Assalam...
Makan nangka angin orang kata. Baik yang dimakan sebagai lauk (nangka muda) atau nangka masak (nangka madu). Alhamdulillah sedari kecil memang ini antara makanan harian anak kampung, mungkin sebab dah biasa sangat, tak pernah pula mengalami masalah angin. Yang muda dibuat sayur, kalau dapat buah yang masak dimakan begitu saja. Tak dapat menghabiskan isi dari sebijik nangka yang besar itu, isi nangka kami bekukan. Makan macam makan ais krim. Saya dengan mak memang penggemar nangka, dulu pernah kami berdua makan dan habiskan isi dari sebiji buah nangka masak saiz sederhana. Bapak geleng kepala je tengok gelagat 2 beranak ini. Bapak mamang bukan geng kami kalau pasal makan, seperti biasa dia memang akan makan dua atau tiga ulas saja..dah. Tapi saya dapat rasa dia memang bangga sebab dapat memberi makan anak isteri dari hasil dia berjasa kepada tanah.
Kalau nampak sebiji nangka muda atas pangkin, dah tahu itu baru part bapak, nak makan sayur lemak nangka lah tu. Kadang biar dulu dua tiga hari, buat tak pandang dan tak tahu. Lepas tu kena masak juga. Dulu nak masak nangka muda ini, agak leceh juga sebab kena kupas, banyak getah, mesti melekat sana sini. Pastu part nak dapatkan santan dari sebiji kelapa yang masih utuh berselimut sabutnya, kena laksanakan sendiri dari A-Z. Kira penyediaannya memang edisi terlajak rajin saja baru boleh buat. Tapi kesukaran begitu hanya perkara biasa bagi anak kampung yang mungkin generasi sekarang tak dapat melaluinya.
Kini semua dah tersedia didepan mata, isi nangka yang bersih, santan dah siap perah, tak pun guna yang dalam kotak aje. Kalau malas lagi tak tau nak kata apa dah. Kalau yang memang tak tahu dan tak pernah makan, itu lain cerita....
Masak Lemak Nangka Muda
Sumber: Mak Timah
Bahannya
1 pkt isi nangka muda
250ml santan pekat
air secukupnya
2 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 biji cili merah*
1/2 inc. halia*
1 biji cekur* (optional)
5 biji lada putih*
sedikit ikan bilis / udang kering* (optional)
1 batang serai - diketuk
sedikit serbuk kunyit
garam dan perasa
bawang goreng.
- Tumbuk lumat bahan-bahan yang bertanda*
Penyediaannya
* Rebus nangka terlebih dahulu hingga empuk, air setakat sama paras.
* Bila dah empuk, masukkan bahan tumbuk, serai, kunyit dan santan. Bila dah masuk santan kena sentiasa kacau agar santan tak pecah minyak.
* Perasakan dengan garam, lada sulah dan serbuk perasa kegemaran. Bila dah siap taburkan dengan bawang goreng.
Saya pernah dihidangkan dengan masak lemak nangka muda yang ada diletakkan daun salam ketika zaman kanak-kanak dulu. Dimasak oleh seorang kakak, isteri kepada tuan rumah yang merupakan saudara bau-bau macang kami. Sampai kini saya masih teringat-ingat kesedapannya. Nak kena cari lah di mana keberadaan saudara itu kini.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment