Showing posts with label Cerita Durian. Show all posts
Showing posts with label Cerita Durian. Show all posts

Tuesday, 31 July 2018

Musim Durian Datang Lagi...

Assalam...
Tahun ini pasaran agak melimpah dengan lambakan durian, musim kali ini menjadi serentak dari semua penjuru semenanjung kan, utara tanahair, selatan dan timur.  Tahun-tahun sebelum ini, rasanya durian mahal jugak sebab bekalan durian di pasaran secara bertahap dan berkala, saya ingat lagi tahun lepas beli sebiji (RM75) untuk bapak  tapi rasanya sangat mengecewakan.


Awal musim hari tu dimulakan makan durian dengan pulut yang adik ipar belanja untuk kami makan ramai-ramai.  Durian kampung sekilo RM10, dalam 10kg juga lah mereka beli. 


Itu budak yang tak suka dengan durian, buat muka dan lari bila nak suap dengan durian.


Dua minggu lepas kami balik kampung (Pahang) salah satu tempat lubuk durian.  Balik ramai-ramai, berkumpul makan durian kali ini beli dengan harga RM3 sekilo.  Durian kampung gred yang bagus RM6 (harga hujung minggu, tinggi sedikit sebab ramai memborong) kalau hari biasa boleh dapat lebih murah.


Mertua angkut sebakul (lebih 15 biji) durian yang gred rendah sesuai untuk buat tempoyak  dengan harga RM10.  Kalau 2 minggu lepas dah ada stok 20kg tempoyak, setakat hari ini akan bertambah lagi lah stocknya.  Tempoyak bahan masakan yang wajib ada sepanjang tahun bagi orang Pahang, untuk gulai dan sambal.  Lepas ini kita pun akan dapatlah bekalan sebalang dua juga.


Pak mertua ajar buat tempoyak dengan hanya letak garam pada isi durian.  Kacau bagi rata dan simpan dalam bekas / botol.  Jika durian tu jenis berair, kena sejat air tu dulu baru gaul dengan garam.


Durian yang kami bawa balik penuh bonet jugak lah dari kampung.  Dalam perjalanan menempuh jem dan panas dah ada kulit yang terbelah, nak selamatkan agar masih boleh dinikmati segar kena buka dan bekukan.  Sekarang jalan raya jem bukan time raya saja tau, tapi musim durian pun jalanraya jem juga.  Salah satu.


Orang Malaysia ni memang bertuah, musim buah bukan hanya boleh makan durian, tapi sekali pakej dengan buah nadir yang lain.  Bersabar sajalah perut akan disumbat dengan macam-macam jenis buah, selagi tidak membawa mudarat it's ok makanlah sepuasnya.

Musim begini juga macam-macam mitos dan fakta akan akan keluar sehingga ada yang menjadi takut.  Sejauh mana benarnya wallahualam, sebab itu kita perlu ada ilmu dan kenali diri sendiri.
Wassalam.

Friday, 27 July 2018

Pot Luck Habis Raya

Assalam...
Ini potluck sempena apa tak tahu lah, nak kata potluck raya, raya pun dah lepas.  Sejak sebelum ramadhan hingga ke musim raya semua orang sibuk.  Memang takde lah nama nak kumpul makan ramai-ramai dengan rakan sekerja, atau nak susun pergi beraya rumah ke rumah memang idok lah.  Nasib lah raya orang beraya sakan 30 hari jer, itu pun ada gak yang lajak sampai ke hari 2 dan 3 zulkaedah.  Semua macam nak menjerit saja cakap udah udah ler tu kome beraya, dah tak larat dah kami dan serve.


Plan last minute juga kisah potluck nie, mencuri masa yang ada kosong untuk sehari itu.  So temanya jadi begini dusun buah-buahan mak pak hang tak tahulah asal usul buah tu dari mana, pahang ker, johor ker, utara ker.  Setahu kami mereka yang ditugaskan berkejaran mencari di pasar malam, NSK, SS2 dan stall buah instant bawa pokok pun ada.


Ini lah tinggalan saki baki kuih raya yang ada, end up tak bersentuh sebab lebih gairah nak makan doyan.


Didikasi team kitchen sediakan roti canai dan roti bom pagi tu sebagai mengenang arwah chef Abdullah.  Sebanarnya kami kehilangan seorang chef seminggu selepas raya hari itu, Al-Fatihah untuk Chef Abdullah.


Ceritanya sediakan pulut bersama santan untuk dimakan bersama durian atau mangga, tapi hanya tercuit sedikit saja.


Air ini, mula-mula ramai komen, air apa nie banyak sampah.  Tatapi akhirnya menjadi kegemaran ramai lebih laris daripada air durian belanda, at the end sampah pun habis entah ke mana.


Goreng-gorengan, sukun, pisang & cempedak.


Ada pula hamba Allah bawa KFC bucket tu, ini kes kering idea nak bawa apa, last minute tanya mana outlet KFC yang terdekat.

Mulanya hanya nak makan buah-buahan saja, tapi seorang bawa ini sikit, sedia itu sikit, lama-lama jadi banyak.  Dari menu ringan meleret ke menu mee, nasi, sate dan lauk pauk.  Seharian kenyang buta dibuatnya, yang penting semua orang happy dan lepas ini boleh bekerja dengan lebih semangat lagi.
Wasalam.

Monday, 9 July 2018

Musim Durian di Kampung Saya

Assalam...
Saya sedang bercuti di kampung ini, tak tahu lah ada musim durian ke tidak.  Kampung saya nie, baru jer akhir-akhir ini ada hasilkan durian sendiri.  Seingat saya kecil-kecil dulu nak dapat buah durian tu macam emas.  Mahal sangat kalau ada yang jual waktu itu, sebab tulah yang mendorong orang kampung menanam pokok durian di tanah kebun masing-masing.  Satu-satunya tempat yang selalu jual durian guna lori pick up di Bulatan Batu 7, sekilo RM10.  Tanam pula bukan semua berhasil, ada yang tanam banyak kali sebab pokok yang ditanam mati akibat kemarau dan sebagainya.  Seingat saya, bapak pun dulu banyak kali mencuba tanam pokok durian baru berhasil, yang berbuah sekali lepas tu mati, yang mati tak sempat berbuah, ada pokok bunga banyak tapi tak sempat keluar buah semua gugur dan macam-macam lagi.  Jenis dan baka pun macam-macam, benih dari biji, beli pokok kawin, benih durian hutan pun ada.  Kalau dapat berkunjung ke Kenigau pada musim durian satu bonus sebab di sana selalu banyak durian hutan, ada durian lebih buat lempok supaya bila teringin nak makan kuih gunakan lah lempok tu.
Bila saya dah berkelana ke semenanjung ini, buah pertama yang dicari adalah durian.  Memang puas lah makan, dari utara ke selatan boleh makan durian tambah-tambah bila berkunjung ke Sg Balang selalu kenduri durian.  Tak lupa buat lempok setiap tahun buat lempok untuk bekalan orang kampung.  Draf entri ini sebenarnya dah peram lama, tengok orang yang tengah buka durian tu adalah sepupu yang telah meninggal dunia pada bulan ramadhan yang lalu.  Al-Fatihah untuk arwah abang Harun, semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.  Saya tak ingat ini tahun bila yang kami balik kampung, diorang punya beriya nak bagi kami rasa durian sanggup simpan tak bagi orang lain makan rasmikan dulu.

Kalau tengok isi durian begini warna putih, macam tak berapa teruja nak makan.  Tetapi tak nak kecilkan hati orang yang simpankan, kami ikut rasmikan supaya orang lain pun boleh makan lepas ini.  Durian kampung sana banyak yang macam itu, isi warna putih tetapi berlemak dan sedikit pahit.

Budak-budak kampung saya sekarang rasanya dah tak batak sangat bila jumpa durian, tak sama kanak-kanak zaman kami.  Sekarang merata tempat ada di jual ketika musim, tinggal mak bapak kena sediakan duit saja.  Budak-budak kampung saya sekarang pun dah jarang yang pandai panjat pokok, tetapi masih syukur jika mereka masih kenal jenis-jenis pokok dan buah yang terhasil dan semoga sentiasa rindu untuk balik kampung.
Wassalam.

Saturday, 1 April 2017

Lao Mandre: Rojak & Cendol Moden Shah Alam


Assalam...
Cendol dan durian, sapa suka jom kita pergi makan di Medan Selera Delima Seksyen 24 Shah Alam.   Tepatnya di gerai Rojak & Cendol Moden Shah Alam.  Asyik teringat-ingat gambar cendol durian yang kakak ipar hantar dulu, tapi tak pernah kesampaian ke sini.  Kebetulan ada penggemar durian yang asyik mencari bubur durian, jadi kita bawalah dia ke sini.  Order dikaunter, pilih nak cendol yang lagu mana, then settled bayaran dia akan bagi bil dan nombor macam di bawah tu.  Cendol siap mereka hantar kepada kita, cuma kena dengarlah nombor yang dipanggil tu.


Pilihan kami cendol dengan durian D24 dan durian kampung.  Harga mengikut jenis durian dan saiz mangkuk yang di pilih.  Tak pasti pula kalau harga tu boleh turun naik mengikut kebanjiran durian di pasaran.


Harga mangkuk kecil yang guna durian D24 RM18.00, yang durian kampung tu RM12.00.  Nak yang lagi mahal lagi pun ada sehingga RM50.00 semangkuk.  Rasa nak tambah eksessori ke dalam mangkuk Cendol tu pun boleh, nak tambah pulut (pulut warna pink) misalnya.


Kalau tak suka makan durian, jangan risau banyak gerai lain yang menjual makanan selain cendol dan durian.  Macam kami order tambah char koay teow (versi melayu) dari gerai lain.


Jika sampai ke sini lagi, boleh lah try makan rojak dan tahu bakar dia pula.  Buka setiap hari kecuali hari isnin dari jam 12.00 tengahari hingga 12.00 malam.  Hari itu ada baca review orang datang sini kena beratur atau menunggu hampir sejam baru dapat cendol pesanan mereka.  Alhamdulillah rezeki kami hari tu, semuanya lancar saja, tak perlu tunggu lama.  
Wassalam.

Wednesday, 8 March 2017

Durian Crepe....


Assalam...
Ini kejadian ketika musim durian yang lepas, tak ingat dah musim yang bila.  Dapat stock durian kampung dari Pahang, separuh bekukan dan separuh lagi buat inti untuk durian crepe.  Musim lepas tak berapa banyak durian kat kampung, sebab itu dapat nak buat tempoyak dan lempuk durian (durian cake).  Sekadar untuk makan tu puas jugak lah sebab beberapa kali balik dapat buah yang elok.  Saya tak berapa tahu pasal durian tahu makan saja, suka yang rasa lemak-lemak, pahit dan isi tebal.  Kalau jenis D24 tu sangat sedap dah bagi saya.



Sudah lama menyimpan resepi dan hasrat nak cuba buat sendiri durian crepe ini.  Resepi yang simpan awal pun dah tak tahu ke mana, ini follow guna resepi dari seminit resepi, tengok video dari youtube.  Banyak video kat youtube tu pilih lah mana suka dan senang.




Durian Crepe
Sumber: Seminit Resepi

Bahan-bahan untuk Crepe
210ml air
3/4 cawan susu cair
210ml minyak sayur
1 biji telur
1 sudu makan tepung kastad
1 sudu makan tepung jagung*
1 sudu makan tepung ubi*
5 sudu makan tepung gandum*
Esen vanilla
Pewarna kuning


Cara Penyediaannya
*  Campur dan ayak semua tepung yang bertanda "*"
*  Campurkan susu, air, telur, minyak dan kastard powder.  Kacau hingga sebati.
*  Masukkan tepung yang telah diayak.  Kacau sebati.  Masukkan esen vanilla dan pewarna.
*  Tapis batter.
*  Lengserkan sedikit minyak pada kuali atau guna kuali non stick.
*  Tuang batter kedalam kuali dan ratakan.
*  Masak atas api sederhana hingga keliling crepe lekang daripada kuali.
*  Letakkan inti di bahagian tengah crepe.  Ini crepe dielang-selikan dengan cream dan isi durian.
*  Lipat kemas hujung crepe bahagian depan, belakang dan bahagian kiri dan kanan.
* Siap untuk dihidangkan.  Simpan crepe dalam chiller jika nak makan kemudian. 





Bahan Untuk Inti Durian 
1 cawan susu
1 sudu makan gula kastor
1 sudu makan tepung kastad
Isi durian (durian flesh) - kuantiti ikut suka

Cara Penyediaannya
* Campurkan susu, gula dan tepung kastad.  Kacau rata hingga tepung sebati dan tidak berketul
*  Masak dengan api sederhana hingga kental
* Masukkan isi durian dan kacau sebati.  Masak seketika dan tutup api.
*  Sejukkan inti sebelum digunakan.




Bahan Cream Filling
1 cawan whipping cream

* Pukul hingga cream kental.  Tapi jangan pukul terlalu lama, cream akan mencair balik.
* Masukkan dalam pipping bag, paipkan ke atas crepe bahagian tengah.
* Letak inti durian atas cream dan paipkan satu lapisan cream lagi di atas inti durian.
* Lipat crepe kemas menjadi segi empat.


Note:
* Tuang batter ke dalam fan yang tidak terlalu panas untuk dapatkan crepe yang licin.  Kalau terpanas, crepe jadi macam kulit ketayap, berlekuk-lekuk.  Lekuk tu nanti jadi lubang dan cream / inti meleleh keluar.
* Buat crepe senipis yang boleh.  Jika kulit crepe tebal, tak sedap rasa tepung dan susah nak lipat kemas.
* Sebaiknya guna fan yang saiz kecil, diameter 5 inc.  
* Nak sedap lagi, pilih isi durian paling sedap untuk dibuat inti, jenis musang king, D24 atau XoXo.
Wassalam.