Sunday, 3 March 2019

Buah Kelor @ Munggai Masak Bening

Assalam...
Kenal tak sayur buah kelor? mungkin ada yang sebut nama lain seperti buah munggai atau ramunggai sama lah tu.  Yang panggil nama moringa pun ada juga.  Orang India memang pasti kenal pokok kelor ni dan mereka lah yang panggil sayur munggai, depa masuk buah nie dalam gulai manakala daun pula goreng dengan telur.  Daun kelor dan buahnya antara salah satu sayur kegemaran keluarga saya, dalam 7 hari seminggu tu mungkin adalah dalam 3 ke 4 hari makan sayur daun kelor.  Jika musim pokok kelor mengeluarkan buah, buah kelor pula yang di buat sayur.  


Menurut arwah kakak saya, pokok kelor ada dua jenis.  Jenis pertama yang keluarkan buah (daun sedikit) dan satu lagi jenis yang hanya daun (akan berbuah tetapi jarang.  Pokok jenis yang suka berbuah nie, daunnya agak kasar dan rasanya tak berapa sedap berbanding pokok kelor yang untuk daun.  Tetapi pokok jenis daun, buahnya tetap sama dan turut dibuat sayur.


Dulu zaman kolej, saya cerita pada kawan tentang sayur kelor ini.  Boleh pula kawan tu tanya saya,  awak ni ada keturunun India ke?, sebab suka makan sayur ni, sayur nie orang India jer makan katanya.  Mana pula datang darah India nie, hidung pun leper jer, tenggelam dek pipi.  Mak bapak saya kawan India pun takde, rasanya masa tu pun diorang tak pernah jumpa orang India lagi selain Pakistan jual carpet yang masuk kampung.


Baru-baru nie banyak tengok artikel dan video yang saranankan pengambilan moringa kerana kandungan khasiat yang dapat mencegah penyakit.  Kiranya saya ini beruntunglah sebab dah makan banyak zaman sejak lahir hingga dewasa, walaupun dulu suka pertikai kenapa asyik makan sayur ini.  Keluarga saya makan sayur ini dimasak bening saja, simple dan senang.


Buah Kelor Masak Bening
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Buah kelor - kikis penjuru buah dan potong panjang anggaran 2.5 - 3 inci dan basuh.
1 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 biji buah keras*
2 biji cili padi*
garam, gula secukupnya
air secukupnya. 


Cara Penyediaannya
* Jerangkan air di dalam periuk hingga mendidih,
* Tumbuk lumat bahan bertanda '*' dan masukkan ke dalam air mendidih.
* Masukkan potongan buah kelor, didihkan hingga masak.
* Perasakan sayur dengan garam, gula dan serbuk perisa kesukaan.
* Angkat dan hidangkan.


Seeloknya pilih buah yang tidak sedang dan tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda.  Jika tua biji buah di dalam sudah mengeras dan agak kasar untuk di makan, yang muda pula belum ada isi dan biji buah.  Pokok kelor ini senang untuk ditanam dengan sedikit penjeliaan, hanya cucuk kan pada tanah dan jenis pokok yang tahan cuaca panas.
Wassalam.

4 comments:

  1. Pretty! This was an incredibly wonderful article. Thank you for providing these details.

    ReplyDelete
  2. Baru tahu boleh makan,saya tanam tp tak tahu pula boleh jadik sayur.

    ReplyDelete