Saturday 4 April 2020

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah & Acar Masak.

Assalamm...
Ini bukan menu mewah kami semasa PKP ya, ia dah lama dibuat.  Buat bukan nak makan saja-saja tetapi atas permintaan adik untuk dihantarkan ke sekolah dia.  Ada hamba Allah yang nak belanja budak-budak sekolah itu makan tapi tak jumpa tukang masak yang boleh masak pada hari berkenaan.  Mungkin jumpa orang nak masak tapi minta harga diluar budget mereka, jadi adik minta tolong buatkan untuk 200 orang termasuk guru-guru. 

Sudah ada kesempatan kami pun join sekali lah makan sedap-sedap begini.  Nak masak-masak begini hari biasa memang tak lah, kena tunggu hari raya lah kot.


Nasi Minyak
Sumber: Chef Nas.

Bahan-bahan
4 pot beras basmathi
1 sudu minyak sapi 
1 sudu majerin planta
Rempah 4 sekawan sedikit setiap jenis (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang)
2 ulas bawang merah - hiris
1 inci halia - hiris halus
Sedikit garam
1 helai daun pandan - simpulkan
Sedikit pewarna kuning
Kismis dan buah gajus goreng

Cara Penyediaannya
* Panaskan minyak dan majerin, tumiskan 4 sekawan dan bawang hingga layu.
* Masukkan air yang telah disukat dengan beras (1 beras: 1.5 air).
* Tambahkan beras, halia, garam dan simpulan daun pandan.  Tanak hingga masak.
* Bila dah masak, titikkan pewarna kuning sedikit di atas nasi dan biarkan sebentar  kira-kira 5 minit.
* Kacau nasi dan tambahkan kismis dan gajus.  Hidangkan dengan pasangan lauknya.

Ayam Masak Merah
Sumber: Chef Nas

Bahan-bahan
1 ekor ayam - bersihkan dan perap dengan garam kunyit.
5 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
2 batang serai - ketuk
4 sekawan (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang)
2 sudu sos cili
2 sudu sos tomato 
Air sedikit
Garam dan serbuk perasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan kisar-
5 tangkai cili kering
4 ulas bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia.

Bahan tambahan
Bawang besar - hiris bulat
Daun ketumbar - hiris
Kacang peas
Susu cair

Cara Penyediaannya
* Goreng ayam yang telah diperap hingga setengah masak.
* Panaskan minyak (boleh guna minyak bekas goreng ayam), tumis bawang hiris, 4 sekawan dan serai hingga naik bau.
* Masukkan bahan kisar dan tumis hingga cili betul-betul masak (garing).  Tambah sedikit air, tumis dengan api perlahan hingga naik minyak.
* Tambahkan garam, gula dan serbuk perasa.  Masukkan ayam goreng tadi, biar mereneh sekejap.
* Tambahkan bawang hiris, kacang peas dan susu cair.
* Sesuaikan rasanya dan tutpkan api.  Tabur dengan hirisan daun ketumbar.


Acar Masak
Sumber: Chef Nas

Bahan-bahan
1 batang timun
1/2 batang carrot
4 ulas bawang kecil - potong 2
4 ulas bawang putih - potong 2
1/2 sudu teh biji sawi
Serbuk kunyit secukupnya
2 sudu cuka
Gula dan garam 
Sedikit minyak
Sedikit air

Cara Penyediaannya
*  Timun buang biji dan potong memanjang. Carrot juga dipotong meamnjang.
* Tumis bawang sekejap, masukkan biji sawi dan serbuk kunyit.
* Tambahkan sedikit air dan masukkan carrot.
* Tambahkan cuka, gula dan garam, sesuaikan rasanya dan didihkan sekejap sebelum masukkan timun.
* Tutup api. 


Begini lah hasil keadaan nasi minyak dan ayam masak merah berserta acar yang mereka minta buat tu.  Sebab sama-sama sibuk kami minta adik yang lain, tolong hantarkan ke sekolah di Putrajaya, tempat adik mengajar.

Petang tu adik hantar wassap, dapat good feedback dari guru-giri berserta gambar budak-budak tengah menjamu selera.  Syukur, Alhamdulillah, Allah bagi sedap dan sesuai pada citarasa mereka.
Wassalam.

3 comments:

  1. Rezeki. Sambil tolong buat dapat rasa sekali.

    ReplyDelete
  2. baru juga masak nasi minyak buat menu makan malam dengan housemate hari tu...

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam. Pergghhhh meleleh 😍

    ReplyDelete