Sunday, 30 November 2014

Infused Water - Minggu Pertama

Assalam...
Konon-konon nak buat cabaran untuk diri sendiri selama 30 hari dengan menyediakan infused water untuk mendetox segala kotoran dalam badan.  Setelah membaca dan mengetahui tentang manfaatnya jika diamalkan, maka berkobar-kobar lagilah keinginan itu.  Yang paling penting usaha untuk mengalakkan diri sendiri minum lebih banyak air setiap hari atau mengikut keperluan badan seseorang iaitu 25kg bersamaan 1litre air.  Benda baik takyah tangguh2, ayo kita amalkan sekarang.  Senang dan ringkas jer untuk disediakan dan boleh campur-campur apa-apa jenis buah.  Ini hasil olahan saya untuk minggu pertama.

Hari Pertama - Lemon + oren

Hari Kedua - Teh + Oren = Tehreen (istilah sendiri)

Hari Ketiga - Timun + Oren + Lemon

Hari Keempat - Timun + Pudina + Lemon + Halia (resepi untuk mengempiskan perut katanya)

Hari Kelima - Oren + Lemon + Limau nipis


Hari Keenam - Lemon + Madu

Hari Ketujuh - Delima + Lemon + Lime
Tipu sebenarnya dapat habiskan setiap jenis setiap hari, jadi time frame seminggu tu tak berjaya dicapai sebaliknya buat tambahan kepada beberapa hari lagi.  Sekali buat kira-kira 2 liter, tapi saya minum masa di rumah saja tak kuasa nak kendong ke tempat kerja.  Lagi satu nanti asyik nak ke toilet, dahlah tempat kerja saya toilet tingkat satu, berapa kali nak kenalah panjat tangga sehari.  Kadang dah lebih 2 hari air tu, tetap jugak minum dan habiskan, bayangkan betapa pahit dan peritnya rasa lemon tu.  Entah-entah khasiat dalam tu dah bertukar jadi kelain pulak....ah sudah siapa pula nak buat kajian kandungan infused water expired ini????.
Wassalam

Sambal Kemangi

Assalam...
Salah satu sambal yang keluarga saya suka sediakan terutama mak.  Bila dapat balik kampung bolehlah mengada-ngada suruh mak buat.  Kan air tangan mak itu makanan palingggg dan terrrrrsedap untuk anak-anak.  Rindu mak sebenarnya ini.  Halaman rumah memang tak pernah mis dengan herba pokok kemangi ini, sebab mak suka sangat letak dalam sayur atau buat sambal.  Kadang buat tu banyak versi, versi yang letak isi ikan masak, isi ikan bakar dan versi yang tak letak isi ikan pun ada.  Tanpa belacan atau buah keras pun boleh jadi, cuma kurang lemak berbanding kalau letak buah keras.  Bagi mereka yang ada alahan dengan belacan, boleh abaikan takyah letak.  Jomlah tengok camana cara buatnya.

Sambal Kemangi
Sumber: Mak Timah

Bahannya
daun kemangi secukupnya
tomato*
cili merah*
cili padi*
buah keras* (optional)
belacan* (optional)
bawang merah*
bawang putih *
isi ikan bakar / goreng
garam, gula secukupnya


Cara Penyediaannya.
-  Goreng atau bakar sekejap semua bahan-bahan bertanda *.  Buang kulit tomato dan tumbuk kesemuanya.  Bila dah lumat masukkan isi ikan, daun kemangi dan perasakan.
-  Sambal kemangi sedap dipadankan dengan ikan bakar, sayur asem, sayur bening dan nasi panas.
-  Kalau tak habis makan, simpan dalam peti sejuk, kerana sambal ini mudah rosak sebab menggunakan bahan-bahan fresh.



En.Abe, bila dapat makan sambal ini, dia tak makan dengan nasi.  Tetapi sambal letak atas roti, cheese creaker atau cream creaker, tutup dengan hirisan timun baru makan.  Konon-konon feel nak transform menu kampung jadi menu hi-tea.
Wassalam.

Kuih Bom / Onde-onde

Assalam...
Kuih bom or kuih onde-onde or kuih bijan, tak tahu yang mana satu nama yang betul untuk kuih ini.  Agaknya semua betul kot, cuma lain tempat lain nama gelarannya.  Saya lebih suka panggil kuih ini, kuih bom.  Ada rupa bom ker? entah tak pernah nampak bom sebenar.  Tapi bila silap buat boleh meletup macam bom ketika di goreng.
Senang jugak sebenarnya buat kuih ini kalau inti dah ada yang tersedia.  Inti boleh guna inti kelapa mahupun inti kacang hijau.  Kacang merah agak2 suka, boleh juga.  Saya buat ini berbekalkan inti kelapa yang dapat free itu.
Cara buatnya ikut cara buat kuih lame-lame yang dah buat sebelum ini.  Buat dari doh yang sama sebenarnya dan bentukkan lain-lain.  Bezanya cuma kuih bom ini buat bulat-bulat dan golekkan dengan bijan terlebih dahulu sebelum digoreng dalam minyak penuh.  Resepi buat doh boleh rujuk sini yer.
Mari kita belajar buat inti kelapa pula, sangat senang dan mudah untuk disediakan.

Inti Kelapa (Pallise')
Sumber: Mak Timah
 
Bahannya
1 biji kelapa parut - seelok-eloknya guna kelapa yang muda kerana seratnya masih lembut dan lemak.
1 cawam gula merah / melaka / kabung - kurangkan atau lebihkan mengikut kemanisan yang anda suka.
sedikit garam
1 sudu tepung gandum
sehelai daun pandan - simpulkan

Penyediaannya
* Campurkan semua bahan, masak dalam periuk atau kuali pun boleh.  Ada orang yang cairkan gula telebih dahulu kemudian masukkan bahan-bahan yang lain.  Pun boleh, ikutlah yang mana lebih senang.
*  Kacau selalu hingga sebati gula dan kelapa.  Masak hingga pekat sedikit atau inti seakan keluar minyak atau tidak melekat pada sudip.
*  Sejukkan terlebih dahulu sebelum digunakan sebagai inti.  Kalau di kampung saya, ada kenduri mereka sediakan ini ini awal sehari atau dua hari sebelum digunakan.
Inti kelapa ini boleh jadi sebagai ibu kuih, sebab bila dah ada inti, boleh hasilkan pelbagai jenis kuih seperti ini kuih bom, badak berendam, tepung bungkus, kuih ketayap, kuih koci, pulut inti atau ada lagi kuih yang lain, yang unik atau kuih tradisi di tempat korang.
Wassalam.

Selera Timur Di Pagi Ahad

Assalam....
Seawal pagi kami ke sini tadi (Pasar Tani Kota Damansara).  Awal-awal pagi dah tanya kalau en.Abe larat nak bawa, almaklum semalam dia mc sebab batuk teruk dan demam. Alhamdulillah hari ini dah sihat sikit katanya.  Seusai solat subuh dan melapik perut kami keluar.  Sebenarnya saya yang nak cari barang di pasar tani ini, nak pergi pasar tani kat stadium Shah Alam tu jauh sangat, silap-silap dalam masa 2 jam tak boleh settled.
Pasar tani Kota Damansara ini, takdelah besar macam kat stadium tu.  Tapi kalau sekadar nak cari bahan-bahan dapur sayur, daging, ikan segar ada aje di sini.  Lepas beli semua barang-barang di kehendaki, kami usha-usha benda makan untuk sarapan pulak.
Nampak panjang barisan kat sini, satu-satunya gerai yang menjual juadah pantai timur.  Kami pun baris jugaklah nak pekena nasi kerabu.  Ada seorang pakcik tu beratur sampai isteri dia dah siap shopping dia tak settled lagi beli nasi dagang di gerai ini.  Sanggup beratur sebab nak makan katanya.
 Tu harga makanan di selera timur ini.
Yang ini pun beli juga, makan di perjalanan balik rumah.
Kegemaran en.Abe, nasi dagang dengan gulai ayam.
Untuk saya mesti nak yang ini, nasi kerabu lauk daging bakar & solok lada.  Telur masin tak beli sebab stock lauk semalam ada lebih lagi.
Kalau yang ini dua-dua suka, jadi semangkuk ini makan rebut-rebut baru best.  Menu yang kami beli di gerai selera timur ini adalah nasi dagang, laksam dan nasi kerabu.  Rasanya kira sedaplah jugak, lain kali boleh beli lagi. 
 Dessertnya, apam balik.
Buah delima yang beli minggu lepas kat MAHA, warna merah delima tu tak mengancam sangat...tapi manis.
Sebenarnya makanan itu semua kami makan ketika makan tengahari sebab masih terasa kenyang ketika sampai rumah...kan dah makan sebelum pergi tadi.  Dapat bayangkan kalau pergi masa perut kosong mesti rambang mata semua nampak sedap jer.  Lain kali tips ini kena diguna pakai bila kuar membeli belah walaupun sekadar ke pasar aje supaya tak teroverrrrrrrr.
Wassalam.

Monday, 24 November 2014

Kenali Nanas

Assalam...
Nanas saya selalu sebut nenas, yang betulnya adalah NANAS.  Saya suka makan sebab ini antara buah segar yang senang diperolehi daripada kebun bapak dulu hingga kini.  Selalu kami makan segar saja, atau bapak makan dengan nasi mengantikan dengan sayur.  Ada memori zaman kanak-kanak pasal pokok ini, dikenakan perintah berkurun dan hampir kena sebat kerana mengerjakan pokok nenas jiran.  Jadi bahan mainan, tarik dan cabut daun hingga pokok botak.
Selama ini tau makan jer.  Selalu dengar orang kata nanas Sarawak yang manis, yang sedap, jenis-jenis lain tak tahu.  Tapi boleh bezakan rasanya, ada yang bila kita makan rasa lidas kuat pada lidah dan ada yang tak.
Laman nanas ini antara laman ekspo yang sempat kami lawati ketika pergi MAHA hari itu.  Entry sebelum ini ada di sini dan di siniTurut dipamerkan adalah varieti nanas yang terdapat dipasaran, bolehlah belajar dan tengok berbezaannya.
Yankee.
Moris
N 36.
Jenis nanas dan kegunaannya, sama ada untuk dimakan segar atau dikalengkan (tin).
Welcome drink dengan jus nanas.
Lepas tu kita rasa pulak nanas jenis Josapine
Yankee,
Dan MD 2, varieti yang sedang dipopularkan kini.  Varieti yang dihasilkan daripada kajian 5 atau lebih jenis varieti nanas yang ada.  Rasanya memang paling sedap dan manis daripada rasa verieti nanas yang lain.
Di dalam bangunan Pusat Informasi Nanas tu, menyediakan info segala-galanya tentang nanas.
Sejarah nanas di nama ianya bermula dan bagaimana pokok nanas sampai ke Tanah Melayu sehingga negara kita menjadi tempat ketiga pengeluar nanas dunia selepas Thailand dan Philipina.
Mari uji minda tentang nanas.
Jawapan ada kat bawah ini. 
Antara produk hiliran daripada pokok nanas, jangan ingat buah aje yang boleh dimakan..parts lainpun berguna jugak.
Nanas ori dan bukan ori
Dulu kita selalu baca cerita tentang pekebun yang menjumpai jambul nanas ganjil dan kelihatan aneh.
Kalau buat pose-pose cantik dan lawa, bolehlah ikut pertandingan klik-klik di laman nanas.  Baca info di bawah ini, siapa tahu anda antara pengunjung yang bernasib baik. 
Pada sesiapa yang ada hasrat untuk memulakan projek nanas, ada tanah yang terbiar boleh berhubung dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.  Mereka ada sediakan bantuan berupa bimbingan dan modal untuk projek tanaman nanas.
Wassalam.

Jom Pergi MAHA 2014

Assalam....
Jom pakat-pakat, ramai-ramai pergi MAHA 2014 yang diadakan di MAEPS, Serdang Selangor.  Bukan Serdang, Kedah ya.  Walaupun ekspo ini berkaitan dengan pertanian, penternakan, agro pelancongan dan perikanan, namun aktiviti terlalu banyak disediakan untuk semua peringkat umur. Tahun ini penganjuran MAHA yang ke-5 yang dianjurkan sekali dalam tempoh 2 tahun.  Masih ada waktu bagi mereka yang belum berkunjung kerana MAHA berlangsung sehingga 30hb November 2014.
Tempat ini sangat luas.  Lupakan niat anda kalau rasa nak santai berjalan-jalan kaki memang akan terpongeh dan elakkan memakai sepatu tumit tinggi.  Pengunjung tidak dibenarkan membawa kereta round-round kawasan.  Sila meletak kenderaan di tempat yang disediakan di Laman Tiba 1 dan 2.
Jom kita kembara kawasan naik traktor ini.  Best kan, adventure gitu.  Pengangkutan disediakan untuk bergerak dari satu laman ke laman yang lain dengan percuma.  Hanya tunggu di tempat yang telah disediakan.
Anda dan anak-anak bercadang nak pegang serta peluk-peluk arnab, kambing, lembu, dorper dan lain-lain pergilah ke Laman Ternak.
Lembu pedaging yang didatangkan khas oleh penternak-penternak seluruh negara.
Ada aktiviti mencukur bulu dorper yang jadi tumpuan di situ.
Setiap laman yang dikunjungi, pasti ramai pengunjung.  Jadi bersabar sedikit ketika menggunakan kemudahan seperti tandas, surau dan ketika menunggu tren.
Kalau tak suka yang outdoor, pameran indoor turut disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta di dewan-dewan pameran utama, dewan A dan B.
Penanaman secara hidroponik alternatif bagi mereka yang tidak mempunyai tanah.
Persembahan muzik yang menggunakan peralatan daripada bambu dipersembahkan oleh sekumpulan pelajar UITM Merbok, Kedah.
Para pekebun sekalian dan pencinta pokok-pokok bunga dapatkan koleksi anda di sini.  Yang lain pun bagus juga datang di tempat ini, sekurang-kurangnya kenal nama satu atau dua jenis tanaman.
Kalau tak nak beli pokok, takde tempat nak tanam.  Beli jer buahnya.
Rock melon memang murah sekilo RM4.00 sahaja, harga kat luar dalam RM7.00.
Segar dari ladang, memanglah murah sebab tak melalui orang tengah.  Di pasar yang kita beli tu, entah dah singgah berapa tangan pemborong dah.
Jangan risau tentang makanan, takut lapar ke apa, banyak gerai yang menjual makanan di sini.  Gerai disediakan dan terletak berdekatan dengan laman ekspo.
Lidah lembu di gerai sup.
Cantik luar, cantik dalam.  Antara spesis cili yang terpedas.
Buah kelapa laut.
Buah nipah, isi macam buah kabung yang letak dalam ABC tu.
Selalu kita jumpa yang dah siap dijerukkan. Asam Kelubi.
Buah ini saya tak pernah tahu dan tak pernah jumpa.  Yang saya tahu sapu kaya atas roti...hehehe.
Mereka yang ingin mengikuti seminar usahawan secara percuma juga ada disediakan bermula 24hb hingga 29hb.  Sila rujuk di sini mana-mana slot yang dikehendaki.
Wassalam.