelantan.  Ada orang yang tak tahu pun pasal laksa Pahang nie.  Jangan tak percaya ada orang Pahang sendiri yang tak kenal dengan laksa negeri mereka.  Mungkin sebab negeri yang luas dan laksa Pahang hanya terkenal di daerah tertentu sahaja (daerah Pekan dan Kuantan).


Sudah lama simpan resepi ini, big bos sendiri yang masuk dapur, sinsing lengan memasak laksa Pahang.  Kami jadi pemerhati dan tukang catat macamana nak sediakan laksa ni.  Resepi dari orang yang sangat teliti berkenaan rasa dan pemilihan bahan yang digunakan mesti hasilnya yang terbaik.  Resepi laksa Pahang yang lain mungkin menggunakan ikan selayang, tetapi Puan Sri ajar kami guna isi ikan tenggiri dan isi udang segar.  Resepi macam di bawah nie. 


LAKSA PAHANG
Sumber: Puan Sri FMA
Anggaran untuk 30 orang


Bahan-bahan Untuk Kuah Putih
3 kg ikan tenggiri*
1.5kg isi udang segar*
500gm udang kering*
1.5 biji kelapa parut* - goreng / sangrai
1 kg santan
4 keping asam gelugor 
Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*' di atas.
* Campur semua bahan dan masak (mereneh).


Bahan-bahan Tumisan (Kuah Merah)
500gm bawang kecil*
250gm bawang putih*
600gm serai*
2 inc. kunyit hidup*
150gm halia*
50gm lengkuas*
6 sudu besar serbuk kari ikan
5 sudu besar cili boh
3 sudu besar serbuk ketumbar
kelapa parut - goreng / sangrai
Minyak untuk memasak

Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda '*'
* Tumis bahan-bahan di atas hingga naik minyak.
* Campurkan ke dalam kuah putih tadi.
* Rebus kuah sambil kacau hingga masak.
* Sesuaikan rasanya dan hidangkan.



Bahan Pelengkap lainnya
4 pkt laksa beras (kering) - rebus
Timun - hiris halus dan memanjang
Kacang panjang - hiris halus
Daun selasih - hiris halus
Daun kadok - hiris halus
Daun kunyit - hiris halus
Taugeh
Belacan merah - bulatkan kecil-kecil
Sambal cili - lumatkan cili kering yang telah direbus

Cara Penyediaannya
* Hidangkan laksa dengan menambah bahan pelengkap yang lain.
* Tambahkan belacan dan sambal cili.
* Curahkan kuah ke atas laksa tadi.



Memang jadi kesukaan bila ada majlis yang melibatkan Tan Sri dan Puan Sri sebab akan ada menu laksa Pahang.  Jadi sesekali kami pun dapat juga merasa, nak beli memang tak ada dijual macam laksa biasa.  Yang ini pun bukan laksa yang buat sendiri tetapi dapat bungkusan daripada event mereka.


Habis sepinggan rehat sebentar, lepas itu tambah lagi pinggan yang kedua.  Tunggu masa sesuai dan ada geng yang suka baru plan untuk sediakan sendiri.
Wassalam.

Tuesday 28 August 2018

KARI LAKSA - NYONYA STYLE

Assalam...
Raya Idul Adha kami baru ini dapat buat kari laksa nyonya style yang dah lama diidamkan.  Nak buat saja-saja memang tak tahu entah bila, jadi menyambut raya dikota raya dijadikan sebagai alasan yang kukuh nak buat kari laksa sambil tu boleh jamu kawan-kawan yang tak balik kampung.  Ada yang tanya apa tu kari laksa, ala senang cerita untuk pause soalan cakap macam mee kari gitu lah.  Cara nak tahu beza antara mee kari dengan kari laksa, boleh guna konsep hanya jauhari yang mengenal manikam.


Agak terkilan juga sebab dah berlari ke 3 buah pasaraya nak beli taupok, tapi taupok tak ade kah kah kah.  Pasrah sajalah letak apa yang ada, resepi nak buatnya seperti di bawah.


Kari Laksa - Nyonya Style
Sumber: Chef Lum


Bahan-bahan Tumis
5 batang serai *
5 biji bawang besar*
10 biji bawang kecil*
1 pkt cili boh
1 pkt kecil serbuk jintan manis
1 pkt kecil serbuk ketumbar 
70gm serbuk kari ayam
2 tangkai daun kari
minyak untuk menumis.


Cara Penyediaannya
* Lumatkan bahan bertanda '*'.
* Tumiskan bahan lumat, cili boh dan serbuk rempah.
* Masukkan daun kari.  tumis hingga naik minyak dan wangi.


Bahan-bahan Sup
1 ekor ayam - rebus dan keluarkan isi ayam
3 liter air
500ml santan pekat
1 pkt taupok
1 pkt fish ball 
Garam
Gula
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya
* Sediakan sup, rebus ayam hingga masak.
* Keluarkan bahagian isi dan asingkan.
* Campurkan bahan tumis ke dalam sup.
* Tambahkan santan dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa pilihan.
* Masukkan taupok, fish ball, fish cake, teruskan merebus sup dan sesuaikan rasanya.
* Angkat dan sedia untuk dihidangkan bersama bahan pelengkap lainnya.


Bahan-bahan Pelengkap
Kacang panjang*
Taugeh
Isi ayam rebus
Isi kerang*
Sotong kembang*
Mee kuning*
Bihun*
Bawang goreng 
Daun bawang - hiris


Cara Penyediaanya
* Celur atau goreng seketika bahan bertanda "*".
* Carik-carikkan isi ayam yang telah direbus. 

* Hidangkan kari laksa.  Ambil sedikit mee dan bihun letakkan isi ayam, isi kerang, sotong kembang, taugeh dan kacang panjang.
*  Tuang sup keatas mee dan taburkan bawang goreng serta daun bawang hiris.
*  Tambahkan dengan sesudu kecil sambal sebagai penambah rasa.

Bahan-bahan Sambal
5 biji bawang putih
5 biji bawang kecil
2 sudu cili boh
5 biji cili padi blend - optional jika suka pedas
Garam secukupnya
Gula Secukupnya
2 keping asam gelugor
Minyak untuk menumis 


Cara Penyediaannya.
* Tumis bawang putih, bawang kecil hingga kekuningan.
* Masukkan cili boh dan cili padi, tumis hingga naik minyak.  Masukkan asam keping.
*  Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. 
* Hidangkan bersama kari laksa.

Seronok si tukang masak sebab tetamu bagi feed back positif pasal kari laksa dia nie.  Yang mula-mula kata tak makan kari pun boleh terjatuh cinta dan suka dengan menu ini.
Wassalam.

Friday 24 August 2018

Rendang Nasib, Kekasih Paksa Rela

Assalam....
Saya tak berapa minat makan rendang, tapi tu bukan alasan supaya tidak perlu memasak rendang.  Kadang masak jer tetapi agak jarang sebab keluarga belah saya jarang yang makan daging atau kambing.  Hari tu yang ikut cerita drama di TV, pastu berminat pulak nak tahu resepi rendang yang pelakon utama dia minat makan (kisah dalam drama tu lah).  Rendang nasib namanya, rendang yang tidak guna daging tetapi campuran organ dalaman lembu.  Tapi yang saya buat ini derhaka sikit pada resepi, saya campurkan sedikit daging dan tambahkan kicap manis untuk bagi warna rendang itu gelap.  Terima lah Rendang Nasib Kekasih Paksa Rela, gigih saya google resepi sebab nak sangat tahu bagaimana rasa rendang ni.  Seperti biasa, syok sendiri memang sedap pada saya dan untuk pertama kalinya saya makan rendang dengan banyaknya.


Rendang Nasib (Kekasih Paksa Rela)
Sumber: Majalah Rasa


Bahan-bahan
1 kg campuran daging, limpa, hati, paru dan jantung lembu (rebus hingga mendidih, potong kecil dan basuh sekali lagi untuk membuang warna gelap pada bahan tersebut).
10 biji cili kering*
15 biji cili padi*
1 inc. halia*
2 labu bawang besar*
5 ulas bawang putih*
5 batang serai*
2 inc. lengkuas*
3 sudu serbuk sup Adabi
2 sudu kerisik
1/2 cawan kicap manis (saya tambah nak bagi warna rendang gelap)
1kg santan pekat
1/2 cawan minyak
Daun kunyit
Garam dan serbuk perasa



Cara Penyediaan
* Blend halus bahan bertanda "*".
* Tumis bahan yang diblend sehingga wangi.
* Masukkan bahan dalaman lembu dan juga santan.
* Masak hingga pekat, masukkan kerisik, daun kunyit dan gaul seketika.  Saya tambah kicap manis sebab nak bagi rendang nasib warna gelap.

* Hidangkan bersama nasi, lemang atau ketupat.


Iye semua tu saya yang habiskan dan selepas itu ada tambahan lagi, jangan tak tahu.  Selamat hari raya Aidil Adha dan selamat menambah lemak.

Daging korban dan tulang pemberian ajk surau dan sepupu masih belum terusik.  Tunggu lah dulu, kemudian-kemudian baru masak.  Nasib lah cerita yang tak kata haram menyimpan daging korban 3 hari itu adalah fakta yang telah dimansuhkan, sudah tidak terpakai.  Siapalah suka korek cerita yang boleh kelirukan umat nie?
Wassalam.

Wednesday 22 August 2018

Pasar Kraftangan Kota Kinabalu aka Pasar Filipino


Assalam...
Untuk kaki-kaki shopping semua, ini lah tempat yang tidak boleh tidak dikunjungi apabila menjejakkan kaki di Kota Kinabalu, Sabah.  Saya pun dulu termasuk lah kategori tu, sanggup naik bas dari Sandakan datang sini atau lari sekejap dari airport ketika transit di KKIA untuk dapatkan barang yang diingini.  Selalunya kawan-kawan lah yang kirim belikan perhiasan mutiara atau perhiasan untuk rumah mereka.  Pernah sekali saya bawa chasing lampu yang dibuat daripada kulit siput, besar kemain kotaknya, stewardess pandang lain macam jer masa tu.  Tapi itu dulu lah, sekarang kalau sampai sini pun saya limpas-limpas saja (maksudnya lalu), lebih minat lepak di tepi laut kat belakang tempat yang ada makanan.


Baru-baru ini, kami lepaskan rombongan cik kiah masuk shopping kat sini, sementara kami duduk menunggu di luar pasar.  Di luar tu ramai tukang jahit, boleh lah jika sesiapa nak betulkan pakaian nak potong dan sambung semua boleh.  Banyak jer tempat duduk di luar tu di sediakan untuk rehat (terutama kaum suami yang malas nak ikut wife diorang).  Eh suami aku mana? suami aku mana?, ini apa kes suami pula yang tenggelam di dalam tu.


Pelbagai jenis keronsang, yang dikemaskan dengan batu mutiara.  Ada mutiara asli ada yang palsu.  Selain tu boleh dengar nama-nama batu permata yang pertama kali dengar, seakaan lucu namanya tiger ice, cat ice.... Jika nak beli keronsang banyak-banyak boleh jer beli satu papan (12 pasang) gitu lebih murah dan boleh pilih-pilih ikut design yang awak suka.


Gelang ala-ala pandora, cantik nie buat oleh-oleh.


Pasar ini sangat sinonim dengan mutiara dan barang perhiasan diri wanita, tapi sebenarnya banyak lagi barang perhiasan rumah boleh dibeli di sini.  Kain tenun tempatan sperti kain pua kumbu, manik, ukiran kayu, hiasan dari kulit siput, beg, t-shirt mahupun kain batik. 


YB borong t-shirt untuk anak buah dia.





Entah berapa mereka banyak fulus mereka habiskan kat sini.  Itu pun masa balik dengar lagi ada yang tak puas hati, menyesal tak beli. 



Cantik tak?


Lebih suka yang macam ini, tapi tak beli pun... dah lama insaf beli benda-benda ini.  Sebab tu tak ikut diorang masuk, dalam cakap tak nak, tak nak boleh tergoda nanti.


Dak Jue bergaya dengan rantai dan gelang mutiaranya.  Dalam plastik tu macam kain batik, kain batik Indonesia (cap Doa Ibu) boleh beli di sini, masih murah lagi.

Pesan saya bila shopping di sini, pandai-pandailah untuk tawar menawar ya.  Boleh jer tawar hingga separuh daripada harga yang peniaga letak.  Tapi ada juga peniaga memang jujur dan baik offer harga terbaik untuk pengunjung.
Wassalam.

Tuesday 21 August 2018

3 Hari 2 Malam & Rombongan Cik Kiah


Assalam...
Kami dah janji dengan rombongan cik kiah untuk berjumpa di KKIA.  Sebab urusan kereta sewa dan perjalanan mereka minta saya yang aturkan dan ramai yang baru pertama kami sampai Negeri Di Bawah Bayu ini, maka haruslah kami sambut mereka di sana.  Kami sampai dari Sandakan tengah malam dan sempat settlekan beberapa urusan sebelum mereka sampai.  Pagi tu kebetulan di balai ketibaan KKIA, ada sambutan untuk penumpang daripada Sri Langka, jadi kita tumpang lah sambut  mereka hahaha.


Di  rumah terbalik, mereka masuk berempat, nak confese kat sini saya tak pernah masuk ke dalam tu.  Kenapa? sebab tak rasa nak masuk, lebih suka tunggu di luar sambil makan ice cream. 


Jom teruskan perjalanan ker Simpang Mengayau, kena target sampai sana sebelum matahari terbenam.  Nampaknya ada tempat perlu skip daripada dalam itinerary asal sebab perlu kejar masa, kami skip singgah Kota Belud .


Sampai sini jam 5.30 petang lebih kurang, memang tepat dah waktunya untuk menunggu senja /sunset.  Tapi sayang cuaca tak mengizinkan, kami jumpa satu family pelancong dari Asutralia dah 2 hari datang menunggu tapi tak ada.  Nasib baik diorang ini pun happy saja sampai sini, siap lompat-lompat 3 orang tu nak buat pose.  Seorang lagi tak turun sebab takut semput sementara 2 orang lagi hanya menunggu di pondok dekat kawasan parkir.  Memang macam-macam karenah lah bila berjalan ramai-ramai ini, kena sabar dan bertolenrasi baru suasana tu menjadi.


Cerita tentang malam pertama, Kota Marudu dan malam kedua di Kundasang ada di entry lain, now kita cerita lompat-lompat.   Rombongan cik kiah posing maut di kawasan Hotel Heritage (nama lama Hotel Perkasa), antara hotel terlama di Kundasang.  Ada sebuah di Kenigau hotel ini sama nama dan design, rasanya dibawah satu pengurusan juga.


Mesti semua tahu, betapa cantiknya view di belakang tu apabila tiada kabus.  Tapi bila ada kabus baru real macam anda ala-ala berada di New Zeland kan, cuma hujan-hujan begini lembu pun malas nak keluar kot.


Beberapa ekor lembu tenusu melintas hormat di hadapan kami ketika kereta memasuki kawasan Desa Cattle.  Lembu seekor ini kesian saya tengok, macam keberatan betul membawa bebanan.


Mari kita nikmati susu segar dan ice cream yogurt di Desa Cattle, tak semua suka makan ice cram yogurt rupanya.  Muka cam semua suka makanan western, spaghetti carbonara, chicken chop, lasagna, tapi lebih gemar makan ice cream malaysia rupanya. 


Balik dari Desa Cattle, nak singgahkan mereka di War Memorial tapi masing-masing tak nak naik, alasan hujan.  Yang seorang bertongkat tu memang tak lah, sudahnya sebelum meninggalkan Kundasang bawah mereka melawat gerai sayur kejap.  Sekurang-kurangnya peniaga tu dapat sekupang dua dari mereka ini, lumayan juga mereka belanja beli sayur, serunding tuhau, madu dan beras.


Ok pit stop terakhir sebelum balik KK, singgah Kinabalu Park.  Bagi kenal tempat jika berminat untuk mendaki Akinabalu kemudian hari.  Hujan renyai-renyai masa tu, teringat kenangan kami mendaki 2 tahun lepas dalam keadaan hujan begini.  Sempat menikmati nasi lemak dan bihun goreng di Pondok Timpohon pagi tu dan kami jumpa beberapa pendaki yang baru turun.  Seingat saya sebelum ini pelawat tak dibenarkan sampai ke tempat ini jika hanya untuk melawat saja-saja, tapi sekarang dah boleh ya.


Kami sampai KK lebih kurang jam 1.30, masa untuk isi perut terdahulu.  Kami pilih makan di salah sebuah restoran mamak di depan pasar saja, lagi pun agak susah untuk mencari tempat letak kereta di kawasan pasar.  Sementara mereka bershopping di Pasar Kraftangan mencari mutiara dan cenderahati lainnya, kami rileks dulu di Surau belakang pasar.


Mencari kuih yang merah menyala tu, en. Abe suka kuih sallawa ini, setiap kali jumpa mesti beli, saya pula setia pada pisang goreng.


Harga di kuih di KK memang agak mahal sikit, sesuailah tarafnya sebagai bandaraya.  Tapi masih ok sebab saiz kuih itu besar.


Untuk menambah kegeraman, kami lalu pasar ikan sebelah dengan pasar malam tu saja.  Tahu yang lain tak suka bau busuk pasar, mereka ikut jalan lain ke tempat parkir kereta.

Sebelum proceed ke KKIA untuk pulang kami sempat singgah sekejap di Pantai Tanjung Aru, saja bagi peluang mereka menyapa.  Petang tu pun memang tiada tanda akan nampak sunset, ombak tinggi masa dan awan tebal.



Malam kami semua balik dalam satu kapal, yang saya ingat sebelum kapal take off saya dah diawangan terlebih dahulu.  Terpisat-pisat nak buka mata ketika semua sibuk nak keluar dari kapal terbang, oh syukur rupanya dah sampai KLIA.
Wassalam.