Wednesday 20 May 2020

Ayam Masak Kaloak

Assalamm....
Salam ramadhan kareem, semakin mendekati ke penghujung ramadhan sudah ramai yang mula sibuk membuat persiapan raya.  Walaupun tak boleh beraya sakan macam tahun-tahun sudah, tapi sambutan tetap ada walaupun hanya kita-kita saja sekeluarga dan tetap di rumah.  Hari raya perlu disambut walau dimana kita berada dan dalam keadaan apa sekali pun sebagai ganjaran kemenangan untuk kesabaran fizikal dan kejayaan menjinakkan hawa nafsu dalam bulan Ramadan secara spiritual.  Semoga ramadhan tahun ini kita laluinya dengan sebaik mungkin sebelum kembalinya kita kepada fitrah yang asal dan penuh kesucian.  Menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.



Ok, balik pada resepi yang nak dishare iaitu ayam masak buah keloak.  Sejujurnya tak pernah jumpa keluarga saya masak keloak tu bersama ayam, seperti resepi-resepi baba nyonya.  Walaupun sangat dekat dengan buah rare satu ini, tapi yang selalu saya jumpa buah keloak diolah jadi sambal (gammi) keloak atau kulit buah fresh (yang dipanggil pangi) dimasak bersama ikan.  Lama dah stok buah keluak ini ada dalam peti ajaib, pemberian arwah kakak dulu, nak cuba masak dengan ayam macam resepi nyonya.  Tapi bila saya baca resepi macam agak rumit pula penyediaanya, jadi saya olah cara yang senang dan mengikut citarasa sendiri.  Sebab buah ini dah terlalu lama disimpan, kulit buah yang sememangnya keras seakan lebih keras dari batu ketika nak dipecahkan (nasib tak pecah lesung saya).  Isi dalam yang hitam pun dah sedikit kecut, tapi masih ingat tips dari arwah tentang buah keloak yang disimpan lama.  Jika bau keloak masih fresh tuk maksud masih elok, hanya perlu rendam seketika dengan air panas bagi isi keloak lembut sedikit sebelum ditumbuk/diolah.  Resepinya macam yang bawah nilah.


Ayam Masak Kaloak
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam
3-5 biji isi buah kaloak (kluwek/keloak/pangi)
5 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 inc. halia*
3 biji cili besar / cili padi*
2 batang serai - titik
Minyak untuk menumis
Garam
Serbuk perasa
Air. 

Cara Penyendiaan
* Tumbuk halus atau blend bahan bertanda '*'.
* Keluarkan isi kaloak dan tumbuk halus.  Kulit buah keloak sangat keras, saya ketuk dengan batu lesung untuk pecahkan kulitnya. Isi yang telah ditumbuk pancuh sedikit dengan air untuk buat paste.
* Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk dan serai hingga wangi.
*  Masukkan ayam, tumis lagi dan tambah air.  Tambahkan paste keloak dan jika suka kuah boleh lebihkan air.
* Masak hingga kuah pekat atau ayam empuk.
* Sesuaikan rasanya dengan garam dan serbuk penambah perasa.
* Hidangkan.
Kalau ada yang tanya mana nak dapat buah ini, saya pernah jumpa ada dijual di pasar gerai jual ulam dan hasil tanaman kampung.  Sekarang  boleh beli online  di Lazada buah keloak, tapi yang saya punya ini beli dari Indonesia
Wassalam.

Sunday 10 May 2020

Kambu Paria (Stuffed Bitter Guard)

Assalamm....
Terlalu nostalgia menu yang nak dikongsikan hari ini bagi saya.  Sebab ini akan mengimbas kenangan dengan orang-orang tersayang yang telah menjadi penghuni alam barzakh, bermula daripada arwah nenek hingga ke arwah kakak.  Ini salah satu menu kesukaan keluarga yang arwah nenek suka sediakan dulu, dan setiap kali beliau sediakan menu ini mesti bercerita keadaan ketika arwah muda-muda dulu.  Arwah kata kalau dapat sediakan menu ini dah kira gah dah masa itu, dah macam menu orang bangsawan.  Dulo-dulo kan makanan pun susah ala kadar saja, dapat makan macam ini kira paling sedap lah masa itu.  Saya pun dah lama tak dapat makan yang ini sejak arwah mak sakit-sakit hari tu, tak sampai hati nak minta, untuk sediakan sendiri pun memang tak pernah dan vitamin 'M' tu pun iya juga.  Arwah kakak juga pernah bertanya jika saja nak makan yang ini, ketika saya bertanyakan resepi darinya, tapi masa itu saya menolak sebab tak nak menyusahkan.  Sudah terbiasa bila saya bertanya sesuatu, macam mengantar signal bagi mereka yang saya nak makan benda tu, Allahuu betapa mereka sangat faham dan menjaga hal pemakanan saya dulu.


Saya sediakan resepi ini dengan mengingat-ingat bagaimana arwah nenek sediakan dulu.  Tak tahu lah kenapa jadi rajin sangat masa tu nak tolong tengok bila beliau sediakan menu ini dengan sabar sebab ada beberapa langkah yag rumit bagi saya dengan keadaan masa itu yang tiada peralatan moden dapat membantu.  Dari proses nak kupas buah kelapa kering untuk buat kelapa goreng dan santan cukup meletihkan bagi kita yang masih kanak-kanak masa itu.


Arwah nenek dulu jarang meletakkan isi udang atau ikan bilis kedalam bahan inti, tapi hasil air tangan beliau tetap sangat sedap.  Dulu buah peria pun boleh tahan pahitnya, tapi sedap saja ditekak saya yang masih kanak-kanak ketika itu.  Jomlah semak resepinya.


Kambu Paria (Stuffed Bitter Guard)
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
2 biji buah peria sederhana (potong pendek, buang isi dan rebus)
1 kotak kecil santan
1/2 biji kelapa parut - goreng*
200gm isi udang*
3 batang serai*
1 biji buah keras*
5 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 inc. halia*
1 biji cili merah*
2 sudu bawang goreng 
Serbuk kunyit
Sedikit serbuk lada hitam
Secukupnya garam, gula dan serbuk perasa
Air secukupnya



Cara Penyediaannya
* Tumbuk semua bahan bertanda '*' dan gaulkan denganbawang goreng, serbuk kunyit, lada sulah, garam dan gula.  Kelapa parut tu jangan tumbuk halus sangat sampai jadi kerisik.
* Sumbatkan inti ke dalam peria yang telah direbus terlebih dahulu dan ikat guna tali jut (tali saya tak tahu letak mana, guna jer tali rapia).
* Jika ada lebihkan inti kelapa boleh campurkan ke dalam kuah memasak nanti.
* Susun peria sumbat didalam periuk, tambahkan santan, air, garam, serbuk perasa dan rebus dengan api sederhana. Tambah air jika suka kuah yang banyak.
* Bila dan menggelagak, kacau-kacau supaya santan tak pecah minyak.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Taburkan bawang goreng ketika menghidang dan buang tali ikat kambu.


Alhamdulillah dapat juga buat sendiri makanan nostalgia keluarga.   Lepas rindu yang terpendam lama.


Harap-harap lepas ini lebih rajin nak masak kambu paria.
Wassalam.

Ayam Percik Kelantan ala chef Nas

Assalamm...
Ayam percik, rasanya ramai yang suka makan lauk ayam percik ini.  Dulu selalu beli di psar malam jika teringin nak makan sebab tak pandai nak buat sendiri, sebab macam susah jer nak kena panggang dan sepit dengan buluh.  Jika di ingat balik ayam percik yang beli di pasar malam tu kuah dia lain sikit dari ayam percik kelantan.  Kuahnya ada kacang tanah, lebih kurang macam kuah kacang gitu.  Pertama kali makan yang versi kelantan ini masa pergi jalan-jalan rumah kawan di Sungai Padi, Golok di Selatan Thailand.  Memang terus jatuh cinta lah yang kuah begini sebab suka rasanya yang lemak-lemak dan ada rasa serai dan lengkuas.


Rupanya nak berjodoh dengan orang yang memang sediakan ayam percik versi kelantan, in law salasilah keturunan dari sana kan.  MIL sediakan ayam percik dengan mereneh kuah sambil memanggang ayam menggunakan arang.  Sambil memanggang kuah percik akan di renjis-renjis ke atas ayam dan balik-balikkan.  Boleh juga ayam di celup ke dalam kuah percik dan teruskan memanggang sehingga ayam masak.  Versi orang bandar, ayam kita boleh panggang dalam oven atau guna kuali ajaib.  Sebaiknya ayam diperapkan atau lumur dulu dengan kuah percik sebelum dipanggang.


Ayam Percik Kelantan ala Chef Nas
Sumber: Chef Nas
 
Bahan-bahan
1 ekor ayam - belah 4 atau 6 bahagian 
1 kotak santan (250ml)
1 inc. lengkuas*
8 batang serai* - 4 diketuk, 4 blend
10 biji cili kering* - rebus dan blend
1 inc. halia*
4 biji bawang besar*
8 biji bawang putih*
6 biji bawang merah* 
2 cawan air
Minyak untuk menumis
 
Cara Penyediaannya
* Blend halus semua bahan bertanda '*'.  Blend asing cili kering.
* Tumis bahan blend hingga wangi dan masukkan cili bend.  Tumis hingga pecah minyak.
* Masukkan air, tunggu hingga menggelegak.
* Masukkan santan, gula, garam dan perasa.
* Masak hingga kuah pekat dengan api sederhana. 
* Untuk perap ayam, ambil sedikit bahan blend dan gaul rata.  Bakar dalam oven lebih kurang 45 minit dengan suhu 170 - 180'C.
* Ayam dah masak boleh siramkan kuah percik ke atasnya atau masukkan ayam ke dalam kuah dan masak sekejap.
* Hidangkan.

Ini masak ketika bulan puasa lepas sebab tengok banyak hidangan bubur yang dihidangkan bersama, lama diperam dalam folder.  Selamat mencuba, makan pasti sambil menjilat jari.
Wassalam.

33 Niat Penting Ketika Membaca Al-Quran


Assalamm....

Hari ke-17 Ramadhan adalah hari Nuzul Al-Quran, hari Al-Quran diturunkan kepada junjungan kita nabi Muhammad S.A.W.  Sempena hari  istimewa itu, saya nak sharekan info menarik berkenaan niat membaca Al-Quran.  Jom kita semak niat-niat penting ketika membaca Al-Quran.  Saya dan mungkin ramai dikalangan kita membaca Al-Quran hanya tahu berniat semata-mata untuk pahala dan kurang mengetahui tentang kelebihan besar Al-Quran, iaitu seseorang akan mendapat apa saja yang dia niatkan ketika membaca Al-Quran.

Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw;
"Sesungguhnya setiap amal yang dilakukan itu diukur atas niatnya dan seseorang akan mendapat (hasil amalnya) apa yang dia niatkan"-

Al-Quran itu adalah panduan cara hidup, sehingga niatnya itu adalah perniagaan para ulamak untuk mendapatkan keuntungan.  Dari 2 prinsip ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan kawan-kawan sekalian dengan beberapa dari niat-niat ketika membaca Al-Quran antaranya tujuan dan niat.

1. Belajar & Beramal
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan belajar dan beramal dengannya.

2. Memohon Hidayah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan memohon hidayah dari Allah SWT.

3. Bermunajat
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk bermunajat kepada Allah Taala.

4. Menyembuhkan Penyakit
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan menyembuhkan penyakit zahir dan batin.

5. Meminta Dikeluarkan dari Kegelapan Kepada Cahaya
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan meminta kepada Allah untuk mengeluarkan saya dari kegelapan (maksiat) kepada cahaya (iman).

6. Ubat Bagi Hati Yang Keras
- saya niat membaca Al-Quran ini kerana ia merupakan ubat bagi hati yang keras, dengan Al-Quran ini hati menjadi tenang, hidup dan makmur (dengan iman).

7. Menikmati Hidangan
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan (untuk menikmati) jamuan atau hidangan dari Allah Taala.

8. Supaya Tidak Termasuk Dalam Golongan Yang Lalai
- saya niat membaca Al-Quran ini supaya tidak ditulis termasuk dari golongan orang-orang yang lalai, bahkan saya ingin ditulis sebagai golongan orang yang mengingati Allah.

9. Menambah Kenyakinan
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk menambahkan keyakinan dan keimmanan kepada Allah.

10. Mendapat Pahala dan Kebaikan
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan mendapat pahala sehingga dituliskan 10 ganjaran kebaikan bagi saya atas setiap satu huruf yang saya baca, sesungghnya Allah melipatgandakan ganjaran bagi orang yang Dia kehendaki.

11. Mentaati Perintah Allah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan mentaati perintah Allah Taala yang memerintahkan untuk membaca Al-Quran dengan tartil.

12. Mendapat Syafaat
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk memdapat syafaat Al-Quran pada hari kiamat kelak.

13. Mengikut Wasiat Nabi
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan mengikuti wasiat Nabi saw.

14. Supaya Allah Mengangkat Darjat Diri & Umat Islam
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan semoga Allah mengangkat darjat saya dengan Al-Quran dan mengangkat darjat umat ini dengan Al-Quran.

15. Supaya Allah Mengangkat Darjat Di Surga
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk dinaikkan kedudukan saya di syurga dan dapat dipakaikan mahkota kemuliaan, dan untuk ibu bapa saya semoga dipakaikan juga dengan perhiasan yang tidak diberikan ketika di dunia.

16. Mendekatkan Diri Kepada Allah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui kalamNya.

17. Agar Dimasukkan Dalam Golongan Ahlillah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuanagar dimasukkan ke dalam golongan ahlillah dan daripada golongan orang-orang yang khusus.

18. Agar Dimasukkan Dalam Golongan Ahli Yang Mahir Membaca Al-Quran
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan (agar termasuk dalam golongan) orang-orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Malaikat yang mulia lagi taat.

19. Agar Diselamatkan Daripada Ahli Neraka
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar diselamatkan daripada neraka dan azab Allah.

20. Agara hati Rasa Bersama Dengan Allah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar hati saya dapat merasakan kebersamaan dengan Allah Taala.

21. Supaya Tidak Mensia-siakan Usia
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar tidak menghinakan atau mensia-siakan usia.

22. Agar Al-Quran Menjadi Saksi Kebaikan  
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar dia menjadi saksi kebaikan bagi saya dan tidak pula menjadi saksi keburukan ke atas saya.

23. Memandang Musyaf ialah 1 Kebaikan
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk melihat kepada musyaf yang mana perbuatan itu adalah 1 ibadat.

24. Agar Allah Menggunakan Sakinah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar diturunkan sakinah (ketenangan) ke atas saya, dan diliputi rahmat buat diri saya, dan disebut nama saya oleh Allah kepada makhluk di sisiNya.

25. Mendapat Kebaikan
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan mendapat kebaikan dan kelebihan di sisi Allah.

26. Supaya Aroma Mulut Menjadi Harum
- saya niat membaca Al-Quran agar aroma (bau mulut) saya menjadi harum (dengan latunan Quran).

27. Agar tidak Sesat Di Dunia
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar saya tidak tersesat di dunia dan tidak ditimpa celaka di akhirat.

28. Agar Terhindar Dari Kesedihan, Kerisauan & Kegusaran
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar Allah menghindarkan diri saya dengan sebab membaca Al-Quran dari segala kesedihan, serta menghilangkan kerisauan dan kegusaran.

29. Agar Al-Quran menjadi Kawan Di Alam Kubur
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar dia menjadi kawan saya di dalam kubur dan cahaya bagi saya ketika melintasi titian sirath dan petunjuk saya ketika di dunia dan pemandu saya untuk ke syurga.

30. Agar Allah Mentarbiah
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan agar Allah mentarbiah saya, dan mengajar adab kepada saya dengan akhlak yang dihiaskan akannya kepada Rasulullah saw.

31. Agar Dapat Menyibukkan Diri Dengan Yang Hak
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan menyibukkan diri saya dengan Al-Haq, sehingga tidak mampu kebatilan yang menyibukkan saya.

32. Mujahadah Melawan Nafsu
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan untuk mujahadah melawan nafsu, syaitan dan keinginan kepada selain Allah.

33. Agar Allah Memisahkan Diri Dengan Al-Kafirin
- saya niat membaca Al-Quran ini dengan tujuan memohon agar Allah memisahkan saya dengan para kafirin di akhirat kelak. 
   
Mari kawan-kawan kita menjadi ahli celik Al-Quran yang telah dijamin keuntungannya, yang mana keuntungannya itu Allah kurniakan atas sifat pemurahNya dan sesungguhnya segala pemberianNya itu tidak akan habis.
Wassalam.