Friday, 21 December 2018

Lempeng Pisang aka Banana Pancake

Assalam....
Sepanjang 2 bulan lepas, bekalan pisang emas masak dari kampung tak putus ketika itu mak dan bapak mertua banyak berulang-alik kampung dan hospital.  Pisang yang matang mereka bawa sekali, bawa pisang bertandan untuk diagih-agihkan kepada anak-anaknya.  Ada antara pisang tu yang terlalu masak sebab tak habis makan atau mereka tak sempat nak ambil.  Daripada terbuang begitu saja. saya kupas dan frozenkan isi pisang itu.  Bila dah simpan frozen memang nampak kehitaman dan kurang sikit dari segi warna tetapi masih elok jika diolah menjadi kuih untuk sarapan atau minum petang.


Menu pisang yang dapat dibuat dari buah frozen tu, dapatlah untuk semua orang sihat dan yang kurang sihat.  Bagi yang kena kontrol diet dan nak sihat, buatkan lah lempeng sementara yang masih suka dengan rasa berminyak teruskanlah dengan cekodok


Lempeng Pisang
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Sesikat biji pisang emas masak
1/2 cawan tepung
2 biji telur
3 sudu gula
1/2 sudu teh baking powder
1 sudu majerin
Sedikit air

Cara Penyediaannya
* Satukan semua bahan kecuali tepung, blend hingga halus.
* Tuangkan ke dalam mangkuk dan tambahkan tepung.  Kacau rata hingga sebati dan tidak bergentel.
* Panaskan kuali letak sedikit majerin, sendukkan adunan dan leperkan dalam kuali mengikut saiz lempeng yang dikehendaki.
* Tutup kuali sebentar hingga semua permukaan lempeng matang.
* Terbalikkan sekejap jika suka.
* Angkat dan hidangkan lempeng.
* Boleh dihidangkan bersama titiskan madu, atau syrup atau dihidang bersama ais krim scoop. 

Saya makan begitu saja, sebab dah rasa sedap dan manis pisang mencukupi. 
Wassalam.