Sunday 31 March 2019

Black Pancake, Ahmad Lim

Assalam...
Sudah lama nak rasa yang di katakan black pancake, macamana lah rasanya.  Masa tu baru satu outlet, jauh lah pula nak cari.  Ini kebetulan balik dari cuci mata di jakel shah Alam dan ada orang offer nak ke mana selepas tu.  Jom try black pancake sebab kita dah dalam seksyen yang sama.  Kalau nak datang semata-mata untuk ini, memang tak lah.


Lengang je kedai masa kami sampai, hanya ada sepasang merpati di situ, tapi lepas tu ada jer yang keluar masuk buat order.  Teruslah buat order, minta advice dari adik yang jaga kaunter. Pilih topping, nak nutella (konon sebab dalam banyak-banyak coklat hanya nutella yang kami suka, padahal itu yang paling murah).  Lepas tu pilih jenis pancakenya (tentulah nak yang black sempena namanya kan, kalau vanila warna biasa macam terang bulan pasar malam).  Akhir sekali pinta yang crust tebal, suka yang tebal macam terang bulan juga (greedy pun ya juga).  Kami tak minta additional tambah cheese atau cream (kena tambah kertas ya).


Ingatkan coklat ini untuk dijual, rupanya untuk display saja.  Nak tunjuk inilah jenis-jenis coklat yang diguna untuk topping pancake pilihan kita nanti.


Waktu operasi kedai, jangan datang awal pagi ya memang tak dapat lah nak makan pancake nie kalau datang awal.


Yea ini black pancake pesanan kami baru keluar dari pan, panas-panas lagi.  Mereka letakkan topping depan-depan kita, jadi boleh tahu mereka letakkan apa (letak topping yang kita pilih lah).


Lapisan pertama mereka butterkan pancake tu sampai berkilat.


Seterusnya lapiskan dengan topping yang kami pilih iaitu nutella.  Bukan sikit-sikit budak tu letak nutella, banyak tak kedekutlah orang kata.


Black pancake dah siap wrapped, jom balik, makan kat rumah saja.


Selain pancake, menu noodle cincai Ahmad Lim pun jadi pilihan pengunjung terutama penggemar pedas, tahap pedas arwah ada berani?.  Hari tu kami pilih bihun kaki ayam dengan tahap kepedasan hanya 215 (pedas) bukan pengecut ye.


Sampai rumah tak sabar nak makan sup dan pancake, makan sup bersulam pancake.  Walaupun pilihan sup kami tahap pedas saja bukan arwah, tapi bagi kami dah cukup pedas, rasa semua liang roma giat merembeskan air, air hidung jangan cakaplah.  Terfikir juga jika tadi pilih tahap pedas arwah, betul-betul arwah apa? harap tak cirit esok pagi. 

Nak kurangkan pedas gigit pula pancake yang manis dan lemak berkrim.  Sedap sangat pancake tu, tak boleh makan banyak-banyak, takat 2 potong sudah.  Keesokkannya tapau bawa ke tempat kerja share dengan kawan-kawan.  Tulah bezanya dengan terang bulan (apam balik) pasar malam yang kita beli dengan harga tiga ringgit setengah, terang bulan pasar malam ko boleh ngap setengah keping sekali, ini kena makan sikit-sikit.  Itu cara kami menikmati pancake ini, orang lain lain pula, mereka yang suka makan sedap-sedap mesti boleh layan.
Wassalam.

Friday 29 March 2019

Nasi Ulam Utara

Assalam...
Sesuatu yang manis, apabila berjaya menyediakan makanan yang orang pinta dan selepas tu dapat pula pujian daripada mereka.  Sebenarnya bukan lah pujian tu yang ditunggu-tunggu tetapi cara mereka makan bertambah-tambah itu lebih bermakna.  Permintaan yang dah lama, dah lapok tetapi orang yang minta tu sentiasa menuntut janji, bila dah tak tahan pergi juga ke pasar malam mencari ulam.  Dua kali ke pasar baru lengkap pencarian pelbagai ulam-ulaman walaupun tak sampai bilangan 4o jenis.



Daun ulaman harus di hiris sehabis halus, dalam gambar tu tak seberapa halus seperti hasil racikan orang pro yang buat.  Tidak mengapa untuk 1st trial dan sudah mencuba kan.


Ikan kering dan bahan bumbu lainnya yang telah ditumbuk halus.


Part terakhir, mengaul nasi putih panas-panas dengan ulaman dan bahan tumbuk.  Untuk menyediakan nasi ulam tidak lah sesukar mana, part yang paling mencabar adalah untuk mencari pelbagai ulam dan proses meracik halus pucuk-pucuk tersebut.  Untuk menyediakan nasi ulam yang ini 2 kali mencari ulam.  Pertama kali di pasar malam, beli awal 2 hari tetapi semua ulam rosak dan seterusnya cari waktu ulam di pasar sebelah pagi sebelum menyediakan nasi ulam pada waktu tengahari.


Nasi Ulam Kedah
Sumber: Fiza's Cooking

Bahan-bahan
3 cawan nasi panas
1 keping ikan tenggiri masin (digoreng dan leraikan), saya guna isi ikan talang masin
4 sudu kerisik
Ulaman-ulaman (di hiris halus) - saya guna 14 jenis ulam hari tu- ulam raja, daun gajus, daun selom, daun bebuas, daun belinjau, pucuk putat, pucuk pegaga,daun mengkudu, daun limau purut, daun cekur, daun selasih, daun kemangi, daun kesom dan ginseng vietnam
1 kuntum bunga kantan.


Bahan Untuk ditumbuk Halus
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai
1 sudu lada hitam
5 ulas bawang merah

Cara Penyediaannya
* Gaul nasi dengan ulaman  yang telah dihiris halus, bahan tumbuk, kerisik, isi ikan masin.
* Tidak perlu menambahkan garam kerana isi ikan masin kering telah masin.
*Hidangkan nasi ulam bersama asam rebus keladi.


Cerita pasal nasi ulam sayur keladi, teringat pulak lagu dalm filem melayu lama, filem bawang putih bawang merah yang menyebut "nasi melukut sayur keladi, untuk bondaku di pagi hari".   Sesuai konsep orang makan nasi ulam dan sayur keladi sebagai sarapan di utara, walaupun sekarang orang masak nasi dengan beras bermutu bukan lagi guna beras melukut (hancur).
Wassalam.

Thursday 28 March 2019

Sayur Keladi Utara (Asam Rebus Keladi)

Assalam...
Apabila terjumpa sayur asam rebus keladi, memang susah nak tolak, antara sayur yang digemari tetapi tak pernah masak sendiri.  Semua beli atau makan di rumah orang.  Keluarga kami dikampung dulu selalu jual ubi keladi dan batang keladi, walaupun kami tidak pernah sediakan dan makan sayur ini.  Ngeri bila ada orang kata, nanti gatal jika tersilap langkah semasa menyiang / membuang kulit batang keladi tersebut.  Cukuplah kejadian gatal badan seluruh badan kena biang keladi gajah semasa kecil dulu, sebab nak bungkus kulat sisik yang dipetik dari pokok getah mati.  Bila terjumpa orang jual batang keladi di pasar, mampu pandang saja sebab asyik teringat gatal tu, tetapi takde pula rasa ngeri nak makan sayur batang keladi.

Sebab teringin nak buat nasi ulam utara yang dikenenkan dengan asam sayur keladi, beranikan diri juga dan cari petua macamana supaya tidak gatal.  Asyik ngeri ingat kata-kata orang memang tak pergi mana kan, kena cuba sendiri baru tahu hasilnya.  Mula-mula nak beli batang keladi yang dah siap bersihkan, takde dijual pula masa tu.  Beli sajalah batang yang dijual di pasar malam, sambil siang buang kulit ingat-ingat lupa ada petua yang ajar cara siang kulit cara menyonsang (bukan mula daripada pokok).  Sambil buat tu, hati asyik kata betul ker cara sonsang atau mula daripada pangkal pokok (sambil tu doa lah, Ya Allah jangan bagi gatal).  Alhamdulillah takde kesan gatal orang siang dan yang dah makan sayur ni.

Sayur Keladi Utara (Asam Rebus Keladi)
Sumber: Fiza's Cooking

Bahan-bahan
500gm batang keladi
10 tangkai cili kering - rebus dan toskan
4 ulas bawang merah
1/2 inci belacan
1/2 cawan ikan bilis
1 sudu lada hitam
3 keping asam gelugor
1 ekor ikan kembung - rebus dan ambil isinya
3 tangkai daun kesum

Cara Penyediaanya
* Rebus batang keladi yang telah dibersihkan dan disiang hingga agak lembut.  Setelah itu buang air rebusan dan lalukan batang keladi dengan air mengalir (petua untuk hilangkan rasa gatal batang keladi selepas dimasak).
* Tumbuk ataupun kisar cili kering, bawang merah, belacan, ikan bilis dan lada hitam.
* Masukkan bahan kisar kedalam oeriuk bersama air secukupnya dan asam gelugur. masak hingga mendidih.
* Seterusnya masukkan ikan kembung serta garam dan gula secukupnya.
* Akhir sekali masukkan batang keladi yang telah direbus bersama daun kesum dan renih hingga masak.


Sebelum ini, saya ada makan asam rebus keladi sedap yang dimasukkan dengan isi udang selain isi ikan rebus.  Tetapi untuk yang pertama kali ini ikut resepi lah, jangan cuba-cuba nak menderhaka lagi.  Dapat hidangkan bersama nasi ulam utara dengan lauk goreng sudah mencukupi.  Sebelum makan dengan nasi, dah rata semangkuk sayur keladi.  
Wassalam.

Tuesday 26 March 2019

Jom Kenali Pucuk-Pucuk / Herba / Ulam-Ulam.

Assalam...
Kenal tak jenis-jenis ulam dalam bakul tu, yang biasa jumpa dan selalu makan memang kenal lah kan.  Ambil tahu nama selebihnya tentang khasiat sila buat rujukans endiri ya.  Sebab ada projek nasi ulam utara, maka ke pasar lah kita mencari yang dikehendaki.  Dengar kata nak buat nasi ulam kena guna 40 jenis daun / pucuk kayu, memang susah nak cari untuk cukupkan 50 tu.  Mana yang ada di gerai pasar tu kita ambil saja, dapatlah 14 jenis.  Abang yang jual tu macam curious tengok daun pudina sebab kata nak buat nasi ulam, cepat-cepat cakap itu nak buat air.  Ini lah semua bahan yang nak diguna kecuali daun pudina.  


Daun limau purut / kaffir lime leaves.


Daun cekur.


Pucuk putat.


Pucuk gajus / janggus / ketereh.


Daun mengkudu.


Pucuk buas-buas atau bebuas.


Daun ginseng vietnam.


Pucuk belinjau / melinjau.


Daun kesom / cenohong, ada juga yang lebih mengenali daun ini sebagai laksa.


Ulam raja.


Pucuk pegaga.


Daun Selom, ulam biasa senang jumpa.


Daun selasih (basil leaves).


Daun kemangi, (lemon basil / thai lemon basil), saya panggil comangi.


Ramai yang selalu keliru antara daun selasih dan dan daun kemangi adalah daun yang sama, semoga gambar ini boleh hilangkan kekeliruan anda. Warna batang, struktur daun dan bau juga berbeza.  Kedua-dua daun ini kemangi dan selasih diguna meluas di Indonesia dan Thailand.


Bunga kantan / ginger torch.


Temu mangga, jurujual yang perkenalkan, keluarga temu dan kunyit.  Dapat nama daripada bau dan rasanya yang seperti mangga muda / kuini.  Bila tanya pak google, temu mangga untuk menaikkan selera makan (tak sesuai untuk saya yang sentiasa selera membuak-buak pasal makan).


Serai / lemon grass.

Lepas nie kita nak kenal-kenal pula ulaman / herba dalam list di bawah ni;
- Pucuk samak / serai kayu
- Pucuk sekentut 
- Tengkek burung
- Pucuk asam gelugor
- Pucuk Cemumak
- Peria pantai
- Daun kadok
- Temu kunci
- Ginseng jawa
- Bunga / daun kunyit
- Bunga lengkuas
- Pucuk mata itik
- Beluntas
Wassalam.

Monday 25 March 2019

Cendol Home Made

Assalam...
Cuaca panas sekarang ni, rasa nak cari yang sejuk-sejuk saja.  Petang balik kerja teringin sangat nak makan cendol, tapi hari tu dah lewat stall mamak bawah pokok mesti dah tutup.  Jom cuba buat sendiri cendol, recall balik cara buat cendol yang mudah.  Sepupu yang ajar guna tepung jagung sebab senang berbanding guna tepung beras, jika guna tepung beras tak pandai agak air kapurnya cendol boleh jadi pahit atau tak menjadi.

Usuhalah buat walau hasilnya tak semengah mana pun.  Adunan terlebih air pula, so kena masak dan kacau lama sikit.  Cendol pula tak jadi panjang macam saiz selalu sebab jarak antara air dan penapis terlalu dekat dan adunan cendol sedikit lembik.


Hari tu ada saya nampak orang buat cendol selain guna santan fresh, tapi dia tambahkan dengan susu cair.  Saya pun try sedap juga tambah rasa lemak berkirim kuah tu.  Rumah takde stock ais batu, cendol yang dan campur sanntan dan gula terpaksa store dalam peti sejuk terlebih dahulu sebab nak makan cendol sejuk.


Versi yang letak santan, sebab ada orang tak suka rasa cendol yang diletak susu cair.  Rasa asli cendol memang kena guna santan fresh kan, nyaman.


Cendol Home made
Sumber:  Mulia

Bahan-bahan
2 cawan tepung jagung 
6 cawan air
Pewarna hijau / air pandan
Santan (tambah sedikit garam)
Air gula merah
Susu cair
Ais batu


Cara Penyediaannya
* Sediakan bekas yang berisi air sejuk dan penapis untuk acuan cendol, saya guna penapis minyak yang berlubang-lubang tu.
* Campurkan tepung jagung, pewarna dan air gaul hingga tiada tepung yang bergentel.
* Masak dengan api sederhana sambil kacau pada bahagian dasar kuali atau periuk supaya adunan kental sekata.
* Kacau hingga pekat dan adunan masak berkilat (meletup-letup).
*Ambil sedikit adunan letak atas penapis dan tekan guna senduk atau cawan supaya cendol jatuh ke dalam air melalui lubang penapis (macam tak reti nak terangkan).  Ulang proses hingga adunan cendol habis diacu.
* Biarkan cendol sejuk, jika air yang mula tadi menjadi suam akibat dari suhu biji cendol, tukarkan dengan air yang baru.
* Biarkan biji cendok sejuk terlebih dahulu sebelum ditapis.
* Campurkan dengan air gula melaka, santan, susu cair dan ais.
* Hidangankan.


Selamat mencuba.
Wassalam.

Sunday 24 March 2019

Puding Pisang Kukus (Pasau Utti)

Assalam...
Hampir terlupa saya untuk menikmati puding pisang kukus (Pasau Utti) sebab asyik terfikir nak makan burongko (barongko) tapi susah nak dapat daun pisang untuk buat kelongsong.  Sebenarnya berbeza puding ini dengan burongko dari segi takat kepekatan adunan walaupun pada dasarnya guna bahan dan cara penyediaan yang sama.  Bezanya satu dalam kelongsong satu lagi masak dalam loyang, hasil dan rasa yang berbeza.  Sebenarnya buat puding ini lagi mudah dan pantas, tetapi hasinya sangat puas hati sebagai pengubat rindu akan burongko.

Ini adalah alternatif menikmati barongko jika tidak ada daun pisang sebagai pembungkusnya.  Arwah mak saya dulu, selalu sediakan burongko dalam kuantiti yang banyak, jika kehabisan daun (kelongsong burongko) adunan yang lebih dibuat pasau utti begini.  Cuma adunan burongko perlu sedikit cair daripada membuat puding pisang kukus (Pasau Utti).  Untuk lapisan atas ada orang letak, ada orang tak letak.  Ada yang letak pewarna dan ada yang tak letak, guna warna asal tepung (putih).  Tetapi mak dan kakak dulu sentiasa letak lapisan atas, jadi saya pun dah terbiasa dan rasa tak siap jika tak letak.


Puding Pisang Kukus (Pasau Utti)
Sumber: Hjh Timah

Bahan-bahan
1 sisir pisang nipah / abu yang masak
250ml santan
5 biji telur
1/2 cawan gula pasir (tambah jika suka manis)
Sedikit esen pisang
Secubit garam

Tak sabar tunggu sejuk, hampir separuh loyang sudah selamat masuk perut.  Seperti biasa sebelum buat benda makan begini, mesti terfikir saya seorang jer yang akan habiskan nanti sebab orang lain tak suka.  Berbeza yang ini sebab mereka suka pula, senang hati tengok orang tu makan sesudu demi sedudu puding pisang masuk mulut.


Cara Penyediaannya
* Hiris pisang, buang empulur (bahagian tengah yang berwarna hitam).
* Sediakan pengukus dan loyang.
* Hancurkan pisang, boleh dengan cara lenyek atau blender (tapi jangan terlalu halus jika guna blender).  Jika haluskan dengan blender, boleh campurkan semua bahan sekali dalam blender.
* Tuangkan ke dalam loyang dan kukus hingga pisang masak (beku), lebih kurang 15-20 minit.
* Bila dah beku lapiskan dengan bahan tepung dan kukus lagi hingga masak (set).
* Angkat dan sejukkan.  
* Boleh dihidangkan suam atau disejukkan di dalam peti sejuk terlebih dahulu.


Untuk Lapisan Atas
3 sudu tepung gandum
1/2 cawan santan
1 sudu gula pasir
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau 

* Campurkan semua bahan hingga rata, jangan ada yang bergentel.
* Tuangkan perlahan dia atas lapisan pisang pisang yang telah masak (beku).
* Kukus sehingga masak (beku) lebih kurang 10-15 minit lagi.

Nikmatnya ya Allah, dapat mencicipi lagi hidangan tradisi ini.  Al Fatihah untuk mereka yang pernah menyediaakan dan mengajarkan aku untuk sediakan puding ini.
Wassalam.