Saturday, 30 November 2013

Masak Lemak Ayam Cara Orang Bugis

Assalam...
Masakan tradisi masyarakat Bugis yang ingin dikongsikan pada entri ini adalah Ayam Masak Lemak Bugis atau dalam bahasa Bugisnya dikenali sebagai Manuk Nasu' Sangtang.

Penggunaan rempah dalam masakan masyarakat Bugis amat minima berbanding dengan masyakarat nusantara lainnya. Mereka lebih kepada penggunaan bahan-bahan tumbuhan semulajadi seperti lengkuas, halia, serai, cili hidup dan bawang.  Jom kita intai resepi yang amat mudah ini.

Perap sekejap saja seperti ini.

Ketiadaan blender dan rasa malas, inilah jadinya bahan-bahan yang patut dilumatkan masih berserabut.  Seelok-eloknya semua bahan2 tu diblendkan aje, biar semua lumat dan boleh bergaul mesra. 

Kentang yang telah dipotong perlu direndam dalam air sejuk untuk mengelakkan menjadi hitam akibat proses oksidasi.

Ayam Masak Lemak Bugis.
Resepi: Mak Mulia

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong kecil-kecil dan perapkan sekejap bersama sedikit;
kunyit
garam
air asam jawa
serbuk lada putih

Bahan untuk ditumbuk lumat
1 ketul Lengkuas 
Halia sebesar ibu jari
2 batang Serai
5 ulas Bawang Merah
3 ulas Bawang Putih

1 liter santan
4 biji ubi kentang - potong empat
500ml air
garam
Minyak untuk menumis
Bawang Goreng.

Cara penyediaannya
* Tumiskan bahan yang telah ditumbuk halus hingga naik bau atau kekuningan.
* Masukkan ayam yang telah diperap sekejap tadi.  Gaulkan rata dan tumis sekejap.
* Masukkan air atau santan cair bersama ubi kentang.  Masak dengan api perlahan hingga ubi kentang dan daging ayam empuk.
* Masukkan lebihan santan, garam dan perasakan.  Semasa menunggu santan masak, perlu dikacau untuk mengelakkan santan pecah minyak.
* Dah masak taburkan bawang goreng.
Selamat mencuba.
Wassalam.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete