Showing posts with label Sulawesi. Show all posts
Showing posts with label Sulawesi. Show all posts

Wednesday, 26 December 2018

Nasu Kari (Kari Kambing Bugis Style)

Assalamm.
Jika ada orang yang bertanya nak masak kari kena letak rempah kari atau tidak? Jangan lah cepat hentam orang tu kata soalan bodoh atau sebarang kata nista ye.  Sebab saya dah jumpa jawapan bagi soalan tu, inilah dia masak kari yang tidak menggunakan rempah kari.  Memanglah rasa kari tu tak macam kari mamak tetapi ini lah yang mereka gelarkan sebagai masak kari (nasu kari).   


Nasu Kari (Kari Kambing Bugis Style)
Sumber: Tanta Suma

Bahan-bahan
3 kg potongan daging kambing (bahagian tulang)
1/2 cawan air asam jawa
1 sudu serbuk kunyit
1 liter santan
Garam secukupnya
Serbuk perasa secukupnya
Gula merah (kabung) 
Bawang goreng secukupnya
Air secukupnya

Bumbu blend dan tumisan
10 biji bawang merah
1 labu bawang putih
10 batang serai
4 inc. halia
4 inc. lengkuas
20 biji cili merah - buang biji
1.5 sudu serbuk ketumbar 

Cara Penyediaannya
* Bersihkan daging, sebaiknya guna bahagian tulang-tulang. Perapkan seketika dengan air asam jawa, lada sulah dan serbuk kunyit. 
* Sediakan bahan bumbu, blend semua hingga halus dan tumis hingga naik bau.
* Masukkan perapan daging kambing ke dalam tumisan bumbu, gaul sebati.
* Tambahkan air dan reneh hingga daing empuk.
* Bila dah empuk, masukkan gula merah dan garam.
* Tambahkan dengan perasa dan santan.  Biarkan mendidih hingga sekata dan sesuaikan rasanya.
* Taburkan bawang goreng sebelum menghidangkan kari kambing. 

Nota - Menu ini juga sesuai jika ditukar dengan daging lembu, daging kerbau, daging kuda atau ayam.

Sejak akhir-akhir ini memang banyak menu kampung (masyarakat Bugis) yang akan dipost sementara masih menyimpan resepi dan sila abaikan jika tidak berkenaan.
Wassalam.

Saturday, 22 December 2018

Beppa Oto' (Kuih Otok)

Assalamm...
Kuih Otok salah satu kuih tradisi masyarkat Bugis.  Sudahlah lama jarang pula jumpa orang membuat kuih ini.  Sebabnya utama adalah adat tradisi orang-orang tua dahulu, mereka hanya buat kuih ini berdasarkan majlis tertentu, maksudnya tidak dibuat saja-saja.  Saya juga tidak tahu apa rasionalnya dengan alasan itu, kuih ini hanya dibuat ketika majlis kesyukuran akikah bayi atau ketika ada majlis tahlil arwah.  Selain daripada dua majlis ini mereka tak akan buat kuih ini, sebab itu kot nama dia oto' (bangkit/bangun - kelahiran dan kematian). 


Bahan untuk menghasilkan kuih ini hanya menggunakan bahan asas iaitu tepung, santan dan gula merah, dibalut daun pisang serta dikukus.  Bentuk macam lepat liat, tetapi kuih ini tidak liat dan kenyal,  sebaliknya lembut.


Beppa Otto
Sumber: Andi Sundari


Bahan-bahan
500gm tepung beras
500gm gula merah
6 gelas santan
Sedikit gula pasir
Sedikit garam
Daun pisang muda untuk membungkus


Cara Penyediaannya
* Campurkan gula bersama sebahagian santan.  Santan lebihan untuk dicampur dengan tepung.
* Masak gula merah, gula pasir, garam  bersama santan hingga gula cair.
* Masukkan bancuhan tepung dan santan kedalam air gula yang dimasak (kacau terlebih dahulu sebelum dituang agak tidak bergentel).
* Sentiasa kacau adunan atas api hingga tepung beku dan licin.
* Ambil sedikit adunan dan bentukkan memanjang sebesar jari telunjuk.
* Bungkus setiap adunan yang dibentuk tadi dengan daun pisang mudah.
* Ambil 3 atau 4 bungkusan kecil dan balut pula dengan daun pisang lain menjadi satu bungkusan yang lebar.  
* Sekiranya hendak dibungkus satu persatu, bentukkan adunan agak lebar dan sedikit besar.
* Kukus kuih hingga masak seperti mengukus kuih bandang atau nagasari.


Ini bentuk kuih oto' yang dibungkus satu persatu, lebih besar dan agak lebar.  Saya pernah makan kuih oto' yang kecil sebesar jari telunjuk, agaknya orang yang buat tu lebih rajin daripada orang yang buat besar begini.

Saya rasa tak salah kalau nak buat kuih ini untuk acara majlis makan-makan biasa, tak perlu lah nak mengikut adat sangat.
Wassalam.

Wednesday, 19 December 2018

Putu Pesse (Putu Palu)

Assalam...
Putu Pesse (pesse maksudnya tekan-tekan) ada juga yang mengenalnya sebagai putu palu, salah satu kuih tradisi suku Bugis.  Kuih paling senang untuk disediakan jika ada stock tepung beras pulut sangrai dan hanya menggunakan bahan asas gula serta kelapa parut.  Kuih ini ada sedikit bau macam hangit sikit tetapi sedap lemak-lemak manis.  Sukatan bahan agak-agak saja mengikut citarasa dan seeloknya guna kelapa muda.


Penyediaan tepung beras pulut putih agak mengambil masa untuk disediakan dan perlu disediakan lebih awal.  Bermula dengan peroses merendam beras pulut putih, menjemur dan sangrai hingga keperangan.  Selepas disangrai perlu dihaluskan (blend) terlebih dahulu sebelum digunakan atau dicampur dengan kelapa dengan gula.  Penggunaan gula boleh pilih gunakan gula merah atau gula pasir, jika orang lama lebih suka menggunakan gula kabung.


Putu Pesse (Kue Palu)
Sumber:  Kak Soda

Bahan-bahan
Tepung beras pulut sangrai
Gula merah
Kelapa parut
Secubit garam 

Cara Penyediaannya.
* Campurkan ke semua bahan hingga sekata.
* Acu menggunakan acuan kesukaan.  Tekan-tekan (pesse) kuih hingga padat dalam acuan dan keluarkan.
*  Sedia untuk di hidangkan.

Puas rasanya dapat makan kuih ini, sebab memang dah lama sangat tak jumpa orang buat.  Lepaslah geram ngap beberapa biji.
Wassalam.

Friday, 30 November 2018

Sambal Goreng Kambing (Goreng-Goreng)

Assalam...
Menu goreng-goreng merupakan menu lama yang juga hampir dilupakan oleh generasi Bugis masa kini.  Menu ini boleh dibuat dengan menggunakan daging lembu (sapi), kambing, kerbau atau kuda.  Manakala bahagian daging yang digunakan adalah daging yang kasar, liat atau yang banyak urat.  Goreng-goreng yang dalam gambar adalah daripada daging kambing dan dibuat secara ringkas tanpa menambah suhun dan ubi keledek goreng.  Walaupun ringkas tapi rasanya tetap urmp!


Goreng-goreng Kambing
Sumber: Tante Suma

Bahan-bahan
1 kg daging kambing - potong dadu dan rebus hingga empuk
200 gm kacang tanah - goreng
50 gm suhun - goreng
3 biji ubi keledek - hiris nipis dan memanjang serta goreng
Minyak untuk menumis 
Kicap manis secukupnya
1 sudu serbuk lada sulah
1 sudu serbuk ketumbar
Garam, gula dan perisa secukupnya
  
Bahan Blend
2 inci lengkuas
10 batang serai
1 labu bawang Putih
10 biji bawang merah
2 inci halia
5 biji cili besar (merah)




Cara Penyediaannya
* Tumis bahan blend hingga wangi, masukkan serbuk ketumbar dan lada sulah.
* Masukkan minyak ke dalam daging yang telah direbus hingga kering airnya dan empuk.
* Tambahkan bahan bumbu tumis, garam, gula, kicap dan kacau rata.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Campurkan dengan kacang tanah goreng, suhun, keledek goreng dan gaul rata.

Nasi dah terhidang, jom kita makan tapi kena duduk bersila dan makan guna tangan ya.  Bismillahhirahmani rahim..
Wassalm.

Thursday, 29 November 2018

Acar Mentah Bugis Style

Assalam...
Acar mentah begini selalu ada sebagai menu sayuran yang wajib ada dalam hidangan pada hari utama sesuatu majlis seperti perkhawinan dan kesyukuran masyarakat Bugis.  Berlainan dengan menu sayur pada waktu rewang atau gotong royong hari sebelum majlis.  Melihat pada hidangan tu, baru saya tahu yang menu ini juga mengalami transformasi dari segi cara potongan sayuran dan bahan-bahan yang digunakan. 

Masih ingat versi acar orang Bugis yang dulo-dulo banyak menggunakan taugeh kontot (patuo bue) yang mereka buat sendiri dan kuahnya ada campuran kuning telur.  Susah nak jumpa acar yang guna taugeh kontot tu sekarang mungkin sebab kerja yang renyah.  Kena guna tenaga kerja yang ramai nak bersihkan taugeh kontot (patuo bue).  Dulo-dulo, ini semua kerja anak-anak gadis pada waktu malam sebelum majlis, atau saudara terdekat yang lama tak jumpa berkumpul sambil tu berkenalan dan bergurau senda. 


Hidangan kenduri orang bugis yang masih mengikut cara orang lama atau cara orang kampung.  Masih menggunakan dulang atau talam, jumlah orang untuk satu hidangan begini seramai 4 atau 5 orang.  Lauk pauk kenduri mereka yang biasa ayam masak lengkuas (nasu likku), ayam masak putih (nasu puteh), kari kambing, goreng-goreng, ikan bolu panggang dan acar (acara').


Acar Mentah Bugis Style
Sumber: Andi Sehang


Bahan-bahan
5 batang timun
1 batang lobak merah
3 biji bawang merah
1 biji cili merah

Cuka
Gula pasir
Garam
Sedikit serbuk lada putih (merica)

Cara Penyediaannya
* Bersihkan sayur-sayuran.
* Timun buang biji dan potong dadu atau mengikut kesukaan anda.  Jika timun muda boleh potong tanpa buang kulit dan bijinya.
* Lobak merah hiris memanjang, hiris bawang, dan cili besar.
* Sediakan kuah dalam mangkuk berasingan, campurkan cuka, serbuk lada putih, cili merah potong, gula, garam dan sedikit air.  Tiada sukatan metrik semua main agak-agak hingga dapat rasa yang seimbang antara manis, masam, pedas dan masin.
* Campurkan semua jenis sayuran dalam satu bekas dan tuangkan kuah.  Gaul hingga sebati, sebaiknya campurkan kuah dan sayuran ketika hendak dihidangkan.


Jika bukan hari kenduri pun boleh buat acar ini sebab simple dan senang disediakan.
Wassalam.

Saturday, 3 November 2018

Ayam Masak Putih, Menu Autentik Bugis Asli

Assalam...
Ayam masak putih boleh dikatakan menu autentik orang Bugis, tetapi hanya dipelopori oleh suku Bugis asli.  Jika ke tanah Bugis (Sulawesi Selatan) baru tahu ada suku Bugis asli atau tidak, sebenarnya ada banyak suku dan dielek mereka juga berlainan.  Ramai yang kata suku Mengkasar, Mandar atau Toraja itu adalah Bugis, tetapi yang sebenarnya mereka tidak dipanggil orang Bugis jika di Sulawesi.  Hanya mereka yang berasal dari daerah seperti Bone, Wajo, Soppeng, Sengkang dan Sirdap yang digelar sebagai Bugis asli. 


Seingat saya, arwah mak dulu pernah masak ayam ini tetapi tak diletakkan suhoon.  So siapa nak try, suhoon tu sebagai option nak letak boleh tak nak letak pun boleh.  Masak putih yang sedap, rasanya tidak didominasi oleh rasa lemak daripada santan tetapi jelas rasa jus limau dan lada putihnya.


Ayam Masak Putih (Nasu Puteh)
Sumber: Tante Sima

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong kecil
2 biji limau nipis (ambil jus)
2 biji telur
10 biji bawang kecil*
5 biji bawang putih*
1 inc. halia*
2 sudu kecil serbuk lada putih
Suhun (rendam hingga lembut)
Air secukupnya
500ml santan pekat
Secukupnya garam, gula dan serbuk perasa

Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda "*".
* Campurkan ayam dengan bahan blend, telur, jus limau dan sedikit air.
* Masak hingga empuk dan masukkan santan pekat.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Campurkan su hoon dan gaul rata.
* Hidangkan.

Jika guna ayam kampung atau ayam tua, perlu tambahkan kuantiti air.  Perlukan sedikit masa untuk empukkan ayam terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan santan pekat.
Wassalam.

Wednesday, 24 October 2018

Hari Itu Telah Tiba....

Assalam...
Suatu hari nanti, namaku juga pasti terukir di situ... bukan pada bintang... hanya pada batu nisan.
Al Fatihah, untuk bondaku.

Sesungguhnya dikau pinjaman Allah yang terindah dan palingku sayang selepas Pencinta dan RasulNya, semoga kehidupan dunia jadi asbab menyatukan kita kelak...Amin Ya Rabb.
Wasalam.

Tuesday, 3 October 2017

Roti Pisang


Assalam...
Roti pisang adalah kuih tradisi masyarakat bugis di Sulawesi Selatan.  Melihat pada bentuk seakan apam dan penyediaannya adunan tak perlu nak menguli seperti membuat roti.  Nama roti itu mungkin daripada penggunakan yis dan cara adunan yang diperam beberapa jam hingga naik sekali ganda sebelum ianya di masak.  Kaedah tradisinya di masak menggunakan kuali kecil yang bertutup (kuali diperbuat daripada tanah liat) dan dimasak sebiji demi sebiji.  Sangat sinonim disediakan ketika acara gotong-royong di sawah sama ada menyemai benih atau memindahkan anak benih padi.  


Bagi sebuah keluarga kecil, roti pisang selalu disediakan sebagai sarapan pagi untuk ahli keluarga dengan penggunaan bahan yang sangat asas.  Penyediaan adunan roti diolah disebelah malam dan dimasak awal pagi pada keesokan hari.   Cuma perlu diingat pisang yang hendak digunakan perlu cukup masak agar rasa manis dan aroma pisang lebih menyerlah.  Pada saya paling sedap dinikmati ketika roti masih hangat.


Resepinya lebih kurang begini, jom cuba buat.


Roti Pisang
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
6 biji pisang masak (pisang nipah/raja)
250gm tepung gandum
1 sudu yis* campur dengan 1/2 gelas air suam
Air secukupnya
3 sudu makan gula
1 biji telur
Secubit garam
Minyak / majerin untuk mengoles acuan
 



Cara Penyediaannya.
*  Campurkan yis, sedikit gula dengan air suam, kacau hingga sebati.
*  Hancurkan pisang masak hingga halus.
*  Dalam mangkuk lain campur tepung gandum, gula, telur, pisang lenyek dan garam.  Gaul hingga sebati.
*  Masukkan air campuran yis tadi.  Gaul sebati.
*  Tambahkan sedikit air hingga mendapat adunan yang dikehendaki (tidak terlalu cair dan tidak terlalu kental).
*  Tutup adunan dengan kain lembab dan biarkan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam atau semalam.
*  Panaskan dan lenser acuan (guna kuali kecil yang dalam) dengan majerin atau minyak masak.
*  Masukkan adunan roti setengah mengikut acuan dan tutup.
*  Bila permukaan adunan mula mengering, terbalikkan roti, tutup acuan dan masak seketika lagi.  Biar kedua-dua permukaan sama rata dari segi warnanya.
*  Keluarkan dari acauan dan hidangan ketika masih panas.
 


Lepas makan 2 biji roti pisang boleh kenyang sampai tengah hari.  Sekarang ramai jer yang modified resepi tu dengan menambah coklat, cheese atau peanut butter pada roti pisang ini.
Wassalam.

Wednesday, 1 March 2017

Permandian Alam Citta, Soppeng


Assalam..
Tempat permandian alam ini tidak lah besar seperti sungai atau air terjun dalam hutan atau rimba rekreasi.  Uniknya lokasi Permandian Alam Citta terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan yang bernama Desa Citta, Kecamatan Citta, Kabupaten Soppeng.



Sumber mata air Citta terdapat di bawah rimbunan pokok-pokok ini.  Pokok asal yang sangat besar tempat terbitnya mata air telah pun mati dan berganti dengan anak-anak pokok daripada pokok yang asal.  Istimewanya sumber mata air ini tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. 


Puas meneropong ke dalam lubang aliran air untuk melihat lokasi tepat mata air tersebut.  Namun hampa sebab terletak jauh ke dalam di sebalik akar kayu.


Sumber air yang sangat jernih dan sejuk.  Kami perhatikan orang yang berada dihulu mandi dengan menggunakan shampo dan sabun, bekas atau buih sabun / shampo tersebut  sangat cepat meneutral semula.   


Kolam pertama yang paling hampir dengan sumber mata air.


Beberapa buah pam air yang diletakkan oleh penduduk kampung untuk menyalurkan bekalan air bersih ke rumah mereka.  Terdapat juga perusahaan yang membekalkan air mineral sumber daripada air Citta untuk pasaran tempatan.


Pondok rehat yang disediakan kepada pengunjung, semasa kunjungan kami hari itu, tiada group pengujung lain (kemungkinan bukan hari cuti) melainkan beberapa orang kampung yang datang untuk mandi dan membasuh pakaian.  Di sebelah bawah belakang pondok disediakan beberapa buah kolam yang lebih besar untuk menampung jumlah pengunjung pada waktu puncak.


Rumah-rumah tradisional penduduk yang terdapat di Desa Citta. 


Salah satu sumber tanaman yang diusahakan oleh penduduk di desa ini adalah penanaman tembakau.  Jika kena pada waktu panen tembakau, pengunjung dapat melihat aktiviti pengolahan tembakau secara tradisional oleh penduduk tempatan.


Di desa ini juga terdapat kawasan perkuburan lama yang menempatkan Makam Ikajao Datu Citta (Raja) dan keturunannya.


Pengurusan dan pengelolaan kawasan dikendalikan sendiri oleh penduduk tempatan dan terdapat sedikit bayaran yang dikenakan kepada pengunjung masuk ke kawasan Permandian Alam Citta.  Bayaran tersebut tidak dikira mengikut per kepala sebaliknya mengikut group atau jumlah kenderaan pengunjung. 
Wassalam.

Tuesday, 21 February 2017

Villa Yuliana, Soppeng


Assalam,
Terletak dia atas bukit di tengah Kota Soppeng di dirikan sebuah Villa oleh pemerintah Hindia Belanda ketika itu sebagai simbol kecintaan mereka kepada ratu mereka iaitu Ratu Wilhelmina.  Dikatakan jugak villa ini didirikan pada tahun 1905 untuk menyambut kedatangan Ratu Belanda (bernama Yuliana, anak kepada Ratu Elmina) ke Sulawesi Selatan tetapi peristiwa itu tak pernah terjadi.
 

Reka bentuk bangunan berpadukan ciri reka bentuk eropah dan tempatan.  Dipercayai juga villa ini merupakan bangunan kembar seperti istana ratu yang terdapat di Belanda, cuma dalam skala yang kecil.  Ketika zaman pemerintahan Belanda, villa ini dijadikan sebagai tempat persinggahan pegawai tertinggi Belanda. 



Villa ini masih mengekalakan struktur asal binaannya sejak seabad yang lalu, kecuali bahagian bumbung yang telah berganti.  Begitu juga dengan warna bangunan yang masih dikekalkan kepada warna asalnya warna putih dan hijau.


Walaupun pernah terbiar dan tak berfunsi selama 35 tahun (selepas kekalahan Hindia Belanda di Indonesia), struktur asal villa ini masih kukuh.  Hanya dilakukan kerja-kerja penambahbaikan terhadap bumbung dan mengecat semula.


Villa ini dibina bersetentang dengan kediaman Arung Soppeng (Raja) di tempat yang lebih rendah berbanding kedudukan Villa Yuliana. Sebagai simboliknya bahawa mereka sentiasa ingin bertindak sebagai penguasa yang sentiasa ingin berada di kedudukan yang tinggi.



Kolam kecil di hadapan villa, khasnya di kawasan taman sebagai salah satu ciri rumah bangsawan dahulu kala.


Villa ini telah ditukarkan menjadi muzium pada tahun 2008.  Disebabkan kami datang ketika itu terlalu awal pagi untuk melihat kelawar yang bergantungan di pokok, tak dapatlah nak masuk ke dalam itu. 




Pemandangan dari arah hadapan Villa Yuliana, jika cuaca baik, akan nampak kawasan pergunungan dan perkampungan di sekitarnya.



Sinar mentari pagi, ketika itu musim kemarau dan cuaca yang sangat panas.


Jika ada rezeki berkunjung lagi, boleh lah masuk usha bahan sejarah apa yang tersimpan dalam muzium itu.
Wassalam.