nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Saturday, 9 December 2017

Tugu Peringatan Mat Saleh, Tambunan


Assalam...
Akhirnya sampai juga kami ke Tugu Mat Salleh, tapi betul kah ini tugu yang kami cari?.  Tak sama pun seperti dalam gambar.  Kami ikut arah papan tanda ke Tugu Peringatan Mat Salleh yang terdapat dari simpang jalan utama masuk kampung Tibabar.  Tugu tu berada di pengakhiran jalan kampung, dekat dengan rumah-rumah penduduk kampung Tibabar.     


Dari jalan utama tidak lah jauh sangat.  Cuma jalan kampung tak perlu lah nak speed, sebab ada je kanak-kanak yang bermain dihalaman rumah yang hampir dengan jalan atau binatang ternakan yang berkeliaran. 


Siapakah Mat Salleh itu? Pemimpin tempatan yang berketurunan suku Bajau (ibu) dan Suluk (bapak), menjadi pemimpin di kawasan daerah Lingabo dan Sungai Sugut (Sandakan) selepas mengambil alih tugas kepimpinan daripada bapak beliau (Datu Bulu).  Perbelanjaan pentadbirannya adalah hasil daripada pungutan cukai kepada pedagang-pedagang yang melalui sungai Sugut, hal inilah yang tidak disenangi oleh pemerintah Inggeris ketika itu lalu menyerang dan memusnahkan kampung Mat Salleh di Jambongan.


Saya tidak puas hati sebab tak jumpa kubah macam dalam gambar bawah ini (gambar google) di tugu Mat Salleh yang kami pergi tu.  Kami jumpa tugu lain kah atau tugu sebenar terletak di tempat lain?.  Penerangan dari pegawai yang bertugas di situ menyarankan kami agar singgah di galeri Kota Mat Sator selepas ini.  Mungkin di sana nanti baru jumpa tugu seperti yang dicari dalam gambar. 


Sampai sana jumpa bangunan muzium, hampa lagi.  Sebab semakin tak puas hati try google gambar ini dan tanyakan pada petugas di situ.  Hahahaha, baru padan muka.  Info saya ketinggalan zaman rupanya.  Tugu yang kami pergi ini memanglah tugu Mat Salleh tapi bangunan kubah itu telah dirobohkan atas alasan keselamatan pengunjung.  Sudah bertukar wajah tugu tu, walau kucari pada setiap inci daerah Tambunan pun tak akan kutemui rupa tugu tu lagi kecuali dalam gambar.  Hahaha sekali lagi gelakkan diri sendiri.


Sini pun kena tinggalkan jejak juga bila dah sampai.  Kita bagi orang jauh lah yang tulis nama, yang urang Sabah tu diam-diam, bikin malu betul sudahlah sasat, bagi info zaman tok kaduk.


Batu prasasti yang dibina oleh British sebagai tanda, tempat ini adalah bekas tapak kubu Mat Salleh dan tempat beliau berjaya ditumpaskan oleh Syarikat Perpiagam Borneo Utara (kerajaan Inggeris ketika itu), pada 2 Februari 1900.  Siri perjuangan Mat Salleh bersama pengikutnya dan kejar-mengejar oleh tentera kerajaan Inggeris berlangsung selama 6 tahun yang bermula pada 1894 di Sandakan. 


Di tepi tugu peringatan ini, ada disediakan kronologi peristiwa penentangan selama 6 tahun itu.   Bagaimanapun, terdapat sebilangan rakyat tempatan terutama di kalangan keturunan penduduk yang mempunyai sejarah pernah bertempur atau berperang dengan pihak Mat Salleh, yang tidak mengiktiraf Mat Salleh sebagai pahlawan apatah lagi pejuang kemerdekaan kerana Mat Salleh dikatakan berjuang untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja dan bukan secara menyeluruh.


Apa pun mendapat mereka, sejarah ada sebagai bukti.  Siapakah lagi gerangan yang tertulis di dalam sejarah yang pemberani seperti Mat Salleh ini?.  Walaupun dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.
Wassalam.

Wednesday, 6 December 2017

Take A Break: Jalan-Jalan Ke Tambunan.


Assalam...
Tercapai hajat nak menjejakkan kaki ke Tambunan, sempena tahun melawat Tambunan 2017.   Hampir 20 tahun tak melalui pekan ini, banyak perubahan, rumah-rumah penduduk dah cantik, besar dan bahan binaan daripada batu dan kayu berkualiti.  Rindu pula dengan suasana lampau, rumah atau sulap yang dibuat daripada bambu.  Sebelum wujud jalan Kimanis KK-Keningau, dahulu perjalanan ke Kenigau, perlu melalui pekan Tambunan, perjalanan yang sangat mencabar, mendaki bukit dengan selekoh tajam selepas kawasan Panampang. Jika perjalanan dari arah Ranau pula, jalan lebih landai tetapi tanah merah dan gravel (grabel istilah orang Sabah, jalan batu kelikir atau tidak berturap).



Tahun 80an dan 90an, siapa yang pernah melaluinya, tahu bagaimana cabarannya.  Jalan sempit, selekoh tajam, bersaing dengan kenderaan lain terutama lori balak atau traller yang mengangkut kayu-kayan berproses.  Pernah menyaksikan treller penuh muatan masuk gaung, van penumpang mahupun lori balak.  Walaupun jarak perjalanan kurang daripada 50km, jalan raya Penampang-Tambunan menjanjikan pengalaman sangat berharga untuk dikenang.


Kami berhenti sejenak di hentian Gunung Alab, di sini ada cafe dan hotel, serta dekat dengan sub-stesen untuk ke Taman Banjaran Crocker.  Cuaca sangat nyaman, sejuk, dan berkabus, walaupun masa tu adalah waktu tengah hari. 


Walaupun dahulu hanya lalu di Pekan Tambunan, tetaplah seronok.  Cantik tempat ini terletak di tengah-tengah kawasan yang dikelilingi bukit dan gunung, ada hamparan sawah padi dan aliran sungai-sungai kecil, dibebarapa bahagian. 


Sesampai di pekan Tambunan, agenda pertama cari masjid daerah dulu sebab tak pasti sama ada stesen minyak pertonas ada sediakan surau atau tidak.  Berpusing-pusing juga lah nak mencari, guna google maps bawa kami sesat entah ke mana-mana.  Ini pengalaman kedua tersesat guna google maps, nasib kali ini jumpa tempat yang hendak di tuju. 


Selesai tunaikan tanggujawab di masjid daerah, kami pergi cari tempat makan.  Kedai yang di sarankan oleh seorang kakak yang saya jumpa di masjid tadi.  Kakak tu faham apa yang saya fikir ketika bertanyakan kedai makan muslim di pekan Tambunan.  Beliau turut yakinkan lagi, deretan kedai dekat pejabat pos tu ada beberapa kedai makan muslim, senang sudah bah tidak macam dulu katanya.  Murah rezeki kami petang tu, makanan kami dibayar oleh seorang YB yang turut berada dalam restoran tu.  Terima kasih YB.


Daerah di Sabah ini senang jer nak tahu apa yang istimewa di tempat tersebut.  Tengok jer apa monumen yang mereka letak di tengah-tengah round about pada jalan-jalan utama.  Round about di Tambunan ada meletakkan alat muzik tradisional sompoton dan halia.


Keadaan langit ketika kami meninggalkan pekan Tambunan.  Misi ke air terjun Mahua pun terpaksa dibatalkan sebab dah lewat.  Dimaklumkan gate di sana buka hingga jam 5 petang saja.  Takpe sekurang-kurangnya kami sempat sampai di Sinurambi, Tugu Mat Saleh, Kota Mat Sator dan ditemukan dengan orang yang baik-baik.


Perjalanan balik KK, kami singgah salah satu gerai yang berada di kawasan pergunungan, konon nak beli bekalan sayur untuk di bawa ke Kota Belud.  Tapi tak jadi sebab kurang pilihan, hanya beli cili padi putih dan buah limau manis. Lagi pun hujan sebelah petang tu, banyak gerai dah tutup, gerai jual nanas yang banyak-banyak pun dan tutup.

Misi nak sampai pantai Tanjung Aru sebelum senja, tak kesampaian, sangkut jem di kawasan Penampang.  Nak tunaikan hajat bawa orang pergi pantai Tanjung Aru, nak tengok apa istimewa kat situ sampai ramai orang yang sebut-sebut tentangnya.  Sampai dah malam, boleh dengar bunyi ombak sajalah.
Wassalam.

Thursday, 30 November 2017

Telur Dadar Cencaluk


Assalam...
Musim hujan ini, cepat sangat rasa lapar, kalau tak ada idea nak buat lauk simple dan mudah boleh cuba yang ini.  Confirmed lepas makan, mata kuyu-kuyu layu gitu, lepas tu boleh lah tarik selimut semula.  Kita melengkau macam ulau sawah bawah selimut, tak yah susah-susah pergi panjat pagau yek.



Menu ini hasil sembang-sembang dengan uncle Phang, suatu ketika dahulu.  Macam lama sangat dah kan? memang dah lama, cerita ketika cencaluk dan budu belum masuk dalam pasaraya.  Jika nak stock kena lah kirim kepada sesiapa yang pergi ke negeri asal barang tersebut.  Dah lama juga tak dengar khabar tentang beliau sejak dia berhenti kerja di tempat lama, berhenti ketika tahap maksima yang layak untuk bekerja dan syarikat sudah tidak boleh cover insurans perkhidmatan beliau.  Moga dia sihat-sihat saja dan masih dapat teruskan hobi dia gi mengail ikan di tali air tepi bendang di Selama Perak, 



Dia tahu saya ini kaki jalan, merayap aje pantang ada cuti.  So suatu hari dia pesan kalau pergi Melaka jangan lupa beli cencaluk untuk dia.  Saya pun pelik jugak, walaupun uncle Phang itu nampak macam Cina totok utara, tapi suka pula makanan orang selatan.  Pertanyaan saya nak buat apa dengan cencaluk, maka terbongkarlah menu kesukaan beliau yang satu ini.  Sedap katanya kalau masukkan dalam telur dadar, maka cencaluk pemberian kawan yang menghuni peti ais dekat setahun itu bertukar tangan dan saya dapat resepi Telur Dadar Cencaluk.  Seperti biasa kegemaran suka peram resepi, lepas 10 tahun baru nak buat.



Telur Dadar Cencaluk
Sumber:  Uncle Phang

Bahan-bahan
4 biji telur
2 sudu cencaluk
3 biji bawang putih - hiris
2 biji bawang merah - hiris
Cili padi - hiris (sukatan ikut level pedas yang disukai)
Tomato - potong dadu
Daun sup - hiris
Bahan perasa (jika suka) 
Sedikit minyak untuk menumis


Cara Penyediaannya
*  Pecahkan telur dalam mangkuk dan pukul sedikit hingga sebati.
*  Campurkan semua bahan kecuali minyak dan gaul sebati.
*  Panaskan minyak di kuali atau boleh guna non stick pan.  Masukkan telur dadar dan tutupkan kuali.
*  Terbalikkan perlahan-lahan agar telur dadar tidak pecah.
*  Sajikan bila sudah masak.



Orang dapur bagi komen, sekali pandang macam frittata (takpe kita antrabangsakan sikit yang local tu).  Rasa pun not bad, sangat bagus untuk membangkitkan selera makan.  Satu lagi tips, sila masak nasi banyak-banyak ya. 
Wassalam.

Friday, 22 September 2017

Kebaya Renda


Assalam...
Koleksi yang pernah menjadi kebanggaan kepada pemakainya dahulu kala.  Lagi pula semua itu adalah hasil kerja tangan sendiri.  Suatu ketika dahulu baju kebaya adalah pakaian sehari-hari kaum wanita sebelum bertukar kepada pakaian moden.  Material daripada kain renda begini selalunya digayakan ketika ada keramaian seperti majlis kenduri kahwin.  Manakala baju kebaya yang dipakai (sehari-hari) sebagai basahan diperbuat daripada material yang kurang mewah.


Kalau melihat meterial dan design kebaya, memang berani mati kan si pemakainya.  Tetapi suatu masa dahulu benda tu sangat biasa, di mana-mana sahaja mereka memakai baju kebaya dengan kain batik sarung.


Renda atau lace yang digunakan juga dari jenis yang berkualiti, french lace.  Kiranya sejak dahulu orang kampung pun dah ada yang mengenali kain renda perancis ini.


Hanya nak abadikan sebagai koleksi kenang-kenangan walaupun diri sendiri tidak pernah memakai baju-baju ini.  Cukup menjadi peminat baju kebaya.


Sejak kecil, paling admired nak sarungkan kebaya kuning nie.  Berangan nak pakai dengan batik lepas dengan sanggul besar di kepala, tapi tak pernah pun sebab sejak azali badan bukan bentuk gitar.


Corak bunga seperti ini, jika diamati seakan sama dengan yang ada dipasaran hingga kini.  Mungkin evolusi kain renda juga sama seperti fasyen baju yang ada pasang surutnya mengikut peredaran zaman.


Material yang sama hanya warna berbeza daripada gambar yang mula.  Boleh ditafsirkan betapa obsesnya si pemakai terhadap kain renda sebegini.


Baju kebaya darilah jawa
Cantik dipakai nyonya melaka
Disulam manis bercorak bunga
Siapa pandang pasti tak lupa.

Cantik dara cantik teruna
Duduk bersama di tepi jeti
Molek sekali si bunga cina
Kebaya merah menawan hati.
Wassalam.

Monday, 17 July 2017

Ayam Masak Lengkuas @ Nasu Likku


Assalam..
Bagi saya apalah ertinya berhari raya tanpa hidangan masakan tradisi nenek moyang. Ada yang tak  setuju ker? saya dulu pun tak setuju juga, masa remaja selalu argue dengan mak, takde menu lain ke nak masak untuk raya.  Cuba masak benda yang best sikit, simple dan moden.  Jiwa muda memang suka nak memberontak bila diminta buat kerja-kerja yang renyah seperti menolong untuk menyediakan bahan untuk menu masak lengkuas ini.  Mak dulu tak suka bila lengkuas tu diblend, kena lah tumbuk dengan lesung kayu (lesung besar buat dari kayu keras, kayu belian) atau diracik halus mahupun diparut.  Itu baru cerita nak sediakan bahan,  bab nak parut kelapa, perah santan dan menumbuk rempah, belum masuk bab nak memasak lengkuas lagi.  Kalau kurang sabar memang cabut lari jawapnya, tak pun goreng jelah ayam tu jadi ayam goreng upin ipin.



Ayam tua atau ayam pencen ataupun ayam kampung yang terbaik untuk menyediakan ayam masak lengkuas.  Ini kerana masa memasak yang lama dan perlahan, akan dapat melembutkan isi ayam secara perlahan-lahan.  Jika menggunakan ayam daging atau ayam dara, jangan masukkan ayam terlalu awal.  Tunggu sehingga lengkuas dan santan menjadi pekat, baru masukkan ayam untuk mengelakkan ayam hancur.


Semasa memasak ayam lengkuas ini, perlu sentiasa di awasi supaya jangan sampai berkerak dan hangus.  Orang tua-tua memang tak tinggalkan dapur apabila kuali sudah bertenggek di atas tungku dapur.  Cara saya guna api yang sangat perlahan dan akan kacau dasar kuali setiap 10 minit or 15 begitu sehingga kering.


Mak-mak kita masak takde resepi yang standard yang guna ukuran metrik, semua main agak-agak. Bawah ini saya dah kirakan bahan-bahan yang digunakan. 

*Nota penting: Guna lengkuas lebih, santan pun kena lebihkan. 



Ayam Masak Lengkuas
Sumber: Hajjah Timah

Bahan-bahan
1 ekor ayam tua / kampung - potong 16
1.5kg santan
500gm lengkuas - racik halus atau blender (buang jusnya)
15 biji bawang merah*
10 biji bawang putih*
6 batang serai*
3 batang serai - ketuk
2 inc. halia*
2 biji bawang holland - belah 4
5 biji bawang merah - hiris
2 sudu makan serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk kunyit
Air asam jawa
Garam
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya 
*  Gaul ayam bersama serbuk kunyit, asam jawa dan serbuk lada putih.
*  Blender halus bahan bertanda '*'.  Masukkan serai yang diketuk, tumis hingga naik bau.
*  Masukkan santan, bawang holland, bawang merah dan lengkuas, masak lagi hingga santan sedikit pekat.
*  Jika menggunakan ayam pencen atau ayam kampung, boleh masukkan sekali bersama santan.
*  Sekiranya guna ayam daging, masukkan kemudian ketika santan dan lengkuas telah pekat, ini untuk mengelakkan ayam menjadi hancur.
*  Masak menggunakan api sederhana dan perlu sentiasa di kacau.
*  Untuk tahan lama, masak hingga kering dan  lengkuasnya menjadi seredak.
* Masak lengkuas akan mengeluarkan minyak lebihan apabila kita memasak hingga kering, toskan minyak lebihan jika tidak suka.
*  Hidangkan bersama burasak, tumbuk, ketupat atau lemang. 



Takde gambar yang proper untuk ayam masak lengkuas kali ini, sebab belum masak tetamu dah sampai dan yang memasak pun dah tak sabar nak makan.  Makan bersama burusak (gambar bawah) yang tak semengah sikit cara ikatannya.  Dapat makanan tradisi baru lah ada mood raya kan.

Wassalam.

Thursday, 29 June 2017

Kueh Pejja-Pejja


Assalam..
Sejak dua menjak sukanya nak makan benda yang dah lama tak dijamah atau memang takde dijual kat mana-mana.  Menu yang dihidankan oleh nenek-nenek kita ketika zaman kanak-kanak dahulu.  Saya tak tahu kalau ada nama lain untuk kuih ini, mungkin tempat lain diberi nama lain.  Kuih simple dan gunakan bahan asas selalu dihidangkan untuk minuman petang oleh arwah nenek saya dulu.  



Pernah terdengar makcik-makcik laser di kampung cakap kalau nak tahu anak dara tu boleh buat kerja dapur, uji jer dengan buat kuih ini.  Kalau tak tahu juga tahu lah betapa s******* anak dara tu.  Itu mungkin KPI yang boleh digunapakai untuk anak dara zaman dahulu, sekarang zaman dah lain.


Tiada ukuran spesifik untuk bahan, semua main agak-agak saja.  Pesan nenek kalau adunan keras, tambah air.  Jika lembut tambah tepung.  Jomlah main air dan tepung.


Kueh Pejja-Pejja
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Tepung pulut
Sedikit garam
Sedikit pewarna
Air
Daun pandan
Kelapa parut putih
Gula pasir


Cara Penyediaannya 
*  Jerang air bersama simpulan daun pandan.
*  Campurkan tepung pulut dengan sedikit garam dan pewarna.  Masukkan air sedikit demi sedikit, gaul hingga menjadi adunan yang boleh dibentuk.
*  Ambil sedikit adunan bulat-bulatkan dan tekan menjadi sedikit nipis pada tengahnya.
*  Masukkan ke dalam air mendidih dan jerang hingga kueh terapung.
*  Campurkan kelapa parut dengan gula pasir dan sedikit garam.
* Angkat dan toskan kueh sebelum gaulkan dengan kelapa parut. 
*  Hidangkan.


Ada yang rajin buat dengan pelbagai warna dan mereka beri nama sebagai puteri salju.
Wassalam.

Tuesday, 7 March 2017

Memori Kek Coklat...


Assalam...
Nostalgia, memang nostalgia kek coklat ini, suatu ketika dulu, ketika baru muncul kek ini, belum zaman wassapp sana sini orang bercakap kita pun nak cuba buat.  Masa tu email dan sms lah medan orang nak sebarkan berita.  Sesekali boleh lah rujuk di photopages sebab blog tak berapa masyur lagi.  Resepi jangan cakap lah, memang pelbagai versi yang muncul.  Kadang jemu juga sebab pergi mana-mana majlis mesti kek coklat ini yang dihidangkan, dari majlis jamuan tadika hingga majlis menyambut menteri. Kek coklat hitam legam dan lembab ini lah yang menjadi pujaan hati semua orang. 


Macam-macam versi resepi yang mereka kongsikan, namun paling suka dengan resepi yang Henny (orang Kulim) kongsikan melalui Norazimah (Azie).  Sebelum itu Azie ada kongsikan resepi kek coklat yang ibu saudara dia guna untuk jualan di Sungai Petani,  tapi macam agak leceh sikit.  Guna resepi Henny ini memang senang sangat nak buatnya semudah ABC.


Kenal Henny melalui rakan serumah sama tempat kerja dengan dia, dia buat kek dan letak di gerai orang yang berjualan di hadapan taman perumahan.  Sesekali kami beli juga dan memang sedap.  Tak sangka pula dia sudi nak kongsikan resepi kek coklat dia tu.


Selepas kahwin Henny pindah mengikut suami entah ke mana.  Tak dapatlah lagi nak beli kek coklat dia.  Rakan serumah yang lain pun minta kita cuba buat, Alhamdulillah menjadi.  Bermula dari situlah oven yang keluar setahun sekali bekerja setiap hari untuk membakar kek coklat. 


Nak jadikan cerita lagi, seorang rakan (liza) serumah tu rajin pula nak cari pasaran di dalam kampus USM.  Dia bawa ke kelas dan cafesiswa gemilang cahaya setiap pagi sebelum masuk ke dewan kuliah.  Agak lama juga membuat kek coklat ini sehingga seorang demi seorang berhijrah keluar membawa haluan masing-masing.  Kita pun dah sibuk dengan kerja baru, dah tak cukup tenaga balik kerja nak mengadun kek coklat.


Saya kongsikan di sini, resepinya.
 

Kek Coklat
Sumber: Henny

Bahan bahan
2 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan air panas mendidih
2/3 cawan minyak sayuran
2 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum*
1 cawan serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1 sudu teh esen vanilla


Cara penyediaannya.
* Sediakan loyang 8x8, gris dengan majerin dan lapik dengan baking paper.  Panaskan ketuhar.
* Campurkan bahan bertanda "*" dan ayak bersama.
* Campurkan bahan ayak dengan gula, gaul rata
*  Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur hingga ringan dan masukkan ke dalam bahan tepung tadi.  Gaul rata.
* Masukkan esen vanilla, susu cair dan gaul rata.
* Masukkan minyak sayuran, kacau hingga betul-betul sebati.
*  Akhir sekali masukkan air panas mendidih ke dalam adunan.  Gaul cepat-cepat hingga sebati.
*  Tuang ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180'C selama 45 minit.


Sekarang kalau buat kek ini, mesti teringat kenangan lama, kenangan dengan rakan-rakan serumah dulu.  Kenangan yang tak mungkin dilupakan.  Tak sangka dulu pernah jual kek, macam tak caya.  Kini jarak pemisah tu tak jauh mana, tapi susahnya nak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.    
Wassalam.

Tuesday, 28 February 2017

Padang Terbang Kudat, Sabah.


Assalam...
Aiport atau lapangan terbang yang hanya di panggil sebagai padang terbang dek kerana saiz yang kecil.  Sesuai dengan fungsinya yang hanya dapat menampung pendaratan dan perlepasan kapal terbang kecil dan helikopter.  Jadual penerbangan juga hanya beberapa kali pada hari-hari tertentu.



Minta kebenaran untuk ambil gambar dengan pegawai yang bertugas ketika itu.  Semasa kami sampai semua penerbangan untuk hari itu telah berlepas.


Ruang menunggu / balai perlepasan.


Kaunter daftar masuk.


Sebenarnya ada nostalgia di padang terbang ini, suatu hari ada kecemasan yang berkehendakkan segera untuk balik kampung.  Ketika itu masih perlu transit di Kota Kinabalu dan sambung penerbangan ke Sandakan.  Sebab agak kalut dan hendak cepat, saya memilih penerbangan paling awal ke Sandakan dengan memikirkan terbang paling awal, paling awal boleh sampai tanpa merujuk laluan pesawat.  Bila nak masuk perut kapal terbang baru tahu yang penerbangan saya itu menggunakan kapal kecil dengan penumpang kurang dari 10 orang dan perlu transit di Kudat untuk menurunkan dan pengambil penumpang ke Sandakan.  Bertambah lagi rasa cuak sebelum terbang penumpang masing-masing diarahkan untuk memakai jaket keselamatan dan penutup telingaBermusafir seorang diri, lagi macam-macam perasaan timbul, rasa nak lari keluar dari pesawat pun ada, nasib baik masih boleh berfikir secara waras ketika itu, tawakal saja moga-moga selamat sampai tempat tujuan. 


Ketika sampai di Sandakan, penerbangan pertama yang tiba dari Kota Kinabalu bukanlah penerbangan kami tetapi adalah yang berlepas sejam kemudian selepas kami.  Namun syukur selamat tiba walaupun agak lewat, tetapi diberi peluang merasai pengalaman menaiki pesawat kecil dan singgah di Kudat walaupun tidak dapat menjejakkan kaki di bumi Kudat ketika itu. Sangat manis pengalaman itu dengan pesawat terbang rendah, bunyi sangat bingit dan bergetar kuat.



Sungguhpun jaringan jalan darat bertambah baik, padang terbang seperti ini masih releven penggunaannya sehingga kini untuk Sabah dan Sarawak.  Lebih memudahkan perhubungan ke kawasan pedalaman dan pekan-pekan kecil terutama jika berlaku sebarang kecemasan.  
Wassalam.