nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Monday, 23 June 2014

Apam Tepung Beras - Cara Orang Kampung

Assalam...
Sedikit perkongsian cara penyediaan apam tepung beras yang dihasilkan oleh orang-orang kampung di Polman, Sulawesi.  Walaupun ianya hanya kuih biasa-biasa, tetapi pengalaman dapat menyaksikan proses penyediaannya begitu mengujahkan.  Agak berlainan sedikit berbanding dengan yang pernah saya saksikan atau yang disediakan sendiri, lebih-lebih lagi dengan penggunakan peralatan yang asas dan agak terhad.  
Menurut si pembuat apam ini, adunan perlu diuli seketika kerana menggunakan tepung beras yang dikisar sendiri, bermakna tepung tidak cukup kering seperti yang dijual dalam paket.  Cara menguli adalah seperti menguli adunan untuk menyediakan roti.  Adunan diuli sehingga licin dan tidak melekat pada tangan.  Di bawah ini pula, adalah jenis yis yang digunakan.
Larutan gula kabung yang telah dibmasak bersama air dan biarkan mendidih seketika kemudian disejukkan.
Ketika mencampurkan air gula ke dalam adunan, jangan lupa tapis ye untuk mengeluarkan benda asing yang mungkin terdapat dalam gula.
Proses mencampurkan larutan gula kabung dengan doh yang telah siap diuli.
Biarkan adunan selama lebih kurang 2 jam sebelum dikukus.  Adunan hanya akan naik sedikit dan jangan terkejut jika ianya tidak naik hingga 2 kali ganda seperti yang biasa ketika kita menyediakan apam.
Acuan canggih orang kampung, kira acuan multi purpose jugak lah ni.  Sebelum dan selepas ini akan digunakan sebagai penapis.
Menggunakan plastik sebagai alas pada acuan, lidi yang diletak antara lubang-lubang penapis sebagai batas atau petak apam.
Rupa apam yang dah hampir masak dalam pengukus.
Mengukus apam dalam periuk kukusan menggunakan dapur kayu.
Kukur kelapa dan ambil bahagian yang putih jer, paling elok guna kelapa yang sedikit muda dan tidak terlalu tua.
Tersedia sebagai hidangan minum petang.  Nak tengok resepinya, lebih kurang macam kat bawah ini.  Tiada ukuran tertentu yang digunakan, semua main agak-agak jer., terror tak terror?.  Kalau saya agaknya semua error.
Apam Tepung Beras
Sumber: Soda

Bahan-bahan
Tepung Beras
Air 
Yis
Gula kabung yang telah dicairkan dan dimasak dengan sedikit air
Kelapa parut
Garam - untuk digaul dalam kelapa

Cara penyediaan
*Campurkan tepung dengan yis dan air.  Bancuh sedikit demi sedikit bersama air untuk mendapatkan doh yang seperti doh untuk membuat onde-onde / buah melaka.
*Doh perlu diuli hingga adunan licin dan tidak melekat pada tangan (kira-kira 20 minit jugak nak mengulinya).
*Bila adunan selesai diuli, tuangkan air gula yang telah disejukkan, kacau rata.  Adunan apam ini sedikit cair berbanding dengan apam yang biasa dibuat menggunakan tepung gandum.  Kecairan adunan adalah seperti hendak membuat tepung goreng pisang.
*Ketepikan dan biarkan selama lebih kurang 2 jam sebelum dikukus.
*Untuk mengukus, tuang ke dalam acuan yang telah disapu dengan minyak dan kukus selama 15 minit atau hingga apam masak (merekah dipermukaan atau tidak melekat pada lidi ketika mencucuk apam).
*Hidangkan bersama dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

Saya suka menikmati yang masih panas atau suam bersama air teh.  Nikmat yang tak terhingga... 
Wassalam.

Majlis "Naik Duit"

Assalam...
Semalam telah berlangsung majlis "naik duit' nun jauh di kampung.  Saya hanya saksikan melalui kiriman gambar dari anak sedara ketika majlis berlangsung.  Majlis "naik duit" ini adalah antara rentetan proses untuk melangsungkan majlis perkahwinan dalam masyarakat Bugis.  "Naik duit" sebenarnya adalah terjemahan langsung daripada perkataan Bugis "Ma' pengrek duwi" yang membawa maksud penyerahan duit hantaran oleh pihak/wakil (bakal) pengantin lelaki kepada pihak/wakil (bakal) pengantin perempuan. Sebenarnya sebelum ini telah dilaksanakan acara merisik (ma' pettu ada).  Dalam majlis sebelum ini telah diputuskan tentang jumlah dan nilai hantaran yang bakal diberi oleh pihak lelaki.
Selain wang RM, pihak lelaki turut membawa hantaran berupa keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.  Nilai RM yang diberi oleh pihak lelaki itu saya tahu tapi biarlah rahsia, tak perlu nyatakan disini.  Tapi kalau tengok note RM100 yang tebal begitu, boleh agak kan berapa banyak duit yang mereka beri.  Siap ada juru audit yang kira tu...hehehe.  Itu adalah wakil pihak perempuan yang menyambut hantaran dan mestilah kena kira, betul ke tidak jumlah seperti yang diputuskan.
Selepas wakil kaum lelaki mengira duit hantaran, duit tersebut akan diserahkan kepada kaum ibu untuk acara selanjutnya.  Antara mereka yang akan mengendalikan acara ini adalah orang tua terdekat seperti nenek bakal pengantin perempuan, nenek saudara, ibu saudara atau orang tua yang mendapat kepercayaan keluarga atau penduduk kampung.
Duit-duit itu akan diletakkan dalam dulang yang berisi beras, bersama wang siling dan sedikit rempah 4 sekawan (kayu manis, pelaga, bunga lawang dan cengkih).
Duit ini bukan untuk dikira semula tetapi, akan disukat  bersama barang-barang yang terdapat di dalam dulang tersebut menggunakan sukatan yang diperbuat daripada tempurung kelapa.  Penyukat akan diangkat tinggi-tinggi dan dituangkan isinya ke dalam dulang semula.  Proses ini akan diulang-ulang sehingga kiraan 3, 5 atau 7 kali.  Bunyi gemersik duit siling dan benda-benda jatuh dalam dulang melambangkan perasaan yang gembira dan sebagai alu-aluan untuk menyambut orang baru dalam keluarga.  
Selepas itu duit akan diserahkan kepada ibu bakal pengantin perempuan untuk disimpan.  Kain batik yang dipakai oleh si ibu tersebut digunakan untuk membungkus wang hantaran tersebut.  Agaknya sebagai simbolik kepada perasaan gembira untuk menerima menantu sebagaimana gembiranya ketika melahirkan anak lalu diselimutkan dengan kain batik.
Setelah acara penyerahan duit telah disempurnakan, perbincangan lanjut akan diteruskan untuk menetapkan majlis perkahwinan iaitu tarikh dan waktu nikah dan acara bersanding.  Ketika majlis itu nanti, pihak lelaki hanya menyediakan barang hantaran seperti persalinan untuk pengantin perempuan, duit mas kahwin dan sompa.  Majlis perkahwinan telah ditetapkan seminggu selepas sambutan aidil fitri akan datang iaitu pada 6hb Ogos.  So haruslah saya & en.Abe akan menghadirkan diri kelak.
Ini adalah sebahagian daripada rombongan pihak lelaki yang hadir bersama keluarga pihak perempuan.  Ramai kan?....ini belum kenduri lagi, kalau hari majlisnya nanti mesti lagi meriah ini. Jemputan bukan setakat satu kampung, kampung sebelah lagi, orang seberang laut lagi, orang jauh lagi...semua datang berkampung.
Penutup acara pada majlis itu, adalah acara makan-makan.  Mengikut adat, ketika majlis 'naik duit' tetamu akan dihidangkan dengan menu khas yang diberi nama Palopo' (pulut yang dimakan bersama manisan iaitu gula merah yang dimasak bercampur dengan telur).  Pada majlis ini mereka dijamu makan tengahari dengan soto ayam (ni kes lupa nak close up tang makanan ni).
Semoga majlis yang bakal berlangsung Ogos akan datang dipermudahkan dan hubungan silaturrahim dua buah keluarga terjalin erat melalui penyatuan ini kelak...Amin.
Wassalam.

Thursday, 12 June 2014

Sunset Di Balik Awan


Assalam...
Selamat menyambut nisfu sya'aban, menandakan ramadhan semakin hampir.  Dah habis ker bayar hutang posa tahun lepas? yang tak habis lagi, cepat2 langsaikannya ya jangan tangguh-tangguh lagi.  Semoga kita dipertemukan dengan ramadhan yang akan menjelma ini.  Insha Allah.
Ramai orang kata, antara lokasi untuk melihat sunset tercantik adalah di Makassar.  Namun disebabkan ada hal yang tidak dapat dielakkan, saya terlepas peluang itu.  Ketika penerbangan balik pada petang itu, ternampak fenomena itu mula terjadi dan hanya ini saja yang mampu saya rakamkan dari dalam kapal terbang yang sedang take off.  Abaikan gambar yang tak cantik dari orang yang tak pro dan kamera cokia saya.
Semoga kita akan terus mensyukuri nikmat kurnian Allah dengan melihat kebesarnNya ini.  MasyaAllah...SubhanaAllah....Alhamdulillah.
"Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami masakan dapat)! (Surah Ar - Rahman : 33)







Wassalam.

Wednesday, 11 June 2014

Ramadhan Buffet @ TMCC


Assalam...
Tolong promosi kejap....kepada sesiapa yang bercadang untuk membawa family atau kawan-kawan berbuka puasa pada bulan ramadhan akan datang bolehlah datang ke sini ye.  Eksess nak ke tempat ini pun mudah xde keta boleh naik lrt, In Sha Allah boleh sampai.. 

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, Eden Catering akan bergabung dengan TM Convention Centre (“TMCC”) untuk menjayakan Jom Iftar @ TMCC, Menara TM.


Tema kali ini akan membawa suasana Ramadan dengan menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk makanan seperti Char Kuoy Teow, Kambing Panggang, Nasi Arab, dan pelbagai lagi. Bufet ini akan diadakan di Kristal Hall TMCC dalam suasana tema Jom Iftar @ TMCC, Menara TM, dimana pelanggan juga akan berhibur dengan persembahan musik tradisi. TMCC juga menawarkan parkir berbumbung percuma dan kemudahan solat di surau.


Bufet akan diadakan dari pukul 6.30 petang – 10 malam setiap hari dari 4 – 25 Julai 2014. Harga untuk dewasa ialah RM 75 bersih, RM 30 bersih untuk kanak- kanak 4 - 11 tahun manakala PERCUMA untuk kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke bawah.


Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi kami di talian 03-2240 1012 / 019 259 4334 or edencateringsales@edenzil.com atau layari web kami di www.edenfood.com.my.
Wassalam..