Saturday, 22 December 2018

Beppa Oto' (Kuih Otok)

Assalamm...
Kuih Otok salah satu kuih tradisi masyarkat Bugis.  Sudahlah lama jarang pula jumpa orang membuat kuih ini.  Sebabnya utama adalah adat tradisi orang-orang tua dahulu, mereka hanya buat kuih ini berdasarkan majlis tertentu, maksudnya tidak dibuat saja-saja.  Saya juga tidak tahu apa rasionalnya dengan alasan itu, kuih ini hanya dibuat ketika majlis kesyukuran akikah bayi atau ketika ada majlis tahlil arwah.  Selain daripada dua majlis ini mereka tak akan buat kuih ini, sebab itu kot nama dia oto' (bangkit/bangun - kelahiran dan kematian). 


Bahan untuk menghasilkan kuih ini hanya menggunakan bahan asas iaitu tepung, santan dan gula merah, dibalut daun pisang serta dikukus.  Bentuk macam lepat liat, tetapi kuih ini tidak liat dan kenyal,  sebaliknya lembut.


Beppa Otto
Sumber: Andi Sundari


Bahan-bahan
500gm tepung beras
500gm gula merah
6 gelas santan
Sedikit gula pasir
Sedikit garam
Daun pisang muda untuk membungkus


Cara Penyediaannya
* Campurkan gula bersama sebahagian santan.  Santan lebihan untuk dicampur dengan tepung.
* Masak gula merah, gula pasir, garam  bersama santan hingga gula cair.
* Masukkan bancuhan tepung dan santan kedalam air gula yang dimasak (kacau terlebih dahulu sebelum dituang agak tidak bergentel).
* Sentiasa kacau adunan atas api hingga tepung beku dan licin.
* Ambil sedikit adunan dan bentukkan memanjang sebesar jari telunjuk.
* Bungkus setiap adunan yang dibentuk tadi dengan daun pisang mudah.
* Ambil 3 atau 4 bungkusan kecil dan balut pula dengan daun pisang lain menjadi satu bungkusan yang lebar.  
* Sekiranya hendak dibungkus satu persatu, bentukkan adunan agak lebar dan sedikit besar.
* Kukus kuih hingga masak seperti mengukus kuih bandang atau nagasari.


Ini bentuk kuih oto' yang dibungkus satu persatu, lebih besar dan agak lebar.  Saya pernah makan kuih oto' yang kecil sebesar jari telunjuk, agaknya orang yang buat tu lebih rajin daripada orang yang buat besar begini.

Saya rasa tak salah kalau nak buat kuih ini untuk acara majlis makan-makan biasa, tak perlu lah nak mengikut adat sangat.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment