Monday 17 July 2017

Ayam Masak Lengkuas @ Nasu Likku


Assalam..
Bagi saya apalah ertinya berhari raya tanpa hidangan masakan tradisi nenek moyang. Ada yang tak  setuju ker? saya dulu pun tak setuju juga, masa remaja selalu argue dengan mak, takde menu lain ke nak masak untuk raya.  Cuba masak benda yang best sikit, simple dan moden.  Jiwa muda memang suka nak memberontak bila diminta buat kerja-kerja yang renyah seperti menolong untuk menyediakan bahan untuk menu masak lengkuas ini.  Mak dulu tak suka bila lengkuas tu diblend, kena lah tumbuk dengan lesung kayu (lesung besar buat dari kayu keras, kayu belian) atau diracik halus mahupun diparut.  Itu baru cerita nak sediakan bahan,  bab nak parut kelapa, perah santan dan menumbuk rempah, belum masuk bab nak memasak lengkuas lagi.  Kalau kurang sabar memang cabut lari jawapnya, tak pun goreng jelah ayam tu jadi ayam goreng upin ipin.



Ayam tua atau ayam pencen ataupun ayam kampung yang terbaik untuk menyediakan ayam masak lengkuas.  Ini kerana masa memasak yang lama dan perlahan, akan dapat melembutkan isi ayam secara perlahan-lahan.  Jika menggunakan ayam daging atau ayam dara, jangan masukkan ayam terlalu awal.  Tunggu sehingga lengkuas dan santan menjadi pekat, baru masukkan ayam untuk mengelakkan ayam hancur.


Semasa memasak ayam lengkuas ini, perlu sentiasa di awasi supaya jangan sampai berkerak dan hangus.  Orang tua-tua memang tak tinggalkan dapur apabila kuali sudah bertenggek di atas tungku dapur.  Cara saya guna api yang sangat perlahan dan akan kacau dasar kuali setiap 10 minit or 15 begitu sehingga kering.


Mak-mak kita masak takde resepi yang standard yang guna ukuran metrik, semua main agak-agak. Bawah ini saya dah kirakan bahan-bahan yang digunakan. 

*Nota penting: Guna lengkuas lebih, santan pun kena lebihkan. 



Ayam Masak Lengkuas
Sumber: Hajjah Timah

Bahan-bahan
1 ekor ayam tua / kampung - potong 16
1.5kg santan
500gm lengkuas - racik halus atau blender (buang jusnya)
15 biji bawang merah*
10 biji bawang putih*
6 batang serai*
3 batang serai - ketuk
2 inc. halia*
2 biji bawang holland - belah 4
5 biji bawang merah - hiris
2 sudu makan serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk kunyit
Air asam jawa
Garam
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya 
*  Gaul ayam bersama serbuk kunyit, asam jawa dan serbuk lada putih.
*  Blender halus bahan bertanda '*'.  Masukkan serai yang diketuk, tumis hingga naik bau.
*  Masukkan santan, bawang holland, bawang merah dan lengkuas, masak lagi hingga santan sedikit pekat.
*  Jika menggunakan ayam pencen atau ayam kampung, boleh masukkan sekali bersama santan.
*  Sekiranya guna ayam daging, masukkan kemudian ketika santan dan lengkuas telah pekat, ini untuk mengelakkan ayam menjadi hancur.
*  Masak menggunakan api sederhana dan perlu sentiasa di kacau.
*  Untuk tahan lama, masak hingga kering dan  lengkuasnya menjadi seredak.
* Masak lengkuas akan mengeluarkan minyak lebihan apabila kita memasak hingga kering, toskan minyak lebihan jika tidak suka.
*  Hidangkan bersama burasak, tumbuk, ketupat atau lemang. 



Takde gambar yang proper untuk ayam masak lengkuas kali ini, sebab belum masak tetamu dah sampai dan yang memasak pun dah tak sabar nak makan.  Makan bersama burusak (gambar bawah) yang tak semengah sikit cara ikatannya.  Dapat makanan tradisi baru lah ada mood raya kan.

Wassalam.