Thursday, 21 June 2018

Nasi Kaya Kelantan


Assalam...
Kuih nasi kaya kelantan ini mak mertua hidangkan untuk berbuka puasa hari 29 Ramadhan yang lalu sebagai juadah berbuka hari terakhir puasa tahun 1439H.  Nama kuih ada perkataan nasi, tapi jangan dicari nasi dalam kuih ini, sebiji nasi pun tak akan jumpa, itu namanya sahaja.  Abang cakap sambil berseloroh ini makanan orang kaya atau raja dulu-dulu, mereka tak makan nasi daripada beras tetapi nasi mereka daripada telur dengan gula.  Seingat saya baru 2 kali menjamah pemanis mulut ini dan saya suka sangat.  Mungkin bagi orang lain kurang gemar dengan bau hamis telur kerana beranggapan kuih ini pasti hamis sebab guna telur yang banyak dan memang hanya guna telur dan gula semata membuatnya. Namun bagi saya tiada masalah, apa-apa pemanis yang banyak telur sedap saja di tekak.  Tetapi percaya lah tak hamis pun. 


Nasi Kaya Kelantan
Sumber: Nang Teh


Bahan-Bahan
20 biji telur
4 keping gula nise (gula nipah)
1 cawan air
Daun pandan


Cara Penyediaannya
*  Masak gula, daun pandan dengan air hingga gula larut.  Tutup api dan keluarkan daun pandan.
*  Dalam bekas yang lain kacau telur hingga sebati.  Kacau sebati jangan sampai kembang.
*  Tuangkan telur ke dalam periuk yang berisi air gula tadi.  Gaul untuk sebatikan adunan telur dan air gula.  Tutup periuk.
*  Bakar menggunakan api sederhana.  Mak mertua bakar guna periuk yang masak air gula tu juga atas dapur gas sahaja. 
*  Bila permukaan nasi kaya dah mengeras, matikan api.  Nasi kaya akan naik memenuhi periuk tetapi akan turun  dan jadi padat apabila sejuk.
*  Hidangkan apabila dah sejuk, atau diletakkan dalam peti ais jika suka nasi kaya yang lebih sejuk.

Nota - 
1.  bentuk nasi kaya yang kami makan tu memang tak cantik sebab kami main cedok dari dalam periuk saja.  Nak bentuk yang cantik boleh lah bakar guna loyang dalam oven, lepas tu potong cantik-cantik.
2.  Nasi kaya boleh disediakan sama ada dibakar atau dikukus, tetapi kalau kukus tu caranya sedikit berlainan kerana perlu sejukkan air gula terlebih dahulu sebelum campur dengan telur. 


Pagi raya ke-3 kemas-kemas tempat makan, jumpa sepinggan nasi kaya tepi tudung saji.  Ingatkan dah rosak nak kemas dan buang, rupanya ayah mertua yang simpan.  Dia kata elok lagi kuih tu, dia simpan dan nak makan kemudian.  Lepas tu dia cerita susah nak cari yang sesuai selera dia, kadang jumpa orang jual tapi tak sedap, yang chek buat ini sedap.  Sweetnya dengar ayah mertua hargai masakan isteri. 
Tersentuh hati kecil petang tu bila terdengar mak mertua yang sedang masak di dapur bersama anak lelakinya bersembang.  Esok aku mati, tiada siapa yang tahu nak buat kuih-kuih ini semua, puak-puak tu (merujuk anak perempuan) semua macam tak minat nak belajar.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment