Thursday, 2 April 2020

Nasi Kaya Kelantan, Resepi Tradisi MIL

Assalam...
Pertama kali jumpa kuih ini, ingatkan MIL buat ketirisala sebab permukaan kuih ini macam kuih ketirisala.  Bila tanya nama kuih dia kata Nasi Kaya.  Oh mungkin bawa tu guna nasi lah kot, bukan pulut macam ketirisala.  Tapi yang sebenarnya nama dia jer nasi kaya, takde kena mengena pun dengan nasi, jauh sekali menggunakan beras atau nasi sebagai bahan utamanya. 



Kuih ini guna 3 bahan saja, betul-betul sempoi, tapi rasa dia superb.  Bahan utama menggunakan gula nipah (orang pantai timur panggil nise), telur dan daun pandan.  Senang sangat nak buat yang ini kata beliau, tu kata dia kita yang tak biasa macam-macam persoalan yang timbul.


Nasi Kaya Kelantan
Sumber: Che Bedah


Bahan-Bahan
10 biji telur
6 ketul gula nipah (nise)
5 helai daun pandan - potong
1 liter air




Cara Penyediaannya
* Masak gula, air dan daun pandan yang di potong dengan hingga gula larut dan menggelak dan sedikit pekat. Ketepikan dan sejukkan.
* Sediakan loyang dan pengukus.
* Air gula dah sejuk, masukkan telur dan gaul sebati.  Gaul hingga berbuih, gaul dengan tangan lebih mudah nak pastikan adunan tu sedikit ringgan.
* Tapis adunan ke dalam acuan hingga separuh acuan.
* Kukus hingga masak lebih kurang 15-20 minit. Pastikan penutup kukusan kemas. 
* Tips nak tahu kuih sudah matang dan masak, bunyi seperti perut kembung ketika kuih dipukul pada permukaan guna senduk.


Kuih nasi kaya ini boleh disediakan dengan 2 kaedah sama ada dikukus atau dibakar.  Yang kami buat ini adalah yang versi kukus.  Kuih nasi kaya kaedah bakar In Sha Allah, coming soon ya.


Saya suka sangat makan nasi kaya yang telah disejukkan dari dalam peti ais.  Nasib takde kencing manis, tapi kena kontrol lah kan pengambilan gula tu sebelum dapat.

Mudah-mudahan selepas ini ada kelapangan masa lagi nak main masak-masak dengan MIL, panjang lagi list menu yang nak dibuat tu.  Doa-doakan lah ya.
Wassalam.

3 comments: