Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Thursday, 15 September 2022

GULAI AYAM BETIK MUDA

Assalamm...

Sedang elok jer apabila ada orang jual betik muda dalam group dan ada stok ayam baru beli.  Selalu ada ayam, betik tiada atau betik ada ayam pula lupa beli.  Sampai kesudah mengidam tak habis.  Menu yang lama diidamkan, kebelakangan ini asyik teringat dulu-dulu makan gulai ayam betik muda jika ada kenduri di Sidam.  Selalu mak andak guna ayam kampung atau ayam biru ataupun itik serati, masa untuk masak gulai tu kena lama sikit nak bagi daging ayam lembut.  Lagi lama masak lagi sebati lah rempah tu, gulai pun jadi lagi sedap tambah pula masak guna kayu api, erm perggh nikmatnya.  

Nak tambah nikmat lagi, sisahkan sedikit betik muda tu, rebus dan buat ulam makan dengan sambal belacan.  Berganda-ganda nikmatnya.  Hari tu lepas je kupas dan potong betik, saya terus rebus kesemuanya setengah masak je sebab tak sabar nak makan dengan sambal belacan.  Lebihan betik saya masukkan ke dalam gulai dan masak sekejap saja.

Gulai Ayam Dengan Betik Muda
 
Bahan-bahan
1/2 (700gm) ekor ayam - potong kecil
300gm betik muda/ mengkal - potong
2 sudu besar rempah kari - bancuh dengan sedikit air
2 sudu besar cili kisar
2 keping asam gelugor
1 sudu besar kerisik
300ml pati santan
800ml santan cair
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan Untuk kisar halus
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci belacan

Bahan Tumis
4 ulas bawang kecil - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
2 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Cara Penyediaannya;
* Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan-bahan tumis.  Tumis hingga wangi dan bawang layu.
* Masukkan bahan kisar dan cili kisar, tumis lagi hingga garing.  Masukkan bancuhan rempah kari dan tumis hingga terbit minyak. Tumis guna api perlahan.
* Masukkan ayam, gaul rata dan biar kecut sebentar. Tuang santan cair, kacau rata dan biar hingga mendidih dan ayam separuh masak.
* Masukkan asam gelugor, kerisik dan pati santan, biar mendidih dan tambahkan garam serta gula.
* Masukkan betik muda, kacau rata dan msak hingga betik sedikit lembut.
* Sesuaikan rasanya dan angkat untuk dihidangkan.

Alhamdulillah sedap kejadiaan yang ini, takpe lah masuk bakul angkat sendiri.  Sendiri masak sendiri puji sebab lama mengidam nak makan kot, adalah bagi ke jiran diorang pun cakap sedap.  Walaupun rasanya tak sesedap hasil air tangan mak andak, at least dah cuba buat sendiri.  Cuma belum dapat dipastikan jika buat kedua kali rasa dia masih sedap atau macamana.

Wassalam.

Tuesday, 18 August 2020

Ayam Masak Sirsau

Assalamm...
Peringkat permulaan hari tu kena duduk rumah, jadi macam sasau juga sampai time nak masak memang pening nak fikir masak apa.  Masak menu jawa sudah, bugis sudah, melayu sudah, cina mamak memang selalu di tempat kerja jadi rehatlah sekejap dari makan dua jenis tu.  Tanya pak google kita jumpa menu orang banjar ayam masak sirsau nie, katanya sedap dan bahan-bahan pun macam yang kita selalu guna dan sentiasa ada dalam peti ajaib.  Tak ada kolaan orang banjar jadi kurang tahu menu-menu diorang ada pun kawan 2 3 orang tapi kurang rapat.  Masa kecil dulu ingat ada 2 keluarga jiran kami dengan orang banjar tapi tak lama lepas tu mereka berpindah atau balik kampung dah tak ingat.  Nama jiran tu pun tak ingat dah, boleh ingat sebab arwah mak ada tempah katil kayu yang diukir dengan depa dan katil tu digunakan lama sampai kami pindah ke rumah baru.  Ape dah melalut pulak, jom lah check resepi dia yang saya ambil daripada blog juga, tak sure pula tuan punya blog orang banjar ke tak?.


Ayam Masak Sirsau (Masakan Banjar)
Sumber: Blog Tentang Aku

Bahan-bahan
6 ketul ayam

1 inci halia - hiris
1 biji bawang besar - hiris
2 biji bawang merah - hiris
10 tangkai cili padi - belah 2 
1 biji lada merah besar - hiris
1 batang serai - ketuk
1 inci belacan
3 biji lada cili api - belah jangan putus
1 biji tomato - dadu
1 inci kunyit hidup - hiris
2 sudu besar lada blend
1 kiub pati ayam
air asam jawa
garam dan serbuk perasa secukupnya
air untuk kuah

Cara Penyediaannya
* Blend halia, bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili padi, lada besar, belacan, kunyit, hingga lumat
* Panaskan minyak, tumis bahan blend hingga pecah minyak.
* Masukkan lada blend, kacau sebati dan masukkan serai.  Kacau.
* Masukkan kiub pati ayam, kacau dan masukkan ayam.
* Kacau hingga ayam sebati dengan bahan lain, masukkan tomato, kacau lagi.
* Masukkan air asam jawa, kacau dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukupnya.
* Gaul rata, masukkan cili padi.  Kacau hingga kuah agak kering
* Angkat dan hidangkan




Tak salah mencuba kan, merasa juga kelainan sesuatu makanan.  Kadang menu hampir sama tapi olahan berbeza sedikit antara suku kaum dan semestinyalah nama panggilan pun lain mengikut suku kaum tersebut.  Yang pasti anda tak akan jadi sasau bila makan ayam masak sirsau ini, unik rasanya ada pedas, masam dan masin.
Wassalam.

Wednesday, 20 May 2020

Ayam Masak Kaloak

Assalamm....
Salam ramadhan kareem, semakin mendekati ke penghujung ramadhan sudah ramai yang mula sibuk membuat persiapan raya.  Walaupun tak boleh beraya sakan macam tahun-tahun sudah, tapi sambutan tetap ada walaupun hanya kita-kita saja sekeluarga dan tetap di rumah.  Hari raya perlu disambut walau dimana kita berada dan dalam keadaan apa sekali pun sebagai ganjaran kemenangan untuk kesabaran fizikal dan kejayaan menjinakkan hawa nafsu dalam bulan Ramadan secara spiritual.  Semoga ramadhan tahun ini kita laluinya dengan sebaik mungkin sebelum kembalinya kita kepada fitrah yang asal dan penuh kesucian.  Menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.



Ok, balik pada resepi yang nak dishare iaitu ayam masak buah keloak.  Sejujurnya tak pernah jumpa keluarga saya masak keloak tu bersama ayam, seperti resepi-resepi baba nyonya.  Walaupun sangat dekat dengan buah rare satu ini, tapi yang selalu saya jumpa buah keloak diolah jadi sambal (gammi) keloak atau kulit buah fresh (yang dipanggil pangi) dimasak bersama ikan.  Lama dah stok buah keluak ini ada dalam peti ajaib, pemberian arwah kakak dulu, nak cuba masak dengan ayam macam resepi nyonya.  Tapi bila saya baca resepi macam agak rumit pula penyediaanya, jadi saya olah cara yang senang dan mengikut citarasa sendiri.  Sebab buah ini dah terlalu lama disimpan, kulit buah yang sememangnya keras seakan lebih keras dari batu ketika nak dipecahkan (nasib tak pecah lesung saya).  Isi dalam yang hitam pun dah sedikit kecut, tapi masih ingat tips dari arwah tentang buah keloak yang disimpan lama.  Jika bau keloak masih fresh tuk maksud masih elok, hanya perlu rendam seketika dengan air panas bagi isi keloak lembut sedikit sebelum ditumbuk/diolah.  Resepinya macam yang bawah nilah.


Ayam Masak Kaloak
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam
3-5 biji isi buah kaloak (kluwek/keloak/pangi)
5 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 inc. halia*
3 biji cili besar / cili padi*
2 batang serai - titik
Minyak untuk menumis
Garam
Serbuk perasa
Air. 

Cara Penyendiaan
* Tumbuk halus atau blend bahan bertanda '*'.
* Keluarkan isi kaloak dan tumbuk halus.  Kulit buah keloak sangat keras, saya ketuk dengan batu lesung untuk pecahkan kulitnya. Isi yang telah ditumbuk pancuh sedikit dengan air untuk buat paste.
* Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk dan serai hingga wangi.
*  Masukkan ayam, tumis lagi dan tambah air.  Tambahkan paste keloak dan jika suka kuah boleh lebihkan air.
* Masak hingga kuah pekat atau ayam empuk.
* Sesuaikan rasanya dengan garam dan serbuk penambah perasa.
* Hidangkan.
Kalau ada yang tanya mana nak dapat buah ini, saya pernah jumpa ada dijual di pasar gerai jual ulam dan hasil tanaman kampung.  Sekarang  boleh beli online  di Lazada buah keloak, tapi yang saya punya ini beli dari Indonesia
Wassalam.

Sunday, 10 May 2020

Ayam Percik Kelantan ala chef Nas

Assalamm...
Ayam percik, rasanya ramai yang suka makan lauk ayam percik ini.  Dulu selalu beli di psar malam jika teringin nak makan sebab tak pandai nak buat sendiri, sebab macam susah jer nak kena panggang dan sepit dengan buluh.  Jika di ingat balik ayam percik yang beli di pasar malam tu kuah dia lain sikit dari ayam percik kelantan.  Kuahnya ada kacang tanah, lebih kurang macam kuah kacang gitu.  Pertama kali makan yang versi kelantan ini masa pergi jalan-jalan rumah kawan di Sungai Padi, Golok di Selatan Thailand.  Memang terus jatuh cinta lah yang kuah begini sebab suka rasanya yang lemak-lemak dan ada rasa serai dan lengkuas.


Rupanya nak berjodoh dengan orang yang memang sediakan ayam percik versi kelantan, in law salasilah keturunan dari sana kan.  MIL sediakan ayam percik dengan mereneh kuah sambil memanggang ayam menggunakan arang.  Sambil memanggang kuah percik akan di renjis-renjis ke atas ayam dan balik-balikkan.  Boleh juga ayam di celup ke dalam kuah percik dan teruskan memanggang sehingga ayam masak.  Versi orang bandar, ayam kita boleh panggang dalam oven atau guna kuali ajaib.  Sebaiknya ayam diperapkan atau lumur dulu dengan kuah percik sebelum dipanggang.


Ayam Percik Kelantan ala Chef Nas
Sumber: Chef Nas
 
Bahan-bahan
1 ekor ayam - belah 4 atau 6 bahagian 
1 kotak santan (250ml)
1 inc. lengkuas*
8 batang serai* - 4 diketuk, 4 blend
10 biji cili kering* - rebus dan blend
1 inc. halia*
4 biji bawang besar*
8 biji bawang putih*
6 biji bawang merah* 
2 cawan air
Minyak untuk menumis
 
Cara Penyediaannya
* Blend halus semua bahan bertanda '*'.  Blend asing cili kering.
* Tumis bahan blend hingga wangi dan masukkan cili bend.  Tumis hingga pecah minyak.
* Masukkan air, tunggu hingga menggelegak.
* Masukkan santan, gula, garam dan perasa.
* Masak hingga kuah pekat dengan api sederhana. 
* Untuk perap ayam, ambil sedikit bahan blend dan gaul rata.  Bakar dalam oven lebih kurang 45 minit dengan suhu 170 - 180'C.
* Ayam dah masak boleh siramkan kuah percik ke atasnya atau masukkan ayam ke dalam kuah dan masak sekejap.
* Hidangkan.

Ini masak ketika bulan puasa lepas sebab tengok banyak hidangan bubur yang dihidangkan bersama, lama diperam dalam folder.  Selamat mencuba, makan pasti sambil menjilat jari.
Wassalam.

Saturday, 4 April 2020

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah & Acar Masak.

Assalamm...
Ini bukan menu mewah kami semasa PKP ya, ia dah lama dibuat.  Buat bukan nak makan saja-saja tetapi atas permintaan adik untuk dihantarkan ke sekolah dia.  Ada hamba Allah yang nak belanja budak-budak sekolah itu makan tapi tak jumpa tukang masak yang boleh masak pada hari berkenaan.  Mungkin jumpa orang nak masak tapi minta harga diluar budget mereka, jadi adik minta tolong buatkan untuk 200 orang termasuk guru-guru. 

Sudah ada kesempatan kami pun join sekali lah makan sedap-sedap begini.  Nak masak-masak begini hari biasa memang tak lah, kena tunggu hari raya lah kot.


Nasi Minyak
Sumber: Chef Nas.

Bahan-bahan
4 pot beras basmathi
1 sudu minyak sapi 
1 sudu majerin planta
Rempah 4 sekawan sedikit setiap jenis (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang)
2 ulas bawang merah - hiris
1 inci halia - hiris halus
Sedikit garam
1 helai daun pandan - simpulkan
Sedikit pewarna kuning
Kismis dan buah gajus goreng

Cara Penyediaannya
* Panaskan minyak dan majerin, tumiskan 4 sekawan dan bawang hingga layu.
* Masukkan air yang telah disukat dengan beras (1 beras: 1.5 air).
* Tambahkan beras, halia, garam dan simpulan daun pandan.  Tanak hingga masak.
* Bila dah masak, titikkan pewarna kuning sedikit di atas nasi dan biarkan sebentar  kira-kira 5 minit.
* Kacau nasi dan tambahkan kismis dan gajus.  Hidangkan dengan pasangan lauknya.

Ayam Masak Merah
Sumber: Chef Nas

Bahan-bahan
1 ekor ayam - bersihkan dan perap dengan garam kunyit.
5 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
2 batang serai - ketuk
4 sekawan (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang)
2 sudu sos cili
2 sudu sos tomato 
Air sedikit
Garam dan serbuk perasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan kisar-
5 tangkai cili kering
4 ulas bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia.

Bahan tambahan
Bawang besar - hiris bulat
Daun ketumbar - hiris
Kacang peas
Susu cair

Cara Penyediaannya
* Goreng ayam yang telah diperap hingga setengah masak.
* Panaskan minyak (boleh guna minyak bekas goreng ayam), tumis bawang hiris, 4 sekawan dan serai hingga naik bau.
* Masukkan bahan kisar dan tumis hingga cili betul-betul masak (garing).  Tambah sedikit air, tumis dengan api perlahan hingga naik minyak.
* Tambahkan garam, gula dan serbuk perasa.  Masukkan ayam goreng tadi, biar mereneh sekejap.
* Tambahkan bawang hiris, kacang peas dan susu cair.
* Sesuaikan rasanya dan tutpkan api.  Tabur dengan hirisan daun ketumbar.


Acar Masak
Sumber: Chef Nas

Bahan-bahan
1 batang timun
1/2 batang carrot
4 ulas bawang kecil - potong 2
4 ulas bawang putih - potong 2
1/2 sudu teh biji sawi
Serbuk kunyit secukupnya
2 sudu cuka
Gula dan garam 
Sedikit minyak
Sedikit air

Cara Penyediaannya
*  Timun buang biji dan potong memanjang. Carrot juga dipotong meamnjang.
* Tumis bawang sekejap, masukkan biji sawi dan serbuk kunyit.
* Tambahkan sedikit air dan masukkan carrot.
* Tambahkan cuka, gula dan garam, sesuaikan rasanya dan didihkan sekejap sebelum masukkan timun.
* Tutup api. 


Begini lah hasil keadaan nasi minyak dan ayam masak merah berserta acar yang mereka minta buat tu.  Sebab sama-sama sibuk kami minta adik yang lain, tolong hantarkan ke sekolah di Putrajaya, tempat adik mengajar.

Petang tu adik hantar wassap, dapat good feedback dari guru-giri berserta gambar budak-budak tengah menjamu selera.  Syukur, Alhamdulillah, Allah bagi sedap dan sesuai pada citarasa mereka.
Wassalam.

Wednesday, 25 March 2020

Masak Lemak Cili Padi Ayam Dengan Terung dan Timun

Assalam...
Selamat diam-diam duduk di rumah dah masuk hari ke-8, tak sedar kan masa berlalu cuma tinggal beberapa hari lagi nak selesai Perintah Kawalan Pergerakan.  Pergi jauh-jauh lah covid-19 wehh, kami tak perlukan awak.  Mari kita berdoa semoga perintah ini tidak dilanjutkan lagi dan keadaan negara kita kembali seperti sediakala;

Ya Allah berikanlah aku hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah.
Berikan kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan.
Dan peliharalah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan.
Berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan.
Dan selamatkan aku dari bahaya yang telah Engkau tentukan.
Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menghukum dan bukannya yang kena hukum.
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin.
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.
Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.
Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau hukumkan.
Aku memohon ampun dari-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.
Dan semoga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W dan keluarganya.

Kawan-kawan yang telah tepu otak nak fikir menu nak masak apa untuk keluarga, boleh cuba menu kampung ini style my mum in law masak.


Masak Lemak Cili Padi Ayam Dengan Terung Dan Timun
Sumber: My MIL

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam - potong kecil
4 biji terung bulat hijau - belah 4
2 batang timun - belah 2 dan potong 1/5 inc.
1 kotak kecil santan pekat
Segengam cili padi
2 biji cili besar*
2 inc. kunyit hidup*
3 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inc. halia* 
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Secukupnya garam dan serbuk perasa 



Cara Penyediaannya
* Tumbuk atau blend halus bahan bertanda "*".
* Tumis bahan blend hingga wangi dan masukkan ayam.
* Gaul dan tumis sebati sekejap, kemudian masukkan air secukupnya (mengikut banyak mana kuah yang kita nak). 
* Bila sudah mendidih, masukkan terung, timun dan biar mereneh hingga masak.
* Tambahkan santan, garam dan perasa.  Sesuaikan rasanya dan didihkan sekejap dan tutup api.

Selamat mencuba, idea nak masak ketika musim nak berjimat sebab dalam tu dah ada sayur dan sumber protien.
Wassalam.

Monday, 6 May 2019

Kong Pao Chicken

Assalam...
Selamat berpuasa kawan-kawan, dah masak ke untuk berbuka petang ini?.  Kalau tiada idea nak masak apa boleh cuba masakan kaum cina iaitu ayam kong pao, ada ubah suai sikit ikut tekak melayu yang suka dengan rasa pedas.  Mereka yang suka menu berkicap pasti suka dengan menu ini.


Selalu saya suka kutip buah gajus yang dilettakan dalam menu ini.  Tetapi hari tu kami buat tak letak buah gajus sebab takde stok dalam peti ajaib.


Ayam yang dilumurkan dengan tepung jagung campur serbuk lada putih digoreng terlebih dahulu.  Pada peringkat ini jangan masukkan sebarang garam, biarkan tawar begitu.


Ayam Kun Pao (Kong Pao Chicken)
Sumber: Chef Nas

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong 20*
4 sdm tepung jagung*
sedikit serbuk lada putih*
Minyak untuk menggoreng
4 sdm kicap cair
2 sdm kicap pekat
3 sdm sos tiram
1 cawan air
2 inc. halia 
1 labu bawang putih
10 tangkai cili kering - potong pendek 1/2 inc.
1/2 cawan gajus (goreng terlebih dahulu)
Segengam cili padi (ikut suka nak pedas)
1 tangkai daun bawang
Sedikit daun ketumbar
10 biji cherry tomato
Garam, serbuk perasa secukupnya


Cara Penyediaaannya
* Gaul ayam dengan bahan bertanda "*" hingga sebati dan goreng dengan minyak penuh separuh masak. Angkat dan toskan, letak tepi.
* Guna minyak bekas goreng ayam untuk menggoreng halia, bawang putih, cili padi hingga layu.  Angkat ketepikan.
*  Panaskan sedikit minyak, tumis cili kering, masukkan semua jenis kicap, sos tiram, gaul rata dan masukkan air.  Biarkan sos mendidih hingga kelihatan pekat.
* Masukkan bahan-bahan yang telah digoreng terlebih dahulu (ayam, halia, cili padi, bawang putih).  Gaul rata, tambahkan garam dan serbuk perasa.
*  Masukkan gajus, cherry tomato, daun bawang dan daun ketumbar.
* Matikan api dan hidangkan.


Ok dah salin resepi, jom kita balik masak untuk berbuka.  You all dapat pelepasan balik awal tak masa bulan puasa?  Macam kami dapat balik awal daripada biasa.

Selamat mencuba dan selamat berbuka puasa untuk semua.  Yang bukan muslim pun turut berpusu-pusu ke bazaar ramadhan yang berdekatan dengan mereka, bila tanya sebab apa mereka suka? sebab ada banyak makanan dan kuih-muih bermacam ragam.
Wassalam.

Saturday, 3 November 2018

Ayam Masak Putih, Menu Autentik Bugis Asli

Assalam...
Ayam masak putih boleh dikatakan menu autentik orang Bugis, tetapi hanya dipelopori oleh suku Bugis asli.  Jika ke tanah Bugis (Sulawesi Selatan) baru tahu ada suku Bugis asli atau tidak, sebenarnya ada banyak suku dan dielek mereka juga berlainan.  Ramai yang kata suku Mengkasar, Mandar atau Toraja itu adalah Bugis, tetapi yang sebenarnya mereka tidak dipanggil orang Bugis jika di Sulawesi.  Hanya mereka yang berasal dari daerah seperti Bone, Wajo, Soppeng, Sengkang dan Sirdap yang digelar sebagai Bugis asli. 


Seingat saya, arwah mak dulu pernah masak ayam ini tetapi tak diletakkan suhoon.  So siapa nak try, suhoon tu sebagai option nak letak boleh tak nak letak pun boleh.  Masak putih yang sedap, rasanya tidak didominasi oleh rasa lemak daripada santan tetapi jelas rasa jus limau dan lada putihnya.


Ayam Masak Putih (Nasu Puteh)
Sumber: Tante Sima

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong kecil
2 biji limau nipis (ambil jus)
2 biji telur
10 biji bawang kecil*
5 biji bawang putih*
1 inc. halia*
2 sudu kecil serbuk lada putih
Suhun (rendam hingga lembut)
Air secukupnya
500ml santan pekat
Secukupnya garam, gula dan serbuk perasa

Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda "*".
* Campurkan ayam dengan bahan blend, telur, jus limau dan sedikit air.
* Masak hingga empuk dan masukkan santan pekat.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Campurkan su hoon dan gaul rata.
* Hidangkan.

Jika guna ayam kampung atau ayam tua, perlu tambahkan kuantiti air.  Perlukan sedikit masa untuk empukkan ayam terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan santan pekat.
Wassalam.

Monday, 13 August 2018

Nasu Palekko Ayam Pencen - Noxxa

Assalam...
Satu ciri khas masak (nasu) palekko ini ialah rasa pedas yang melampau, sedikit masam dan aromanya yang wangi.  Dimasak agak lama secara merenih dengan api yang perlahan, dan hasilnya masakan ini agak kering serta menggunakan daging itik.  Kurang gemar makan daging itik jadi saya tukarkan kepada ayam, gunakan ayam pencen (tua) atau ayam kampung.  Dulu pernah buat dah rujuk sini, hari tu masak atas dapur jer tapi guna ayam dara.


Rasa pedas itu kita boleh sesuaikan mengikut rasa pedas yang kita boleh terima.  Macam saya kena sediakan pedas yang sederhana sebab my other half tu tak boleh makan pedas.  Masa masak boleh singkatkan dengan guna periuk noxxa, jadi bolehlah buat kerja lain dari menunggu di dapur.


Nasu Palekko Ayam Pencen
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 ekor ayam pencen (tua) - potong kecil-kecil
Sedikit air asam jawa
Serbuk kunyit
Serbuk lada putih 
1 mangkuk cili padi*
5 biji cili merah*
5 biji bawang merah*
1 labu bawang putih*
2 inc. halia*
2 biji buah keras *
5 batang serai*
Daun limau purut
Asam mangga 
Minyak untuk menumis
Garam
Gula 
Serbuk perasa kegemaran

Cara Penyediaannya
* Ayam dipotong kepada ketulan kecil, perap dengan air asam jawa, kunyit dan serbuk lada putih.  Asingkan kulit dan lemak ayam. 
*  Bahan bertanda "*" giling atau blend tanpa air.
*  On kan noxxa ke function stir fry, tumis kulit dan lemak ayam hingga keluar minyak.  Jika tak suka boleh gantikan dengan minyak masak.
*  Tumiskan bahan giling hingga wangi.
*  Masukkan ayam dan tumis sekejap hingga ayam kecut.
*  Off function stirfry.
*  Tambahkan air, ikut kita nak kuah banyak mana yang dikehendaki.
*  Masukkan garam, gula, asam mangga, daun limau purut.
* On noxxa untuk function HP selama 15 minit.
* Keluarkan wap apabila sudah siap dan sesuaikan rasa dan boleh dihidangkan.
*  Jika nak keringkan kuah boleh on ke function stirfry semua.
* Hidangkan nasu palekko sesuai dimakan bersama nasi, roti dan burasak.

Hari tu saya sediakan hanya seekor ayam, untuk dimakan bersama adik-beradik, mana tahu ramai pula yang gemar hingga saya tak sempat nak merasa.  Jadi raya ini boleh lah bagi alasan untuk sediakan nasu palekko lagi.
Wassalam.

Wednesday, 1 August 2018

Ayam Sambal Kering

Assalam...
Lauk ayam kegemaran ramai sesiapa pun suka makan ayam, terutama golongan kanak-kanak apa lagi kalau hidangan ayam goreng.  Mak-mak ni, kadang tu sukar untuk menolak tidak memilih ayam, sebab lauk lain seafood atau daging merah mahal atau atas faktor kesihatan, terpaksalah pilih ayam.  

Family sebelah sana memang suka sangat lauk ayam, pagi petang kena ada lauk ayam.  Meraka kalau masak  mee atau lodeh pun akan letak ayam.  Kita yang biasa makan ikan saja juga jadi suka makan ayam, tapi kalau ada lauk lain selain ayam, memang ayam tu tak sentuhlah.  Tapi kalau dihidangkan dengan sambal ayam macam ini sukar jugak nak tolak, mesti nak cicip.


Ayam Sambal Kering
Sumber: En. Abe

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong kecil, perap dengan garam dan kunyit
15 tangkai cili merah*
5 biji bawang besar*
5 biji bawang putih*
5 helai daun limau purut - carik
3 keping asam gelugor - hiris halus
Secukupnya garam, gula dan perasa 
Secukupnya minyak masak

Cara Penyediaannya
*   Goreng ayam yang telah diperap dengan garam kunyit hingga setengah masak.  Ketepikan.
*  Blend bahan bertanda "*".
*  Tumis bahan blend hingga naik minyak.  Tambahkan dengan asam gelugor, daun limau purut dan serbuk perasa.
*  Masukkan ayam goreng, dan gaul sebati dengan sambal.  Goreng seketika hingga sambal dan ayam sebati.
*  Sesuaikan rasa dan tutup api.  Hidangkan.

Cuba lah, walaupun nampak simple tetapi sedap sambal kering nie.  Jika suka yang pedas boleh tambahkan cili padi.
Wassalam.

Thursday, 24 May 2018

Ayam ala Phad Phed


Assalam...
Kawan-kawan dah masak ker untuk buka puasa petang ini?  Saya setakat ini belum dapat masak awal waktu, masak hanya waktu malam untuk juadah bersahur atau makan jika lapar lepas balik teraweh.  Untuk berbuka makan ala kadar dan minum air saja.  Ayam masak phad phed (pat pet) ini mak mertua selalu sediakan cuma dia tidak mencampurkan sebarang sayur.  Cari juga info bagaimana menu phad phed ini disediakan di Thailand.  Banyak video yang sangat lihat mereka menggunakan paste (Red curry paste), diletakkan sedikit sos ikan, santan dan ada yang mencampurkan dengan sayuran seperti kekacang (sweet bean), daun selasih, terung hijau bulat atau terung pipit.



Ayam ala Phad Phed
Sumber: Nang Teh


Bahan-bahan 
1/2 ekor ayam - potong kecil
1 labu bawang putih
2 biji bawang merah
2 inci. lengkuas
1 inci halia
4 batang serai - 2 batang titik, 2 batang blend
1 inci. kunyit hidup
10 biji cili padi - tambah jika suka yang lagi pedas
Daun limau purut
1 biji cili merah - hiris
Minyak untuk menumis
Garam secukupnya
Gula secukupnya
2 keping asam gelugor
Sayur - kacang panjang & terung, boleh ganti dengan sayur lain sperti lobak merah atau bunga kobis.

Cara Penyediaanya
*  Blend halus cili, halia, lengkuas, bawang merah, bawang putih, 2 batang serai, dan 2 batang lagi hanya diketuk-ketuk. 
*  Tumiskan bahan blend hingga wangi dan masukkan ayam.  Tambahkan sedikit air dan biarkan mereneh hingga masak.  Lebihkan air jika suka yang berkuah.
*  Boleh juga terus masak dengan mencampurkan ayam, bahan blend dan air seperti mak mertua selalu buat, sebab diet ayah mertua kena kontrol tak boleh lemak.
*  Bila air dah agak kering, masukkan sayur terung dan kacang panjang, asam keping, garam dan gula.
*  Masukkan cili merah dan daun limau purut.  Sesuaikan rasanya dan tutup api.
*  Siap untuk dihidangkan. 


Saya suka resepi ini sebab mudah dan ringkas tak perlu fikir nak masak dua tiga jenis lauk, sazzzz sekali jalan siap.  Yang ini sudah lengkap ada protien dan sayuran, tinggal masak nasi saja.
Wassalam.