Tuesday 31 July 2018

Musim Durian Datang Lagi...

Assalam...
Tahun ini pasaran agak melimpah dengan lambakan durian, musim kali ini menjadi serentak dari semua penjuru semenanjung kan, utara tanahair, selatan dan timur.  Tahun-tahun sebelum ini, rasanya durian mahal jugak sebab bekalan durian di pasaran secara bertahap dan berkala, saya ingat lagi tahun lepas beli sebiji (RM75) untuk bapak  tapi rasanya sangat mengecewakan.


Awal musim hari tu dimulakan makan durian dengan pulut yang adik ipar belanja untuk kami makan ramai-ramai.  Durian kampung sekilo RM10, dalam 10kg juga lah mereka beli. 


Itu budak yang tak suka dengan durian, buat muka dan lari bila nak suap dengan durian.


Dua minggu lepas kami balik kampung (Pahang) salah satu tempat lubuk durian.  Balik ramai-ramai, berkumpul makan durian kali ini beli dengan harga RM3 sekilo.  Durian kampung gred yang bagus RM6 (harga hujung minggu, tinggi sedikit sebab ramai memborong) kalau hari biasa boleh dapat lebih murah.


Mertua angkut sebakul (lebih 15 biji) durian yang gred rendah sesuai untuk buat tempoyak  dengan harga RM10.  Kalau 2 minggu lepas dah ada stok 20kg tempoyak, setakat hari ini akan bertambah lagi lah stocknya.  Tempoyak bahan masakan yang wajib ada sepanjang tahun bagi orang Pahang, untuk gulai dan sambal.  Lepas ini kita pun akan dapatlah bekalan sebalang dua juga.


Pak mertua ajar buat tempoyak dengan hanya letak garam pada isi durian.  Kacau bagi rata dan simpan dalam bekas / botol.  Jika durian tu jenis berair, kena sejat air tu dulu baru gaul dengan garam.


Durian yang kami bawa balik penuh bonet jugak lah dari kampung.  Dalam perjalanan menempuh jem dan panas dah ada kulit yang terbelah, nak selamatkan agar masih boleh dinikmati segar kena buka dan bekukan.  Sekarang jalan raya jem bukan time raya saja tau, tapi musim durian pun jalanraya jem juga.  Salah satu.


Orang Malaysia ni memang bertuah, musim buah bukan hanya boleh makan durian, tapi sekali pakej dengan buah nadir yang lain.  Bersabar sajalah perut akan disumbat dengan macam-macam jenis buah, selagi tidak membawa mudarat it's ok makanlah sepuasnya.

Musim begini juga macam-macam mitos dan fakta akan akan keluar sehingga ada yang menjadi takut.  Sejauh mana benarnya wallahualam, sebab itu kita perlu ada ilmu dan kenali diri sendiri.
Wassalam.

Monday 30 July 2018

Jalan Marak Parak, Jalan Kota Marudu - Ranau


Assalam...
Salah satu hobi suka ukur jalan, jadi kita nak cerita pasal jalan lah pula kali ini.  Cerita jalan yang kami lalui dari pada Kota Marudu ke Ranau, selepas menghadiri majlis resepsi Ann.  Kira pertama kali juga saya lalu jalan ini, boleh dikategorikan sebagai jalan baru untuk menghubungkan Kota Marudu ke Ranau, lebih cepat daripada ikut jalan lama melalui Kota Belud.


Starting Jalan Marak Parak, keadaan jalan selepas round about di Kota Marudu.  Sebenarnya untuk sampai ke Ranau, Jalan Marak Parak ini bersambung dengan Jalan Kota Marudu - Ranau selepas kawasan perkampungan Marak Parak.


Jalan Marak Parak antara jalan yang hanya melalui sedikit perkampungan yang terletak di pendalaman Sabah, seperti juga jalan Sepulut - Kalabakan, jadi pemandu dan kenderaan perlu persediaan yang cukup seperti minyak petrol.  Sesetengah kawasan juga masih tiada jaringan telefon.


Bila dah start mendaki, akan nampak pemandangan jalan berliku dan background gunung ganang di belakang.  Sebenarnya kita semakin mendekati kawasan kaki Gunung Kinabalu.


Kebanyakkan jalan raya utama di Sabah beginilah keadaannya, ini lah highway mereka.  Tapi syukur saja, jalan sudah agak bagus (walaupun belum sampai stardard yang diharapkan) sekarang boleh berkereta sana sini tak macam dulu, setengah tempat hanya boleh dihubungi melalui jalan udara atau laut.  Generasi Z mungkin tak dapatlah merasa pengalaman adventure generasi X dan Y dahulu ketika melalui jalan-jalan di Sabah.


Tak lupa untuk mengabadiakan kenangan di puncak Jalan Marak Parak, sementara nak rehatkan kenderaan dan pemandu.  Rasa macam berat dan susah payah sangat mendaki tadi, almaklumlah kenaikan kami bukan pacuan 4 roda.


Syukur juga kami sampai awal seperti yang dijangkakan di pekan Ranau.  Singgah pekena teh tarik dan roti canai telur di salah sebuah restoran mamak.  Pemandangan langit menghala ke Gunung Kinabalu ketika senja petang itu, sanagat mengujakan semua orang nak snap fenomena langit sebab mungkin keesokkan harinya pemandangan sudah tidak sama.

Selesai urusan di pekan Ranau kami teruskan perjalan ke Kundasang, mereka menempah penginapan di sana.  Nak lebih dekat dengan Akinabalu, dengan harapan esok pagi buka mata, buka jendela boleh tertentangan mata dengan Akibalu yang cantik. 
Wassalam.

Friday 27 July 2018

Pot Luck Habis Raya

Assalam...
Ini potluck sempena apa tak tahu lah, nak kata potluck raya, raya pun dah lepas.  Sejak sebelum ramadhan hingga ke musim raya semua orang sibuk.  Memang takde lah nama nak kumpul makan ramai-ramai dengan rakan sekerja, atau nak susun pergi beraya rumah ke rumah memang idok lah.  Nasib lah raya orang beraya sakan 30 hari jer, itu pun ada gak yang lajak sampai ke hari 2 dan 3 zulkaedah.  Semua macam nak menjerit saja cakap udah udah ler tu kome beraya, dah tak larat dah kami dan serve.


Plan last minute juga kisah potluck nie, mencuri masa yang ada kosong untuk sehari itu.  So temanya jadi begini dusun buah-buahan mak pak hang tak tahulah asal usul buah tu dari mana, pahang ker, johor ker, utara ker.  Setahu kami mereka yang ditugaskan berkejaran mencari di pasar malam, NSK, SS2 dan stall buah instant bawa pokok pun ada.


Ini lah tinggalan saki baki kuih raya yang ada, end up tak bersentuh sebab lebih gairah nak makan doyan.


Didikasi team kitchen sediakan roti canai dan roti bom pagi tu sebagai mengenang arwah chef Abdullah.  Sebanarnya kami kehilangan seorang chef seminggu selepas raya hari itu, Al-Fatihah untuk Chef Abdullah.


Ceritanya sediakan pulut bersama santan untuk dimakan bersama durian atau mangga, tapi hanya tercuit sedikit saja.


Air ini, mula-mula ramai komen, air apa nie banyak sampah.  Tatapi akhirnya menjadi kegemaran ramai lebih laris daripada air durian belanda, at the end sampah pun habis entah ke mana.


Goreng-gorengan, sukun, pisang & cempedak.


Ada pula hamba Allah bawa KFC bucket tu, ini kes kering idea nak bawa apa, last minute tanya mana outlet KFC yang terdekat.

Mulanya hanya nak makan buah-buahan saja, tapi seorang bawa ini sikit, sedia itu sikit, lama-lama jadi banyak.  Dari menu ringan meleret ke menu mee, nasi, sate dan lauk pauk.  Seharian kenyang buta dibuatnya, yang penting semua orang happy dan lepas ini boleh bekerja dengan lebih semangat lagi.
Wasalam.

Tuesday 10 July 2018

Resepi Kek Buah Kukus Terbaik

Asssalam..
Terima kasih banyak kak wan yang telah share resepi kek buah kukus ini.  Dah lama intai cara yang macam ini tapi tak try lagi sebab tak sure sukatan sebenarnya.  Bukan tak pernah buat tapi lain orang lain cara dan ada tips tertentu, kalau dah tukang masak terkenal macam kak Wan yang mengakui sendiri ini resepi terbaik kek buah kukus yang keluarga dia selalu guna, maknanya memang boleh dipercayai.  In Sha Allah follow step dan ukuran mesti menjadi.  Kalau nak resepi cara lain untuk kek buah kukus boleh rujuk sini.  


Jujur, hasil kek buah yang guna resepi ini yang paling saya suka.  Masih panas dah potong makan seketul tak puas ambil lagi seketul dan seterusnya.  Betul kata kak wan tak sempat simpan lama dah habis.  Bukan saya saja yang cakap macam tu tau, tapi mereka yang lain turut mencicipi kek buah ini.  Lagi satu lebih mudah daripada resepi yang saya guna sebelum ini, so resepinya saya sharekan di sini.  Minta halal ya kak Wan. 


Kek Buah Kukus
Sumber: Kak Wan @ Resepicitarasawan


Bahan-bahan
300gm gula pasir
250gm mentega asli
400gm mixed fruit, cucui dan toskan hingga kering
100gm ceri merah dan hijau, biarkan sebiji2
3 biji telur grade A
60ml air panas
350gm tepung gandum
2 sudu teh soda bicarbonate
1/2 sudu teh cream of tartar
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh serbuk buah pala

Loyang 7 atau 8 inc dilencer dengan mentega


Cara Penyediaannya
*  Ayak tepung, baking soda, cream of tartar dan campurankan serbuk buah pala (nutmeg powder).
*  Masukkan gula ke dalam periuk atau kuali tebal, masak dengan api sederhana.
*  Jangan mengacaunya, goyangkan periuk ke kiri kanan sehingga gula mencair sekata dan berubah keperangan.
*  Tutup api dan masukkan air panas di tepi periuk supaya tidak terpercik.
*  Kacau hingga gula larut, masukkan mentega dan kacau hingga mentega cair.
*  Masukkan mixed fruit, gaul rata dan masak sekejap atas api.
*  Bila suam, kaup balikkan tepung dan rempah.
*  Pukul telur bersama esen vanilla hingga berbuih.
*  Masukkan ke dalam adunan sedikit demi sedikit, gaul hingga sebati.
*  Masukkan ke dalam loyang dan ratakan.
*  Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 2 jam atau lebih.


Dan sebagai oleh-oleh untuk orang kampung, akan buat lagi kek ini.  Takpelah kena berjaga malam ini kukus kek, demi sama-sama menikmati kek buah sedap ini.  Suka share benda yang kita suka dengan keluarga, sama-sama rasa sedapnya, jangan benda yang pahit-pahit jer kita baru nak share. 


Cuba siapa yang teringin, jimat sikit duit boleh beli benda lain.  Kek buah kukus begini dalam pasaran rasanya seketul begini camni orang jual rm60 lebih kot, tapi memang harga bahan-bahan kuih mahal pun lagi-lagi kalau guna yang berkualiti.
Wassalam.

Monday 9 July 2018

Musim Durian di Kampung Saya

Assalam...
Saya sedang bercuti di kampung ini, tak tahu lah ada musim durian ke tidak.  Kampung saya nie, baru jer akhir-akhir ini ada hasilkan durian sendiri.  Seingat saya kecil-kecil dulu nak dapat buah durian tu macam emas.  Mahal sangat kalau ada yang jual waktu itu, sebab tulah yang mendorong orang kampung menanam pokok durian di tanah kebun masing-masing.  Satu-satunya tempat yang selalu jual durian guna lori pick up di Bulatan Batu 7, sekilo RM10.  Tanam pula bukan semua berhasil, ada yang tanam banyak kali sebab pokok yang ditanam mati akibat kemarau dan sebagainya.  Seingat saya, bapak pun dulu banyak kali mencuba tanam pokok durian baru berhasil, yang berbuah sekali lepas tu mati, yang mati tak sempat berbuah, ada pokok bunga banyak tapi tak sempat keluar buah semua gugur dan macam-macam lagi.  Jenis dan baka pun macam-macam, benih dari biji, beli pokok kawin, benih durian hutan pun ada.  Kalau dapat berkunjung ke Kenigau pada musim durian satu bonus sebab di sana selalu banyak durian hutan, ada durian lebih buat lempok supaya bila teringin nak makan kuih gunakan lah lempok tu.
Bila saya dah berkelana ke semenanjung ini, buah pertama yang dicari adalah durian.  Memang puas lah makan, dari utara ke selatan boleh makan durian tambah-tambah bila berkunjung ke Sg Balang selalu kenduri durian.  Tak lupa buat lempok setiap tahun buat lempok untuk bekalan orang kampung.  Draf entri ini sebenarnya dah peram lama, tengok orang yang tengah buka durian tu adalah sepupu yang telah meninggal dunia pada bulan ramadhan yang lalu.  Al-Fatihah untuk arwah abang Harun, semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.  Saya tak ingat ini tahun bila yang kami balik kampung, diorang punya beriya nak bagi kami rasa durian sanggup simpan tak bagi orang lain makan rasmikan dulu.

Kalau tengok isi durian begini warna putih, macam tak berapa teruja nak makan.  Tetapi tak nak kecilkan hati orang yang simpankan, kami ikut rasmikan supaya orang lain pun boleh makan lepas ini.  Durian kampung sana banyak yang macam itu, isi warna putih tetapi berlemak dan sedikit pahit.

Budak-budak kampung saya sekarang rasanya dah tak batak sangat bila jumpa durian, tak sama kanak-kanak zaman kami.  Sekarang merata tempat ada di jual ketika musim, tinggal mak bapak kena sediakan duit saja.  Budak-budak kampung saya sekarang pun dah jarang yang pandai panjat pokok, tetapi masih syukur jika mereka masih kenal jenis-jenis pokok dan buah yang terhasil dan semoga sentiasa rindu untuk balik kampung.
Wassalam.

Sunday 8 July 2018

Last Day - Pantai Air Manis

Assalam...
Hari terakhir di tanah minang, kami nak pergi ke satu lokasi yang dekat di Pantai Air Manis.  Nak saksikan sendiri tempat yang didakwa sebagai tempat si derhaka Malim Kundang (si Tanggang) menjadi batu bersama isi kapalnya.  Pepagi sebelum supir datang sempat ambil angin di Jambatn Siti Nurbaya dan bersarapan digerai berdekatan dengan tempat penginapan.


Antara yang kami makan pagi tu, lontong dan soto.  Kaget sikitlah sebab yang datang lain sikit dari yang selalu kami jumpa, pertama kali jumpa yang macam ini, namun rasanya sedap juga.  Rezeki kami pagi itu.


Kami sampai pantai Air Manis, agak lenggang mungkin masih terlalu awal atau sebab bukan hari libur.  Pondok begini disediakan untuk kemudahan pelawat,  terdapat di kebanyakkan pantai di Indonesia.


Kawasan pantai yang dikatakan terdamparnya kapal dagangan Malim Kundang yang bertukar menjadi batu ekoran sumpahan ibu beliau.  Gerai makan dan cenderahati terletak sangat dekat menyebabkan pengunjung seakan tidak perasan mereka telah sampai ke kawasan kapal Malim Kundang ini.


Dipercayai di sinilah jasad Malim Kundang yang menjadi batu itu.  Wallahualam.  Nampak kesan kawasan ini telah dipugar beberapa kali untuk memastikan objek itu kekal hingga ke hari ini.


Pasir pantainya warna gelap, hitam tu yang manis kot.  Mungkin hari itu air laut surut sebab macam jauh jer air laut, tapi nampak ombak boleh tahan tinggi.  Kalau banyak masa boleh sewa atv tu untuk ronda-ronda kawasan.


Balik dari Pantai Air Manis, kami minta pak supir singgahkan di kedai cenderahati, nak cari barang sikit.  Berkenaan dengan kain songket Palembang ini, ingatkan harga dalam ratusan ribu saja, bila tanya harga 4 juta lebih.  Mampu usap-usap ambil gambar saja lah.


Minta pak supir singgahkan kami lagi di Masjid Raya Minangkabau ini.  Singgah tepi jalan je tak dapat masuk sebab boleh pula si Risqi tu cakap masjid belum siap, belum buka.  Tapi sebenarnya kami dengar azan dari dalam tu, tapi tak apalah mungkin dia nak cepat hantar kami ke airport dan dia nak balik awal kot. Sebelum ini bila nampak gambar macam bentuk masjid memanjang, dah tengok sendiri oh empat segi rupanya.  Menara tinggi pada setiap bucu bumbung masjid.


Susah sangat nak ambil gambar full termasuk menara setiap bucu masjid, dapat satu ini jadi lah.


Sampai airport masih awal lagi, sebelum masuk balai berlepas kami nak lepak puas-puas kat luar dulu.  Gigih pergi tukar RM sebab nak makan ayam goreng duit rupiahnya dah habis.


Jom kita makan dulu sebelum check-in, nampak di situ kesukaan pada ayam goreng terlalu tinggi.  Di negara sendiri makan KFC, sampai arab makan Al-Baik, pergi Indonesia pun cari CFC.


Sudah kenyang, jom kita masuk dan setteld kan apa yang patut.  Nak cepat masuk dalam sebab di luar cuacanya sedang hangat membahang.  Tak lama pun kami dibalai berlepas ini, banyak masa lepak dalam surau di level yang sama.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik negeri sendiri kan.  Tiada duit dalam poket pun rasa aman jika di kampung sendiri.  Kalau tempat orang isi poket dah mula susut sangat lah perit rasanya.  Baru 4 hari dah rasa rindu kampung halaman.
Wassalam.

Saturday 7 July 2018

Istano Basa Pagaruyung


Assalam...
Sambung ada sikit cerita yang tersisah kisah jalan-jalan ke Padang-Bukit Tinggi.  Syukur dapat jejakkan kaki ke sini, tempat yang da lama nak pergi.  Pergi Istano Baso (istana besar) walaupun hanya istana replika, bukan istana asal seperti istana negara tu.  Istana asal dah terbakar tahun 1804 ketika rusuhan, selepas itu dibangunkan yang baru tetapi yang baru ini pun terbakar juga.  Kemudian dibinalah istana replika ini tetapi bukan ditempat asal, lokasinya agak ke selatan daripada yang asal.  Sekali lagi istana replika terbakar akibat disambar petir pada tahun 2007 dan istana yang kita saksikan sekarang adalah istana yang ke-4 daripada siri Istana Baso yang telah dibangunkan.



Sebagai langkah keselamatan dokumen dan peralatan berharga yang dapat diselamatkan daripada siri kebakaran istana telah ditempatkan di Balai Benda Purbakala Kabupaten Tanah Datar dan Harta Pusaka Kerajaan Pagaruyung di Istana Lidungan Bulan (Istano Silinduang Bulan). 


Hiasan pada lantai atau lapisan bumbung tingkat satu Istano Baso.  Dibelakang tirai kain yang warna-warni tu pula menempatkan bilik tidur.


Tiang kuning ini lah agaknya yang dikatakan tiang utama (Tiang Tuo), sama erti dengan tiang seri kot dalam terms mendirikan rumah melayu lama.


Replika keris yang digunakan oleh raja-raja di tanah minang.


Peti kayu yang padat ukiran, inilah tempat menyimpan barang orang dulu-dulu, mereka tak ada almari, kalau nak pindah atau mengembara angkut aje peti kayu ni.  Di rumah saya dulu ada beberapa buah (orang punya, tumpang simpan) digunakan untuk menyimpan baju persalinan, harta pusaka atau barangan berharga.


Ukiran pada bahagian luar dinding istana, motif bunga dan tumbuhan menjalar.


Atap istana dibuat daripada ijuk (jerami) daripada tumbuhan jenis palma, pokok kabung.  Dianyam padat dan tebal agar air hujan tidak dapat tembus ke dalam rumah.


Bangunan "rangkiang" tempat menyimpan padi didirikan di tepi bangunan istana besar.  Teringat kata "rakkiang" bahasa bugis merujuk kepada loteng rumah yang digunakan untuk tempat menyimpan barang atau tempat persembunyian anak dara dulu-dulu.


Sebelah kiri istana baso juga terdapat dua (2) lagi binaan lain, yang satu macam rangkiang dan satu lagi rumah.  Mungkin untuk pegawai istana kot.


Bangunan yang menempatkan ruang dapur dibina di belakang dan terasing daripada bangunan utama istano baso.  Terdapat jambatan sebagai laluan yang menghubungkannya antara keduanya.


Ruangan di tingkat dua (lantai 2) Istana Baso.


Di bawah bahagian bumbung bentuk tanduk kerbau ini adalah bangunan yang menempatkan dapur istana.  Pemandangan ke arah bukit di bahagian belakang.


Pemandangan ke arah hadapan istano baso, pintu masuk utama bagi pelawat.


Semantara ini ruangan di tingkat (3) paling atas istano basa.  Ruangan ini dikenali sebagai Mahligai.


Baca penerangan itu, apa fungsi mahligai.  Mesti ruangan ini dahulunya tidak sembarangan orang yang boleh masuk atau naik ke sini.

Di bawah kolong istano basa, ada disediakan kiosk untuk pelawat menyewa baju adat minang.  Kalau perlukan khidmat juru photo pun ada disediakan. 


Lepas ini kita nak jalan-jalan ke muzium yang kat nogori, yang pun lebih kurang sama bentuk istano baso.  Mesti ada persamaannya kan, saya tak pernah sampai ke sana lagi.
Wassalam.