nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Monday, 28 November 2016

Lao Mandre: Restoran Sri Marudu


Assalam...
Restoran ini memang agak femes di Kota Marudu,  lokasinya terletak di kawasan Simpang Tiga Kudat - Kota Marudu.  Kalau sebut nama restoran mesti orang tempatan tahu, sebut simpang tiga pun orang tahu lokasinya.  Saya rasa nama Simpang Tiga tu pun mendapat nama dari lokasi yang terletak di persimpangan T jalan antara Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.
 

Waktu kami sampai sedang elok belum ramai orang yang datang tetapi lauk pauk dah tersusun dengan banyaknya.  Suka lah saya sebab kebanyakkan menu adalah hasil laut terutama menu ikan.



Sebenarnya selain menu makan tengah hari begini, ada jua disediakan makanan panas seperti mee goreng, nasi goreng, sup dan sebagainya.  Gambar bawah tu hidangan pilihan kami pada tengahari itu, nampak macam lapar sangat kan, ambil lauk bukan main lagi.
 


Keluar dari restoran muka masing-masing mesti ceria sebab perut dah kenyang hati pun senang.


Sebenarnya ada jumpa artis kat sini (kumpulan zero), diorang ini siap ambil gambar tapi nak tepek kat sini tak jumpa cari dah gambar tu.  Budak pelayan tu macam tahu jer masa kami tengok-tengok ke arah satu meja tu, budak tu bagi tahu restoran ini kepunyaan keluarga diorang. Oooooh gitu.
Wassalam.

Sabah Road Trip: Day 7 (21/05/2016)


Assalam...
Bangun pagi mata dijamu dengan pemandangan yang sangat cantik.  Suasana kampung yang terletak di Jalan Sabit Kota Marudu.  Tengok langit, sawah padi dan latar belakang gunung-ganang di Banjaran Crocker.  Semua pun sibuk nak abadikan kenangan dengan pemandangan secantik ini.
 

Bestnya kalau dapat selalu menikmati pemandangan yang cantik begini.  Hidup di kampung secara sederhana, cukup menyenangkan.  Tetapi manusia ini macam-macam ragam, yang tinggal di kampung sibuk nak ke bandar, orang bandar pulak sibuk mencari kampung.


Jalan kampung yang masih belum bertar, ini yang orang kampung dok marah nie.  Kampung ini bukan jauh sangat pun dari Pekan tapi masih belum pernah mendapat peruntukan untuk dinaik taraf jalan atau peruntukan dah masuk silap poket.


Rumah dua tingkat tepi bendang inilah rumah nenek Ann tempat kami menumpang tidur pada malam ke-6.


Ikutkan hati nak duduk lama sikit kat tempat ini, tetapi kami kena bergerak pantas sebab perjalanan masih jauh lagi.  Singgah sekejap di rumah mak bapak Ann berjumpa dengan mak dan adik-beradiknya yang lain.  Sekadar berhai-hai, bye-bye.


Destinasi kami pada hari ke-7 ini adalah pekan Kudat, Tanjung Simpang Mengayau (Tips of Borneo), Kota Belud dan balik ke Kota Kinabalu.  Tetapi sebelum itu singgah makan dulu di Simpang Tiga.  Brunch cum lunch di Restoran Sri Marudu.


Ketika melalui kawasan Matunggong menuju ke pekan Kudat, kami ternampak satu sign board ke rumah panjang.  Rumah panjang suku kaum Rungus, yang mana suku kaum rungus banyak tertumpu di bahagian Kudat.  Rumah panjang ini dibuka khas kepada pelawat yang ingin tahu lebih dekat suasana rumah panjang dan kalau nak menginap pun boleh membuat tempahan bilik di sini.


Saterusnya ke Pekan Kudat.  Saya pertama kali jejakkan kaki ke daerah ini haruslah teruja, so kena lah ambil gambar di papan tanda itu.


Pekan Kudat juga terletak di tepi laut, di sebuah teluk, di Laut China Selatan.  Tidak mempunyai pantai berpasir di sebelah sini, water front di Dataran Sidek diwujudkan sebagai tempat yang sesuai untuk aktiviti rekriasi dan bersiar-siar.


Dari pekan Kudat perjalanan lebih kurang setengah jam lagi ke Tanjung Simpang Mengayau (Tip of Borneo).  Saya ajak driver melencong sekejap ke airport Kudat.  Mengimbas kenangan lalu. 



Akhirnya kaki menapak di Tip Of Borneo, tapi tak adalah kami berjalan sampai ke gigi air di hujung batu tu.  Sekadar memandang dari atas gelagat para pengunjung yang berjalan ke sana.  Tenaga dah tak semegah nak berjalan ke sana.  Bila dah sampai ke sini, rasanya road trip kami dah sampai ke kemuncaknya.  Berapakah peratusan mencapai matlamat tu kenalah tanya semua ahli group.


Sebab kami sampai awal di sini, sempat lah kami ronda seluruh kawasan kecuali pantai berpasir putih di sebelah bawah.  Ada juga pelancong yang menyewa teksi khas dari Kota Kinabalu datang ke sini semata-mata untuk menyaksikan matahari terbenam.  Kami pun tidak ketinggalan beratur di pentas khas yang disediakan (sebenarnya tidak ramai pun yang menunggu).  Detik-detik melihat matahari terbenam memang sangat cantik di sini, ditambah pulak petang itu cuaca baik.  Namun malangnya tidak dapat untuk dirakam sepenuhnya sebab bateri kamera dah kong huk huk huk.  Kredit gambar daripada hand phone Aerin.


Selepas magrib kami teruskan perjalanan kembali ke Kota Kinabalu.  Sholat di surau tepi pantai Simpang Mengayau berdekatan dengan pos batalion 16 pasukan gerakan am.  Kota Belud totally tak dapat diterja sebab dah gelap.  Malam terakhir penginapan juga ditaja dan bertempat di apartment Angkasa Darau, Menggatal.
Wassalam.

Sunday, 27 November 2016

Sabah Road Trip: Day 6 (20/05/2016)


Assalam...
Sambung lagi kisah hari ke-6, hari kami akan bertolak dari sandakan menuju Kota Marudu.  Ada dua jalan yang menjadi pilihan sama ada melalui jalan Pamol - Paitan - Pitas - Kota Marudu atau  jalan Telupid - Ranau - Marak Parak - Kota Marudu.  Akhirnya kami memilih jalan Pamol - Paitan - Pitas dan Kota Marudu.  Rasanya ini jarak yang paling panjang yang kami lalui sepanjang road trip ini, tiada sebarang pekan kecil kecuali bila dah sampai Pitas, tiada sebarang pengangkutan awam berjadual yang melaluinya dan perlu lebih berhati-hati kerana tiada seorang antara kami pernah melalui jalan darat ini.  Keadaan jalan banyak berpandukan pada cerita-cerita pemandu lori yang pernah melaluinya dan juga google street view. 


Kami keluar dari kawasan Sepilok, waktu pun dah dekat tengahari semasa kami singgah di batu 16, Tamu Gum-Gum.  Perut perlu di isi memandangkan jalan yang hendak di lalui ini tidak ada perhentian untuk mencari makanan halal walaupun sebelum keluar rumah sudah breakfast makan nasi pagi tu.  Jumpa coto makassar yang sedap di Tamu Gum-Gum.


Salah satu pitstop yang ada dalam list yang terpaksa kami lupakan adalah Labuk Bay Proboscis Monkey.  Ini merupakan satu tempat untuk melihat monyet belanda selain sanctuary di sungai Kinabatangan. Waktu memberi makan yang tidak bersesuaian ketika kami sampai dan untuk menunggu waktu seterusnya memang agak lambat.



Jarak perjalanan yang perlu ditempuhi untuk sampai ke Pitas.  Dari Pitas Ke Kota Marudu lebih kurang sejam lagi.   Papan tanda yang ditemui di tepi Sungai Labuk.



Beginilah keadaan sepanjang pemanduan, sesekali akan bertemu dengan kenderaan penduduk kampung mahupun lori-lori yang mengangkut hasil daripada ladang kelapa sawit.


Perlu berhati-hati kerana jalan agak berliku, mendaki dan menuruni bukit serta setengah-tengah tempat masih ada jalan yang belum bertar sepenuhnya terutama antara Paitan ke Pitas.  Sila penuhkan minyak kenderaan dan pastikan kenderaan dalam kondisi yang tip top.



Dah sampai pekan Pitas, baru hati dan perasaan lega dah nampak kampung.  Ketika kami sampai Pitas agak lewat lebih kurang dekat jam 9 malam, dan kami teruskan saja perjalanan.


Kami hanya singgah sebentar di Dataran Bengkoka, sebelum ini tak pernah dengar pun tempat ini, sebenarnya tempat tarikan baru di Pitas.  Kalau siang hari mesti cantik pemandangan di kawasan ini, tepi laut.


Antara contoh rumah tradisi yang terdapat di Dataran Bengkoka.  Sama ada dibina sebagai galeri yang menempatkan peralatan dan informasi sesuatu etnik yang diwakilinya atau sekadar rumah contoh untuk tatapan dari luar, tidak lah dapat saya pastikan.  Kena datang lagi lah kalau nak tahu.



Sesampai saja di Kota Marudu, perkara pertama yang dilakukan adalah mencari makan malam sebelum ke rumah penginapan.  Tempat penginapan malam ini ditaja oleh nenek Ann, agak ralat sebab kami tak sempat pun berjumpa dengan tuan rumah. Ketika sampai nenek dah tidur, keesokan harinya pula beliau telah keluar ke pasar sebelum subuh lagi. 
Wassalam.

Saturday, 26 November 2016

Sabah Road Trip: Day 5 (19/05/2016)


Assalam...
Maaf kawan-kawan sebab bila dah sampai kampung sendiri dah kurang lincah nak melawat sana-sini.  Ngelat betul kan kita, pagi-pagi kena kerah yang lain buat breakfast, Ann sediakan goreng pisang yang lain buat air.  Aku sibuk nak uruskan bau yang kurang menyenangkan pada pakaian kita orang.   Nak tahu apa bau tu, air sotong dan ketam tumpah kat baju kami.  Agaknya ada orang drift masa kami semua tertido dalam perjalanan...hehehe.  Lepas tu kami sambung bersarapan lagi di Kampung Gum-Gum Manis Batu 16.  Sebab sarapan kapurung (ambuyat) ditaja oleh sepupu, sanggup berpindah kampung untuk sarapan.


Separuh hari pertama di Sandakan dihabiskan dengan aktiviti menyental baju-baju kotor dan bersih yang berbau sotong dan ketam.  Sebelah petang baru dapat bawa diorang berjalan-jalan ke Taman Peringatan Sandakan.  Ada kisahnya di sini.


Selepas itu kami bergerak ke kawasan Bandar Sandakan, tetapi tak banyak yang boleh diterjah kerana hari semakin gelap.  Jadi tidak dapatlah nak ditunjukkan keindahan kampungku kepada mereka ini.  Lain kali datang lagi lah.


Hanya sempat singgah di Trig Hill, di sini ada taman, ada tugu peringatan Datuk Chong (salah seorang korban Tragedy Double 6, 1976 bersama Tun Fuad Stepen), ada restoran steamboat yang selalu orang kunjungi di sini (tetapi saya tak pernah).


Selepas itu kami beredar dan mencari gereja St. Micheal, bangunan gereja dari batu granit yang tertua di negeri Sabah (1897).  Bagi can lah pada Ann dan Aerin.  Asyik kami jer yang mereka tunggu ketika kami singgah di mana-mana masjid. 


Sebenarnya nak mencari bangunan ini pun dah berpusing beberapa kali tak jumpa.  Bikin malu orang Sandakan betul ini, sesat di tempat sendiri almaklum lah tak pernah sampai sini lagi.  Di Agnes Keith House sekadar singgahkan mereka untuk snap gambar di papan tanda.  Perut dah berkeroncong sebab sedari pagi tak jumpa nasi, sebulat suara nak cari nasi malam ini, maka ke Pasar Sim-sim lah kita mencari ikan bakar.


Hari kedua di Sandakan, bersiap untuk beredar ke destinasi seterusnya ke Kota Marudu.  Tetapi sebelum itu kami nak singgah tempat sinosim dengan Sandakan, kiranya satu jalan menuju ke barat (Telupid, Ranau) atau pun memilih jalan yang melencong ke utara (Paitan, Pitas). 


Kami ke Sepilok dan berjaya sampai sebelum feeding time sebelah pagi pada jam 10.  Namun pagi itu tiada seekor pun orang utan yang keluar ke pelantar untuk mendapatkan makanan.  Kini terdapat bangunan outdoor nursery untuk orang utan, jadi kalau tak jumpa orang hutan di pelantar terus saja ke nursery.  Sini pasti boleh jumpa, ada dinding kaca lah tapi. 


Yang seekor ini berada di bawah jambatan pejalan kaki, berjalan sambil cuba menarik perhatian pengunjung.  Bila nak ambil gambar, cepat-cepat berpaling macam tu.  Orang utan pun pandai bergaya dan mengada-ngada kan.


Keluar dari kawasan orang utan kami ke pusat konservasi beruang madu (sun bear - BSBCC) pula,  terletak bersebelahan dengan Sepilok.  RDC tak sempat cover kali ini.


Sebelum meneruskan perjalanan, singgah beli jajan (mencari buah salak) di gerai check point batu 32.  Sebagai persedian menempuh perjalanan panjang dan kami rasa tak akan jumpa mana-mana gerai sesuai untuk disinggahi di perjalanan berikutnya.
Wassalam.

Sabah Road Trip: Day 4 (18/05/2016)


Assalam...
Cerita sebelumnya boleh baca di sini dan di sini. Hari ke-4 segala cerita berkisar di Semporna sebab hari ini kami nak pergi island hopping, walaupun tak sesempurna seperti yang diimpikan.  Kita hanya mampu merancang Allah jugak pelaksana yang terbaik untuk umatNya, kena redho. 


Awal pagi dah bersiap untuk check out dari Dragon Floating sebab jadual kami bermula jam 8 pagi untuk berkumpul di jeti.  Jeti tu terletak bersebelahan dari tempat penginapan kami saja.  Masih awal semasa sampai di jeti, kami maklumkan kepada awak-awak bot nak pergi sarapan dahulu di restoran yang terdekat.


Dalam package yang kami ikut, ada di sediakan makanan tengah hari dan air minuman.  Namun sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak masuk angin perut tu perlu makan dulu.  Sarapan harus yang berat macam orang nak pergi bendang.  Bila di lambung ombak kalau nak muntah pun kurang hasapnya berbanding perut kosong.



Hari ini package di uruskan oleh Fit, kami ikut saja dan dalam package tu cover untuk 3 buah pulau (harga termurah yang kami dapat katanya).  Bagi saya nak pergi pulau lain tak kisah sangat, janji dapat pergi ke Bohey Dulang. 



Tujuan utama nak pulau Bohey Dulang, nak hiking ke puncak bukit.  Malangnya, sedih nak bergolek-golek menangis rasa kat situ.  Terus takde mood nak buat apa-apa, muka yang manis dan bertukar jadi masam kelat, tiba-tiba muncung dah panjang sedepa.  Kecewa sangat setelah dimaklumkan oleh pihak taman bahwasanya hari ini semua pengunjung tidak dibenarkan untuk hiking ke puncak bukit.  Atas sebab-sebab keselamatan kerana keadaan track yang basah dan licin kerana hujan lebat semalam.  



Kepala otak ini masih tak boleh terima, bila masa hujan erk tak dengar pun.  Sah tidur mati masa tidur kat floating semalam.  Boleh jadi juga di pekan Semporna tak hujan tapi hujan hanya turun di pulau Bohey Dulang saja.  Keputusan adalah muktamad tiada belas kasihan, bagilah alasan datang dari jauh ke apa ker, tetap tidak di akan dilayan.  Ramai lagi pelancong yang datang dari jauh Rusia, Belanda, Korea, Jepun, China kalau sekadar ko orang Malaysia tak payah nak poyo sangat.   



Nak menawar kedukaan, buat-buat sedapkan hati melawat galery dan pusat pembiakan kima, bersembang-sembang dengan pegawai yang menjaga di situ.  Pegawai tu bagi satu tips yang sangat berguna kepada sesiapa yang hendak melawat pulau-pulau di Semporna. Masih berharap sinaran mentari pagi cepat keringkan track yang basah dan penjaga taman tu akan cakap ok sekarang boleh naik sebelum masa kami tamat di sini.  Tapi hampeh sampai ke sudah penjaga taman buat senyap.  Hati tak rela kena balik juga ke jeti.  Sebagai pengubat duka, guide kami suruh snorkeling di sekitar jeti selama sejam sebelum ke pulau lain.


Keluar dari Bohey Dulang, kami singgah di perairan Pulau Tatagan.  Mulanya nampak tenang dan damai jer dengan pemandangan rumah-rumah atas air di perkampungan bajau laut (Sea Gipsy) ini.  Namun bila bot kami merapat dan berlabuh, satu persatu sampan-sampan kecil ini muncul mengelilingi bot kami.  Sampan kecil yang dikayuh oleh kanak-kanak kecil, satu pengalaman yang jarang-jarang dapat dirasai.  Semakin lama semakin ramai dan ada antara mereka memanjat tebing bot meminta minuman, makanan, duit atau apa saja.  Tak perlu takut sebab keadaan masih terkawal mereka tak menyerang dengan ganas pun, seeloknya sediakan biskut atau gula-gula bagi mereka.  



Terhibur dan rasa sedih pun ada bila tengok anak-anak bajau laut ini.  Sebenarnya saya tak tahu dan tak pernah tahu ada aktiviti sebegini dalam mana-mana package island hopping di Semporna.  Kalau tahu dah sediakan gula-gula dari darat tadi.  Kesian pula tengok apabila ada antara kanak-kanak tu yang menagis kerana tidak mendapat sebarang buah tangan dari pengunjung.


Selepas selesai mengagihkan makanan dan ronda-ronda naik sampan dengan anak-anak bajau laut ini, kami ke Pulau Sibuan.  Di sini aktiviti lebih santai, nak mandi laut boleh, nak pergi beramah mesra dengan bajau laut pun boleh tetapi kami dinasihatkan lebih baik jangan.  Sekali lagi kami pergi snorkeling dan memberi makan ikan sebelum aktiviti kami berakhir jam 2.30 petang di Pulau Sibuan.


Lebih kurang jam 4 petang kami sampai di Pekan Semporna semula.  Bersihkan diri, makan dan bersiap untuk mulakan perjalanan seterusnya ke Sandakan.  Tetapi sebelum itu mencari makanan laut segar untuk di bawa ke Sandakan terutama ketam dan sotong.  Dek kerana perlu mencari kotak dan ais untuk semua tu, kami keluar dari Semporna selepas waktu Isyak.  Malam itu memang tiada apa pemandangan yang boleh disaksikan, mata bertahan semata-mata menemankan sang pemandu.



Akhirnya tewas juga mata selepas memasuki kawasan Kunak.  GPS bergerak dan tukang sembang dah tertidur, pemandu tersilap jalan hingga masuk tawaf  di bandar Lahad Datu, kira bonus lah tu. Pemandu kami kata masih boleh bertahan ketika di Lahad Datu, jadi teruskan lagi pemanduan hingga ke Kampung Paris 3 Kinabatangan.  Singgah sini minum dan makan, masih teringat-ingat sedapnya soto banjar yang saya makan malam itu.  Puas melepas lelah kami teruskan perjalanan ke kampung saya di Batu 12 Sandakan yang mengambil masa lebih kurang sejam lebih dari Kinabatangan.
Wassalam.