nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Warisan Leluhurku.... Show all posts
Showing posts with label Warisan Leluhurku.... Show all posts

Wednesday, 13 June 2018

Kueh Buroncong


Assalam...
Buroncong adalah nama satu jenis kueh tradisi yang dijadikan kudapan pada hari-hari biasa di dalam masyarakat bugis.  Hanya menggunakan bahan asas tepung gandum, kelapa parut dan gula, manakala acuannya terbentuk khas untuk membakar kuih ini.  Rasanya padat, lemak kenyal-kenyal dan sedikit manis.



Tambahan bahan majerin cair dalam adunan dan diguna untuk menggoles acuan buroncong menambahkan sedap pada kuih.  Tambah rasa lemak dan wangi.


Adunan batter tu agak-agak jer cairnya.  Uji dengan menjatuhkan adunan, jika bekas adunan tu jatuh, cepat je hilang bekasnya maknanya batter dah sempurna.


Kueh Buroncong
Sumber:  Kak Soda


Bahan-bahan
1 kg tepung gandum
1 biji kelapa parut putih - kelapa muda
2 gelas gula pasir - kurang atau tambah sesuai dengan manis yang diingini.
1/2 cawan majerin - cairkan
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning
air secukupnya

- Bakar menggunakan acuan buroncong seperti di dalam gambar.



Cara Penyediaannya
*   Campurkan tepung, gula pasir dan kelapa parut muda, gaul sebati.
*  Masukkan pewarna kuning telur, dan air.
*  Masukkan air sedikit demi sedikit, ambahkan dengan majerin cair, aduk sekata hingga gula larut.
*  Kecairan adunan seperti batter untuk goreng pisang.
*  Panaskan acuan di atas dapur.  Oles dengan majerin.
*  Tuangkan adunan ke dalam acuan hingga penuh.  Tutupkan acuan.
*  Keluarkan kuih dari sarangnya apabila telah masak.
*  Hidangkan, kuih buroncong sangat sedap dimakan ketika masih panas. 



Makan di teres depan sambil bersembang bersulamkan air teh o panas, tak sedar kueh dah luak di dalam pinggan.  Tukang masak di dapur tak menang tangan, kuih tak siap lagi orang dah datang suah pinggan kosong minta ditambah.


Ada pantun untuk diri sendiri sempena ramadhan dan syawal ini....
Bangun sahur minum milo
Buke puase makan telo
Sebulan puasa hilang 4 kilo
Raya ke-3 naik 7 kilo


Hari ini dah last kerja sebelum bercuti, selamat balik kampung, selamat hari raya aidilfitri semua dan  selamat bercuti.
Wassalam.

Wednesday, 23 May 2018

Sambal Tomat Kak Soda


Assalam...
Sambal tomat (sambal tomato) antara hasil air tangan kak soda yang menjadi kegemaranku bila kami dapat berkumpul bersama.  Buah tomato memang tak pernah putus bekalan dalam peti ais rumahnya, lebih-lebih kalau tau saya nak datang bertamu.  Setiap hari mesti minta dibuatkan sambal ini, takde ikan bakar pun boleh jalan dengan sayur bening.
 

Kunjungan kali ini menggunakan tomato bulat, besar sikit daripada tomato ceri, saya bertanyakan buah tomato yang berlipat-lipat bentuknya seperti selalu yang digunakan.  Kak soda maklumkan agak sukar mencari buah seperti itu sekarang, mungkin sudah jarang ditanam oleh petani sebab hasil tak sebanyak yang bulat.



Mari sediakan sambal tomat fresh, tiada resepi pun boleh sebab dah ada gambar step by step.


Dah masukkan hirisan tomato, tak perlu tumbuk sekuat tenaga.  Tumbuk manja-manja cukup asal sebati semua bahan.


Perahkan air limau nipis, sambal ini memang rasa dia agak masam.  Masam paduan antara masam tomato dan masam air limau nipis.


Rasa sambal semakin sedap jika menggunakan minyak kelapa sebab wangi, jika tiada boleh gantikan dengan minyak zaitun. 



Resepinya ringkas dan mudah lebih kurang kat bawah ini.


Sambal Tomat
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
5 biji tomato sederhana - hiris halus
2 biji bawang kecil
4 biji cili padi - boleh tambah kalau nak pedas
Garam secukupnya (Kak Soda guna garam kasar)
1 biji limau nipis - ambil jus
Sedikit minyak kelapa


Cara penyediaannya
*  Tumbuk cili padi dan garam hingga lumat.
*  Masukkan bawang, tumbuk lagi hingga lumat.
*  Tambahkan hirisan buah tomato, lumatkan hingga sebati semua bahan.
*  Perahkan jus limau nipis dan sesuaikan rasanya.
*  Akhir sekali masukkan minyak kelapa.  Gaul sebati dan hidangkan.



Sambal tomat ini sangat sedap sebagai bahan cicah untuk ikan bakar atau dijadikan sebagai sambal begitu saja.  Sambal ini merupakan sambal mentah dan sebaiknya disediakan segar ketika menghampiri waktu makan.


Nasi panas, sayur bening, ikan goreng dan sambal tomat sudah cukup untuk membuatkan seorang saya makan bertambah-tambah.
Wassalam.

Thursday, 8 February 2018

Pulut Kuning & Sambal Ayam


Assalam...
Makanan feveret anak omak dia, hahaha bukan omak den yo.  Omak den dan semua ahli keluarga yang lain suka sangat dengan pulut tapi tak menurun pula kat anak yang seorang ini, sejak dulu memang tak berapa gemar makan pulut, sesekali boleh lah layan.  Teringat arwah pakcik saya, pulut tu makanan ruji bagi dia, dia tak makan nasi hanya makan pulut yang di tanak, tapi tak pernah pula dengar dia mengaduh sakit urat ke atau angin.  Masalah sinonim yang ramai orang dakwa akan alami selepas makan pulut selain mengantuk.  Tapi tak boleh lari jauh dari pulut sebab keluarga belah sini pun suka makan pulut, pulut kuning dengan rendang ayam.  Pulut kuning ni dia masak sendiri, nak merendang tak cukup masa nak menunggu, jadi lah kenenkan dengan ayam sambal. 


Pulut Kuning
Sumber: Nang Teh

Bahan-bahan
1 kg pulut
2 keping asam gelugur
Sedikit serbuk kunyit / pewarna kuning
500ml  santan pekat
Sedikit garam


Cara Penyediaan
*  Rendam pulut bersama serbuk kunyit/ pewarna dan asam keping.  Rendam beberapa jam atau semalaman.
*  Panaskan kukusan hingga air mendidih.
*  Kukus pulut hingga masak.
*  Campur santan dengan garam.  Didihkan sekejap.
*  Keluarkan pulut, campur santan sedikit demi sedikit dan kacau rata hingga sebati.  Pulut yang sebati dengan santan nampak berkilat dan tidak melekat pada senduk.
*  Kukus sekali lagi, tapi sekejap saja.  Lebih kurang 15 minit.    
* Hidang bersama lauk kegemaran.
 
Sambal Ayam
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam  - gaul dengan garam dan kunyit, goreng
3 sudu cili kisar
3 biji cili besar*
5 biji cili padi* (abaikan jika tak suka pedas)
3 biji bawang besar*
3 biji bawang putih*
1 inc. halia*
1 biji buah keras*
1 batang serai - titik 
Sedikit air asam jawa / asam keping
Serbuk perasa - garam dan gula
Minyak untuk menumis


Cara Penyediaannya
*  Blend halus semua bahan bertanda '*'.
*  Panaskan minyak, tumis bahan blend, masukkan cili kisar, serai dan tumis hingga naik minyak.
*  Masukkan air asam jawa / asam keping, garam dan gula.  
* Masukkan ayam yang telah digoreng terlebih dahulu.  Gaul dan tumis hingga sebati.
*  Sesuaikan rasa dan tutup api.
*  Hidangkan bersama pulut.


Wassalam.

Tuesday, 5 December 2017

Nasu Palekko Ayam


Assalam...
Pertama kali saya makan nasu palekko ini, ketika balik kampung kenduri anak sepupu hari itu.  Saya bertanyakan kepada mereka apa nama masakan itu, saya agak menu baru sebab baru pertama kali merasainya.  Diberitahu oleh Cik Minah itu menu lama, menu tradisi orang bugis (terutama di daerah yang dinamakan Sidrap, Sulawesi).  Bila disebut nasu palekko (macam pernah dengar).  Original resepinya guna daging itik dan di masak dalam palekko (periuk tanah).  Kenapa saya tak pernah makan ya sebelum ini?,  seingat saya memang diorang tak pernah masak pun.  Alasan mungkin sebab tiada palekko atau tiada itik, sehingga ada yang berani derhakai resepinya itik tukar ke ayam dan palekko tukar guna kuali. 
 

Pedas, masam dan wangi, itu rasa yang sangat nyata pada nasu palekko.   Daging itik/ayam pula dipotong kecil-kecil supaya lebih senang bumbu meresap.  Nasu Palekko lebih sedap bila dah simpan semalaman.  Jika tidak suka dengan itik, tukar guna ayam pencen atau ayam kampung lebih sesuai dengan kerana isinya yang lebih pejal.
 

Saya takde alat yang bernama palekko, so masak dalam kuali dan tutup lah dengan penutup ini.


Nasu Palekko
Sumber: Cik Minah


Bahan-bahan
satu ekor itik / ayam - potong kecil
2 gengam cili padi* (ikut pedas yang diingini)
8 batang serai*
1 sudu serbuk kunyit
2 inc. halia*
2 biji buah keras* 
2 helai daun limau purut (jika suka)
asam mangga / jawa
sedikit minyak untuk menumis
air jika perlu
gula garam
serbuk perasa


Cara Penyediaannya
* Asingkan kulit ayam/ itik.  Daging itik/ayam dipotong kecil-kecil.
* Perap itik/ayam dengan asam mangg/jawa, kunyit dan serbuk lada putih.
* Tumbuk bahan-bahan bertanda '*' hingga lumat.
* Goreng kulit itik/ayam hingga kecut.  Masukkan bahan tumbuk, tumis hingga naik minyak.
*  Masukkan daging itik/ayam, gaul rata dan terus memasak dengan api perlahan.
*  Tambahkan sedikit air bila daging lambat lembut dan teruskan memasak hingga pekat.
*  Masukkan daun limau dan letakkan garam, gula dan serbuk perasa.
*  Kepekatan kuah bergantung pada sendiri, jika suka berkuah tak perlu masak hingga kering.
*  Sesuai dimakan dengan nasi putih atau burasak.

 

Timbul pulak keinginan nak merasai nasu palekko yang banyak terdapat di warung-warung di Sidrap, tempat asal menu dan tempat yang mana terdapat ramai pengusaha ternakan itik.  In sha Allah, suatu hari nanti.
Wassalam.

Thursday, 19 October 2017

Penyaram Keladi


Assalam...
Rupa tak begitu sempurna tapi nak tunjuk juga, tulah tak semua benda yang kita buat hasilnya menjadi dan cantik kan.  Itulah risiko memasak kuih-kuih lama nie, banyak lah faktor kenapa jadi begitu,  Tapi tak sempat nak mengkaji, habis jer semua masuk mulut sebab rasanya tetap sedap.  


Sebenarnya terpikat selepas melihat gambar-gambar orang buat penyaram keladi ni (Kueh Cucur Taro).  Sukatan resepi hampir sama cuma cara menyediakan adunan tu ada kelainan sedikit.  Ini akibatnya jika derhaka kot, saya guna resepi yang selalu ikut, cuma gula merah gantikan dengan gula pasir dan tambah paste keladi (tak jumpa tepung keladi/ taro).


Penyaram Keladi
Sumber:  Mulia


Bahan-bahan
500gm tepung gandum
100gm tepung beras
650ml air panas
sedikit garam
500gm gula pasir
2 sudu makan paste keladi
minyak secukupnya


Cara Penyediaannya
* Campur gula bersama dengan air panas, kacau hingga gula larut.  Ketepikan biarkan hingga suam
*  Campur tepung dengan garam dan masukkan air gula.  Kacau guna whisk hingga sebati.  Jika bimbang ada benda asing daripada tepung atau gula boleh lah tapiskan adunan.
*  Tambahkan paste keladi dan gaul sebati.  Perap adunan selama beberapa jam atau semalaman.
*  Panaskan 2/3 cawan minyak dalam kuali kecil yang melengkung (guna api perlahan).  
*  Tuang satu senduk adunan di tengah-tengah kuali.  Biarkan kuih masak dari tepi hingga ke tengah baru siram-siramkan minyak pada kuih atau diterbalikkan.  Angkat dan toskan minyak.
*  Goreng satu persatu hingga habis.
 


Komen dari en.Abe, sedikit manis (kadar kemanisan gula pasir dan merah tak sama, so kena kurangkan sedikit).  Saya ada menyimpan adunan lebihan dalam chiller, sebab adunan mengikut resepi ini memang agak banyak jika makan berdua.  Goreng sehari selepasnya itu masih elok, rupa paras cucur pun cantik (perlu keluarkan terlebih dahulu dan biarkan dalam suhu bilik kemudian goreng).
Wassalam.

Tuesday, 17 October 2017

Keciri Mandi aka Ketiri mandi


Assalam..
Kadang-kadang disebut sebagai keciri mandi atau ketiri mandi, adalah kuih yang sama.  Kuih orang lama, suku kaum lain memanggilnya dengan nama lain.  Kaedah nak buat lebih kurang biji nangka orang Kelantan, cuma tidak diberi warna, seakan sama juga dengan kuih orang Banjar yang dinamakan wadai kepeng, cuma bentuknya dibuat bulat-bulat dan tekan ditengah.
 


Jom kita semak resepinya,


Keciri Mandi @ Ketiri Mandi
Sumber: Muntaha


Bahan-bahan
tepung pulut
sedikit garam
air
daun pandan simpulkan
gula merah / gula pasir
Santan


Cara Pembuatannya
*   Campurkan tepung dengan air, uli perlahan sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk.
*  Bentukkan panjang atau bulat dan tekan sedikit dibahagian tengah.
*  Jerang air dalam periuk hingga mendidih.  Masukkan biji-biji keciri mandi ke dalam air mendidih.  Angkat kuih yang timbul dipermukaan dan rendamkan seketika di dalam air sejuk. Toskan.
*  Dalam periuk yang lain, masak gula merah / gula pasir, daun pandan dan air hingga gula cair.  Masukkan santan dan tambah sedikit garam.
*  Sesuaikan rasanya dan angkat.



Kuih ini boleh dinikmati suam atau sejuk, terpulang pada selera masing-masing.
Wassalam.

Friday, 6 October 2017

Wedding Bia & Man


Assalam...
Sudah lama tidak menghadirkan diri di majlis perkhawinan keluarga yang kena berada beberapa hari di rumah pengantin.  Selalunya kalau dikampung kami memang akan datang ke rumah pengantin beberapa hari sebelum hari majlis berlangsung dan bersambung lagi sehari dua selepas itu.  Semasa bulan syawal lepas, syukur kerana dapat hadirkan diri di majlis perkhawinan Bia (anak sepupu) dengan pasangan.  Sebab dah lama sangat tak join, jadi semacam orang luar pula ditengah keramaian sanak saudara yang hadir.  


Bantal tempat duduk pengantin lelaki ketika acara akad nikah, dilapisi dengan tujuh (7) helai kain pelikat / sarung.  Kain pelikat tujuh helai yang diperlukan adalah koleksi yang dimiliki oleh ibu bapak pengantin perempuan atau nenek pengantin.  Selalu yang digunakan adalah koleksi terbaik dan termahal milik keluarga.  Setiap keluarga selalunya ada menyimpan beberapa helai kain pelikat / sarung yang dipanggil "lipa sabbe" dan hanya digunakan dalam majlis tertentu.  Kain sarung ini pula adalah daripada tenunan sutera atau campuran benang emas.


Sebelum acara akad nikah, akan diadakan mandi mayang untuk pengantin perempuan  (air mandian bercampur dengan bunga, mayang kelapa muda, emas dan duit syiling).  Waktu mandi adalah dinihari ketika sebelum subuh.  Makcik-makcik yang memandikan pengantin sering kali bergurau dengan memukul atau merenjis anak gadis yang masih belum bangun ketika itu dengan mayang bekas mandian pengantin tadi.  Pukul manja-manja lah, yang ini tahu sebab pernah ada pengalaman dulu. 


Jom sembang pasal food pula, ini sebahagian kuih-muih yang disajikan kepada tetamu.  Menu kuih ini bukan hanya sajian untuk sehari, tatapi ada antaranya disajikan ketika hari sebelum majlis berlangsung (hari rewang).  Sajian kuih-muih dan lauk-pauk adalah berbeza mengikut hari kenduri, dan kesemuanya disediakan secara gotong royong bersama ahli keluarga dan jiran tetangga.  Hanya ini yang sempat diportetkan sementara gambar lauk hanya dapat satu sahaja (lauk sehari sebelum majlis).


Ketika majlis berlangsung, saya langsung tak keluar ke tempat buffet sebab ada tugasan utama kena masak nasi.  Geng yang masak lauk-pauk di tempat lain.  Aktiviti memasak, dikendalikan hanya dan oleh kaum hawa dan diketua dengan seorang tukang masak (berbayar).  Acara masak-masak tidak melibatkan kaum adam, sangat berbeza dengan budaya masyarkat melayu di tempat lain.  Kaum adam hanya dilibatkan untuk aktiviti yang perlukan tenaga mereka.


Busana persandingan pengantin dimulakan dengan persalinan pakaian adat Bugis yang dipanggil "baju bodo".  Persalinan selanjutnya (jika ada) akan dipakai selepas itu (selalunya memang banyak persalinan untuk pengantin di kampung, 5 hingga 7 pasang) untuk bersanding.  Bersanding dari pagi hingga tengah malam.  Bukan orang rewang je yang letih, pengantin pun sama letih deh.


Hahaha dapat name tag, kena pakai lah name tag "Makcik" tu sepanjang majlis.  Tapi kita mengelat, dapat-dapat terus sorokkan, kata hilang.  Entah ada atau tidak rezeki pakai name tag 'Nenek" tu akan datang.


Dan sebab dianggap sebagai orang penting yang patut hadir pada majlis kenduri.  Selepas majlis selesai jangan chow dulu,  tugasan anda masih bersambung tidak terhenti di situ, longgokan pinggan mangkuk, periuk belanga harus diselesaikan.  Yang kotor perlu dibasuh, pulangkan kepada tuannya jika meminjam, jika ada yang pecah perlu lah diganti yang serupa warna, bentuk dan jenama.  Waktu begini selalunya hanya tinggal ahli keluarga dan jiran terdekat.


Sesekali dapat berkumpul dengan saudara mara seperti ini memang best.  Masa untuk mencungkil kisah-kisah lama terrutama yang mengelikan hati, sambil itu dapatlah ahli keluarga berkenal-kenalan terutama generasi muda yang lebih mengenali kawan daripada sanak saudara sendiri.  Untuk pengantin baru selamat menempuh alam rumahtangga.  Khabar terbaru dengarnya Bia & Man bakal menjadi ibu dan ayah tak lama lagi.  Alhamdulillah.
Wassalam.

Tuesday, 3 October 2017

Roti Pisang


Assalam...
Roti pisang adalah kuih tradisi masyarakat bugis di Sulawesi Selatan.  Melihat pada bentuk seakan apam dan penyediaannya adunan tak perlu nak menguli seperti membuat roti.  Nama roti itu mungkin daripada penggunakan yis dan cara adunan yang diperam beberapa jam hingga naik sekali ganda sebelum ianya di masak.  Kaedah tradisinya di masak menggunakan kuali kecil yang bertutup (kuali diperbuat daripada tanah liat) dan dimasak sebiji demi sebiji.  Sangat sinonim disediakan ketika acara gotong-royong di sawah sama ada menyemai benih atau memindahkan anak benih padi.  


Bagi sebuah keluarga kecil, roti pisang selalu disediakan sebagai sarapan pagi untuk ahli keluarga dengan penggunaan bahan yang sangat asas.  Penyediaan adunan roti diolah disebelah malam dan dimasak awal pagi pada keesokan hari.   Cuma perlu diingat pisang yang hendak digunakan perlu cukup masak agar rasa manis dan aroma pisang lebih menyerlah.  Pada saya paling sedap dinikmati ketika roti masih hangat.


Resepinya lebih kurang begini, jom cuba buat.


Roti Pisang
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
6 biji pisang masak (pisang nipah/raja)
250gm tepung gandum
1 sudu yis* campur dengan 1/2 gelas air suam
Air secukupnya
3 sudu makan gula
1 biji telur
Secubit garam
Minyak / majerin untuk mengoles acuan
 



Cara Penyediaannya.
*  Campurkan yis, sedikit gula dengan air suam, kacau hingga sebati.
*  Hancurkan pisang masak hingga halus.
*  Dalam mangkuk lain campur tepung gandum, gula, telur, pisang lenyek dan garam.  Gaul hingga sebati.
*  Masukkan air campuran yis tadi.  Gaul sebati.
*  Tambahkan sedikit air hingga mendapat adunan yang dikehendaki (tidak terlalu cair dan tidak terlalu kental).
*  Tutup adunan dengan kain lembab dan biarkan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam atau semalam.
*  Panaskan dan lenser acuan (guna kuali kecil yang dalam) dengan majerin atau minyak masak.
*  Masukkan adunan roti setengah mengikut acuan dan tutup.
*  Bila permukaan adunan mula mengering, terbalikkan roti, tutup acuan dan masak seketika lagi.  Biar kedua-dua permukaan sama rata dari segi warnanya.
*  Keluarkan dari acauan dan hidangan ketika masih panas.
 


Lepas makan 2 biji roti pisang boleh kenyang sampai tengah hari.  Sekarang ramai jer yang modified resepi tu dengan menambah coklat, cheese atau peanut butter pada roti pisang ini.
Wassalam.

Friday, 22 September 2017

Kebaya Renda


Assalam...
Koleksi yang pernah menjadi kebanggaan kepada pemakainya dahulu kala.  Lagi pula semua itu adalah hasil kerja tangan sendiri.  Suatu ketika dahulu baju kebaya adalah pakaian sehari-hari kaum wanita sebelum bertukar kepada pakaian moden.  Material daripada kain renda begini selalunya digayakan ketika ada keramaian seperti majlis kenduri kahwin.  Manakala baju kebaya yang dipakai (sehari-hari) sebagai basahan diperbuat daripada material yang kurang mewah.


Kalau melihat meterial dan design kebaya, memang berani mati kan si pemakainya.  Tetapi suatu masa dahulu benda tu sangat biasa, di mana-mana sahaja mereka memakai baju kebaya dengan kain batik sarung.


Renda atau lace yang digunakan juga dari jenis yang berkualiti, french lace.  Kiranya sejak dahulu orang kampung pun dah ada yang mengenali kain renda perancis ini.


Hanya nak abadikan sebagai koleksi kenang-kenangan walaupun diri sendiri tidak pernah memakai baju-baju ini.  Cukup menjadi peminat baju kebaya.


Sejak kecil, paling admired nak sarungkan kebaya kuning nie.  Berangan nak pakai dengan batik lepas dengan sanggul besar di kepala, tapi tak pernah pun sebab sejak azali badan bukan bentuk gitar.


Corak bunga seperti ini, jika diamati seakan sama dengan yang ada dipasaran hingga kini.  Mungkin evolusi kain renda juga sama seperti fasyen baju yang ada pasang surutnya mengikut peredaran zaman.


Material yang sama hanya warna berbeza daripada gambar yang mula.  Boleh ditafsirkan betapa obsesnya si pemakai terhadap kain renda sebegini.


Baju kebaya darilah jawa
Cantik dipakai nyonya melaka
Disulam manis bercorak bunga
Siapa pandang pasti tak lupa.

Cantik dara cantik teruna
Duduk bersama di tepi jeti
Molek sekali si bunga cina
Kebaya merah menawan hati.
Wassalam.