Friday, 23 October 2020

Kengsom Siakap (Asam Pedas Thai Style)

Assalamm... 
Sehari dua ini hati rasa tercuit dengan kisah melibatkan seorang ibu dan anak-anaknya.  Tiada kena mengena dengan saya pun dan saya tak patut risau atau campur tangan, tapi tak tahu asyik bermain difikiran situasi itu. 

Situasi pertama- si anak gadis tertidur ketika masuk waktu magrib kerana terlalu penat baru balik kerja shift pagi yang sepatutnya balik jam 2 petang tapi berlarutan hingga ke petang.  Si ibu kejut si anak kerana risau waktu dah hampir ke penghujung, masa kejut mungkin si ibu secara tak sengaja terkena bahagian tubuh yang sensitif.  Si anak tak berapa suka dan dengan muka tak puas hati bangun ke bilik air dan sholat lepas itu sambung tidur.  Si ibu yang melihat air muka anak terus terasa hati dengan si anak dan sessi mendiamkan diri ibu dan anak tanpa sebarang kata berlarutan selama 3 hari, hingga si adik dan si abang melihat ibu menagis dan setelah disoal siasat ibu mengadu yang anak gadisnya tak menegurnya, ketika balik rumah terus tidur dan subuh-subuh telah keluar bekerja. Si abang pun bertanya kepada si gadis dan memberitahu dia sangat letih ketika itu dan si ibu mengejutkan dengan memegang bahagian punggung yang baginya dia umpamakan tindakan ibu tu bagai bergurau dengan anak kecil, yang mana tidak selayaknya ibu berbuat begitu kerana dia sudah dewasa.

Situasi kedua- juga berkisar pada ibu dan anak-ankanya.  Suatu malam si ibu mengadu sakit pinggang sangat dia meminta salah seorang anak perempuannya (ada 3 orang anak perempuan di rumah ketika itu) untuk mengurut atau memicit bahagian yang sakit.  Permintaannya lebih ditujukan kepada anak gadis bungsunya, tetapi si bungsu hanya berdengus ketika di suruh dan menunjukkan tanda protes.  Dua lagi anak gadis di dalam bilik sibuk dengan phone dan langsung tak hiraukan permintaan si ibu.  Ibu sampai mengatakan takpelah, moga esok pagi dia keras di pembaringannya, tak apalah.  Kejadian berlaku dihadapan si menantu dan suami (anak lelaki si ibu) tetapi anak lelaki itu juga seakan tidak tahu apa yang terjadi kerana sibuk dengan phone sehingga isterinya memberitahu yang adik perempuannya semua menolak untuk mengurut si ibu.  Si menantu jadi serba salah nak menolong sebaliknya dia minta si suami untuk memicit ibunya sendiri dengan alasan suaminya lebih tenaga untuk mengurut badan ibu yang agak plum, menantu hanya mampu sediakan minyak urut yang selalu digunakan oleh suami.  Suami menolak pada mulanya dan tak senang dengan saranan si isteri sambil itu memanggil setiap adik perempuannya untuk mengurut si ibu tetapi tiada respon dari semua nama yang disebut.  Akhirnya anak lelaki yang mengalah untuk mengurut ibu, ketika itu barulah si bungsu mula mendekat dan memolong menyapu minyak di belakang si ibu.


Selesai dari dua situasi itu, menantu ajak suaminya berbincang tentang peristiwa itu.  Bagi menantu, perlakuan adik-adik si suami sangat melampau dan tidak boleh diterima olehnya.  Kenapa si anak persoalkan si ibu yang menyentuh bahagian badan anak yang sensitif sebagai suatu yang memalukan, walaupun mungkin si ibu tanpa sengaja atau dengan tujuan untuk bergurau.  Bukan kah dulu semasa bayi dan kanak-kanak setiap inci tubuh itu ibu yang basuh, gosokkan daki dan merawat jika sakit.  Alasan si suami, mereka semasa kecil sangat susah, adik-beradik ramai dan ayah sakit, si ibu tidak sempat membelai atau usap-usap mereka seperti yang dilalui oleh si menantu.  Si menantu beruntung, adik beradik tak ramai, punya nenek dan ibu yang sayang, setiap masa dibelai dan diusap manja.  Ibu si menantu tak punyai anak ramai, tapi tak pernah meminta seperti pengemis pada anaknya jika meminta untuk dipicit atau di urut.  Sebab jalan hidup yang berlainan dan pendekatan yang berlainan ker, menjadikan anak-anak juga tumbuh dan berlainan sensitiviti walaupun pada ibu mereka sendiri?.  Soal lebih-lebih boleh jadi gaduh suami-isteri, jadi lebih baik berdiam diri.  

 

Patutlah si menantu tak pernah melihat kemesraan anak-anak dan ibu di dalam keluarga suaminya tidak seperti bentuk kemesraan si menantu dan ibunya sendiri.  Di sini kemesraan itu bentuknya lain, sangat berlainan dan terlalu asing bagi menantu.  Mungkin di sini kemesraan itu cukup dengan hanya mengimbas kenangan semasa kecil dan disusuli dengan ketawa adik-beradik yang berdekah-dekah.  Si menantu terbayang-bayang kemesraan ketika bertemu ibunya, manjanya terlebih bagai anak-anak, sesekali minta ibu suap makanan, baring dipangkuan ibu, tidur sebantal dengan ibu, sentuhan dan usapan jangan cakap lah tak terbatas.  Sering kali bila si menantu tidur si ibu datang belai dan usap ubun-ubun menantu, mungkin baginya anaknya itu masih kecil walhal sudah menjadi isteri orang.  Mungkin juga salah menantu tidak meletakkan diri selayaknya, inginkan kemesraan seperti yang didapati dalam keluarganya tetapi bentuk di sini berlainan dan dia belum faham atau dia masih tak membenarkan dirinya untuk masuk ke dalam bentuk ini.

Banyak sangat persoalan, cuba ketepikan, ikut mana yang boleh dan mampu asal jangan menjadi anak derhaka.  Lupakan masalah dengan masak dan makan, makankan sedap sebagai terapi untuk hilangkan masalah.  Jom try buat kengsom siakap, resepi daripada keluarga angkat saya di Kroh Pengkalan Hulu, Perak.
 
Kengsom Siakap (Asam Pedas Thai Style)
Sumber: Makcik Gayah Kroh

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap sedang - potong kecil
5 biji cili padi* - tambah jika suka pedas
2 inc. kunyit hidup*
6 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 inc. belacan*
1/2 cawan air asam jawa 
Air secukupnya
Garam secukupnya
Gula secukupnya (guna gula nisang jika ada)
Dan serbuk perasa secukupnya.
Sayuran boleh guna sebarang sayur ini atau pun campur 2 jenis - bendi / nanas / rebung / kangkung / lobak putih.
 
Cara Penyediaannya 
* Blend halus bahan bertanda '*'.
* Jerang air dalam periuk, masukkan bahan blend dan air asam jawa.
* Sudah mendidih masukkan sayur, masukkan ikan.
* Tambahkan gula, garam dan serbuk perasa.
* Jika suka masam boleh tambah air asam jawa.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Hidangkan.

Lama tak berjalan ke sana, moga lepas keadaan kembali pulih dapat jalan-jalan ke Kroh lagi dan melintas sempadan ke Betong.
Wassalam.

23 comments:

  1. apalah punya anak2 pompuan tu! berdosa besar bila enggan patuh perintah ibu. Semoga mrka sedar n bertaubat dan memohon aaf dgn ibu mrka....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga Allah detikkan dalam hati mereka perkara-perkara baik untuk melayan ibu bapa.

      Delete
  2. sayang dan ruginya anak-anak perempuan yang buat macamtu pada emaknya... dana yang jarang dapat jumpa emak dan balik kampung punyalah suka kalau dimanja, kalau setakat emak tepuk punggung supaya bangun takde apa lah, bagi dana gurau anak beranak ... heheheh , nak terasa merajuk pun kejap je udahla, dosa besar tak bercakap sampai 3 hari

    kalau edy mintak urut tgh malam atau tolong garukan badan pun kita buat inikan pulak kalau emak yang mintak. sanggup sangat kak oi... kadang siap pekej panggil adik-adik tolong sekali, baru lah rasa harmoni hehehhe...

    sedapnya kengsom tu kak oi, dana tingin nak buat sendiri tapi orang yang tukang beli tu asik beli ayam je

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tulah Dana, sedih akak tengok...mungkin sebab kita dah tak ada orang tua lebih2 lagi sensitif bila jumpa benda2 begini...

      Rasa buat kkengsom ayam pun boleh juga.

      Delete
  3. Aduh sedapnyaaa...Sis kalau masak ni, hirup sesaja kuahnya sampai licin, kena plak suka letak bendi ..ikutkan letak kangkung lagi sedap...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan sis, rasa segar badan lepas menghirup kuah sampai berpeluh.

      Delete
  4. Macam-macam kisahnya ye. Kita ambillah sebagai pengajaran. Kengsom tu memang saya suuuuuka sangat! Sebab sedap!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hirup kuah rasa masam pedas biar keluar air-hidung tu yang win kak.

      Delete
  5. Nampak sedap tu kak! Tak pernah rasa ikan siakap kengsom. kalau dibakar, masak stim itu biasa dah.

    ReplyDelete
  6. Pertama kali tahu ikan siakap boleh di masak style begini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh, tapi kalau tiada siakap ikan lain pun boleh juga.

      Delete
  7. sedapkan kengsom siakap..saya pun suka masak camni..mkn ulang2

    ReplyDelete
  8. Kalau abang saya la dalam kisah di atas, mau makan penampar adik2 perempuan tu. Huhu. Tapi tak nak la judge, kita tak tau kisah orang. Doa saja dijauhkan dari kena kat diri sendiri

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum, yang baik saya ambil. yang buruk saya letak tepi. Terima kasih atas perkongsian yang boleh jadi panduan utk saya juga. Mula2 tengok menu, ingat ikan patin masak tempoyak hehehe

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, salam kenal pn.
    Dari blog mana saya menyusur dan singgah di sini, baca entri yg sangat menyentuh hati. Saya suluh juga diri sendiri sbb saya pun ada 2 org anak ppuan yang sedang meningkat remaja. Saya rasa saya bukanlah jenis ibu yg suka membelai atau berbual mesra dgn anak, mmg karekter saya mcm ni. Dan saya takut juga kalau du hari tua saya nnt anak2 ppuan saya menjauhkan diri dari saya...😥

    ReplyDelete
  11. singgah tengah malam kesini.. lapar pula jadinya hehehhe

    ReplyDelete
  12. mak saya ada cuba buat ni time PKP phase 1 dlu..
    tak jadi.. terus rasa asam pedas hehe..

    ReplyDelete