Monday 30 September 2019

Kek Durian

Assalamm...
Bekalan isi durian daripada musim yang lepas masih tersisa dalam freezer.  Walaupun tak dapat balik kampung menikmati raja buah itu, mertua tak lupa nak kirimkan buah durian atau isi durian untuk saya.  Mana yang tak makan habis tu, saya sejuk bekukan, bila nak makan baru keluarkan macam makan aiskrim durian gitu.  Beberapa kali juga olah isi durian untuk dijadikan manisan untuk bapak ketika itu, arwah memang suka sangat dengan durian dan tiada larangan dari segi penyakit untuk arwah menikmati durian.


Sementara stock isi durian masih ada, kita carilah apa lagi benda yang boleh buat dengannya.  Jumpa resepi kek durian ini dikongsikan di fb, banyak resepi kek durian yang dikongsikan tetapi cheese durian, yang ini kira macam butter kek, memang suka lah jika butter kek, maka tanpa berlengah kita try lah.  Ternyata hasilnya pun sedap juga, harum semerbak bau durian masa keluarkan kek dari oven.


Kek Durian
Sumber: Cikgu Azlina


Bahan-bahan
250gm mentega bermutu tinggi /majerin
1 cawan gula halus
1sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil esen durian/ emolco durian


**Bahan di atas mix sampai gebu


7 sudu besar susu pekat
5 biji telur
1 cawan tepung gandum - diayak
1 cawan tepung naik sendiri
7 sudu besar susu segar

Cara Penyediaannya
* Masukkan 100-200 gram isi durian segar, carik-carikkan dengan 7 sudu besar susu pekat ke dalam bahan yang di mix tadi iaitu butter, gula halus, esen vanila dan esen durian.
* Mix sekejap dan masukkan telur satu per satu.
* Perlahankan mixer masukkan separuh tepung gandum yang telah diayak dan tepung tepung naik sendiri.
* Tuang pulak susu segar kemudian masukkan lebihan tepung sampai habis.
* Bakar pada suhu 170 darjah, masa 45 hingga 50 minit bergantung pada oven masing-masing.



Terima kasih kepada penyumbang resepi moga terus menjadi amal jariah yang berterusan untuknya.  Amin Ya Rabb.
Wassalam.

Wednesday 11 September 2019

WW - Sempena Jadi Orang HR

Assalamm...
Sempena terjun ke bidang HR, secara tak langsung juga jadi orang-orang HR.

"To handle yourself, use your head, to handle others use your heart"....Eleanor Roosevelt.
Wassalam.

Tuesday 10 September 2019

Kopi Cawan Terakhir..

Assalam...
Teringat ketika zaman muda menjadi pelajar, ketika nak cuti semester, masing-masing sibuk nak kembali ke kampung halaman masing-masing bertemu keluarga yang lama ditinggalkan.  Masa tu belum ada handphone, berhubung melalui surat, call pun sesekali, lebih-lebih kalau rumah sendiri belum ada talian telipon, perasaan rindu tu tak tahu nak digambarkan macamana.  Masing-masing punya tekat nak buat aktiviti untuk memenuhi masa lapang sepanjang cuti semester nanti.  Ada yang nak bekerja sementara, tolong jaga adik atau anak sedara, nak pergi bercuti, dan macam-macam lagi masing-masing macam membentangkan aktiviti yang perlu dibuat musim cuti ketika berkumpul ramai-ramai.  Bila kawan-kawan tanya saya, saya cakap nak duduk rumah, tolong mak bapak ke kebun dan menggantikan tugas mak untuk menghidangkan kopi tanpa gagal kepada bapak.  Aktiviti saya biasa-biasa saja, tiada yang spesial pada cuti semester, ada juga kawan yang mengutus surat bertanya dan mengingatkankan akan aktiviti saya tu. 
Bapak memang penggemar kopi 'O' atau kopi susu pekat  pagi dan petang.  Jika air kopi cawan pagi tadi tak habis akan di minum pada waktu petang nanti.  Menjadi kebiasaan setiap hari pagi dan petang mak akan sediakan secawan kopi bersama kuih untuk sarapan bapak.  Kira itu adalah tugas pertama selepas bangun tidur dan tugas terakhir sebelum masuk tidur setiap malam.  Saya janji dengan diri sendiri akan menggantikan tugas mak itu ketika setiap kali saya balik ke rumah.  Tetapi sebelum itu kena belajar dulu cara dan sukatan betul yang mak guna untuk bancuh kopi, sebab bapak ini cerewet sikit bukan sembarangan orang boleh buat air kopi dia demikian juga halnya dengan membasuh pakaiannya tak semua dapat melepasi piawaiannya.  Sanggup dia bancuh dan basuh sendiri pakaian jika mak tiada di rumah.
Air panas mendidih, satu sudu serbuk kopi, satu sudu gula dan satu sudu susu pekat, itu sukatan bagi satu cawan khas air kopi bapak.  Memang pekat dan manis, tetapi mungkin sebab dia aktif berkerja menggunakan banyak tenaga di kebun menghindarkan beliau daripada mendapat penyakit berangkai, darah tinggi, kecing manis atau kolestrol.  Bapak bebas daripada sakit ini hingga akhir hayatnya, dan doktor yang merawat juga merasa hairan bagaimana bapak boleh dapat strok.  Hasil imbasan ct scan kepala, abdomen dan mri juga menunjukkan yang semua organ dalaman dalam keadaan baik dan normal dan tiada pun salur darah yang pecah atau tersumbat.  Takpe Allah nak uji bapak dan kami dengan sakit strok itu, serangan strok bapak berulang-ulang dan bertahap sejak kali pertama strok menyerang.  Subuh 16 April 2017, hari minggu ketika itu, bapak kejutkan saya dan mengaduh yang tangan kirinya tak berasa, bapak tak boleh angkat, dan tidak dapat mengenggam sesuatu.  Cara jalannya juga sudah tidak stabil, tak dapat imbangkan diri dan mengagak benda dihadapan, kaki kirinya juga makin lemah dan tidak dapat memijak dengan betul.
Allah pegang janji yang pernah saya lafazkan dulu, walaupun saya sendiri sudah lupa akan hal ini.  Allah bagi peluang sekali lagi pada saya untuk melakukan perkara yang sama dipenghujung usia bapak.  Ketika bapak sihat memang dia menolak nak tinggal dengan kami, apalagi hidup dikotaraya yang dianggap bagai hidup dalam penjara.  Bapak hanya boleh bertahan tinggal beberapa hari dan minta di hantar balik ke kampung, lebih selesa untuk tinggal di rumah sendiri boleh tengok pokok-pokok dan ayam peliharaannya, walaupun ketika itu beliau baru dalam proses pulih daripada serangan strok kali pertama.  Hanya ketika kesihatannya makin merosot, bapak berdegil untuk tinggal dengan saya walaupun ramai yang menegah dengan alasan tiada orang boleh menemani ketika kami keluar bekerja.
Sepanjang tinggal dengan kami cukup mudah menguruskan bapak, walaupun kadang kala ada masa memang sangat-sangat menguji tahap kesabaran kami sebagai anak.  Kami bersedia nak bawa bapak keluar berjalan-jalan walaupun perlu mengusung kerusi roda.  Tetapi kali ini bapak sudah tidak meminta-minta seperti selalu untuk dibawa berjalan-jalan atau makanan yang dia suka, hanya pesannya air kopi 'O' saja, tak nak susu dan kurang manis dari yang selalu.  Hanya 2 kali kami berpeluang bawa dia keluar, selepas itu kami putuskan tak akan bawah dia pergi kemana-mana lagi sebab tak mahu dia bertambah penat dan sakit. 
Kami yang bersama boleh nampak kesihatannya makin merosot dari sehari ke sehari, beliau juga seperti pasrah dengan ujian itu.  Nurse yang datang lihat keadaan bapak kata, strok bapak dah sampai stage 3.  Daripada boleh makan, makanan pejal (solid food) kepada hanya bubur nasi kosong, daripada boleh makan dan minum sendiri hingga sukar nak menyuap makanan, daripada bergerak mengesot, berjalan bertatih ke tandas hingga hanya boleh menggerakkan kepala dan tangan kanan.  Tangan kanannya itu yang selalu menarik tangan atau baju saya ketika suapkan makanan atau duduk dekat dia.  Sesungguhnya aku rindu moment itu ya Allah.
Beberapa hari sebelum Allah menjemputnya, bapak sedut air kopi hingga habis dalam cawan walaupun saya beri bertahap.  Keadaanya seperti lama sangat dia tak dapat minum air kesukaannya tu, saya tanya jika bapak nak lagi tapi bapak hanya geleng kepala.  Sebenarnya ada beberapa kali juga saya gantikan air kopi itu dengan air teh atau milo seperti pintanya dengan alasan mudah tidur pada waktu malam.  Selalu waktu malam bapak sukar tidur mungkin sebab terlalu banyak tidur disiang hari ataupun jika tidur awal malam, dini hari dah bangun, seawal jam 1 atau 2 pagi ketika orang lain sedang nyanyak tidur.  Masa ini lah dia suka bercakap seperti meracau, bersembang bagai ada lawan cakap di dekatnya.  "Aku mau meninggal dunia" kata yang bapak beberapa kali pada hari-hari terakhirnya ketika saya suapi makanan.  Saya tahan untuk tidak menitiskan air mata depan bapak sampai terus menyuap bubur, saya hanya mampu minta bapak istigfar, sebut nama Allah, meminta maaf dan minta bapak maafkan semua orang.
Petang hari terakhir, air kopi bapak masih bersisa dalam cawan, saya bagi makan kuih yang dibancuh dengan air kopi panas.  Saya pujuk untuk bapak habiskan kuih dan air kopi, saya dapat suap dan habiskan kuih tapi air kopi tetap tak habis.  Bapak menolak ketika saya pelawa lagi.  Keadaan bapak nampak sangat letih lepas saya bersihkan dia malam tu, setiap jam sebelum tidur saya jenguk bapak sebab nak bagi makan atau minum jika bapak terjaga, nak kejut tak sampai hati nak ganggu, bapak tidur lena sangat, berselimut dan tangan yang bapak letak sendiri ke dada tak terusik seperti selalu.  Tak mampu nak berjaga lagi akhirnya saya tertidur jam 1 pagi dihadapan pintu bilik, hajat nak bangun sebelum subuh atau ketika en.Abe bersiap untuk ke tempat kerja.  Tetapi saya lena sangat sampai tak sedar en.abe pergi kerja pada jam 4.40 pagi, hanya terjaga ketika azan subuh berkumandang.  
Ya Allah saya dah lambat, bapak mesti lapar, sebelum masuk ke bilik air saya sempat on suis periuk bubur dan jug kattle.  Bergegas ke bilik bapak nak kejutkan dia pagi itu, ternyata panggilan saya sudah tidak berjawap.  Bapak tak beri respon, dada sudah tidak berombak, cari nadi di pergelanggan tangan juga tiada, bahagian dada hingga lutut masih panas, kepala bapak sudah kaku, saya angkat tangan kiri yang selama ini bapak tak bagi kami sentuh begitu lembut, tiada erangan lagi.   Ya Allah, zat maha suci telah menjemput bapakku dalam tidur pada subuh jumaat 30.08.2019 dan saya sendirian dengan situasi sebegini. 
Terima kasih kepada semua yang tolong uruskan jenazah bapak hingga akhir.  Keluarga yang datang dari jauh dan dekat, kawan-kawan dan keluarga angkat dari Kedah.  Segala urusan sangat mudah, Allah hantarkan bantuan dari pelbagai arah walaupun kami jauh daripada kaum keluarga.   Al-Fatihah untuk bapakku (Lokman Bin Mansur 1945-2019).
Wassalam.

Saturday 7 September 2019

Subuh 30.08.2019

Assalam...
Subuh Jumaat 30.08.2019, Allah panggil kembali pinjaman terindahnya pada saya.  Bapak kembali menghadap penciptaNya setelah menanggung sakit strok selama 2 tahun lebih.  Terima kasih Allah kerana memberi saya peluang menjaga dia di saat-saat akhir hayatnya.  Ampunkanlah segala khilafnya dan beratkan timbangan amal baiknya dan himpunkan kami kelak dalam syurga firdausMu Ya Allah.
Wassalam.