Thursday 21 December 2017

Masjid Kampung Hulu Melaka


Assalam...
Masjid Kampung Hulu Melaka, merupakan antara masjid tertua yang ada di Malaysia.   Dibina ketika zaman penjajahan Belanda (tahun 1728) dan masih dikekalkan mengikut struktur asal dan di tapak yang asal hingga ke hari ini.  Melihat pada reka bentuk masjid, seni bina masjid Kampung Hulu dipengaruhi oleh senireka daripada Jawa (bumbung bertingkat 3 dan 4 tiang utama yang menyokong binaan dalaman masjid).  Pemerintah Belanda yang berpusat di Tanah Jawa ketika itu penggalakkan kepelbagaian budaya diadaptasi dalam seni bina bangunan.  Hiasan pada masjid pula dipengaruhi daripada budaya cina dengan menggunakan seramik dan lantai jubin



Lokasi masjid ini sekarang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka (dalam kawasan Melaka Tengah) dan kawasan sekitarnya adalah kawasan yang sibuk dengan aktiviti perniagaan yang diusahakan oleh kaum cina.  Dekat dengan kawasan popular Jonker Street.


Ada dua buah meriam kecil sebagai hiasan diletakkan di sebelah kiri dan kanan tangga ke ruangan sholat lelaki.


Air kolah masjid yang digemari ramai, wallahualam tentang khasiat dan kebenaranya.  Terasa nyaman dapat duduk sebentar di tepi kolah, ketika itu cuaca memang panas lit lit.


Pintu utama Masjid Kampung Hulu.


Pondok yang menempatkan beduk, dibina di atas pintu laluan keluar masuk utama ke masjid yang berada di Jalan Kampung Hulu.  Beduk ratusan tahun ini masih digunakan sehingga kini untuk menandakan masuknya waktu sholat.


Ada perigi lama di tepi masjid sumber air untuk jemaah dahulu. Sekarang sudah tidak digunakan lagi.


Ruang mimbar masjid, sebelah tu ada sejadah warna kuning.  Selalu mereka yang berhajat akan datang sholat di tempat ini.


Ruang sholat utama.  Walaupun hanya dapat menampung lebih kurang 250 orang jemaah, tetapi masjid ini sering dikunjungi oleh pelawat daripada luar.


Salah satu daripada 4 tiang utama yang menyokong struktur bangunan masjid.


Ruang sholat untuk wanita terletak di bahagian serambi masjid.


Penambahbaikan sentiasa dilakukan untuk keselesaan jemaah beribadah, namun masih mengekalkan struktur asalnya.


Menara masjid yang dahulunya dijadikan tempat untuk melaungkan azan oleh bilal.  Kini pembesar suara dah ada, bilal tak perlu panjat tangga ke menara.

Walaupun masjid ini telah disenaraikan sebagai bangunan bersejarah, diharapkan dapat terus dikekalkan bersama fungsi asalnya.  Terima kasih kak Idah dan Shafiq bawa kita ke sini.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment