Monday, 31 March 2014

Unsur-unsur Moden Dalam Perkahwinan Melayu

 Assalam...
Saya suka pergi kenduri kahwin, sesiapa yang menjemput tu in sha Allah akan digagahkan untuk hadir.  Tak kisahlah jemput guna rsvp ker, guna kad, melalui sms, fb mahupun mulut jer, yang penting dijemputkan, sebab kalau kita tidak dijemput, adalah haram kita pergi.  Ini sajalah saya nak bercerita pasal-pasal orang buat kenduri sekarang, banyak sangat beza banding orang dulu-dulu banding sekarang (menyaksikan kenduri yang dibuat zaman kanak-kanak dan remaja dulu).  Bukanlah tujuan nak membanding-bandingkan dulu bagus sekarang tidak, bukan gitu tapi sekadar nak bercerita.  Zaman berubah, pemikiran dan tindakan manusia turut berubah, manusia menuju proses globalisasi tiada sempadan, hal-hal ini juga turut diadaptasi dalam majlis-majlis perkahwinan atau kenduri. 
Mula-mula kita pergi kepada cara memberi makan kepada tetamu.  Kebanyakkan majlis dilakukan secara buffet, lebih mudah dan ringkas tanpa menggunakan ramai petugas.  Mereka yang mampu mungkin akan membuat secara hidangan dome, manakala vvip mungkin dihidang secara perseorangan.  Amat jarang yang menyajikan makanan secara hidangan seperti orang dulu-dulu, semua lauk diletak di atas dulang dan diangkat kepada tetamu.  Anggaran untuk satu hidangan adalah 4 hingga 6 orang (mencukupi untuk satu keluarga kecil).  Menyajikan secara hidangan ketika ini, mungkin pada tetamu yang terlepas keretapi saja orang kata, datang lambat selepas waktu majlis.  Saya pernah dua tiga kali menghadiri kenduri yang mangamalkan hidangan cara ini, kesemua kenduri itu adalah perkahwinan Indian Muslim (Mamak) di Pulau Pinang.
Buah tangan untuk tetamu daripada pihak pengatin memang mewah dan meriah, bukan hanya makanan turut diberi adalah berupa cenderahati.  Lebih istimewa ada pemberian khas yang berlainan untuk kawan-kawan dan untuk pihak pengantin lelaki/perempuan daripada tetamu biasa.  Peranan bunga telur juga kadang2 dah diganti dengan makanan ringan atau potpuri.  Kemeriahan pengantin menyediakan bunga telur sendiri jugak sudah tidak didapati kini, segala-galanya sudah tersedia di pasaran. 
Acara perkahwinan seakan satu pesta, namun agak keterlaluan sekiranya kita andaikan ianya sebagai sebuah fun fair.  Ada acara dan peruntukan hadiah yang menanti pemenang.  Sebelum acara perkahwinan, banner atau sepanduk seumpama sebuah promosi mega sales turut dinaikan sebagai menwar-warkan kepada jiran tetangga..
Kini tidak perlu menunggu tahun baru cina yang muncul setahun sekali untuk mendengar dentuman bunyi mercun.  Ianya boleh disaksikan pada majlis perkahwinan jugak, mungkin bagi mereka yang tidak faham akan mengandaikan bahawa pasangan pengantin itu adalah orang cina bukan pengantin melayu.  Inilah proses asimilasi sebuah negara yang dipunyai oleh pelbagai kaum.  Saling meniru dan mengadaptasi budaya kaum lain dalam masyarakat mereka selagi mana ianya tidak menjejaskan kepercayaan dan akidah.

Tukang karut dalam pertunjukkan wayang kulit mungkin saja boleh digantikan dengan peranan si badut.  Pastinya dijadikan tarikan untuk kanak-kanak dan orang dewasa pada majlis tersebut.  Bagaimanapun pencak silat, taburan beras kunyit dan tarian suku kaum masih ada yang mempersembahkannya.

Acara persembahan karaoke turut memeriahkan majlis, terbuka kepada tetamu yang berminat. untuk menyumbangkan suara mereka.  Pihak tuan rumah turut berbesar hati ada menyediakan hadiah untuk acara seperti ini.  Terdapat jugak di sesetengah tempat, hanya diperdengarkan lagu-lagu ataupun nasyid dari sistem audio tanpa  DJ.  Yang lebih meriah mereka katakan, adanya band atau kugiran ataupun joget lambak di sebelah malam majlis perkahwinan.  Tak perlu bincangkan majlis perkahwinan yang dilaksanakan di hotel atau club house.

Acara yang agak mendapat sambutan terutama kepada kanak-kanak adalah balingan gula-gula mahupun duit siling oleh pasangan pengantin.  Sedikit sebanyak dilihat sebagai galakkan menyemai atau tingkah laku perebutan dikalangan kanak-kanak.  Tidak kurang yang saya saksikan ada antara kanak-kanak yang kurang cergas dalam perebutan ini akan menangis kerana tidak berjaya mendapatkan sebarang gula-gula mahupun siling.
Sebelum ini cukup untuk dessert counter yang menyediakan kuih-kuih tradisi, bubur ataupun pengat, kini dah ada candy booth pulak.  Satu tarikan baru untuk tetamu, ada disediakan fountain untuk menyaluti buah dan candy dengan coklat, cup cake dan gula-gula.
Apa yang dilihat ciri-ciri pada candy booth ini tiada yang bersifat tradisi orang melayu.  Gaya ini seakan adaptasi gaya cocktail party orang barat.
Benda baru yang dilihat sejak dua tiga tahun yang  terkebelakang ini adalah munculnya prop-prop yang digunakan oleh pengantin mahupun tetamu.  Prop yang tertulis isteri, suami, kakak, single ataupun ibu bapa pengantin dan sebagainya.  Mungkin pengistiharan seperti ini akan memberi gambaran yang lebih jelas kepada kedua-dua belah pihak dan juga kepada tetamu.
Coretan saya ini bukan tujuan sebagai provokasi jauh sekali untuk mengkritik sesuatu majlis perkahwinan hanya sekadar pandangan peribadi yang terlintas di dalam fikiran.  Saya sebenarnya gembira dengan perkembangan terbaru yang seiring dengan masa dan berharap kegemilangan majlis perkahwinan akan disusuli dengan kegemilangan pasangan mengendalikan alam rumahtangga yang penuh pancaroba selepas itu.  Kredit untuk sahabat kami kerana telah menggunakan gambar-gambar mereka sebagai gambar hiasan.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment