Tuesday 9 April 2019

Hantaran Perkhawinan Suku Bugis & Suku Mandar

Assalam...
Syukur diberi rezeki dapat menyaksikan majlis perkahwinan di daerah Polewali, Sulawesi Barat sekaligus dapat melihat adat budaya sebenar yang masih mereka amalkan di sana.  Walaupun kedua-dua suku (Bugis dan Mandar) ini menebar ke serata nusantara, tetapi kemungkinan ada sedikit perbezaan dari segi sambutan dan sudah terasimilasi dengan budaya setempat.  Pasangan pengantinnya daripada 2 suku yang berbeza, pengantin lelaki (suku mandar) dan pengantin perempuan (suku bugis).   Malu jer sebab saya cakap ada mini pickup truck yang membawa almari tidak dapat lalu kerena jalan sesak.  Ketika itu rombongan pengantin lelaki sampai, sementara keluarga daripada pihak pengantin perempuan sangat sibuk menyambut tetamu.  Tidak tahu langsung yang semua isi pickup tu adalah barang hantaran untuk pengantin perempuan


Sedulang pisang yang terdiri daripada 4 jenis pisang.  Pisang berangan, pisang raja, pisang abu dan pisang hijau.  Keempat-empat jenis pisang ini boleh dikategorikan sebagai pisang kelas tertinggi penggunaanya dalam masyarakat bugis dan mandar, buah pisang menjadi pilihan utama untuk sesuatu acara.


Kotak empat segi (sulapa' eppa) dibuat daripada bambu dan bertutup ini dipanggil "wala suji", bukan kueh suji tau.  Wala suji dan bentuk empat segi (sulapa' eppa) ini mempunyai makna simbolik tentang kehidupan manusia yang perlu berpandukan kepada kesempurnaan merangkumi empat penjuru utara, timur selatan dan barat ataupun api, angin, tanah dan air.  Pemilihan bahan yang digunakan untuk menghasilkan wala suji itu daripada bambu tua juga mempunyai makna bukan sahaja sebagai tumbuhan yang paling berguna kepada manusia tetapi juga terkandung pembelajaran bermakna jika memahami proses pertumbuhan pokok bambu (buloh).  Sebelum memunculkan tunas dan daun bambu, proses penyempurnaan pada struktur akar terlebih dahulu berlaku (akar berselirat bukan akar tunjang) sebagai asas yang kuat untuk pokok bambu bertahan dan tidak mudah patah.  Begitu juga dengan manusia, perlu diterapkan asas (keimanan) yang kuat demi mendepani kehidupan seterusnya.


Isi dalam bakul bambu (walasoji), kelapa dan pisang masih utuh dalam setandan.  Buah nangka pula adalah yang sebiji besar (sama ada yang masak atau nangka muda).  Simbolik sebagai bekalan makanan asas untuk memulakan hidup setelah mendirikan rumahtangga.  Adat orang dulu-dulu .

Ini pula adalah isi yang terkandung dalam kotak yang dipikul oleh 2 orang lelaki yang mengiringi rombongan pengantin lelaki (gambar pertama), diatas kotak turut dihiasi dengan juntaian seperti bunga telur.  Pulut, telur rebus, kuih penyaram (jompo-jompo) dan ketupat nasi yang didalam kelongsong bulat kecil itu.


Mas kahwin, wang tunai dalam frame dan bungkusan macam hamper tu adalah seperangkat alat solat (telekung dan sejadah).  Kedua-dua benda ini diletakkan di hadapan pengantin lelaki, wali dan saksi.  Ketika akad dijalankan, pengantin perempuan tidak keluar menunggu di dalam bilik pengantin. 


Barang hantarannya pula lengkap, mereka tidak mengira mengikut berapa dulang nak hantar dan berapa dulang perlu dibalas.  Perkakas asas dalam dapur, besen, kuali, sudip, gayung dan penyepit buluh untuk makanan dan bara, benda ini disediakan oleh pengantin lelaki.  Manakala pihak perempuan hanya menyediakan pinggan makan, pinggan lauk, ceper, mangkuk, dulang, gelas dan tempat basuh tangan (kegunaan untuk 2 orang, suami dan isteri).  


Barangan dandanan diri, untuk kebersihan diri dari hujung rambut ke hujung kaki, barangan hiasan dan barang untuk bersolek.

Ini pula kotak-kotak yang mengandungi pakaian dalam, anak baju, seluar dalam dan kain dalam (petticoat).  Persalinan untuk pakaian luar tetap ada baju, kasut, tapi saja tak ambil gambar, kan yang itu dah biasa kita jumpa.


Tidak dilupakan tambahan, alat untuk bersolek dan merapikan diri, kapas muka, cermin dan sikat rambut.  Bedak, lipstik, celak, sabun mandi tetaplah ada cuma tak dibawa bergambar sama.


Soal kesihatan ambil berat, hantaran berus gigi bersama ubat gigi.

Saya mencari kot ada lesung batu mereka jadikan hantaran tetapi tiada, jika ada batu cobek kan senang pengantin perempuan nak buat sambal ulek.
Wassalam.

1 comment: