Friday, 18 January 2013

Majlis Perkahwinan Suku Bugis

nasamulia
Upacara Akad Nikah, selalunya berlangsung di rumah pengantin perempuan dan turut disaksikan oleh saudara terdekat kedua-dua pengantin.  Pengantin perempuan tidak akan keluar dan hanya menunggu di dalam bilik ketika majlis akad nikah dijalankan.
Assalam,
Entri kali ini mulia nak tunjukan suasana majlis perkahwinan orang Bugis di Sabah.  Ini adalah majlis yang diadakan secara sederhana berbanding dengan yang pernah Mulia hadiri. Adat Bugis yang Mulia nak paparkan hanya merangkumi upacara akad nikah dan bersanding.  Adat-adat yang sebelum dan seterusnya tidak dapat disertakan kerana waktu yang terbatas, ada rezeki lain kali Mulia paparkan yek.
nasamulia
Pengantin lelaki di iringi oleh seseorang yang membawa bungkusan kain putih yang digantung pada leher dikenali sebagai pa'bawa sompa.  Individu yang dipilih untuk membawa sompa adalah dari keluarga terdekat yang boleh dipercayai kerana i seumpama membawa harga diri dan perlu dijaga sesempurna mungkin.  Sompa membawa makna yang terlalu mendalam ketika upacara perkhawinan.  Didalam bungkusan kain putih terdiri daripada beras, jarum, kayu manis dan duit.  Kesemua bahan2 tersebut membawa pengertian tertentu.

nasamulia
Para pengiring pengantin lelaki turut membawa hantaran dikenali sebagai Pappere' Botting.  Ketika dahulu, mereka yang dipilih untuk membawa hantaran terdiri daripada gadis dan teruna sahaja sebagai simbolik mereka akan bertemu jodoh dengan cepat.
nasamulia
Jika mengikut adat, para pembawa hantaran perlu memakai persalinan baju bodo'
nasamulia
Antara barang hantaran untuk pengantin perempuan - dilengkapi dengan berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, talkum dan mengetip kuku. Ini membawa maksud kehidupan pengantin di masa mendatang perlu saling melengkapi.
nasamulia
Anak baju jugak diturut diberikan kepada pengantin perempuan.

nasamulia
Busara' tempat yang digunakan untuk meletakkan makanan selalunya berupa (beppa' rica atau beppa' rakko') kuih kering atau kuih basah
Adat Mappasikarawa (membatalkan air wuduk) akan dijalankan setelah akad nikah selesai.  Ketika ini seorang yang telah dilantik akan memengang jari pengantin lelaki dan disentuhkan ke beberapa bahagian tubuh pengantin perempuan seperti pipi, hidung, dagu, dahi dan lengan.  Sebelum pengantin lelaki bertemu dengan pengantin perempuan, mak andam akan menutup pintu dan meminta pengantin lelaki menghulurkan duit dikenali sebagai Pa'bukka tange' (duit pembuka pintu ataupun tol dalam masyakat Melayu)Pintu hanya akan dibuka bila mak andam berpuas hati dengan nilai yang dihulurkan di bawah pintu.

Kedua-dua pengantin akan disarungkan dengan kain pelikat yang perbuat daripada sutera (lipa' tenung sabbe) sebanyak bilangan angka 7, 9 atau 11 helai.  Bilangan kain selalunya melambangkan kedudukan sosial pengantin.  Kain yang digunakan pula adalah daripada koleksi terbaik yang dipunyai oleh keluarga pengantin perempuan.  Kedua-dua pengantin akan melepaskan kain tersebut satu persatu dari bawah ke atas.
nasamulia
Pelamin moden turut digunakan sebagai adaptasi daripada budaya setempat - Kerusi yang disediakan di hadapan pelamin di sebelah kiri dan kanan adalah untuk ibu bapa atau saudara terdekat pengantin yang akan menyambut tetamu yang hendak bersalaman dengan pengantin.
nasamulia
Ongroang Passolo' (tong yang disediakan untuk tetamu meletakkan sampul yang berisi wang sebagai hadiah kepada pengantin) kebanyakkan tetamu akan memberi hadiah berupa wang yang diletakkan di dalam sampul (dan mereka akan menulis nama di atas sampul tersebut)Acara membuka passolo' akan dilakukan selepas majlis selesai dan setiap nama yang memberi hadiah akan dicatat sebagai ingatan dan panduan bahawa setiap tetamu yang telah hadir dan memberi hadiah perlu dikunjungi kemudian hari ketika mereka mengadakan majlis perkahwinan atau sebarang majlis seumpamanya.
Peredaran masa, menyaksikan suku kaum bugis turut mengalami perubahan melalui cara menghidang makanan secara buffet kepada tetamu.  Yang masih kekal adalah kerjasama yang ditunjukkan ketika menyediakan juadah kerana sangat jarang mereka yang mengunakan khidmat katering, semua juadah dimasak bersama-sama keluarga dan jiran tetangga.

Mengikut adat Bugis yang asal hantaran dari pihak pengantin lelaki tidak dibalas seperti yang diamalkan pada masa kini.  Pihak pengantin perempuan hanya akan menyediakan makanan dan set kelengkapan pinggan mangkuk untuk kegunaan mereka kelak.  Maaf, Mulia tidak dapat merakamkan gambar pengantin bersanding di pelamin kerana kami perlu bergerak balik segera....wassalam.

No comments:

Post a Comment