nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Kek. Show all posts
Showing posts with label Kek. Show all posts

Saturday, 23 September 2017

Kek Gula Hangus / Honey Comb


Assalam.

Antara resepi yang mana hasil sarang semut yang begitu sempurna dari segi rasa dan teksturnya.  Kali ini tiada kaedah peram adunan semalam atau beberapa jam.  Siap adun terus bakar atas dapur gas.  Sarang semut atau lubang (honey comb) yang sangat cantik kejadiannya.  Bertuah sangat dapat diajar oleh sabahat saya yang sangat rajin menghadiri kelas memasak.  Kelas masak berbayar tau.  Yang saya ini dapat ilmu free-free saja dari dia, moga bertambah-tambah rezeki Melati selepas ini.  Dapat personal coach memang terbaik lah, kalau lepas ini buat silap lagi tak tahu lah.  Meh lah semak resepinya.



KEK SARANG SEMUT / GULA HANGUS
Sumber: Melati


Bahan-bahan
1 gelas gula pasir
1 gelas air 
200 gm majerin Planta
10 biji telur (gred B)
1 gelas tepung gandum (tambah 2 sudu makan)
1 gelas susu pekat (susu cap junjung)
1 sudu teh baking powder
2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila


Cara Penyediaannya  
* Sediakan loyang atau periuk untuk membakar kek.
* Sediakan gula karemel.  Masak gula hingga larut dan warna perang (awas jangan sampai gula hangit).  
*  Perlahan-lahan masukkan air dan masak hingga mendidih.  Tambahkan majerin ke dalam air gula hingga larut dan tutup api.
* Pukul telur dan esen vanilla hingga kembang.  Tuangkan ke dalam campuran tepung dan serbuk penaik. 
*  Masukkan susu pekat dan air gula, kacau sebati dan masukkan ke dalam loyang pembakar.
* Bakar dengan api perlahan, sekiranya bakar guna oven, suhu 150'C guna api bawa selama 40 minit (atau ikut kepanasan oven masing-masing).
*  Keluarkan kek hanya apabila betul-betul sejuk dan bolehlah dihidang.


Note penaja;-
*  Sahabat saya bakar kek tidak guna oven tetapi hanya guna periuk non stick yang disapu sedikit majerin dan dilapisi dengan kertas minyak.
* Untuk hasil yang memuaskan sahabat saya lebih tekankan penggunaan bahan terpilih seperti telur grad A, majerin (guna Planta) dan susu pekat (Cap Junjung).

Wassalam..

Kek Tapai Pandan


Assalam...
Tapai ubi memang gemar sangat makan jika nak banding dengan tapai pulut.  Ciri-ciri orang lama, memang suka makan benda-benda lama macam tapai.  Mak saya sangat expert buat tapai pulut, hasilnya pasti manis, tapi skill tu tak menurun pula kat saya.  Namun tak jadi masalah sekarang jika nak makan tapai pulut sebab mak mertua pun hebat juga buat tapai ini, time raya saya seorang je kat rumah tu yang makan tapai, anak menantu dia seorang pun tak gemarkan tapai.



Walaupun tidak ada siapa dalam keluarga yang pandai buat tapai ubi, tetapi sukanya lah benda alah ini.  Asal jumpa mesti beli, makan begitu saja.  Teringat ketika di Bandung jumpa penjaja tapai ubi, tapai ubi yang diletak dalam bakul besar, ubi tu pula besar-besar bukan macam kat sini ubinya dah dipotong-potong.

Sebagai melestarikan kesukaan makan tapai ubi, saya pun cuba buat kek yang telah dishare oleh ramai pemilik ig dari Indonesia.  Naik meroyan tengok ig depa dengan gambar dan resepi yang sangat menggiurkan.


Kek Tapai Pandan
Sumber: Ig. ontytikka


Bahan-bahan
300gm tapai ubi kayu, buang uratnya
75ml susu pekat
180gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
5 biji telur
1 sudu teh ovallete
180gm gula pasir
1 sudu makan paste pandan
150gm majerin, cairkan


Cara Penyediaannya
*  Siapkan loyang kek, sapu mejerin dan tabutkan dengan sedikit tepung.  Panaskan oven 160'c (atau mengikut kepanasan oven masing-masing, jangan set oven terlalu panas kerana membakar kek ini mengambil masa yang agak lama).
*  Ayak tepung dan baking powder.
*  Haluskan tapai dengan garfu dan campur dengan susu pekat.
*  Pukul telur, gula pasir dan ovalette hingga kembang, (adunan jadi kental dan warna putih). 
*  Perlahankan kelajuan mixer dan masukkan tapai sedikit demi sedikit hingga rata.
*  Masukkan majerin cair sedikit demi sedikit sambil gaul perlahan dengan spatula hingga rata.
*  Masukkan tepung dan gaul rata.
*  Tuangkan ke dalam loyang pembakar dan bakar selama 45-60 minit.
*  Test kek menggunakan baking stick (penyucuk cake).  
*  Biarkan kek sehingga sejuk sebelum keluarkan daripada loyang. 



Ini tak tahu kegilaan apa yang buat kek banyak-banyak nie. Balas dendam sebab tak dapat buat masa nak raya.  Jangan persoalkan boleh habis ke tidak? makan seorang memang tak lah, rezeki kena bagi-bagi kat jiran, angkut ke tempat kerja pasti licin.


Kalau nak jual, rasa-rasa ada orang nak beli tak?..
Wassalam.

Thursday, 7 September 2017

Kek Coklat Karemel


Assalam...
Seorang sahabat saya wassup nak datang rumah hari tu, masih dalam bulan syawal kiranya datang beraya lah kan.  Tapi dia pesan tak perlu masak-masak macam orang buat open house, kita buat aktiviti asa bakat yang tumpul.  Main masak-masak, dia nak tunjuk cara buat kek gula hangus cara dia dan saya kena tunjuk cara buat kuih nona manis.  Saya sentiasa on saja, orang nak bagi ilmu free pulak tu.  Cuba join kursus online pun tetap kena bayar kan.  Tapi saya dapat bonus berganda sebab selain dia tunjuk cara buat kek gula hangus, tambah satu lagi kek petang itu kek coklat karemel.


Jom tengok resepi yang telah diajarkan oleh Melati.  Dapat belajar sambil beliau buatkan kek untuk saya, sangat-sangat beruntung dikelilingi dengan sahabat yang baik hati.



Kek Coklat Karemel
Sumber: Melati


Bahan-bahan Karemel
5 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan susu pekat
1 sudu teh esen vanilla
3 sudu gula untuk buat karemel pada dasar loyang
*guna loyang square 8 x 8


Bahan-bahan Kek
3 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan susu pekat
1 cawan minyak masak
1 cawan gula
1 cawan serbuk koko*
1 cawan tepung gandum*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*




Cara Penyediaannya
*  Buatkan karemel pada dasar loyang.
*  Siapkan peralatan untuk mengukus.
*  Sediakan bahagian karemel terlebih dahulu, pukul telur hingga kembang bersama esen vanila.
* Masukkan susu cair dan susu pekat.
*  Tuangkan ke dalam loyang yang telah di buat karemel tadi.  
*  Kukus dengan api sederhana hingga lapisan karemel beku.
* Bungkus penutup kukusan dengan kain atau sering lap untuk mengelakkan wap air terjatuh ke atas kek.
* Siapkan untuk lapisan kek coklat pula.  Ayak bahan-bahan bertanda '*' bersama.
* Campur susu cair, susu pekat, minyak dan gula.  Panaskan seketika untuk cairkan gula sambil kacau hingga sebati.
*  Pukul telur hingga kembang.  Campurkan dengan tepung yang telah di ayak tadi, gaul hingga sebati.
* Masukkan pula campuran susu dan gula yang telah cair tadi.
*  Keluarkan karemel dari dalam pengukus.  Buat lorek atau garis guna garfu dipermukaan karemel.
*  Tuangkan adunan kek coklat ke atas karemel tadi.  
*  Kukus lagi hingga kek masak, lebih kurang 40 minit (atau hingga hujung penyucuk kek bersih).
*  Biarkan kek sejuk sebelum dikeluarkan, untuk hasil yang sempurna.




Sebaiknya keluarkan dari loyang setelah betul-betul sejuk.  Saya biarkan dalam suhu bilik, keesokkan baru terbalik kan.  


Sebaiknya store ke dalam peti sejuk dan nikmatinya sejuk.  Suapan demi suapan, tak sedar dah suku loyang habis.  Nanti saya share kan kek gula hangus cara beliau yang masak atas dapur jer, tak perlu guna oven.
Wassalam.

Thursday, 29 June 2017

Kek Ketan Hitam @ Kek Pulut Hitam.

Assalam...
Sudah lama teringin nak makan kek ketan hitam hitam (kek pulut hitam) ini sejak pernah makan di rumah kenduri dulu-dulu.  Resepi dari seberang pemberian kakak sepupu pun dah ada, tapi macam renyah je nak siapakan adunan santan dan menyediakan tepung pulut hitam.  Bila terjumpa tepung pulut hitam ada dijual di tesco, terus beli dan simpan stok.  Sehingga terjumpa resepi yang lebih mudah guna majerin menggantikan santan.  Resepi yang saya guna ini pun guna kaedah kukus tapi tetapi saya bakar.  Boleh pilih nak kaedah kukus atau bakar begitu juga dengan ramuan yang digunakan terdapat pelbagai versi dalam penggunaan ramuan.


Kek Ketan Hitam @ Kek Pulut Hitam
Sumber: IG


Bahan A
6 biji telur
150gm gula halus
1/4 sudu teh garam
1sudu teh baking powder
1sudu teh ovelet (sp)

Bahan B
250gm tepung ketan hitam (tepung pulut hitam)

Bahan C
200gm majerin dicairkan (boleh campurkan 150gm majerin 50gm butter)
60gm susu pekat manis


Cara Penyediaannya
* Pukul bahan A dengan kelajuan tinggi hingga kembang (10-15 minit).
* Turunkan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan bercampur rata.  Matikan mixer.
*  Masukkan majerin cair sedikit demi sedikit, kacau menggunakan spatula dengan teknik kaup balik.  Akhir sekali masukkan susu pekat.

* Bakar dengan suhu 160'c selama 40 minit (bergantung kepada oven)
* Kek ini boleh juga di kukus, tapi pastikan kukusan dipanaskan terlebih dahulu hingga mengeluarkan wap.  Kukus selama 30-40 minit.


Tak sabar nak tunggu kek sejuk dan lihat bagaimana hasilnya.  Walaupun bantat sedikit sebab terlupa letak baking powder dan mixer beronar, tetapi rasanya tetap sedap. Sambil potong susun kat pinggan sambil masuk mulut.  Rasa kek pulut hitam yang dibakar dengan versi kukus tetap ada kelainanya.  Versi bakar lebih wangi dan sedikit kering manakala versi kukus lebih moist dan rich.
Wassalam.

Tuesday, 7 March 2017

Memori Kek Coklat...


Assalam...
Nostalgia, memang nostalgia kek coklat ini, suatu ketika dulu, ketika baru muncul kek ini, belum zaman wassapp sana sini orang bercakap kita pun nak cuba buat.  Masa tu email dan sms lah medan orang nak sebarkan berita.  Sesekali boleh lah rujuk di photopages sebab blog tak berapa masyur lagi.  Resepi jangan cakap lah, memang pelbagai versi yang muncul.  Kadang jemu juga sebab pergi mana-mana majlis mesti kek coklat ini yang dihidangkan, dari majlis jamuan tadika hingga majlis menyambut menteri. Kek coklat hitam legam dan lembab ini lah yang menjadi pujaan hati semua orang. 


Macam-macam versi resepi yang mereka kongsikan, namun paling suka dengan resepi yang Henny (orang Kulim) kongsikan melalui Norazimah (Azie).  Sebelum itu Azie ada kongsikan resepi kek coklat yang ibu saudara dia guna untuk jualan di Sungai Petani,  tapi macam agak leceh sikit.  Guna resepi Henny ini memang senang sangat nak buatnya semudah ABC.


Kenal Henny melalui rakan serumah sama tempat kerja dengan dia, dia buat kek dan letak di gerai orang yang berjualan di hadapan taman perumahan.  Sesekali kami beli juga dan memang sedap.  Tak sangka pula dia sudi nak kongsikan resepi kek coklat dia tu.


Selepas kahwin Henny pindah mengikut suami entah ke mana.  Tak dapatlah lagi nak beli kek coklat dia.  Rakan serumah yang lain pun minta kita cuba buat, Alhamdulillah menjadi.  Bermula dari situlah oven yang keluar setahun sekali bekerja setiap hari untuk membakar kek coklat. 


Nak jadikan cerita lagi, seorang rakan (liza) serumah tu rajin pula nak cari pasaran di dalam kampus USM.  Dia bawa ke kelas dan cafesiswa gemilang cahaya setiap pagi sebelum masuk ke dewan kuliah.  Agak lama juga membuat kek coklat ini sehingga seorang demi seorang berhijrah keluar membawa haluan masing-masing.  Kita pun dah sibuk dengan kerja baru, dah tak cukup tenaga balik kerja nak mengadun kek coklat.


Saya kongsikan di sini, resepinya.
 

Kek Coklat
Sumber: Henny

Bahan bahan
2 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan air panas mendidih
2/3 cawan minyak sayuran
2 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum*
1 cawan serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1 sudu teh esen vanilla


Cara penyediaannya.
* Sediakan loyang 8x8, gris dengan majerin dan lapik dengan baking paper.  Panaskan ketuhar.
* Campurkan bahan bertanda "*" dan ayak bersama.
* Campurkan bahan ayak dengan gula, gaul rata
*  Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur hingga ringan dan masukkan ke dalam bahan tepung tadi.  Gaul rata.
* Masukkan esen vanilla, susu cair dan gaul rata.
* Masukkan minyak sayuran, kacau hingga betul-betul sebati.
*  Akhir sekali masukkan air panas mendidih ke dalam adunan.  Gaul cepat-cepat hingga sebati.
*  Tuang ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180'C selama 45 minit.


Sekarang kalau buat kek ini, mesti teringat kenangan lama, kenangan dengan rakan-rakan serumah dulu.  Kenangan yang tak mungkin dilupakan.  Tak sangka dulu pernah jual kek, macam tak caya.  Kini jarak pemisah tu tak jauh mana, tapi susahnya nak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.    
Wassalam.

Saturday, 30 July 2016

KEK LAPIS CHOCOLATE CREAM CHEESE


Assalam...
Kek lapis kedua yang saya bawa untuk bunda tercinta hari itu.  Saya tahu kalau kek coklat mak takkan tolak tapi kalau digabungkan dengan cheese ini belum tahu lagi reaksi dia.  Selalu kuih jenis masin-masin ini agak kurang mendapat sambutan.  Moto yang bunda pegang sejak dari dulu lagi, kuih-muih kena manis kalau tak manis bukan kuih.  Jadi fahamlah kita kalau buat kuih tak manis tu memang dia tak suka, habis kalau kuih yang rasa masin tu tak tahulah apa gelarannya.  Resepi kek lapis ini saya copy paste dari resepicitarasawan blogspot, minta di halalkan ya kak Wan.




Kek Lapis Chocolate Cream Cheese
Sumber: Kek Warisan Bonda
Resepi Asal: Nomie Cakes 


Bahan A
12 biji kuning telur B
6 biji putih telur
300 gm gula kaster
300gm tepung Hong Kong
2 sudu kecil ovallete


Bahan B - Adunan Krim Keju
250gm krim keju
4 sudu besar susu pekat manis
1 sudu teh lemon paste


Bahan C - Adunan Coklat
250gm mentega
4 sudu makan susu pekat manis
150gm coklat masakan - cairkan secara double boiler
1 sudu besar coklat emulco

Hiasan: Parutan Keju Cheddar secukupnya

Loyang: 9 x 9 x 3 di alas dasar dan gris





Cara-penyediaanya:
1. Bahan A: Pukul kuning telur, putih telur, gula kaster dan ovalete dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat.  Perlahankan mixer, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga bergaul rata.
2.  Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.
3. Satu bahagian diadun bersama bahan B (adunan Keju) dan satu bahagian lagi diadun bersama bahan C (Adunan coklat).
4.  Ambil 9 sudu besar adunan coklat, ratakan ke dalam loyang.  Bakar api atas dan bawah pada suhu 180'C selama 8-10 minit.
5.  Angkat tekan dengan penekan kek lapis, sapu sedikit mentega cair pada permukaan kek dan lapis dengan 9 sudu besar adunan keju.  Bakar dengan api atas saja selama 8 minit.
6.  Ulangi melapis berselang seli hingga habis.
7.  Untuk lapisan terakhir, tabur permukaan kek dengan parutan keju dan bakar dengan api atas dan bawah selama 10 minit.
8.  Sejukkan dahulu sebelum di potong.

Bahan B: Pukul krim keju, lemon paste dan susu pekat manis hingga berkrim. Kaup balikkan dengan adunan yang dibahagi tadi.

Bahan C: Pukul mentega dan susu pekat manis hingga berkrim.  Masukkan ke dalam adunan yang dibahagi tadi bersama coklat cair dan coklat emulco.  Kaup balikkan hingga sebati.



Ternyata bunda lebih gemar pada kek lapis asam manis yang saya buatkan, tapi itupun bunda kata, yang versi kukus lagi sedap sebab lebih lembut agaknya.
Wassalam.

KEK LAPIS ASAM MANIS


Assalam...
Mak saya seorang penggemar manisan biskut, kek, kuih muih dan yang sewaktu dengannya.  Kek Lapis Asam Manis ini antara yang beliau paling gemari.  Selalu bila kita datang dari jauh, mak akan sambut dan teruja nak tengok apa buah tangan yang kita bawakan untuk dia, terutama makanan dan beliau akan makan sungguh-sungguh.  Memang sangat ralat rasanya kalau balik hanya dengan tangan kosong, nanti pandai-pandailah buat sesuatu yang manis bila sampai rumah.  Selalu saya buat versi kukus, ini cuba yang versi bakar pula.  Resepi copy paste dari blog DayangJack.  Nanti kita tengok apa komen mak selepas dia makan kek lapis asam manis yang versi bakar ini.




Kek Lapis Asam Manis
Resepi : DayangJack@DapurKuSayang

 

Bahan-bahan : 
loyang  8" x 8" atau 9" x 9"
  • 10 biji telur A
  • 200 g tepung biskut marie (biskut marie dikisar halus, diayak dan kemudian barulah disukat)
  • 100 g tepung hongkong/superfine/tepung gandum (diayak)
  • 450 g mentega berkualiti 
  • 1 sudu besar ovallete
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 150 g gula kastor 
  • 300 g susu pekat manis
  • haw slice/ hawflake secukupnya
  • pewarna kuning, ungu dan hijau secukupnya (pewarna lain pun boleh)

 
Cara-cara:

  • Pukul telur, gula, esen vanilla dan ovallete hingga kembang. 
  • Dalam bekas yang lain, putar mentega dan susu hingga putih berkrim.
  • Kemudian satukan langkah 1 dan 2. Sebatikan.
  • Kemudian masukkan tepung biskut marie dan tepung hongkong/superfine/gandum. Kacau sebati dengan spatula dan kemudian putar lagi 1 minit untuk memastikan adunan benar-benar sebati. 
  • Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Warnakan hijau, ungu dan kuning.
  • Bakar/grill lapis demi lapis dan susunkan hawflake secukupnya mengikut citarasa. (setiap lapisan diratakan dengan 7 sudu makan adunan).
  • Guna api atas dan bawah untuk lapisan pertama dan lapisan seterusnya menggunakan api atas sahaja. Setiap lapisan dibakar antara 5-7 minit atau hingga keperangan. (setelah habis melapis, bakar pada suhu 140C selama 10 minit lagi supaya kek masak sempurna) 
  •  

 
Nota :
***kepanasan suhu bergantung pada jenis oven masing-masing. Jadi sila adjust sendiri.
***loyang digriskan dan dialas dengan kertas minyak.
***sukatan gula mengikut citarasa

***mentega berkualiti contoh : SCS, Golden Churn, Tatura, Anchor dsbnya

***sekiranya tak nak guna tepung gandum/hongkong, boleh guna tepung biskut marie sepenuhnya. ***semakin lama kek disimpan, semakin moist rasanya.  ***Simpan ke dalam peti sejuk supaya dapat bertahan lama.  ***jika lapisan kek terlebih bakar dan kelihatan hangus dan kering, sapukan permukaannya dengan jem atau mentega. 

Wassalam.

Wednesday, 22 June 2016

KEK GULA HANGUS CARA PERAP


Assalam...
Ini antara barang yang wajib dalam list ketika hendak balik kampung sebab ayah suka sangat makan kek ini berbanding yang lain.  Namun kena kontrol jugak pengambilannya sebab ayah kan ada masalah jantung dan tanda-tanda diabetik.  Tak sampai hati pula bila sampai kampung nanti ayah tanya tak bawa balik kek ke?  Alahai...serba salah dibuatnya, takut kalau bawa balik selalu, terlebih makan boleh terjejas kesihatan beliau.  

Selalu kita buat menggunakan resepi lama yang kita ada, buat terus bakar, boleh rujuk di sini.  Ada yang kata kaedah itu susah untuk mendapatkan hasil yang sempurna, kurang moist atau kurang bersarang berbanding jika menggunakan kaedah perap.  Kali ini, kita cuba buat yang guna kaedah perap selama 3 - 4 jam pula.  Hasilnya tetap menjadi dan sama dengan yang sebelum ini.  




Kek Gula Hangus
Sumber: Pelbagai


Bahan-bahan
4 biji telur
1 cawan gula
1 cawan air panas
2 sudu besar majerin
1 cawan susu pekat
1 sudu esen vanilla
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bicarbornate


Cara Penyediaannya
* Sediakan gula hangus, masak hingga perang kemudiaan masukkan air panas.  Masukkan majerin hingga larut dan ketepikan biar sejuk.
* Ayak tepung bersama soda bicarbornate.
* Pukul telur bersama esen vanilla hingga kembang.
* Masukkan susu kedalam adunan telur dan pukul hingga sebati.
* Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
* Campurkan adunan dengan larutan gula hangus dan perap selama 3 hingga 4 jam sebelum di bakar.
*  Bakar hingga masak dengan suhu lebih kurang 190'C selama 60 minit.



Jadi kalau ada banyak waktu boleh lah try yang cara perap ini dan kalau nak segera hanya guna kaedah yang biasa tu, cuma pastikan air gula betul-betul sejuk.
Wassalam.

Sunday, 12 June 2016

Kek Buah Kukus


Assalam...
Salam Ramadhan kareem, semoga segala amal ibadah kita pada bulan ini diterima oleh Allah SWT.  Tahun ini juadah berbuka puasa tak beriya jika dibandingkan tahun-tahun lepas, juadah sama macam hari-hari biasa yang jadi kelainan sebab ada tambahan buah kurma.  Berbuka dengan apa yang ada saja kali ini, lagi pun tahun ini berbuka puasa lebih banyak di tempat kerja masing-masing, dekat isyak baru balik.  Kiranya masak-masak dan bazar ramadhan belum lagi setakat ini, bagus jugak permulaan yang baik untuk mendidik diri agar jangan melampaui batas mengambil makanan seperti bulan-bulan sebelumnya.


Jika ada antara kawan-kawan, adik kakak yang merancang untuk menyediakan juadah pemanis mulut untuk  hari raya ini.  Boleh lah mencuba resepi kek buah kukus ini.  Resepi lama pemberian dari seorang sahabat, tengok ukuran bahan pun guna kati, gelas semua belum sistem metrik lagi.  Setiap kali nak makan kek buah cara kukus memang selalu guna resepi ini saja sebab hasilnya menjadi dan pas pada tekak kita, tidak terlalu manis.


Kek Buah Kukus
Sumber: Azie (Norazimah)

Bahan-bahan
1 gelas gula (untuk buat caremel / gula hangus)
campurkan dengan 1 gelas air - sejukkan.
1 kati (600gm) tepung gandum
1/2 kati (300gm) gula castor
500gm mentega
4 sudu teh cream of tartar
2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanila
6 biji telur gred A
500gm campuran buah-buahan kering (mix fruits)



Cara Penyediaannya
* Sediakan gula karemel terlebih dahulu dan sejukkan.
* Sediakan loyang pengukus 10" x 10", gris dengan butter, dan lapikkan dengan kertas.
* Sediakan periuk pengukus yang sesuai.
* Ayak tepung bersama dengan cream of tartar, baking powder dan soda bikarbonat terlebih dahulu.
* Gaulkan buah campur dengan sedikit tepung.
* Pukul mentega bersama gula hingga putih.  Masukkan telur sebiji demi sebiji hingga habis.
* Masukkan esen vanilla dan buah campur.  Gaul sebati.
* Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil gaul sebati.
* Akhir sekali masukkan karemel ke dalam adunan dan sebatikan.
* Tuang adunan ke dalam loyang.  Tutup atas loyang dengan alminium foil untuk mengelakkan air kukusan jatuh terkena kek.
*  Kukus kek selama 3 jam.  
*  Bila air kukusan berkurangan tambahkan air menggunakan air panas. 
*  Selepas masak, sejukkan kek terlebih dahulu daru keluarkan dari loyang.


Kalau guna resepi ini, dapat sebiji kek yang besar, jadi kalau rasa terlalu banyak bolehlah buat untuk setengah resepi saja.  Kadang jadi masalah pula nak mengukus bila loyang terlalu besar, pengukus pun perlu besar.
Wassalam.

Sunday, 27 December 2015

Kek Pisang Coklat Urai

Assalam....
Sila jangan bosan, asyik cerita pasal kek pisang jer, nak settlekan sementara masih panas-panas, kalau peram lama-lama tak jadi entri nanti.  Kali ini konon-konon nak buat yang lain dari kek pisang yang lepas, tapi cari punya cari, resepi lebih kurang jer.  Resepi untuk kek dan apam pisang lebih kurang jer.  Nak buat apam malas nak tunggu ketika mengukus.  So kita jumpa resepi yang letak parutan coklat yang lepas itu saya tukar guna coklat urai (nama pun saya tukar sikit) alasan malas lagi nak parut coklat.
 

Kali ini guna pisang rastali, yang ada orang panggil pisang keling atau pisang lemak keling, curlass kan.  Orang melayu punya pisang dah bagi kat pak abu agaknya.  Resepi saya guna dari blog cik siti.  Buat double resepinya, alasan sama jer yang lepas.
 


KEK PISANG COKLAT URAI
Sumber: Cik Siti


Bahan-Bahan
200g pisang rastali/emas/berangan 

180g tepung gandum *
160g gula 

3 biji telur 
120 ml minyak
1 sudu kecil baking powder *
1 sudu kecil soda bikarbonat *
1 sudu kecil ovalette
1 sk esen vanilla
Secubit garam
Sedikit parutan coklat masakan - saya ganti guna coklat urai (chocolate rice).


Cara Penyediaan
*  Lenyek pisang terlebih dahulu
*  Ayak bahan2 bertanda *
*  Dalam bekas pengadun, masukkan kesemua bahan (kecuali coklat) dan putar laju hingga sebati dan kembang.

*  Masukkan parutan coklat dan gaul menggunakan spatula.
*  Tuang ke dalam loyang yang telah dilenser. 

*  Bakar dengan suhu 165C selama 45 - 50 minit (ikut oven dan kebiasaan masing2).
*  Kalau guna cawan muffin, isi 3/4 bahagian (atau kurang sikit) dan bakar selama 20 minit.

 

Seperti biasalah nak perabih tu kan, tapi kali ini jauh sikit perginya.  Bekalkan sikit pada orang yang nak balik kampung sambut krismas dan untuk orang yang tengah mabuk-mabuk mengidam.
Wassalam.

Kek Pisang Lembut

Assalam.....
Lambakan pisang perolehan dari kiriman mertua di kampung dan ditempat kerja.  Nak simpan lama dah tak boleh, nak makan begitu saja memang tak terhabis.  Ketika itu pula terlalu sibuk keluar pagi balik malam tak memugkinkan nak beramah tama dengan jiran sebelah.  Merajinkan diri di malam-malam buta agar rezeki tak terbazir begitu saja, dah berhasil nanti bolehlah dikongsikan dengan rakan sekerja dan jiran.  Maaf jiranku jika daku menganggu tidurmu ketika proses ini berlangsung. 


Ada 3 jenis pisang bekalan hari itu, pisang emas, pisang rastali dan pisang montel.  Mula-mula buat pisang emas dulu sebab tu yang masak dulu.  Saya rasa resepi kek pisang ini ambil dari blog Kak Ita Masam Manis.  Adunan saya buat double sebab boleh guna pisang yang banyak dan dapat kek yang besar (tamak pun iya).
 

Kek Pisang Lembut
Sumber: Azlita (Masam Manis)

Bahan-bahan
4 biji telur gred A
8 biji pisang emas ~ 7 biji dilecek dan sebiji di hiris nipis untuk hiasan
1 cawan gula kastor atau gula halus
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan buttercairkan atau minyak jagung
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen pisang atau esen vanilla
sedikit garam
 
Cara Penyediaan
*  Mula-mula kita kena panaskan oven dahulu pada suhu 170C.
*  Oven hendaklah di panaskan 15 minit sebelum memasukkan kek ke dalamnya.
*  Campurkan tepung gandum bersama baking powder dan kemudian di ayak, ketepikan.
*   Pisang di lecek lumat. Tinggal baki 1 biji untuk hiasan.
*  Campurkan garam dan juga soda dalam pisang lecek dan gaul rata, ketepikan.
*  Dalam bekas pemutar, putarkan telur bersama gula dan esen pisang hingga kembang.
*   Kemudian tuangkan butter cair dan gaul rata.
*   Tuangkan adunan pisang ke dalam adunan telur dan kaup balik rata.
*  Kemudian masukkan tepung dan kaup balik adunan sempurna.

*  Sediakan loyang ukuran 9 inc, alas loyang dengan kertas pembakar dan sapukan loyang dengan sedikit butter.
*  Tuangkan adunan ke dalam loyang.
*  Hiaskan atas adunan dengan kepingan pisang yang di hiris nipis.
*  Bakar dalam ketuhar pada suhu 170 C selama 45 minit atau sehingga kek telah masak dengan sempurna.
*  Cucuk tengah kek dengan lidi untuk pastikan kek telah masak. Jika lidi keluar kering maknaya kek telah cukup masak, jika sebaliknya tambahkan lagi masa membakar.

 

Kawan-kawan kata sedap, tak tahulah ikhlas atau saja nak beli jiwa.  Tapi yang penting habis daripada membazir, nak harap en.Abe perabih, memang taklah, dia makan sepotong jer.
Wassalam.

Sunday, 4 October 2015

KEK GULA HANGUS AKA KEK DUNLOP..

Assalam....
Antara kek kegemaran keluarga terutama mak saya.  Kenangan semasa baru mula tumbuh jadi anak dara di kampung, mak selalu pesan intai-intai tukang masak di rumah kenduri ketika sediakan kek ini (selalu mereka ada rewang sehari dua sebelum berlangsung hari besar semata-mata untuk memasak kuih muih).  Kita pun pulun lah duduk dapur dan tengok dengan mata tak berkedip nak mengingat sukatan dah langkah demi langkah, nasib baik kalau dapat tukang masak yang tak kedekut akan bagi tau resepi dan tips.  Nanti boleh praktis di rumah, tapi itulah kadang sarangnya menjadi dan kadangkala bantat.  Cuba lagi, kalau hasil bantat lagi, kita pun give up ler nak mencuba lagi.

Bila dah keluar kepompong, pesan mak tetap di ingat dan misi mencari resepi yang senang serta mudah dan yang paling penting hasilnya memuaskan.  Allah dengar niat yang baik dan dimakbulkan berkenalan dengan Roslina (bekas teman rumah bujang semasa di Penang dulu) dari dia saya peroleh resepi ini dan memang guna sampai sekarang.
 


Kek Gula Hangus
Sumber: Roslina

Bahan-bahan
7 biji telur
2 cawan tepung gandum*
2 sudu teh soda bicarbonate*
1 cawan susu pekat
2 sudu besar margerin
* Ayak bersama terlebih dahulu.

Bahan karemel (gula hangus)
2 cawan gula pasir
2 cawan air

Cara - masak gula hingga perang dan masukkan air, masak hingga gula larut, tutup api dan masukkan majerin.  Ketepikan (sejukkan).

Penyediaannya
* Pukul telur hingga kembang, masukkan susu.
* Masukkan tepung sedikit demi sedikit.  Tuang air gula, gaul hingga sebati (tapis adunan jika berketul-ketul).
* Bakar dalam loyang yang telah dilenser dengan majerin lebih kurang 60 minit dengan suhu 180'C atau bergantung pada jenis oven.


Kek ini sebenarnya banyak nama, mengikut tempat agaknya.  Dikenali sebagai kek sarang semut, kek sarang lebah, kek gula hangus.  Tapi paling win, orang kampung saya panggil ini kek dunlop, bukan sempena nama tayar janama dunlop tu, tapi nama sempena nama jenama tilam dunlop berspring menggantikan tilam kekabu orang dulu-dulu yang keras kematu.  
Wassalam.