Showing posts with label Bajau Laut. Show all posts
Showing posts with label Bajau Laut. Show all posts

Monday, 16 October 2017

Take a Break: Sibuan Island, Semporna Sabah


Assalam...
Lepas beramah mesra dengan anak-anak Bajau Laut di Pulau Tatagan, kami dibawa ke Pulau Sibuan, pulau terakhir dalam lawatan sebelum menamatkan acara hoping island kami pada hari itu.  Pulau ini menempatkan anggota tentera untuk mengawal keselamatan pelawat.  Jadual tugas mereka di Pulau Sibuan bermula daripada awal pagi hingga ke petang setiap hari berlanjutan selama 3 bulan tanpa hari rehat. 


Setiap pelawat perlu direkodkan ketibaan mereka di Pulau Sibuan.  Pulau ini juga hanya boleh dimelawati mengikut waktu tugas anggota tentera setiap hari.  Selepas waktu tersebut tiada seorang pun pelawat yang dibenarkan untuk berada di Pulau Sibuan. 


Matahari terpacak atas kepala semasa ketibaan kami di Pulau Sibuan, bayangkan saja panasnya pada hari itu.  Di sini tiada sebarang pondok disediakan untuk berteduh, pokok rendang pun terbatas, sudahnya kami semua berkumpul di pondok askar yang berkawal.



Pasangan yang ikut serta dalam group kami.


Di pulau ini juga terdapat penempatan Bajau Laut, cuma kami tak pergi sana.  Awak-awak bot kami sudah nasihatkan agar tidak pergi ke kawasan sana.  Sebenarnya Bajau Laut ini tak menganggu pelawat pun, sebagai langkah berjaga-jaga.  Takut mereka kerumun sebab tertarik pada benda yang kita pakai atau barang yang bersama dengan kita.


Perahu yang dijadikan sebagai tempat tinggal, akan mendarat di mana-mana daratan begini untuk berlindung daripada ribut, melakukan kerja-kerja pembaikan pada perahu mereka jika terdapat sebarang kebocoran dan mendapatkan bekalan makanan serta air.


Anak Bajau laut yang menetap di Pulau Sibuan.  Hanya beberapa orang yang kami jumpa keluar daripada tempat penginapan mereka.  Waktu tengah hari ketika itu, mereka pun tahu nak duduk rumah takdelah macam kami nie, tengah hari buta duk berkeliaran di pulau.  Agaknya kami pula yang jadi bahan tontonan mereka, hahaha.


Nak redahkan kepanasan cuaca ketika itu kami pergi snorkeling lagi.  Kali ini guide bawa kami ke lubok ikan dan terumbu karang.  Peringatan penting jika hendak snorkeling atau diving, sila tanggalkan cincin atau perhiasan anda, terutama yang ada batu permata.   Pancaran atau kilauannya akan menakutkan ikan yang anda hendak lihat tetapi boleh menarik pemangsa datang.


Sebelum balik jangan lupa ambil gambar dengan pegawai tentera yang bertugas menjaga keselamatan di perairan, terhibur sikit hati mereka.  Mereka bertugas tanpa henti dalam keadaan sentiasa siap sedia, tempoh bertugas tiada cuti, jumpa keluarga pun tak boleh. Kau mampu? saya tak mampu.
Wassalam.

Sunday, 15 October 2017

Bajau Laut (Sea Gipsy) Pulau Tatagan, Semporna.


Assalam...
Ketika kami sampai di perairan Pulau Tatagan, enjin bot diperlahankan saya ingatkan tempat cetek dan akan menganggu hidupan yang terdapat diperairan itu.  Rupanya ada sesuatu yang menarik untuk kami sini.  Bot berhenti saja, puluhan perahu kecil yang dikemudi oleh kanak-kanak Bajau Laut mendekati bot.  Saya tak tahu ada itinerary seperti ini dalam pakej kami, ingat hanya lawatan biasa ke 3 pulau seperti yang diberitahu.


Rasa ralat juga lah, jika tahu boleh saya sediakan jajan atau air minuman untuk budak-budak tu.  Air minuman sangat bermakna bagi mereka yang tinggal di laut.  Selalunya mereka mendapatkan sumber air minum daripada air hujan atau beli daripada pekan Semporna atau pekan-pekan terdekat.


Adik yang berperahu sendiri ini, mulanya agak jauh daripada group yang mendekati bot kami.  Ini lah aktiviti harian mereka, berperahu sambil mencari makanan dalam laut.


Kayuhan semakin laju, dengan harapan akan ada habuan yang dia boleh bawa balik daripada pelancong atas bot.


Saya tak memahami bahasa yang mereka gunakan, mereka pula hanya boleh faham dan berbahasa melayu sedikit.  Kebanyakkan mereka ini tidak bersekolah dan hidup secara nomad dalam perahu ataupun pondok di pulau-pulau.  Kerajaan menggalakkan mereka untuk menetap secara kekal agar senang menyalurkan bantuan.


Rasa terhibur sangat, dengan kanak-kanak yang datang mendekat dan bergayutan di tepi bot kami, mereka meminta agar kami memberikan sedikit makanan, air atau sedikit wang.  Mereka tidak bertindak di luar kawalan dan patuh arahan daripada tour guide kami.  Tour guide kami memang ada menyediakan makanan ringan seperti gula-gula, keropok, air botol dan meminta kami mengagih-agihkan untuk kanak-kanak ini. 


Ada yang terjun dan menyelam ke dalam laut sambil beraksi semata-mata meminta kami memberi sedikit upah atas show yang mereka buat.  Tersentuh juga hati, ketika ada antara mereka yang sangat kecil menagis sebab tidak mendapat gula-gula.


Mereka tidak akan berganjak sebelum mendapat apa-apa daripada kami.  Sebenarnya ada juga yang dah dapat tetapi balik semula meminta makanan.


Pelancong boleh mengikut Bajau Laut yang menggunakan perahu yang besar untuk bersiar-siar.  Walau hanya seketika, tetapi pengalaman tu tetap yang terbaik.


Bayaran ikut pelancong nak beri berapa, tour guide kami nasihatkan beri RM5.00 atau jika nak beri lebih pun boleh.


Satu nasihat untuk mereka yang berhajat ke pulau-pulau di perairan Semporna, jangan memakai barangan kemas atau kelihatan bermewah-mewah.  Itu pesanan penting yang saya dapat daripada pegawai yang berada di pusat Pembenihan Kima, Pulau Bohey Dulang tadi.  Semasa saya berperahu mengikut kanak-kanak Bajau Laut ini, mereka telah meminta cincin yang saya pakai sebagai hadiah.  Alamak, nasib masa tu sel-sel otak bersambung dan beri alasan yang cincin itu saya tak boleh bagi sebab ini adalah cincin kahwin saya dan mereka pun faham. 


Walaupun rasa cuak selepas insiden itu, tak menghalang niat untuk datang semula ke sini suatu hari nanti.  In Sha Allah, kita jumpa lagi ya.
Wassalam.