Showing posts with label Pukis. Show all posts
Showing posts with label Pukis. Show all posts

Wednesday, 14 March 2018

Kuih Pukis Lagi dan Lagi


Assalam...
Saya memang peminat kuih pukis ini, kalau berkunjung ke Indonesia, mesti nak cari kuih pukis.  Banyak dijual oleh penjaja kuih tepi jalan dan ada bermacam-macam versi.  Nak buat mudah dan boleh dipelbagaikan hiasannya, letak coklat, cheese, oreo, atau buah-buahan kering.  Ini antara kuih senang masa jiran minta sediakan kuih untuk jamuan.  Sebab acaun pukis tu ada satu saja, saya hentam guna acuan bulat yang orang selalu guna untuk buat kuih cara bikang.



Pukis pandan ini, saya mekap kan guna parutan keju cedar dan coklat rice.


Kueh Pukis Banyumas
Sumber: RinaRinso


Bahan-bahan
4 biji telur
300gm gula pasir
1/2 bungkus yis
500gm tepung gandum
1/2 sudu teh vanilla
1/2 sudu makan garam
dantan 750ml
3 helai daun limau purut
1/2 tin susu pekat
230gm butter / majerin - dicairkan


Cara Penyediaanya
*  Didihkan santan bersama garam dan daun limau purut.  Ketepikan biar hingga suam-suam kuku.  Tambahkan susu pekat dan kacau rata.
*  Pukul telur bersama gula hingga kembang.  Masukkan bahan kering (tepung gandum, yis dan vanilla) dan santan secara bergantian hingga habis.  Boleh guna mixer dengan kelajuan rendah.
*  Masukkan majerin yang telah dicairkan terlebih dahulu.  Diamkan selama 1 jam.
*  Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.  Satu bahagian warna asal dan satu lagi warna coklat.  (saya hari tu buat adunan untuk 2 resepi.  Lepas sejam saya, satu resepi saya buat perasakan dengan pandan dan warnakn hijau, satu lagi buat warna asal dan coklat). 
*  Panaskan acuan pukis dan gris dengan majerin, setelah cukup panas masukkan adunan coklat kemudian putih hingga 2/3 acuan.  Adunan harus dikacau setiap kali sebelum memasukkan ke dalam acuan untuk mengeluarkan gas supaya permukaan kuih licin dan tidak berlubang-lubang.  (saya lupa nak kacau, tu yang semua berlubang-lubang macam bulan).
*  Tutup acuan dan biarkan hingga masak.
*  Keluarkan kuih dari acuan perlahan-lahan dan letakkan di pinggan yang rata kerana kuih yang masih panas agak lembut dan senang penyet.
*  Hidangkan.


Yang bulat ini pula celorengkan dengan adunan yang di tambah dengan coklat dan letakkan kismis sebagai inti.  Kuih ini tahan juga, hari tak habis makan saya letak dalam peti ais, bila nak makan hanya panaskan dalam mikrowave.  Rasanya tetap sedap macam baru buat.


Buat sampai 2 adunan, hasilnya memang banyak bertalam-talam.  Dah macam rupa nak berniaga kuih pukis pulak dah makcik nie.  apa-apa pun Alhamdulillah sebab tiada yang dibazirkan.
Wassalam.

Thursday, 5 October 2017

Pukis Susu


Assalam...
Ini kisah sarapan pagi semasa mak mertua bersama adik beradik datang ke rumah.  Mati kutu fikir nak hidang apa untuk mereka, ikut hati nak beli yang tunjuk-tunjuk aje.  Almaklum begitulah kalau tak pandai masak, orang datang rumah baru nak mengelabah.  Google sana, google sini, cari resepi yang senang-senang dan mudah disediakan.  Janji sedap dan halalan toyyiban.

Persilahkan semua tetamu masuk tidur dulu, baru kita beraksi di dapur.  Tengah malam kita sediakan adunan pukis, dengan harapan esok subuh bangun terus dah boleh masak.  Adunan pukis sebenarnya kena peram sekejap saja, lebih kurang 40 minit ke sejam gitu, tapi kita bantai peram lebih 4 jam.  Tak perlu risau ok jer adunan tu. 


Untunglah ada acuan ini, masak kuih terus atas dapur tak perlu guna oven.  Terima kasih banyak kepada siapa yang hadiakan hari itu, akhirnya keluar juga.  Tapi kalau awak dapat acuan, rajin-rajin lah guna yer, janganlah terlebih peram macam adunannya.  Kang acuan boleh merajuk macam tuan yang bagi.  



Ini resepi kita dapat daripada Ig dan blog orang seberang.  Kuih pukis ini popular di Indonesia, so kita cari resepi dari sana lah.


PUKIS SUSU
Sumber: RinaRinso

 
Bahan-bahan
4 biji telur
300gm gula pasir
500gm tepung gandum
1/2 bungkus yis
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh garam
750ml santan
3 helai daun limau purut (saya tak letak) 
1/2 tin susu pekat manis
230gm butter / majerin - cairkan dan sejukkan
1 sudu serbuk koko - (saya guna coklat emulco)
 



Cara Penyediaannya.
*  Panaskan santan dengan daun limau purut dan garam hingga mendidih.  Sejukkan hingga suam-suam kuku dan campurkan dengan susu pekat.  Gaul rata.
*  Pukul telur dengan gula hingga kembang.  Masukkan tepung, yis dan esen vanilla.  Gaul sebati.
*  Masukkan santan yang masih hangat suam-suam kuku. Boleh guna mixer (speed perlahan).  
*  Masukkan pula majerin / butter cair.  Gaul rata dan peram adunan selama sejam.  Adunan akan mengembang sedikit.
*   Ambil sedikit adunan dan campurkan dengan serbuk koko untuk dicorakkan ke atas pukis.
*  Panaskan acuan dan oles dengan majerin / minyak.  Setelah cukup panas, masukkan adunan putih hingga 3/4 acuan.  Tutup acuan biar hingga separuh masak.
*  Curahkan sedikit adunan coklat ke atas adunan putih tadi.  Tutup acuan biar hingga masak.
*  Keluarkan kuih daripada acuan dan letakkan dalam bekas yang rata untuk mengekalkan bentuk yang cantik kerana pukis susu yang panas, masih lembut dan senang penyet.

Nota:  Setiap kali nak masukkan aduan ke dalam acuan, sebaiknya adunan dikacau-kacau supaya gasnya boleh keluar.  Hasil pukis cantik dan  tidak berlubang-lubang.




Hasilnya mereka puji-puji akan pukis ini, siap dah rancang nak berjualan bila mereka balik ke tempat masing-masing.  Now saya dapat tugas baru nak cari "sarang" @ acuan pukis untuk mertua dan adik beradik mertua.
Wassalam.

Sunday, 24 September 2017

Pukis Pandan Cheese


Assalam...
Beli acuan peram cukup punya lama, nasib jer tak  bersarang dek anai-anai.  Acuan ini tak tahu nama tapi panggil acuan kuih pukis jelah sebab selalu orang guna untuk buat kuih pukis.  Sebenarnya nak acu kuih lain pun boleh, dan hajat nak dapatkan hari itu sebab nak guna buat kuih lama yang tok nenek saya panggil kuih buroncong. Minta tolong ke anak sepupu cari kan kat Sabah atau kirim beli jika ada orang yang nak pergi Indonesia.  Biasalah moto dia nak beli barang, beli dulu kemudian peram, lepas 3 4 tahun baru keluarkan dan guna.



So marilah kita buat kuih pukis ini dulu, sebab resepi pun banyak orang share dekat blog dan ig.  Bahan-bahan pun senang nak cari.  Mula-mula kita try dengan pukis pandan cheese dulu, harapnya selepas ini akan banyak variasi pukis yang akan keluar.


Pukis Pandan Cheese
Sumber:  Rahel

Bahan-bahan
250g tepung gandum
150g gula kaster
2 biji telur
65g mentega~cairkan
250ml santan pekat
1 sudu teh esen vanila (Rahel tambah 2 sudu teh pandan paste utk rasa pandan)
1 sudu teh yis
50ml susu pekat manis
1/4 sudu teh soda bikarbonat

Topping:(sesuai selera)
Keju parut @ kepingan keju
Chocolate rice
Kismis




Cara Penyediaannya;
Pukul gula dan telur hingga kembang (gula larut)
*  Masukkan tepung gandum,vanila,pandan paste,soda dan yis,kacau rata.
*  Pukul lagi sambil tuang susu,santan dan mentega secara bertahap.
*  Tutup adunan dengan kain, perap kurang lebih 20 minit hingga mengembang.
*  Panaskan acuan pukis terlebih dahulu,kemudian sapu dengan minyak
*  Tuangkan adunan hingga setengah,kemudian tutup acuan
*  Biarkan adunan masak 3-4 minit,kemudian buka penutup acuan, jika adunan kelihatan masih basah sedikit permukaannya segera taburkan topping.

*  Tutup semula dan biarkan masak sepenuhnya hingga adunan kelihatan kering di permukaan.
*  Angkat.  Siap.
 



Nota- Seeloknya letakkan cheese ketika adunan dah mengeras, kalau letak terlalu awal cheese tu akan cair dan tak nampak gumpalan dia.
 
Wassalam.