Showing posts with label Masakan Kampung. Show all posts
Showing posts with label Masakan Kampung. Show all posts

Tuesday, 1 August 2023

Mee Suah Sup Style Indragiri Riau

Assalamm...

Punya jiran baik satu rezeki lagi nikmat kalau selalu hulurkan makanan pada kita kan.  Orang baik kita pun kena lah berbahasa, hormat dan jika mampu cuba balas kebaikan jiran kita itu.  Pertama kali jiran bagi saya rasa makan mee suah sup begini terus suka, dia kata ini makanan biasa orang kampung dia di Riau Indonesia.  Pernah makan mee suah goreng chinese style sebelum ini, suka juga tapi klau dapat yang sup begini bertambah tambah suka lah.

Mee suah dari gambar google, ada beberapa brand lagi, mudah dapat dekat pasaraya.  Jiran saya kata lebih sedap guna yang mee suah halus.  Bahan-bahan nak buatnya sedikit dan masa penyediaan yang singkat.

Buatkan bawang goreng homemade begini memang sentiasa yang terbaik berbanding menggunakan bawang goreng segera.

Selalu dia hulur semangkuk yang dah siap masak, tapi hari itu kita pesan lain kali nak masak panggil sebab nak tengok cara buatnya.  Senang sangat cik katanya tak perlu resepi lah.

Mee Suah Sup Indragiri Riau Style
Sumber: Sri Wahyuni
 
Bahan-bahan;
1 bungkus mee suah
1 gengam udang geragau
2 sudu cili boh
5 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai daun sup - hiris
1 tangkai daun bawang - hiris
Minyak untuk menumis
Garam
Serbuk lada sulah
Serbuk perasa
Air secukupnya (lebih kurang 2 liter)

Cara Penyediaannya;
* Tumis hirisan bawang merah dan bawang putih.
* Jerang 2 liter air dalam periuk.
* Tumis cili boh guna bekas minyak buat bawang gorng tadi, masukkan udang geragau.  Goreng hingga sedikit garing.
* Tuang tumisan ke dalam periuk air mendidih.
* Masukkan garam, serbuk lada sulah dan perasa.
* Masukkan mee suah, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Hidangkan ketika sup panas.

Makan bersama bakso goreng atau bakwan macamni lagi mantul katanya.

Nyaman, lepas dapat semangkuk mee suah sup begini.  Jiran baik membawa berkat.
Wassalam.

Sunday, 30 July 2023

Asam Pedas Ikan Parang

Assalamm...
Pertama kali makan yang namanya menu asam pedas ketika berkunjung ke rumah kawan di Melaka, mak dia sediakan asam pedas ikan parang.  Terus jatuh cinta dengan namanya asam pedas, kali kedua ketika ke Johor, kakak kawan masak asam pedas guna ikan selar atau kerisik masa tu.  Kedua-dua versi asam pedas yang saya nikmati ketika itu sangat sedap pada tekak saya, kedua-duanya merah menyala dan cuma ada tambahan bunga kantan.  Selepas itu baru lah jumpa dengan asam pedas yang pelbagai jenis di letak dengan daun kesum, tambah sawi jeruk, lobak asin atau sayur lain.  Tapi lebih suka versi yang saya jumpa mula-mula dengan tiada banyak tambahan bahan selain bunga kantan.


Semenjak itu, bila jumpa saja ikan parang, automatik menu asam pedas yang terlintas.  Selalu pun macam itu, jika tak dimasak asam pedas, ikan parang digoreng garing saja.  Tapi paling best kalau jumpa ikan parang yang ada telur.


Asam Pedas Ikan Parang
Sumber: Cik Aminah 
 
Bahan-bahan;
1 ekor ikan parang - potong dan basuh bersih
10 biji cili kering - rebus dan kisar
1 inc. belacan*
10 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 batang serai -  ketuk
1 bunga kantan - belah dua
Minyak untuk menumis
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Serbuk perasa
Sedikit air asam jawa atau 2 keping asam gelugor
Air secukupnya
 


Cara Penyediaannya;
* Tumbuk bahan bertanda '*'
* Panaskan minyak dan tumbis bahan tumbuk hingga wangi.
* Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
* Masukkan serai dan ikan.  Biar seketika hingga jus ikan keluar, baru tambahkan dengan air.
* Tambahkan air mengikut kuah yang dikehendaki, biar mereneh seketika.
* Masukkan bunga kantan, gula, garam, bahan perasa air asam jawa. Didihkan lagi hingga agak pekat sedikit.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.

Tapi itulah, tak boleh masak selalu sebab hanya kita yang suka makan ikan parang.  Tulang banyak mereka tak suka makan, hilang nikmat makan agaknya.  Kita pula lagi banyak tulang lagi suka, lagi trill lagi nikmat rasanya, sebab tu suka semua jenis ikan bertulang halus macam ikan terubuk, ikan susu mahupun ikan selangat.  Walau tercekik tulang beberapa kali tetap tak patah semangat nak meratah.
Wassalam.

Thursday, 15 September 2022

GULAI AYAM BETIK MUDA

Assalamm...

Sedang elok jer apabila ada orang jual betik muda dalam group dan ada stok ayam baru beli.  Selalu ada ayam, betik tiada atau betik ada ayam pula lupa beli.  Sampai kesudah mengidam tak habis.  Menu yang lama diidamkan, kebelakangan ini asyik teringat dulu-dulu makan gulai ayam betik muda jika ada kenduri di Sidam.  Selalu mak andak guna ayam kampung atau ayam biru ataupun itik serati, masa untuk masak gulai tu kena lama sikit nak bagi daging ayam lembut.  Lagi lama masak lagi sebati lah rempah tu, gulai pun jadi lagi sedap tambah pula masak guna kayu api, erm perggh nikmatnya.  

Nak tambah nikmat lagi, sisahkan sedikit betik muda tu, rebus dan buat ulam makan dengan sambal belacan.  Berganda-ganda nikmatnya.  Hari tu lepas je kupas dan potong betik, saya terus rebus kesemuanya setengah masak je sebab tak sabar nak makan dengan sambal belacan.  Lebihan betik saya masukkan ke dalam gulai dan masak sekejap saja.

Gulai Ayam Dengan Betik Muda
 
Bahan-bahan
1/2 (700gm) ekor ayam - potong kecil
300gm betik muda/ mengkal - potong
2 sudu besar rempah kari - bancuh dengan sedikit air
2 sudu besar cili kisar
2 keping asam gelugor
1 sudu besar kerisik
300ml pati santan
800ml santan cair
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan Untuk kisar halus
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci belacan

Bahan Tumis
4 ulas bawang kecil - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
2 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Cara Penyediaannya;
* Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan-bahan tumis.  Tumis hingga wangi dan bawang layu.
* Masukkan bahan kisar dan cili kisar, tumis lagi hingga garing.  Masukkan bancuhan rempah kari dan tumis hingga terbit minyak. Tumis guna api perlahan.
* Masukkan ayam, gaul rata dan biar kecut sebentar. Tuang santan cair, kacau rata dan biar hingga mendidih dan ayam separuh masak.
* Masukkan asam gelugor, kerisik dan pati santan, biar mendidih dan tambahkan garam serta gula.
* Masukkan betik muda, kacau rata dan msak hingga betik sedikit lembut.
* Sesuaikan rasanya dan angkat untuk dihidangkan.

Alhamdulillah sedap kejadiaan yang ini, takpe lah masuk bakul angkat sendiri.  Sendiri masak sendiri puji sebab lama mengidam nak makan kot, adalah bagi ke jiran diorang pun cakap sedap.  Walaupun rasanya tak sesedap hasil air tangan mak andak, at least dah cuba buat sendiri.  Cuma belum dapat dipastikan jika buat kedua kali rasa dia masih sedap atau macamana.

Wassalam.

Tuesday, 30 August 2022

Sayur Bening Buah Kelor

 
Assalamm...
Sayur bening? apa tu maksud bening?, ada orang tak tahu dan kurang tahu term kata bening tu, tetapi lebih kenal dengan sayur air.  Sayur air selalu orang letakkan hirisan bawang, tetapi sayur bening semata-mata air dan garam.  Kelor pun ramai yang tak kenal, tapi kalau cakap ramunggai atau moringga mesti ramai kenal kan.  Baru-baru ini ramai sangat yang mencari, sana sini nak tanam sebab tahu moringga tu antara superfood yang banyak khasiat untuk tubuh badan dan boleh menolong mencegah penyakit kronik.
 
 
Kali ini sayur bening diletakkan buah keras yang dilumatkan untuk menambahkan rasa lemak pada kuah sayur.  Tips daripada penggemar sayur daun kelor dan buah kelor, katanya pokok yang mengeluarkan buah, daunnya agak keras dan kasar jika dibuat sayur.  Seeloknya untuk sayur daun guna pokok yang hanya menghasilkan daun sahaja.  Satu lagi, pilih buah kelor yang masih muda untuk dibuat sayur supaya rasa kekacang pada biji kelor dapat dinikmati.  Nak tahu daun kelor dan buahnya boleh dibuat apa cek sini, sini, sini dan sini.
 
Sayur Bening Buah Kelor
Sumber: Hjh Timah
 
Bahan-bahan
Beberapa batang buah kelor muda
1 biji buah keras - lumatkan.
Air
Garam dan serbuk perasa
 
Cara Penyediaannya;
* Kikis kulit luar buah kelor dan potong pendek lebih kurang setengah jengkal.
* Jerangkan air, campurkan dengan buah keras yang ditumbuk lumat terlebih dahulu, garam dan serbuk perasa.  Boleh tambah serbuk lada sulah jika suka sedikit pedas.
* Reneh hingga buah kelor masak dan sesuaikan rasanya.
 
Adakah yang suka sayur bening ini?, nampak jer togel gitu tapi kalau dapat hirup kuah yang suam-suam pasti terasa nyaman dan segar.
Wassalam.

Sunday, 28 August 2022

Ikan Susu/Bolu Bakar

 
Assalamm...
Menu ringkas yang mudah, cepat disediakan dan sangat sedap.  Cuma diperlukan sedikit kesabaran ketika menikmatinya kerana ikan ini banyak tulang halus.  Banyak hikmah yang boleh kita pelajari kenapa Allah cipta ikan yang banyak tulang, supaya kita bersabar sebelum kita dapat menikmati kesedapannya.  Bagi saya ikan banyak tulang itu rasanya lebih sedap daripada ikan yang hanya banyak isi.  Tercekik tulang itu biasa namun tidak mematahkan semangat untuk terus mencicipinya.
 
 
Sebenarnya ini resepi kesukaan arwah mak, selain ikan bolu/susu masak asam.  Kedua-duanya menjadi pilihan dan paling disukai ahli keluarga.
 
Ikan Susu/Bolu Bakar
Resepi: Hjh Timah

Bahan-bahan
1 ekor ikan bolu/susu sederhana besar - belah tengah dan potong 2 atau 3.
4 biji cili merah
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu kecil lada putih
Garam secukupnya
Sedikit minyak masak / zaiton
 
 
Cara penyediaannya.
* Bersihkan ikan
* Tumbuk halus lada hitam, cili merah dan bawang. Jika suka yang pedas membara boleh tambahkan cili padi.
* Tambahkan garam dan sedikit minyak.
* Lumur semua permukaan dalam ikan dengan bumbu tumbuk tadi dan tutupkan.
* Bungkus dengan foil atau daun pisang/daun kunyit jika bakar dalam oven atau atas grill.  Bakar tanpa pembalut juga tidak masalah.
* Bakar selama 15 - 20 minit atau hingga ikan masak.
 

Bakar jangan terlalu lama, nanti ikan menjadi keras dan tak juicy.
 

Sudah siap bakar, boleh terus dihidangkan bersama nasi panas.  Jika suka menikmati ikan bakar bersama bahan pencicah boleh sediakan sambal kicap atau air asam, terpulang.  Bagi saya tak perlukan sebarang sambal jika buat ikan bakar begini, bahan sambal yang diletakkan di tengah ikan sudah mencukupi.
 
Selamat mencuba dan menjamu selera kawan-kawan.
Wassalam.

Saturday, 27 August 2022

Keresek Jantung Pisang


Assalamm...
Edisi masak-masak bersama mertua, sudah lama sebenarnya masak menu ini.  Kebetulan ada jantung pisang boleh lah kita buat, saya lebih suka makan lauk kresek ini berbanding dengan gulai kopeh.
 
 
Kaki ayam dan organ dalaman ayam dipotong kecil-kecil seperti dalam gambar di bawah.  Selanjutnya cek resepi kresek jantung pisang di bawah.

Kresek Jantung Pisang
Sumber: MIL
 
Bahan-bahan
1 biji jantung pisang hiris nipis - jika tak suka jantung pisang boleh tukar guna kacang panjang atau rebung
kaki ayam
leher ayam
anggota dalaman ayam seperti - jantung, hati dan pedal
2 sudu serbuk kari
4 ulas bawang merah*
4 ulas bawang putih*
2 batang serai*
1 inci halia*
10 tangkai cili kering* (tambah jika suka pedas)
1 kotak kecil santan
2sudu kerisik
Sedikit rempah 4 sekawan
Secukupnya gula / nise
Secukupnya garam dan serbuk perasa 
Minyak untuk menumis

Cara Penyediaannya:
* Blend halus bahan bertanda '*' campur dengan serbuk kari.
* Rebus jantung pisang terlebih dahulu dan toskan.
* Tumis 4 sekawan, masukkan bahan blend, tumis hingga rempah masak.  Tambahkan sedikit air jika perlu.
* Masukkan kaki ayam, leher dan organ dalaman.  Reneh hingga kaki ayam lembut.
* Masukkan santan, kerisik, nise, garam dan serbuk perasa.
* Masukkan jantung pisang dan sayur lainnya.
* Sesuaikan rasanya dan hidangkan. 

Ketika proses mereneh guna api sederhana sahaja, biar kaki ayam tu sekata empuknya.
 
Begini lah rupa kresek jantung pisang yang dah siap.  Ada rasa macam gulai sikit lebih kurang kopeh (gulai organ dalaman) tapi ini versi tak berkuah dan dimasak bersama sayuran.

Sudah siap, jom lah makan gaiss.
Wassalam.

Friday, 16 October 2020

Gulai Pisang Muda dengan Kepala Ikan

Assalamm...
Hujung minggu, 2 minggu lepas, mak mertua balik kampung sekejap kutip hutang.  Balik dari sana dia bawa setengah tandan pisang emas, separuh lagi dah busuk lama tak balik takde siapa kisah pokok pisang.  Amboi mak mertua kerja along kah kutip hutang? ganas aih bunyi.  Tidak lah sampai kerja along, tapi dia suka tolong orang, dia ada bisnes kecik-kecik jual barang-barang kelengkapan rumah untuk suri rumah pada orang kampung.  Orang kampung ini pula beli secara bayar ansuran kat mak mertua, bayaran sebulan sekali atau 2 kali.  Adalah tarikh-tarikh tertentu untuk kutip bayaran tu.   Bila mak mertua ada di sini, duk lah call bila nak balik kampung, nak bayar hutang, ada yang sudah dua, tiga kali pergi rumah tapi takde orang, nak suruh bayar online mana lah dema reti.   Line internet kat kampung tu pun macam biskut, tengah-tangah nak buat transfer boleh jadi error, mau meroyan kalau orang yang tidak biasa kan.
Pisang emas mengkal, yang tinggal hanya sebahagian dapat diselamatkan, sebahagian lagi bahagian yang terbelah.  Mula-mula saya asingkan dari buah pisang yang bagus, ingat nak buangkan saja buah yang terbelah ni.  Sambil proses sambil tu timbul pula rasa sayang jika dibuang.  Jika dibiarkan masak pun tak boleh dimakan, ini saya dan buang bahagian terbelah dan siat sedikit bahagian kulit pisang.  Kulit pisang siat sedikit bukan kupas terus ya, ikut kata hati buat saja nanti fikir nak buat apa.
Lepas tu baru kita google apa benda yang boleh dibuat dengan pisang ini.  Cari resepi macamana nak buat gulai pisang muda, tapi serbuk rempah kari takde pula.  Teruskan pencarian dan dapatlah idea nak masak dengan sisa kepala ikan yang telah dimasak lemak cili padi baru ni.  Jumpa satu resepi lebih kurang masak lemak pisang muda juga, tapi panggil gulai walaupun tak letak rempah tapi campur dengan ikan masin, stok ikan masin pula tiada jadi campurlah dengan bahan apa yang ada di dalam peti ajaib.
Gulai Pisang Muda dengan Kepala Ikan
Sumber: Mulia
 
Bahan-bahan
5-8 biji pisang muda - siat dan potong serong
Beberapa ketul potongan kepala ikan merah / tenggiri/ jenahak / senangin
1 kotak kecil santan
3 biji bawang merah*
5 biji bawang putih*
2 inc. kunyit hidup*
1 helai daun kunyit
2 batang serai - ketuk
1 inc. halia*
5 biji cili padi*
2 biji cili besar*
1 biji tomato - belah 4
2 keping asam gelugor
Air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
Garam
Gula
Serbuk perasa

 
Cara Penyediaannya
* Blend bahan bertanda '*' hingga halus.
* Panaskan minyak, tumis serai dan bahan blend hingga naik wangi.
* Masukkan air dan asam gelugor biarkan mendidih.  Kuantiti air agak-agak ikut kuah pekat atau cair yang kita kehendaki.
* Masukkan pisang, pastikan air cukup untuk tenggelamkan buah pisang.
* Bila dah mendidih masukkan ikan.  Tambahkan daun kunyit, garam, gula dan serbuk perasa.  Biar mendidih.
* Masukkan tomato dan santan.  Biar mendidih sambil kacau perlahan untuk elakkan santan pecah minyak.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Hidangkan.
Pisang muda boleh guna jenis pisang lain, tak semestinya pisang emas saja.  Pisang awak, pisang nangka, pisang embun, pisang kecil yang 40 hari pun boleh.  Ini pertama kali saya makan guna pisang emas, rasa gulai memang super, super sedap dari gunakan pisang jenis lain.  Lemak dan manis mungkin sebab pisang yang guna pun dah mengkal dan padanan dengan kepala ikan tu memang masuk lah, makan pisang serasa makan isi ikan gitu.
Wassalam.

Monday, 17 August 2020

Cucur Jagung @ Perkedel Jagung

Assalamm...
Kami lebih kenal sebagai perkedel jagung, cuma cara buat tu ada lain sikit, jagung tu kena tumbuk manja-manja sebelum campur dengan bahan-bahan lain.  Tapi kalau kurang rajin gaul saja dengan semua bahan yang dikehendaki tak jadi masalah.  Cucur jagung boleh buat yang manis atau pedas.  Dua-dua pun saya suka tapi lebih kerap buat yang pedas, selain buat makan macam itu saja, kadang dibuat lauk makan dengan nasi.


Nak letak apa bahan sampingan tu terpulang pada kita, kita yang buat dia.  Nak tambah sayur lain seperti hirisan kobis atau lobak merah pun boleh, Takde yang salah ikut kita, cara kita mana yang senang dan mudah saja.


Cucur Jagung Pedas
Sumber: Mulia
 
Bahan-bahan;
2 tongkol jagung - hiris isi leraikan dari tongkolnya
Tepung gandum - secukupnya
3 sudu isi udang / ketam - potong kecil atau kisar
1 biji cili merah / hijau - hiris halus
2 tangkai daun sup / daun bawang - hiris halus
2 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
1 biji telur
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Sedikit air




Cara Penyediaannya;
* Tumbuk bawang hingga halus.
* Campurkan semua bahan kecuali air dan gaul rata.
* Akhir sekali masukkan air sedikit dan gaul sebati hingga dapat adunan sesuai untuk digoreng
* Goreng dalam minyak panas hingga kekuningan.
* Angkat dan toskan.  Hidangkan bersama sos juga boleh.
 
Boleh ke kalau tak mau letak jagung? erm?.  Boleh cuma kena tukar tajuk dia saja, cari nama lain kalau takmo letak jagung.
Wassalam.

Tapai Pulut, Resepi MIL

Assalamm....
Tapai pulut masih ada penggemarnya walaupun ramai juga orang yang tak suka dengan tapai pulut ini terutama golongan muda.  Dulu saya masa muda pun tak berapa gemar makan, lebih suka makan tapai ubi.  Tapi bila mai usia tak berapa nak muda nie, terlebih suka pula nak makan lagi-lagi bila diulit nostalgia menyediakan tapai ketika menjelang sambutan hari raya bersama arwah mak dahulu.  Tapai pulut buatan arwah memang manis dan menjadi, tipsnya semua peralatan kena bersih. Semua peralatan dicuci semula sebersih-bersihnya dan keringkan terlebih dahulu.  Walaupun selalu menolong untuk sediakan tapai pulut, tapi saya tak yakin nak sediakan sendiri.  Pernah sekali cuba buat sendiri, tak menjadi dan tak cuba dah selepas tu.  Hasil tapai saya menjadi keras macam jadi beras semula dan berkulat, langsung tak bau tapai apa lagi keluar air yang manis itu.  Begitulah kemahiran tak dapat diwarisi tanpa ilmu dan praktis yang berkali-kali.


Ini kebetulan masa mertua ada di rumah hari tu, jadi kita manfaatkan kesempatan untuk belajar buat tapai dengan dia.  Untung sebab dapat mertua yang juga pandai buat tapai jadi kita berguru lah dengan dia.  Masa tu tiada sebarang daun untuk membungkus tapai jadi kita bulat-bulatkan saja dan susun dalam tupperware.  Ini merupakan stail arwah mak selalu buat, hanya susun dalam mangkuk atau periuk dan lapis dengan plastik pada setiap susunan atau lapisan tapai.  Ada perbezaan sedikit cara mengukus pulut antara arwah mak dengan mertua, mak hanya kukus sekali manakala mertua kukus pulut dua kali.  Satu lagi tips penting untuk hasil tapai yang bagus adalah pemilihan ragi, pilih ragi yang baik dan fresh, boleh tanya pada penjual mereka tahulah kualiti ragi yang mereka jual.  Ragi yang saya guna ni, saya beli dari kedai runcit aceh dekat-dekat rumah saja.


Tapai Pulut
Sumber: My MIL

Bahan-bahan
1 kilo beras pulut
1 biji ragi
Air
pengukus dan peralatan lain

Cara Penyediaan
* Basuh beras dan rendam seketika, tak perlu rendam lama.
* Sediakan kukusan, bila air mendidih, kukus pulut hingga masak.
* Keluarkan pulut dari kukusan dan renjiskan dengan air hingga pulut nampak lembut dan basah sedikit dan pulut lerai.  Kacau pulut supaya air renjisan perlu kena pada semua bahagian.  
* Kukus pulut semula dalam 15 minit.
* Keluarkan pulut dan sejukkan.  Sebaiknya letak atas dulang supaya pulut berselerak dan tak berlongkok.
* Bila pulut dah suam, ayakkan ragi yang sudah dipecahkan ke atas pulut.  Pastikan ragi kena sekata pada pulut.
* Bila dah sejuk, bungkus pulut guna daun pisang atau daun getah atau masukkan dalam bekas plastik kecil.
* Simpan ditempat kering selama 2 hari atau 2 malam, tempoh yang baik untuk tapai masak dan mengeluarkan air.
* Sebelum sampai tempoh tu boleh check progress tapai tu, dah ok ker tak.
* Bila dah masak (term untuk tapai matang) boleh lah dihidangkan.


Tapai yang dah masak dan mengeluarkan air, perlu disimpan dalam peti sejuk untuk menjaga kualiti dan tidak menjadi masam.  Ini juga sebagai langkah untuk menahan proses penapaian terus berlaku dan menjadi tuak yang memabukkan. 


Tapai pulut dan tumbuk, 2 jenis menu wajib yang ada ketika hari raya.  Kedua-dua ini spesiality arwah mak saya, tapi saya tak sanggup nak sediakan.  Bayangkan mana lah tak timbul muscle bila kena gentel pulut berkilo-kilo, pulut untuk tapai 3 kilo, pulut untuk tumbuk 5 kilo.  Itu tak termasuk permintaan jiran tetangga yang minta dibuatkan.  Semua itu tinggal kenangan.


Ini salah satu cara keluarga saya menikmati tapai pulut, dimakan bersama tumbuk.  Tumbuk tu sejenis burasak pulut yang digulung dalam daun pisang dan diletakkan berlapis-lapis sebelum direbus sekurang-kurangnya 6 jam.

Bila kerja dalam sektor f&b pula, betapa tapai dipopularkan dan diangkat sebagai hidangan tradisi yang dinaik tarafkan.  Dihidangkan di hotel-hotel atau restoran mewah sebagai pencuci mulut (dessert) bersama ice cream vanilla, dikenali sebagai Tapai Ice Cream.  Selain menikmati cendol dengan pulut, kita boleh juga menikmati cendol bersama tapai pulut yang pasti tidak menghampakan.
Wassalam.