nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Thursday, 2 March 2017

Lao Mandre: Sim-Sim Ikan Bakar, Sandakan


Assalam...
Walaupun jati orang sini, tapi ini pertama kali datang makan di Pasar Sim-Sim.  Menjadi sebutan orang ramai jadi nak juga datang rasa keenakan ikan bakar tu.  Selalu bakar ikan di rumah sendiri je, semua dah tersedia, jadi tidak berpeluang nak makan di luar.  Hari yang kami datang tu, adalah hari cuci pasar, ada hari tertentu (sekali dalam sebulan) yang mana semua gerai perlu di tutup untuk membolehkan kerja-kerja pembersihan pasar di lakukan.


Pasar sim-sim ini tidak lah besar mana, kami tawaf dah pasar tu tetapi hanya satu gerai ikan bakar yang beroperasi.  Kedai yang orang ramai cadangkan tu pula tutup.  So kami try saja lah di sini, kira kami pelanggan terakhir sebab ikan yang ada pun tinggal 3 ekor yang tak berpunya, kami hanya order 2 ekor ikan besar (ikan jenahak dan ikan belais).  Sotong, udang dan yang lain-lain memang dah habis di tempah.


Makanlah kami ber 6 dengan 2 ekor ikan bakar ini, ada sedikit sayur lemak labu yang tersisa, sup kosong dan nasi putih.  Nak order menu lebih-lebih memang tak ada, rasanya minuman pun kami hanya minum air masak yang disediakan. Alhamdulillah kenyang, licin semuanya oleh kami, tinggal hanya tulang ikan yang bersih berkilat.  Jin pun nagis tengok sebab tak tinggal sisa untuk dia.


Pemandangan biasa atas meja di kedai-kedai makan di Sabah.  Penambah perisa bersama sambal cili ada disediakan, kalau rasa kurang masin, masam, pedas, kicap, cili, pak aji anda bebas nak bereksperimen di situ.


Kalau tanya saya, tentang rasa makan ikan bakar di sini, bagi saya rasanya biasa-biasa saja.  Ikan bakar yang mak saya selalu sediakan jauh lebih sedap rasanya (air tangan mak kita kan yang terbaik).  Lain orang lain citarasa kan, mungkin juga perlu mencuba di gerai lain, di lain waktu jika ada peluang berkunjung ke sini lagi.
Wassalam.

Sunday, 16 October 2016

Kari Kepala Ikan Salmon


Assalam...
Faveret en.Abe lauk kari-kari ini, mana mai darah mamak tu tak tahu lah.  Sebab dia gemar sangat makan kari, jadi biar dia jer yang masak.  Bukan nak mengelat tapi kita memang tak pandai masak kari.  Tak pandai nak balance kan rasanya, selalu sangat dah rasa kari jadi pahit.  Mungkin sebab tak berapa nak masuk makan kari jadi tak tahu macamana standard sedap untuk kari.




Ikutkan saya masak asam pedas atau steam kan saja kepala ikan tu.  Ayik selere kita saja nak diikut susah jugak kan.  Nanti ada yang makan hati berulam jantung walhal makan nasi berlauk kan ikan salmon.  Jomlah tengok resepi mudah ini.
 



Kari Kepala Ikan Salmon
Sumber: En.Abe


Bahan-bahan
Kepala ikan salmon - belah dan bersihkan
3 sudu serbuk kari ikan campur sedikit air untuk buat paste
2 biji bawang merah - hiris
2 biji bawang putih - hiris
1 biji tomato - belah empat
1 biji cili besar - belah dua
4 biji kacang bendi
Sedikit halba campur
Daun kari
Air asam jawa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Serbuk perasa secukupnya


Cara Penyediaanya
* Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga layu.  Masukkan halba campur.
* Masukkan kari paste dan tumis hingga masak / naik minyak.
* Masukkan air asam jawa, dan tambahkan air (ikut banyak pekat kari yang kita nak) biar mendidih.
* Masukkan kepala ikan, tomato, cili merah dan tomato.
* Perasakan dengan garam dan gula.  Didihkan seketika hingga kepala ikan dan sayur empuk.
*  Sesuaikan rasa dan tutup api.  

Selamat mencuba.
Wassalam.

Friday, 29 July 2016

Asam Pedas Kepala Ikan


Assalam...
Nak kepala ikan tak? Wak butcher tanya tanda pelawa nak bagi free bila dia ada banyak stock kepala ikan.  Mestilah nak, tapi terkadang saya tolak rezeki juga, menolak pelawaan apabila selalu sangat atau jarak waktu tu sangat singkat.  Saya minta dia pelawa dan beri pada orang lain pula, atau bagi alasan peti ais kat rumah penuh takde ruang nak simpan bekalan.  Kalau takde kepala ikan, kepala sotong atau tulang kambing golek, dah rezeki kan, terima saja.




Hari itu, bekalan kepala ikan tenggiri memang terlalu banyak, sehingga mereka pun dah jemu nak makan.  Yang dibekalkan pada saya cukup banyak, dekat 10 ketul rasanya, memang sengaja saya minta extra sebab nak masak untuk bekalan balik kampung tapi tak sangka sebanyak itu.  Si Wak ini bila diberitahu nak buat untuk seseorang, mulalah dia sepenuh jiwa raga simpan bekalan untuk saya.
 



Asam Pedas Kepala Ikan
Sumber: Mulia


Bahan-Bahan
2 ketul kepala ikan tenggiri or jenahak or merah - potong kecil
2 sudu besar cili gilling atau cili boh
2 biji bawang besar*
4 biji bawang merah*
4 biji bawang putih*
Sedikit halia* 
2 batang serai - ketuk
Bunga kantan - belah 4
Daun kesum
Air asam jawa atau asam keping
Air
Garam
Gula
Serbuk perasa
1 biji tomato - belah 4
Sedikit sawi jeruk (jika suka)
Minyak untuk menumis


Cara Penyediaannya.
*  Blend halus bahan-bahan bertanda "*"
*  Panaskan minyak, tumis bahan blend dan serai hingga wangi.
* Masukkan cili boh, tumis lagi hingga chili masak. Masukkan gula, garam dan dan air asam jawa.
*  Masukkan ikan, bunga kantan dan daun kesom.  Biar ikan mesra dengan bahan tumis seketika.
*  Masukkan air (kalau nak kuah banyak, lebihkan air) dan biar mendidih seketika.
*  Masukkan tomato dan sawi jeruk.
*  Sesuaikan rasa dan bila ikan dah masak, tutupkan api dan boleh dihidangkan.

Selamat mencuba.  
Wassalam.

Thursday, 23 June 2016

Ikan Goreng Tauchu


Assalam...
Waktu bersahur memang mencabar bila kita tidak ada selera untuk menjamah makanan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja menggunakan banyak tenaga pada waktu siang.  Kalau masih tercari-cari lauk pembuka selera ketika bersahur nanti bolehlah cuba sediakan ikan goreng taucu ini.  Insha Allah berselera nak makan dan bertambah-tambah.  Resepi ini saya dapat daripada mak su, hasil menyibuk di dapur ketika beliau sibuk menyediakan makan tengah hari untuk kami yang berkunjung pada suatu hari. 




Ikan Goreng Taucu
Sumber: Mak Su (Keratong 4)

Bahan-bahan
1 kg ikan nyok-nyok (putih) - boleh gantikan dengan ikan lain seperti tongkol, selar atau mambung
Serbuk kunyit
Garam
-  Garam kunyitkan ikan, 
-  Goreng ikan terlebih dahulu dan ketepikan.

2 sudu besar taucu
2 ketul halia*
2 biji bawang besar*
4 biji bawang kecil*
6 biji bawang putih*
2 biji cili hijau - patah 2
2 biji cili merah - patah 2
Cili padi - ikut pedas yang dikehendaki
Garam dan serbuk perasa
Minyak masak
Air.


Cara Penyediaannya
*  Racik halus bahan bertanda '*'.
*  Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang kecil dan halia hingga layu.
*  Masukkan taucu, tumis lagi hingga naik bau.  Masukkan air dan biarkan mendidih seketika.
*  Masukkan ikan, bawang besar dan cili.
*  Sesuaikan rasanya terlebih dahulu sebelum masukkan garam sebab ikan goreng telah digaul dengan garam dan rasa taucu itu sendiri telah sedia masin.  
*  Klau suka yang jenis kering, biar merenih hingga kuah pekat.
*   Angkat dan hidang. 
 
 


Kadang saya suka juga buat yang berkuah seperti di bawah ini dan masukkan sedikit sayur seperti terung panjang atau cendawan kering yang telah di rendam terlebih dahulu.
 


Selamat bersahur kawan-kawan, esok kita dah masuk Ramadhan yang ke-18.
Wassalam.

Thursday, 30 April 2015

Siakap Soya Sauce

Assalam...
Masak cincai sebab nak cepat, bukan malas tau....hehehe (ini ayat penafian ke ayat penyata ini, entahlah).  Ingat nak elak dari bayar sgt, jadi kena rajin-rajinkan diri masuk dapur.  Tetapi sebab kena menapak naik tangga sampai tingkat sepuloh setiap petang tak larat lah nak memikul segala-gala bahan memasak tu kan.  Jadi kenalah makan kat kedai sebelum balik rumah.  Kadang perut dah kenyang tapi dek tenaga dibazir naik tangga jadi lapar balik ler kan, hanya ada bekalan ini dalam peti ajaib jadi kita olahnya menjadi sesuatu untuk mengelakkan perut berdongdang sayang tengah malam nanti.


Siakap Soya Sauce
Sumber: Mulia


Bahan-bahannya
1 ekor siakap - gaulkan dengan garam kunyit kemudian goreng hingga masak
2 sudu kicap cair*
1/2 sudu kicap pekat*
1 sudu sos tiram*
1 sudu sos ikan*
sedikit daun limau purut - racik halus
sedikit hirisan kulit lemon
1/2 biji tomato
cili padi - ketuk
1 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
Serbuk lada putih*
Sedikit air*
Garam dan perasa.


Penyediaannya
#  Campurkan semua bahan bertanda "*".
# Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga layu.
#  Masukkan campuran sos, biar hingga mendidih.
# Perasakan dengan garam dan masukkan hirisan daun limau purut, cili padi, tomato dan hirisan kulit lemon.
# Tuangkan  ke atas ikan yang telah digoreng terlebih dahulu. 
# Hidangkan.

Harapnya lepas balik dari bercuti beberapa hari ini, takdelah lift tu buat pasal lagi, tak daya dah nak menapak lagi.  Segala-gala yang indah tinggal di atas awan dah jadi tidak indah bila lift tidak berfungsi....yang terbayang hanyalah swimming pool indah water....
Wassalam.

Tuesday, 31 March 2015

Ikan Kayu Masak Asam Bugis Style...

Assalam...
Ikan kayu ini saya rasa memang sesuai kalau nak masak yang rasanya masam-masam gitu, macam masak pindang, singgang dan masak asam macam saya buat sebelum ini menggunakan asam mangga.  Bahan utama selain ikan untuk menu ini adalah asam mangga, nak tahu asam mangga tu macamana rujuk sini.  Kalau nak goreng itu, boleh jugak tetapi isinya agak keras dan hanya sedap dimakan ketika masih panas-panas kecuali ditambah nilai sedikit seperti masak berlada.  Disebabkan isi ikan yang agak pejal, ianya  boleh di masak rendang, gulai atau menggunakan kaedah memasak yang agak lama seperti disini
Ikan Kayu Masam Asam
Sumber: Mulia

Bahan
1 ekor ikan kayu sederhana - bersihkan dan potong kecil
1 genggam asam mangga
3 biji bawang merah - hiris
3 biji bawang putih - hiris
1 biji cili merah - potong
1 pokok daun bawang - ambil bahagian bawah / ubi
sedikit cili padi
sedikit minyak
sedikit serbuk kunyit
garam secukupnya
air secukupnya

Cara Penyediaannya
*  Campurkan asam mangga, bawang, cili, garam, kunyit dan minyak.  Ramas-ramas hingga asam sedikit lembut dan bahan lainnya jadi mesra.
*  Masukkan ikan ke dalam bahan ramas tadi dan susun dalam periuk.
*  Masukkan air secukupnya.  Cukup setakat menyamai paras ikan atau lebihkan sedikit jika sukakan kuah yang banyak.
*  Rebuskan dengan api sederhana hingga ikan masak.
 
Wassalam.

Sunday, 22 February 2015

Asam Pedas Untuk En.Abe

Assalam....
Asam pedas tak lengkap kalau takde daun kesom dan bunga kantan.  Itu kata orang, bukan saya kata...yang suka letak yang tak suka tak letak.  Saya belajar dari specis orang yang tak suka letak kedua benda itu, hanya kadang-kadang beliau letak sayur asin (sawi jeruk).  Saya pula duduk atas pagar, ada letak, takde biar kosong, tapi sepanjang masak asam pedas letak bunga kantan jer kalau stok ada, daun kesom tak pernah letak.

Mula-mula masak untuk en.abe dulu was-was jugak maklum dia tak boleh terima benda-benda pedas ini, tawakkal jerlah.  Letak gula banyak-banyak agar sesuai dengan lidah kelantannya tu.  Ketika itu hanya guna kepala ikan merah semata-mata.  Mula-mula macam takut-takut jer dia nak ambil, terjemahan rasa pedas dari warna merah menyalah tu agaknya.  Dah lepas suapan demi suapan baru nak komen, sedap, terbaik katanya.  Tak cukup semangkuk minta lagi.  Tapi bila isteri jenis memasak limited edition, bertabahlah suami bukan mudah nak merasa asam pedas selalu.  Haish patutnya bila dah suami suka makan kenalah masak selalu kan, hampehhh...
Asam Pedas Ikan merah
Sumber: Kak Uda

Bahannya;
4 keping ikan Merah - boleh ganti dengan ikan lain seperti tenggiri, kerisi, kembung, parang atau mambong
3 sudu besar cili giling / cili boh
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1 inc. halia*
2 batang serai*
sedikit ikan bilis*
sedikit belacan* (optional - saya jarang letak)
2 kuntum bunga kantan - belah 2
2 biji tomato - belah 4
sedikit sayur asin (optional)
2 keping asam keping / air asam jawa
gula pasir / merah
garam dan serbuk perasa 
air secukupnya
minyak untuk menumis 

Cara Penyediaannya;
*  Tumbuk bahan bertanda '*' hingga lumat.
*  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga kekuningan.
*  Masukkan cilii giling, tumis hingga pecah minyak atau cili masak.  Masukkan gula, bunga kantan dan air asam jawa atau asam keping.
*  Masukkan ikan, gaul dengan cili dan biar seketika hingga jus ikan keluar baru masukkan air secukupnya.
*  Bila dah menggelegak, masukkan buah tomato dan sayur asin.
*  Tambah bahan perasa dan sesuaikan rasanya, dah rasa puas hati, tutupkan api dan bolehlah dihidangkan.
 
p/s - bukan maless nak masak asam pedas ini, tapi jarang jumpa ikan segar yang sesuai.  Jadi bila sesekali dapat memasak menu ini, kami pun fefeling macam makan mewah gitu.
Wassalam.

Saturday, 17 January 2015

Ikan Putih Sambal Cili Hidup.

Assalam...
Asyik up entri cerita makan dan resepi, aik apa dah jadi?  Dah tukar blog jadi blog masak-masak pulak kah?  Eh takdelah sampai macamtu dan memang tak layak pun.  Antara sebabnya adalah bidang makanan ini salah satu perkara yang digemari walaupun memang diakui tuan blog bukan orang yang pakar dalam hal ini, bukan seorang  yang lincah didapur dan tak pandai masak pun.  Semua untuk catatan sendiri dan sebagai latihan supaya lebih mahir.  Tak malu sebenarnya untuk mengakui yang saya tak mahir di dapur dan percaya ramai lagi diluar sana yang mengalami nasib yang sama.  Namun tiada istilah terlewat untuk kita belajar sesuatu ilmu kerana proses pembelajaran itu suatu proses yang berterusan hingga kita menutup mata.
  

Ikan Putih Sambal Cili Hidup
Sumber: Mulia

Bahannya
1 ekor ikan putih sederhana besar - di potong
3 biji cili merah* (buang biji)
5 biji cili padi (optional)*
3 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inc.halia*
2 biji buah keras*
1 biji tomato*
1 batang serai*
1 inc. belacan (optional)*
garam dan bahan perasa
gula secukupnya
kunyit secukupnya
minyak masak secukupnya


Penyediaannya
*   Perap ikan dengan garam dan kunyit seketika kemudian goreng hingga masak.
*   Blender semua bahan bertanda * hingga lumat.
*   Tumis bahan blender (guna lebihan minyak menggoreng ikan tadi) hingga naik minyak atau sedikit pekat.
*  Sesuaikan rasa sambal dengan memasukkan garam, bahan perasa dan gula.  
*  Masukkan ikan ke dalam sambal, kacau untuk sebatikan dengan sambal dan masak seketika.  
*  Tutup api dan bolehlah dihidang.

p/s: ikan putih panggilan di sabah (bale cepak) kalau tak silap orang semenanjung panggil  ikan nyok nyok.

Wassalam.

Masak Lemak Ikan Dengan Nanas

Assalam...
Dalam percubaaan untuk belajar menggunakan harta karun periuk noxxa, ini antara hasil yang telah dimasak.  Memasaknya pun dah lama, ikan yang digunakan itu antara bekalan yang dibawa balik dari kampung hari itu.


Masak Lemak Ikan Dengan Nanas
Sumber: Mulia

Bahannya
5 keping potongan ikan merah
1/2 biji nanas
1 kotak santan (250ml)
1 serai - ketuk
10 biji cili padi*
2 biji cili merah*
2 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inc. kunyit hidup*
1 inc. halia*
Garam dan perasa
Minyak untuk menumis

Penyediaannya
*  Tumbuk semua bahan bertanda '*' hingga lumat.
*  On periuk noxxa, tekan butang stir-fry.  Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga layu.  Masukkan serai.
*  Masukkan ikan, nanas, santan dan gaul rata.  Tekan butang off.  Ketatkan penutup periuk, pusingkan nob ke sign presurre.  Tekan butang pressure set masa 5 minit. 
*  Selepas 5 minit, pusingkan nob untuk keluarkan wap hingga habis dan buka tutup periuk.  
*  Perasakan dengan garam, serbuk perasa pilihan dan gaul rata.
*  Tekan stir fry masak sekejap kemudian tekan butang off. 

p/s; memasak guna cara lama, kena tunggu dan kacau dengan sabar untuk mengelakkan santan berbaur.....satu bonus jika sambil gaul tu sambil zikir atau selawat.
Wassalam.

Ikan Kayu Masak Tanakrota'

Assalam...
Kata nama "tanakrota" (bahasa bugis) merujuk kepada santan yang dimasak sehingga kental atau berketul-ketul.  Maksudnya proses pertengahan dalam penyediaan minyak kelapa.  Sebelum menjadi minyak masak matang dan tahi minyak.  Menu ini sebenarnya antara makanan yang pernah saya makan ketika zaman kanak-kanak di rumah saudara dekat, seingat saya mak sendiri tak pernah memasaknya.
Menu ini sebenarnya simple cuma perlukan masa sedikit untuk penyediaannya, dulu selalu makan tetapi tak pernah melihat bagaimana ianya disediakan.  Maklum ketika itu masih kanak-kanak, jadi soal memasak  tak minat nak ambil tahu, nasib mak hajjah masih ada untuk bertanyakan resepi.  
Ikan kayu dibersihkan dan potong kecil-kecil, seeloknya gunakan ikan kayu yang kulit berlorek/ bintik kerana isinya yang lembut. 
Yang menjadi mangsa untuk menanyakan resepi adalah anak sepupu.  Sebenarnya nenek beliau adalah si empunya resepi ini.  Jom kita semak bagaimana nak sediakan resepi tradisi ini.
Ikan Kayu Masak Tanakrota'
Sumber: Mak Hajjah

Bahannya
1 ekor ikan kayu (tongkol / aya)
Santan pekat dari 2 biji kelapa
Serai - diketuk
Serbuk kunyit
Garam dan perasa
4 ulas bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 biji cili merah*
1 inc. halia*
10 biji cili padi*

Penyediaannya
*  Tumbuk semua bahan bertanda '*' hingga lumat.
*  Masak santan hingga menjadi berketul-ketul (tanakrotta').
*  Masukkan bahan tumbuk, serai, kunyit dan ikan.
*  Masak lagi hingga pekat / keluar minyak.
*  Masukkan garam dan sesuaikan rasanya.
 
Sekali pandang mungkin ada yang menyangka masak tanakrota' ini sama dengan rendang, kerana prosesnya juga mengambil masa.  Namun ternyata berbeza kerana tanakrota' ini tidak menggunakan sebarang rempah.
Terima kasih pada anak seudara Atinurul yang berusaha untuk meminta resepi dari mak hajjah, semoga sama-sama meraih pahala daripada ilmu yang diajarkan.
Wassalam.

Sunday, 21 December 2014

Bolu Bakar - Tak Pernah Jemu

Assalam...
Hujung minggu jom kita bakar-bakar.  Kalau ada yang tension semalam sebab kalah bola, sudah-sudahlah tu.  Dalam pertandingan memang kena ada seorang pemenang saja, diorang pun dah berusaha sedaya mungkin untuk sampai ke tahap itu.
Ikan bolu/ susu/ milk fish/ bangus ini jenis ikan banyak tulang, memang agak leceh nak makan. Mengajar erti sabar sebenarnya. Jadi bagi mereka yang tak mahir nak perisi atau tak suka benda leceh2 ini bolehlah tukar kepada ikan lain.  Bolu bakar ini memang tak jemu untuk dinikmati sebab rasanya yang sangat sedap dan lemak, kalau dapat makan setiap hari pun takpe..Memang layann.. Tips untuk pilih ikan nak bakar, mestilah ikan yang fresh, sisik masih utuh melekat dibadan ikan. Kalau ikan bolu ini, kena pilih yang saiz besar supaya senang asingkan tulang temulangnya nanti.

IKAN BOLU BAKAR
Sumber: Mak Timah

Bahan nya
1 ekor ikan bolu - bersihkan buang perut, sisik tak perlu buang, belah dan potong dua.
2 biji cili besar*
2 biji cili padi*
2 ulas bawang putih*
2 ulas bawang merah*
1 inc. halia*
Serbuk lada sulah
Garam secukupnya
Sedikit minyak masak
Aluminium foil - untuk membungkus ikan.

Cara Penyediaan
*  Tumbuk lumat bahan-bahan bertanda *.  Masukkan lada sulah, garam dan minyak masak.  
*  Gaul rata dan letakkan atas isi ikan hingga rata.
*  Tutup ikan dan bungkus kemas dengan foil.  Letak foil atas hot plate dan bakar hingga masak lebih kurang 30 minit.  Balik-balikkan ketika membakar agar sekata masaknya.
*  Hidang dan nikmatinya ketika masih panas-panas.
Tiada rotan akar pun berguna juga. Siapa kata tak boleh berasap tak boleh nak menikmati ikan bakar yang sedap begini.  Bagi yang rasa lebih senang bakar dalam oven, pun takde masalah.  Selamat berhujung minggu semua.
Wassalam.

Thursday, 11 December 2014

Tempoyak Ikan Siakap

Assalam...
Resepi tempoyak yang mudah, tak perlu guna bahan yang banyak.  Rupanya tanpa letak bawang merah, bawang putih, daun kesom & bunga kantan pun boleh hasilkan masak tempoyak yang sedap.  Cuma menggunakan beberapa bahan utama seperti tempoyak, kunyit, cili padi, garam dan ikan atau ayam.
Resepi asal pak mertua, tapi ilmu diperturunkan oleh mak mertua.  Sangat simple dan mudah untuk mereka yang baru nak belajar masak atau orang seperti saya yang tak pandai masak....lalala.  Selalu mak mertua jamu tempoyak ikan patin atau ikan siakap atau pun ayam.  Kalau tak suka ikan tukarlah kepada ayam, saya memang penggemar ikan jadi memang selalu buat ikan aje.  Ikan tak kiralah yang berasal dari sungai, laut, bendang, tali air ker...dalam akuarium?..ikan dalam akuarium kedai seafood boleh aje.

Tempoyak Ikan Siakap
Sumber: Nang Teh

Bahannya
1 ekor ikan siakap - sederhana besar, bersihkan dan potong kecil
1 batang timun tua - buang biji dan potong.
(saya guna timun biasa, biji tak buang)
garam 
air secukupnya

Bahan tumbuk
2 sudu makan tempoyak
10 biji cili padi
1 inc. kunyit hidup
* - tumbuk semua bahan hingga lumat.

Penyediaannya
*  Panaskan air dan letakkan bahan tumbuk.  Kalau nak sekalikan pun boleh.  Kacau supaya tempoyak tidak berketul2.
*  Bila dah mendidih masukkan ikan dan timun.  Biar seketika hingga masak dengan api sederhana.
*  Masukkan garam dan perasa kegemaran.  Tutup api dan bolehlah dihidang.
 
Ini hanya sebagai hint untuk suis selera orang kampung belah sana, sebab kejap lagi nak balik kampung, ada kenduri.  Entah-entah ada lauk tempoyak ikan patin kat rumah kenduri tu....keji sungguh kamu ini.
Wassalam.

Friday, 21 November 2014

Ikan Kepala Batu....

Assalam...
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Lama-lama mencuri.
Orang kampung saya panggil ini 
IKAN KEPALA BATU
Korang panggil dengan ikan GELAMA kan?, ini antara ikan termurah dipasar-pasar kampung saya.  Adakah harganya masih lagi sekilo hanya 60 sen ke RM1.00 sekarang ini?  sekiranya bekalan terlebih.  Antara ikan pilihan bagi mereka yang kurang mampu dan mempunyai keluarga besar.  Saya selalu jumpa orang kampung saya yang membeli ikan kepala batu dengan jumlah yang banyak / berkilo-kilo ketika harga runtuh.  Tetapi kini nampaknya ikan kepala batu sudah kurang memperjuangkan penduduk miskin dengan mengekalkan harganya lebih-lebih lagi ikan yang telah dikeringkan, dijeruk atau diasinkan.  Bagi saya kurang sedap dengan ikan yang fresh berbanding dengan yang telah diolah.  Bahagian kepala memang keras macam batu, tak boleh nak diratah.  Kalau gigi tak kuat jangan cuba nak gigit. 
Wassalam.

Wednesday, 19 November 2014

Tongkol Salai & Pucuk Ubi

Assalam...
Ini salah satu lauk orang kampung yang selalu disediakan oleh mak dan arwah nenek dulu. Orang kampung macam saya, pucuk ubi itu dah menjadi sumber sayuran yang selalu disediakan sebagai lauk makan tengahari atau malam.  Lucu juga bila ada sketsa orang kampung berebut dengan kambing untuk mendapatkan pucuk ubi.  Tapi itu hanya terjadi di kampung yang penduduknya membela kambing dan biarkan ternakan itu lepas meragut ke dalam kebun orang lain.  Kampung saya dulu takdelah kes macam ini, rasa kalau lepas sekawan kambing pun sempat habis pucuk tu diragutnya.  Sepanjang jalan kiri kanan jalan memang banyak pucuk ubi, siap orang kampung petik dan jual di pekan, tiada siapa nak peduli, tiada siapa nak larang.  Tapi itu hanya tinggal nostalgia, cerita 10, 20 tahun dulu.  Jomlah tengok resepi nak sediakan menu orang kampung ini..
Tongkol Salai & Pucuk Ubi
Sumber: Mak Timah

Bahannya
1 ekor ikan tongkol sederhana besar - bersihkan dan salai (panggang dalam oven pun boleh). 
*  Kalau tak suka ikan tongkol boleh tukar ikan lain, guna ikan sungai seperti haruan atau keli pun boleh.  Cuma kalau guna ikan bersisik buangkan sisik atau kupas kulit ikan setelah dipanggang sebelum kita balut dengan pucuk ubi untuk menyenangkan masa makan nanti.
 
Pucuk ubi secukupnya - bersihkan dan rebus terlebih dahulu dan toskan.
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 inc.halia
serbuk lada putih
ikan bilis (optional)
2 litre santan pekat
Garam dan serbuk perasa

Penyediaannya
*  Tumbukkan bawang, ikan bilis dan halia hingga lumat.
*  Ikan salai, boleh potong kepada beberapa bahagian dan balut ikan dengan pucuk ubi yang telah direbus tadi.  Susun dalam periuk.
*  Curah santan dan masukkan bahan tumbuk tadi.  Didihkan dan masaklah hingga bahan semua mesra rasa.  Jangan lupa letak garam dan perasa yang disukai.
*  Sentiasa kacau pada bahagian atas kuah untuk elakkan santan pecah minyak dan melimpah keluar.
Pucuk ubi ini hasil ragutan di kebun mertuaku, ikutkan hati nak petik jer semua.  Tapi ada satu jenis itu dilarang petik sebab dikuatiri boleh memabukkan, menurut beliau (jenis daun lebar seperti ubi gajah).  Terpaksalah akur, walau dalam hati berkata, dulu-dulu orang kampung saya makan jer semua jenis pucuk ubi itu.  Mulanya nak masak lemak yang ditumbuk bersama jantung pisang, tapi tak sempat nak buat so masak dengan menu yang senang ini dulu.  Balik kampung nanti kita boleh petik lagi, lepas itu kita masak dan makan mewah-mewah.  Feel2 eat like a king or king kong.
Wassalam.

Monday, 20 October 2014

Sambal Tongkol, Lauk Lagi dan Lagi....

Assalam...
Lauk ulang tayang yang selalu sangat disediakan.  Napa jadi macam tu sebab takde idea nak masak atau memang tak tahu masak lauk lain.  Satu sebab ianya mudah, dari langkah pertama nak bersihkan ikan tongkol memang mudah, tak ada sisik, hanya potong sirip dan kupas kulit dibahagian kepala.  Lagi satu bila dah masak ada sambal laju jer nak makannya.  Kira membuat penambahbaikkan pada menu berbanding makan yang bergoreng saja.
Sambal Tongkol
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 ekor ikan tongkol - perap garam kunyit dan goreng separuh masak.

Bahan-bahan untuk dikisar
4 biji cili merah
5 biji cili padi (abaikan bagi yang tak suka pedas)
4 biji bawang putih
3 biji bawang merah
2 biji tomato
2 biji buah keras
2 batang serai - potong kecil
1 inc. halia
1 inc. kunyit 

1 biji bawang besar - potong bulat
garam, gula dan perasa

Cara Penyediaan
*  Goreng ikan separuh masak, elakkan menggoreng ikan terlalu garing sebab isi ikan tongkol ini agak keras.
*  Tumiskan bahan blend hingga kering dan naik minyak.  Masukkan bawang potong, garam, gula dan serbuk perasa.  Sesuaikan rasanya.
*  Masukkan ikan yang telah digoreng tadi, biar seketika bagi ikan dan sambal mesra.  Tutup api dan boleh dihidang.
Kalau di tempat saya, sambal ikan macam ini salah satu lauk untuk nasi kuning yang biasa di makan ketika sarapan.
Wassalam.