nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Sandakan. Show all posts
Showing posts with label Sandakan. Show all posts

Wednesday, 31 January 2018

Agnes Keith House, Sandakan


Assalam...
Nak habiskan cerita balik kampung tu hari, dah berkurun tak habis.  Macam tak balik dah gamaknya, in sha Allah sentiasa akan balik tapi nak buat cerita lain pulak lah kan.  Kemana lagi nak bawa anak cucu berjalan ke sini lah, lagi pun dekat jer dari bandar Sandakan tu, termasuk salah satu point dalam kawasan Sandakan Historical Trail.  Kalau rajin boleh ikut kembara macam yang disarankan dalam peta Jejak Warisan tu.



Rumah siapa yang kita lawat nie nek, takde pun dalam buku sejarah.  Dalam sejarah yang korang belajar memang tak ada, tapi kenalah datang untuk ambil tahu siapa dia Agnes Keith nie.  Best juga kalau ada rumah kayu macam rumah si Agnes nie kan nek, berangan pula dah cucu aku nie.


Ini lah dia si Agnes tu, pernah kan dengar nama gelaran Sabah "Land Below The Wind" dia lah yang tulis buku tu.  Melalui hasil penulisan beliau inilah secara tak langsung Sabah menjadi popular pada orang luar.


Antara buku-buku karangan Agnes Newton Keith yang dipamerkan.  Buku-buku karangan beliau berkisar tentang kehidupan keluarga mereka di negeri Sabah ketika sebelum, semasa dan selepas perang dunia kedua.  Banyak menceritakan adat dan budaya masyarakat tempatan, pribumi Sabah ketika itu dan keindahan alam semulajadi negeri Sabah.


Susunatur ruang di tingkat bawah, ada ruang untuk dining hall dan living hall.  Tempat mereka beraktiviti sekeluarga ataupun ketika menerima tetamu.  


Model peti sejuk Kerosene Electrolux yang dibawa masuk oleh Mr dan Mrs. Martin Johnson pada tahun 1935.  Mereka adalah pasangan pengembara dan photografer yang membuat kajian tentang hidupan liar dan adat budaya pribumi Sabah.  Peti ais yang tidak menggunakan elektrik untuk berfungsi sebagai alat bantuan keselesaan dalam cuaca tropika yang panas.


Sebuah bilik di tingkat atas dikhaskan untuk pameran barangan-barangan hiasan dan peralatan penting masyarakat tempatan ketika itu.  Mesin taip lama yang diletakkan di situ seakan simbolik bahwa tempat itu digunakan sebagai bilik bacaan atau pun bilik kerja penghuninya.


Relik kaki gajah liar yang ditembak oleh Harry Keith di batu 15, Kampung Gum-gum Sandakan pada tahun 1932.  Mengikut catatan sekarang kaki gajah itu berada dalam simpanan anak perempuan Agnes, Jean di Seattle Amerika Syarikat.


Ruang kamar yang luas berada di tingkat atas, dilengkapi dengan beranda.


Fungsi dan susunatur dalam kamar tidur sebagaimana yang digambarkan oleh Agnes.


Sebuah bilik audio visual disediakan untuk pelawat, tapi sayang ketika kami berkunjung tiada tanyangan.  Agaknya kena tempah atau perlu cukup corum untuk tanyangan kepada pelawat yang datang.


Selepas pasangan Agnes Keith meninggalkan Sabah pada tahun 1952, rumah ini masih dijadikan sebagai tempat pegawai konservasi hutan seterusnya sehingga tahun 1968.  Rumah ini telah mengalami kerosakan dan bersemak samun setelah dikosongkan.


Kerja-kerja membaik pulih dimulakan pada 6 April 2001 dan ia dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Manakala, Muzium Sabah adalah sebagai koordinator projek.  Ini merupakan anugerah negeri Sabah kepada Agnes Keith yang dianggap sebagai duta kepada Sabah melalui bukunya, Land Below The Wind itu.
Wassalam.

Thursday, 26 October 2017

Lao Mandre: English Tea House And Restaurant, Sandakan Borneo


Assalam..
Semakin suka pula bercerita pasal kampung halaman nie, rindu kampung lah kot maksudnya tu.  Tak dapat balik pun takpe, kita cerita lah mengimbas kenangan biar sentiasa segar dalam ingatan.  Kalau anda berkunjung ke Sandakan, nak fefeeling macam orang putih menikmati afternoon tea dengan pemandangan yang best boleh berkunjung ke English Tea House And Restaurant, sebelah dengan Agnes Keith House saja.



Nak menikmati hidangan boleh pilih untuk duduk di dalam restoran atau di luar.  Siang hari jika cuaca mengizinkan, sangat best duduk tempat open begini.


Atau boleh saja memilih duduk bawa gazebo / pondok yang disediakan.


Menu yang disajikan daripada sajian ringan ke sajian berat.  Petang tu kami, bukan nak makan sangat pun sebenarnya jadi kami order set untuk afternoon tea saja petang tu.  Set afternoon tea untuk 2 orang tapi kami 4 orang tercungap-cungap nak habiskan makanannya.


Begini lah set yang kami dapat tu.  Cuma kalau 4 orang kena tambah air, sebab tea dalam set tu hanya untuk 2 orang.


Big scone bersama clotted cream dan jam, 2 biji scone tu jenuh nak perabih kami berempat.  
Apa nie nek? bagi makan goreng pisang 2 pinggan lagi cepat habis, ini macam lain-lain juga....itu komen antara mereka.  
Untunglah nenek bawa korang dapat jugak merasa, biar kami kenal apa itu scone apa itu clotted cream.
Maaflah orang kampung.


Antara yang pernah melawati tempat ini.


Ruang dalam restoran.


Jika berkunjung ke Sandakan, jangan lupa singgah ya.  Siapa lagi nak promote kalau bukan orang kampung sendiri kan?.
Wassalam.

Wednesday, 11 October 2017

Take a Break: Hiking Bukit Sim-Sim, Sandakan


Assalam...
Ini cerita hiking terlajak kesiangan, situasinya begini, orang pergi hiking awal pagi atau lewat petang.  Jika dibuat pada waktu tengah hari, memang sengaja cari pasal kan.  Mula langkah pertama pada jam 11.00 pagi (waktu tu kalau di Sandakan matahari tengah membahang, dan hampir tegak atas kepala) tau sendirilah panasnya macamana.  Ditambah pulak, tempat laluan yang hampir gondol, banyak pokok musnah selepas kebakaran tak dapat nak berteduh melepaskan lelah.  Pengunjung yang kami jumpa semua dalam perjalanan turun, semasa sampai di atas memang hanya kami berempat sahaja.  Elok sampai ke puncak bukit, azan zohor jam 12.00 lebih sikit kedengaran dari masjid jamek.  


Bukit Sim-Sim ini sebenarnya dikenali sebagai Elopura Recreation Park, tetapi mungkin sebab bukitnya yang betul-betul menghadap laut ke kawasan Sim-sim, senang orang bagi nama Bukit Sim-Sim.  Cuma nak naik ke sini bukan dari Sim-Sim ya, tetapi melalui perumahan di Astana Height.  Tak tahu pula kalau ada aktiviti extrim yang panjat bukit ini dari arah Sim-Sim tegak curam hampir 90 darjah kot.


Jumpa banyak bunga orkid liar di laluan mendaki ke puncak Bukit Sim-Sim.


Kebakaran belukar pada musim kemarau lepas, turut memusnahkan sebahagian belukar dan pokok di kawasan ini.  Kesannya masih ada dan boleh dilihat pada dahan dan pokok mati, sementara pokok-pokok yang terbakar sebahagian, sudah mula mengeluarkan pucuk dan ranting baru.


Pamandangan ke arah bandar Sandakan daripada pondok di tengah perjalanan.  Mengikut arah jam, pangkalan Polis Marin, Four Point Hotel Sandakan, Kawasan Muhibbah (BDC), Masjid Sandakan dan perkampungan Sim-Sim.


Untuk sampai ke puncak kena melalui tangga yang bertingkek-tingkek nie.  Fobia tangga gunung kinabalu masih tak hilang walau dekat setahun sudah berlalu.  Kebakaran juga turut memusnahkan beberapa anak tangga yang digunakan sebagai laluan ke puncak bukit.


Zoom sini sikit, Pasar Sim-Sim tempat terletaknya gerai ikan bakar yang famous amos tu, orang kata lah.  Siap pernah datang makan ikan bakar di sini tahu lah sedap ke tidak, pastikan jangan datang pada hari cuci pasar (spring cleaning sekali sebulan), pasar tutup.  



Sebahagian perkampungan atas air, Kampung Sim-Sim (antara penempatan atas air yang terawal di negeri Sabah) yang masih kekal hingga ke hari ini.  Menurut sumber yang boleh dipercayai penduduk asal yang menduduki kawasan penempatan ini adalah daripada suku kaum Brunei.  Kini dah jadi satu Malaysia, semua suku kaum ada di sini.


Pulau dihadapan sebelah kiri (Pulau Berhala) dan kanan tempat perkelahan kami zaman sekolah dulu.  Sandakan tiada pantai berpasir yang sesuai untuk berkelah, kena pergi ke pulau-pulau berdekatan.  Nak pergi ke pulau kena sewa bot nelayan, naik dari pasar besar atau dari jeti berdekatan dengan pengkalan TLDM Sandakan (KD Sri Sandakan).


Puas hati boleh sampai ke sini, tak perlu pergi jauh sebenarnya untuk mencari view cantik begini, kampung sendiri pun ada.  Syabas juga lah sebab kami berempat saja perempuan, dua orang itu pula under age, perlu extra careful bawa diorang ni.  Peringatan paling penting kena gerak awal, lagi-lagi awak pergi dengan perempuan semua, kalau ada apa-apa kan susah nanti.  Jangan buat berani sangat.  
Wassalam.

Tuesday, 10 October 2017

Kampung Bambangan, Sandakan


Assalam...
Usaha penduduk Kampung Bambangan, Sandakan menjadikan kawasan perkampungan mereka sebagai pusat rekreasi patut dicontohi oleh kampung-kampung lain.  Kampung ini hanya merupakan perkampungan kecil nelayan yang dihuni kurang daripada 100 buah keluarga dan boleh diakses melalui jalan darat dan pun jalan laut dari pada bandar Sandakan. 



Kedudukan, kampung Bambangan dalam daerah Sandakan (Bandar).  Walaupun masih terdapat sebahagian jalan masuk yang masih belum bertar, itu bukan halangan pelawat untuk datang berkunjung ke sini dan bilangannya semakin bertambah.


Istimewa tempat ini kerana kedudukannya ditepi laut yang berdekatan dengan kawasan sangkar ternakan ikan.  Pembinaan jeti yang menganjur ke laut dan dilengkapi dengan bangunan yang dijadikan tempat pengunjung beraktiviti di hujung minggu bersama keluarga. 


Pelawat dikenakan sedikit bayaran untuk memasuki kawasan rekreasi.  Semasa kami datang, kaunter bayaran dah tutup,  tetapi pintu masuk pada jeti laluan ke pusat rekreasi di tengah laut masih terbuka. 


Bangunan yang menempatkan gerai dan kaunter bayaran untuk masuk ke pusat rekreasi Kampung Bambangan.


Pemandangan ke rumah penduduk daripada bangunan pusat rekreasi.  Setakat ini pusat rekreasi ini hanya membenarkan aktiviti pada waktu siang seperti mandi laut, memancing, berkayak dan bbq.  Bekalan makanan dan peralatan bbq boleh dibawa dari rumah atau dapatkannya di sini dengan kadar bayaran tertentu.


Di bangunan pusat rekreasi telah disediakan beberapa tempat yang sesuai untuk menampung beberapa group dalam satu-satu masa.  Mereka mengamalkan sistem siapa cepat dia dapat, boleh pilih kawasan yang mereka suka.  Untuk aktiviti mandi laut, terdapat platform disediakan yang bersesuaian dengan peringkat umur.


Terdapat perkhidmatan berperahu melawat tempat ternakan ikan dalam sangkar.  Menurut penduduk yang kami temui, pelawat boleh membeli ikan dari sangkar untuk bbq atau sebagai bekalan untuk dibawa balik.


Oleh kerana Kampung Bambangan ini masih baru diperkenalkan dan membuka pintu untuk kedatangan orang luar.  Beberapa kemudahan asas perlu penambahbaikkan untuk keselesaan penduduk dan pelawat.
Wassalam.

Friday, 6 October 2017

Wedding Bia & Man


Assalam...
Sudah lama tidak menghadirkan diri di majlis perkhawinan keluarga yang kena berada beberapa hari di rumah pengantin.  Selalunya kalau dikampung kami memang akan datang ke rumah pengantin beberapa hari sebelum hari majlis berlangsung dan bersambung lagi sehari dua selepas itu.  Semasa bulan syawal lepas, syukur kerana dapat hadirkan diri di majlis perkhawinan Bia (anak sepupu) dengan pasangan.  Sebab dah lama sangat tak join, jadi semacam orang luar pula ditengah keramaian sanak saudara yang hadir.  


Bantal tempat duduk pengantin lelaki ketika acara akad nikah, dilapisi dengan tujuh (7) helai kain pelikat / sarung.  Kain pelikat tujuh helai yang diperlukan adalah koleksi yang dimiliki oleh ibu bapak pengantin perempuan atau nenek pengantin.  Selalu yang digunakan adalah koleksi terbaik dan termahal milik keluarga.  Setiap keluarga selalunya ada menyimpan beberapa helai kain pelikat / sarung yang dipanggil "lipa sabbe" dan hanya digunakan dalam majlis tertentu.  Kain sarung ini pula adalah daripada tenunan sutera atau campuran benang emas.


Sebelum acara akad nikah, akan diadakan mandi mayang untuk pengantin perempuan  (air mandian bercampur dengan bunga, mayang kelapa muda, emas dan duit syiling).  Waktu mandi adalah dinihari ketika sebelum subuh.  Makcik-makcik yang memandikan pengantin sering kali bergurau dengan memukul atau merenjis anak gadis yang masih belum bangun ketika itu dengan mayang bekas mandian pengantin tadi.  Pukul manja-manja lah, yang ini tahu sebab pernah ada pengalaman dulu. 


Jom sembang pasal food pula, ini sebahagian kuih-muih yang disajikan kepada tetamu.  Menu kuih ini bukan hanya sajian untuk sehari, tatapi ada antaranya disajikan ketika hari sebelum majlis berlangsung (hari rewang).  Sajian kuih-muih dan lauk-pauk adalah berbeza mengikut hari kenduri, dan kesemuanya disediakan secara gotong royong bersama ahli keluarga dan jiran tetangga.  Hanya ini yang sempat diportetkan sementara gambar lauk hanya dapat satu sahaja (lauk sehari sebelum majlis).


Ketika majlis berlangsung, saya langsung tak keluar ke tempat buffet sebab ada tugasan utama kena masak nasi.  Geng yang masak lauk-pauk di tempat lain.  Aktiviti memasak, dikendalikan hanya dan oleh kaum hawa dan diketua dengan seorang tukang masak (berbayar).  Acara masak-masak tidak melibatkan kaum adam, sangat berbeza dengan budaya masyarkat melayu di tempat lain.  Kaum adam hanya dilibatkan untuk aktiviti yang perlukan tenaga mereka.


Busana persandingan pengantin dimulakan dengan persalinan pakaian adat Bugis yang dipanggil "baju bodo".  Persalinan selanjutnya (jika ada) akan dipakai selepas itu (selalunya memang banyak persalinan untuk pengantin di kampung, 5 hingga 7 pasang) untuk bersanding.  Bersanding dari pagi hingga tengah malam.  Bukan orang rewang je yang letih, pengantin pun sama letih deh.


Hahaha dapat name tag, kena pakai lah name tag "Makcik" tu sepanjang majlis.  Tapi kita mengelat, dapat-dapat terus sorokkan, kata hilang.  Entah ada atau tidak rezeki pakai name tag 'Nenek" tu akan datang.


Dan sebab dianggap sebagai orang penting yang patut hadir pada majlis kenduri.  Selepas majlis selesai jangan chow dulu,  tugasan anda masih bersambung tidak terhenti di situ, longgokan pinggan mangkuk, periuk belanga harus diselesaikan.  Yang kotor perlu dibasuh, pulangkan kepada tuannya jika meminjam, jika ada yang pecah perlu lah diganti yang serupa warna, bentuk dan jenama.  Waktu begini selalunya hanya tinggal ahli keluarga dan jiran terdekat.


Sesekali dapat berkumpul dengan saudara mara seperti ini memang best.  Masa untuk mencungkil kisah-kisah lama terrutama yang mengelikan hati, sambil itu dapatlah ahli keluarga berkenal-kenalan terutama generasi muda yang lebih mengenali kawan daripada sanak saudara sendiri.  Untuk pengantin baru selamat menempuh alam rumahtangga.  Khabar terbaru dengarnya Bia & Man bakal menjadi ibu dan ayah tak lama lagi.  Alhamdulillah.
Wassalam.