Sunday, 25 August 2019

Istanbul Aku Singgah: Sultan Ahmet Archaeological Park

Assalam....
Dari resto tempat kami berkumpul ke masjid biru, akan melalui kawasan (Sultanahmet Meydani) Dataran Sultan Ahmet di mana terletaknya tapak asal Hippodrome.  Kawasan lapang ini terletak di antara (Masjid Sultan Ahmed) Blue Mosque dan Hagia Sophia.  Hippodrome pada zaman Roman Byzantine merupakan gelanggang perlumbaan kereta kuda (chariot).



Dalam lingkungan garis merah itulah kawasan bersejarah di old Istanbul yang digazetkan di bawah UNESCO (World Heritage Site).  Nak jejak seluruh kawasan memang tak dapatlah dengan masa yang singkat kan, dapat bersiar-siar di kawasan Hippodrome sambil melihat saksi bisu beberapa tugu yang menjadi monument penting dalam Hippodrome ribuan tahun dahulu.


Tembok ini merupakan sebahagian binaan Arasta Hamami (tempat mandi) yang musnah dan terbiar selepas kebakaran, masih dalam rangka pemulihan.  Tempat mandi ini bukan untuk umum ketika itu tetapi dikhaskan untuk para Sipahi / sipahiler (unit berkuda kerajaan Uthamaniyyah).


Deretan bangunan warna-warni ini terdiri daripada rumah penduduk, gallery dan cafe.  Rumah-rumah tu ada penghuni ke tak, bertutup rapat jer pintu dan tingkap semua.  Setiap rumah ada tertulis doa untuk pembebasan penduduk Turkistan timur daripada penindasan dan kezaliman oleh rejim Cina.


Bangunan muzium Universiti Marmara.


Kawasan bersiar-siar untuk orang ramai menikmati pemandangan di Dataran Sultan Ahmet, Istanbul.  Jika penat berjalan, boleh singgah di mana-mana cafe di sekitarnya untuk menikmati secawan teh turki.


The Walled Obelisk, terletak di bahagian selatan Hippodrome Constantinople.  Tarikh pembinaan monumen ini tidak jelas tetapi ia dinamakan sempena Constantine VII yang membaik pulih pada kurun ke-5.  Monument ini telah dibaik pulih dengan potongan batu-batu oleh Constantine VII dan dihiasi dengan plak gangsa berlapis emas yang menggambarkan kejayaan Basil I, datuk Constantine VII.  Walau bagaimanapun, dilaporkan plak gangsa berlapis emas ini dicuri dan dicairkan oleh Tentara Salib Keempat pada tahun 1204.


Obelisk The Theodosius antara 3 yang terpenting dalam gelanggang perlumbaan chariot hippodrome.   Di percayai monumen ini dibuat dan dipindahkan daripada mesir kuno ke Constantinople oleh Raja Theodosius I pada abad ke-4 dan menempatkannya di hippordome. 

Tembok Theodosius pula adalah kubu pertahanan Constantinople, ibukota Empayar Byzantin, yang pertama kali dibina semasa pemerintahan Theodosius II (408-450 M). Kadang-kadang dikenali sebagai Theodosian Long Walls, mereka membina dan memperkuat kubu-kubu sebelumnya sehingga bandar menjadi tidak dapat dikalahkan untuk pengepungan musuh selama 800 tahun. Pertahanan adalah yang terbesar dan paling kuat yang pernah dibina di dunia kuno atau zaman pertengahan. Melawan serangan dan gempa bumi selama berabad-abad, dindingnya diuji terutamanya oleh pasukan Bulgar dan Arab yang kadang-kadang mengepung kota itu selama bertahun-tahun. Bahagian dinding masih boleh dilihat hari ini di Istanbul moden dan merupakan monumen yang paling mengagumkan dalam bandar yang terbina sejak zaman purba.


Cerita pasal gelanggang perlumbaan kereta kuda zaman purba ini dapat menyingkap kisah sedih menyayat hati yang pernah berlaku ketika pemerintahan Emperor Justinian. Perlumbaan kuda pada mulanya aman damai bertukar menjadi sebaliknya apabila berlakunya pertembungan 2 fahaman politik yang menyokong dan menentang pemerintahan Emperor Justanian.  Raja telah melantik orang tengah untuk mendamaikan persengketaan, namun orang tengah itu tidak disukai oleh kedua-dua pihak.


Menyedari pengaruh raja semakin menurun dikalangan rakyat.  Emperor telah membuat satu helah mengatakan akan menuruni tahkta dan pihak-pihak bertelaga datang berkumpul di hippodrome  dengan harapan pemerintah baru akan dilantik daripada kalangan mereka.  Setelah hippordrome dipenuhi dengan kedua-dua pihak, Raja telah mengarahkan semua pintu hippodrome dikunci dan tentera-tentera beliau membunuh semua yang berada di situ.  Dicatatkan seramai 30,000 jiwa terkorban dalam peristiwa itu, dan sebagai tanda bertaubat Justinian atas dosa yang beliau telah lakukan, beliau membangunkan Gereja Hagia Sophia.

Ini pula The Serpentine Column (tiang ular), didirikan sebagai tanda memperingati pasukan tentera Yunani yang bertempur dan mengalahkan tentera Parsi dalam Perang Plataea (479 BC).  Asalnya tiang ini terletak di Delphi, Greek tetapi di pindahkan ke Constantinople (nama lama bagi Istanbul) oleh Raja Constantine.  Pada bahagian atas tiang ini terdapat patung kepala ular yang disimpan di muzium.   Kedalaman dasar column daripada yang asal menunjukkan ketinggian tambakan tanah untuk pembangunan kawasan sekitar.


German Fountain (pancutan air dengan kubah), terletak di penghujung hippodrome adalah hadiah daripada Raja Jerman Emperor Wilhem II sebagai tanda persahabatan dengan Kerajaan Ottoman.


Ukiran pada kubah German Fountain.


Pili air pada monumen pancutan air berkubah.

Rasa ketika sampai di kawasan bersejarah ini, benda pertama yang dicari adalah Masjid Sultan Ahmet (blue mosque), yang lain-lain sekadar ambil gambar satu dua.  Cerita pasal Masjid Biru boleh baca di sini


Perjalanan kami hanya sampai ke taman bunga di hadapan Hagia Sophia.  Hagia Sophia sebuah geraja yang dibangunkan oleh Emperor Justinian sebagai menebus dosa beliau setelah pembunuhan beramai-ramai di hippordrome.  Ketika tentera Ottoman dapat menawan Constantinople kota ini ditukar nama kepada Islambol (kini Istanbul) dan Hagia Sophia di tukar fungsi menjadi sebuah masjid, lukisan-lukisan kristian pada seluruh bangunan ditutup dengan tampalan plaster. 

Namun setelah Empayar Othmaniyyah berakhir dan Turki bertukar menjadi republik, pemerintah ketika itu Mustafa Kamal Artartuk, menukarkan Hagia Sophia kepada sebuah muzium dan untuk memperlihatkan ianya sebagai gareja sebenar, semua plaster telah ditanggalkan. 
Wassalam.

2 comments:

  1. owh baru tahu tentang masjid hagia sophia tu..rupanya asalnya adalah sebuah gereja ya..

    ReplyDelete
  2. Bilalah nak sampai Istanbul ni...wishlist gak ni...

    ReplyDelete