Friday 26 June 2020

Cucur Nasi (Jemput-jemput Nasi aka Kueh Welcome-welcome)

Assalam...
Nasi walaupun makanan ruji rakyat sejak berzaman, patut semua orang dah jadi pakar dalam kendalikannya tetapi sebaliknya kadang jadi dilema pada suri rumah.  Masak banyak tak habis, sikit tak cukup pula lagi satu masak sebelah pagi tak sampai petang dah basi.  Sedih setiap kali kena buang nasi yang dah rosak atau basi.  Terima kasih pada yang rajin cipta resepi dengan menggunakan nasi sejuk ini.  Pertama kali try buat cucur nasi, terus jatuh cinta memang sedap rasanya.  Saya ambil resepi daripada blog FHA selemak santan, resepi cam kat bawah tu. 


Cucur Nasi
Sumber: FHA Selemak Santan

Bahan A
2 cawan nasi
1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air
1 cawan ikan bilis (35 gram) ( saya ganti dengan udang kering)
1 biji cili merah
3 biji cili padi
sedikit garam

Bahan B
1 biji  bawang besar 'holland' yang bersaiz besar (dibelah 16 dan dihiris kasar/kiub) * Bawang Holland lebih sedap untuk dimasak cucur
1 1/2 cawan hirisan daun sup
1 camca besar 'penuh' tepung gandum
udang hidup * optional (pun takde stok saya tukar udang geragau)

Bahan C
Minyak secukup nya untuk goreng tenggelam



Cara Penyediaannya.
* Satukan kesemua bahan A dalam mesin pengisar dan kisar sehingga halus dan bercampur.
Untuk memudahkan proses kisaran, guna 'batang plastis pengisar' yang  dibekalkan bersama mesin.
* Keluarkan bahan kisar dan masukkan kedalam mangkuk besar
* Tambahkan bahan B kedalam bancuhan tepung dan ratakan sehingga sebati. Tujuan tambahan tepung dalam bahan B adalah untuk memekatkan adunan kerana jika berada bersama bahan A sebelum ini, proses kisaran akan lebih sukar kerana aduanan terlalu pekat.
Adunan tepung ini memang lembut dari 'cucur bawang' biasa. Tetapi jangan risau kerana apabila digoreng ia akan kembong dengan sendiri nya.
* Panaskan minyak dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas untuk mengelakkan cucur serap minyak.
* Jemput adunan dan goreng. Apabila cucur telah bertukar kekuningan baru dialihkan.
* Apabila cucur sepenuh nya bertukar kekuningan, angkat, saringkan minyak dan letak diatas 'tissu dapur' untuk menyerap lebihan minyak.
* Siap untuk dihidangkan.


Orang tu makan pun dia kata sedap, tapi lain kali saya kena buat adunan keras sikit untuk elakkan cucur berminyak.  Orang panggil cucur nasi jer kuih ini, di dunia lain cucur tu kan jemput-jemput nama lainnya.  Tapi sebab si jep tu dan tukar pula nama jemput-jemput jadi saja kueh welcome-welcome, saja jer buat lawak kan.
Wassalam.

Wednesday 24 June 2020

Pertama Kali Derma Darah

Assalamm...
Pengalaman pertama kali menderma darah,  dah lama niat nak derma tapi tak capai hajat.  Lagi satu kenyataan yang mengatakan orang ada thalassemia tak boleh derma darah, itu yang sangat membantutkan niat.  Saya memang ada minor thalesamia, sebagai pembawa yang diwarisi.  Rasa semua tahu kan penyakit thalassemia adalah penyakit berkaitan darah dan ianya diwarisi, darah orang thalassemia tak normal macam orang biasa secara ringkasnya darah mereka cacat.

Memandangkan saya hanya pembawa, hari ini hadir untuk buat kepastian daripada doktor.  Boleh ke tidak saya menderma darah?.  Doktor cakap pembawa boleh menderma darah asalkan bacaan hemoglobin mereka normal (lulus).  Hemoglobin saya lulus melebihi paras minima yang Jabatan Perubatan Transfusi PPUM tetapkan (minima 12.5gm/dl), jadi boleh lah derma darah.


Sebab nak menderma kali pertama, mereka akan ambil sample darah untuk uji hemoglobin dan kenal pasti kategori darah kita.  Mereka letak atas kertas putih tu, gosok-gosok dan goncang-goncang terus mereka dapat tahu kita jenis darah apa.


Sebelum derma darah, semua kena jumpa doktor terlebih dahulu.  Doktor akan tanya pasal kesihatan, bagi saranan yang perlu dan periksa tekanan darah.  Semasa menunggu untuk berjumpa doktor, ramai juga yang datang nak derma.  Orang awam termasuk staff PPUM sendiri, ada antaranya tidak layak sebab hemoglobin rendah atau belum cukup tempoh untuk derma darah seterusnya.


Tak sampai setengah jam dah settled semua, masa ambil darah tu cepat saja.  Rasa lebih lama ambil masa tekan gauze di tempat jarum tadi.  Semasa nurse nak cucuk jarum ambil darah tu, saya tak tengok pun.  Jenis orang takut jarum dan darah, kena lah pandang ke arah lain, tau tau jer nurse cakap dah siap 350ml my 1st baby.


On the way balik rumah, en.abe nak singgah bank, nak korek tabung ke menambah tabung tak tahu lah.  Kita tunggu kedai mamak sebelah bank, ingat nak minum saja tekak dahaga dari tadi.  Bila jenguk deretan lauknya ada telur sotong terus minta nasi satu.  Terus lupa apa yang doktor cakap tadi, tekanan darah tinggi sikit, kena kontrol makan dan buat exercise.  Hasil stay at home berat badan makin naik dan tekanan darah pun melonjak happy.

Barang-barang dalam goodie bag yang diberi selepas derma darah, ada lagi sandwich yang telah selamat masuk dalam perut masa kat PPUM lagi tadi.  Tagging untuk bagasi tu pun dah selamat sampai Miri.

Semoga bermanfaat lah darah saya tu untuk orang lain.  Nanti lepas 3 bulan boleh datang derma lagi, minima 85 hari untuk layak derma darah seterusnya.
Wassalam.

Thursday 18 June 2020

Dokumen Perjalanan Terhad (DPT)

Assalamm...
Dua hari lepas temankan adik pergi buat DPT (Dokumen Perjalanan Terhad), sebab esok dah nak fly ke Miri, Sarawak.  Dapat mengajar kat sana, DPT ini dokumen yang macam passport gitu untuk penduduk semenanjung yang ingin bekerja atau belajar atau menetap di sana.  Orang sana nak datang semenanjung tak perlu kan DPT ya, boleh duduk lama mana suka.  Hari sebelum tu pergi UTC Pudu sebab adik buat temujanji pejabat imegresen sana (sekarang sebarang urusan dengan jabatan imegresen melalui temujanji secara online).  Sampai Pudu, pegawai sana kata tak boleh buat kena buat dekat pejabat imegresen pusat, jadi pilih buat di jabatan imegresen Jalan Duta.  Adik dah cuak juga sebab kebanyakkan slot dah penuh untuk keesokkan hari, last dapat yang jam 2.00 petang - 4.00 petang.

Dokumen penting yang perlu disediakan untuk mendapatkan DPT adalah salinan kad pengenalan, surat tawaran, surat temujanji dan 2 keping gambar passport.


Lepas pegawai check dokumen semua lengkap, seterusnya kena buat bayaran.  Bayaran DPT hanya rm5.00 untuk buku yang valid hingga 5 tahun.  Murah lah juga kan, ingatkan bayaran sama mahal dengan yuran untuk passport antarabangsa.  Sekarang bayaran pun kena atas talian semuanya guna debit or credit card, bayaran secara tunai sudah tak valid.

Selepas buat bayaran, diminta tunggu lebih kurang setengah jam untuk dapatkan DPT.  Cepat juga prosesnya, mungkin sebab PKPP masih berlansung kurang yang mohon dan ramai staff yang stanby untuk buat benda ini.  Saya tak tahu jika hari biasa secepat itu atau bagaimana, sebab sekarang kaunter yang mengendalikan passport antrabangsa memang takde orang yang berurusan di situ.  Siapa yang nak renew passport pun macam tak digalakkan kecuali ada kecemasan sangat untuk keluar negara.


Ada muka surat untuk nama anak-anak (jika membawa anak-anak bersama).  Adik bujang lagi, jadi tiadalah list dalam senarai anak-anak tu.


Tempoh sah laku untuk satu buku DPT adalah 5 tahun.  Jika nak sambung stay kat sana nanti kena renew lah kan, harap-harap serasilah di tempat baru nanti dan dapat berkhidmat mendidik anak bangsa yang lebih memerlukan dengan jayanya.


Sebelum masuk bagunan ini tadi, kami tawaf dulu mencari mana lah pintu nak pergi imegresen ni, tulisan pada bangunan tiada pun jabatan imegresen semua adalah kompleks Kementerian Dalam Negeri.  Apalah mangkuk sangat kami ni pun, kan jabatan imegresen tu berada di bawah KDN?, sendiri tanya sendiri jawap.  Dalam tu banyak lagi pejabat jabatan lain yang bernaung di bawah KDN macam jabatan pendaftaran negara.

Gambar DPT dengan bangunan ini, esok lusa boleh ingat buat benda ini dalam bangunan tu lah. Lagi satu, Dokumen Perjalanan Terhad harus dipohon di ibu pejabat imegresen negeri, mana-mana cawangan tidak mengendalikan kes seperti ini, harap maklum ya.
Wassalam.

Monday 8 June 2020

Mushroom Seasoning Dan Salam Syawal

Assalamm...
Selamat hari raya maaf zahir dan batin kawan-kawan, tak lambat kan nak ucap walaupun dah 16 syawal hari ini.  Ada yang dah selesai raya kali kedua pun, Alhamdulillah yang dah sempurnakan puasa sunat di bulan syawal.  Raya tahun ini memang berbeza sangat bagi kebanyakkan orang daripada tahun-tahun yang lepas, banyak kebiasan yang kita tak boleh buat terutama budaya balik kampung.  Bagi saya sudah biasa dengan suasana tersebut sebab selalu tak berpeluang balik kampung menyambut hari raya, jadi takde lah sedih sangat.  Sedihnya sebab tahun ini adalah raya pertama tanpa orang-orang tersayang, ibu bapak dan kakak yang selalu menjadi tempat berkongsi cerita persiapan menyambut hari raya. 


Ok jom cerita pasal mushroom sesasoning, kisahnya dah lama dah tengok tukang masak tersohor guna dan ada juga cari di supermarket jika ada di jual, tapi tak pernah jumpa pun.  Nak dm tanya kat chef tu, segan pula jadi kita biarkan saja lah sampai satu hari en.Abe tanya pasal benda ini.  Oh berminat ker?, nanti kita cuba cari di shopee atau lazada saya cakap.  Mushroom seasoning ini adalah subtitute untuk MSG, jadi mereka yang suka guna pak aji tu boleh lah bertukar pada yang ini, yang ini sesuai juga untuk vegetarian.  Rumah kita memang tak guna pak aji tapi saja lah kita nak rase yang ini pulak, kalau tak try tak tahulah sedapnya tu macamana kan.


Walaupun ini adalah produk Singapore tetapi sijil halal dikeluarkan oleh Jakim, jadi takdelah keraguan di situ kan.  Boleh guna tanpa was-was, cuma saya nasihatkan jangan pandang lama-lama sebab makin ditilik nak sama bentuk dengan dedak ayam plak, chait..

Ini bukan review berbayar ye, saja nak share kat kawan-kawan, benda sedap biar semua orang juga dapat merasa.  Shopee dan Lazada memang ada jual, masa saya jumpa pun bukan terus beli, bertangguh-tangguh dulu, siap buat banding-bandingkan harga lagi.  Hehehe, perempuan sangat kan tak dapat window sopping macam selalu dari kedai hujung sini ke hujung kedai sana, dalam web pun kita buat.  Tak silap ini saya beli kat shopee, ada promo 3 botol dan dapat free gift garam himalaya tu, murah juga lah banding dengan harga biasa dalam RM20 atau lebih sebotol.  Orang perempuan kalau cakap pasal free gift memang suka, walaupun hanya dengan sepaket garam, bahagia hidup.
Wassalam.